Mon 17 Sep 2007
Tahun ini, pelajar PMR akan menghadapi peperiksaan utama mereka dalam bulan Ramadhan. Saya percaya, bagi kebanyakan pelajar, ini adalah perkara biasa sahaja. Namun bagi sesetengah pelajar, ini boleh jadi satu perkara yang sangat mencabar. Mengapa?
Apabila saya mengendalikan program untuk pelajar di waktu pagi, ada pelajar yang merungut kerana mereka belum bersarapan. Ini membuat mereka rasa lapar dan tidak selesa untuk belajar. Bayangkan apa yang pelajar ini semua akan rasa jika mereka perlu menjawab soalan peperiksaan terpenting dalam bulan Ramadhan?
Satu perkara yang jelas ialah jika anda bakal mengambil peperiksaan PMR tahun ini, kehadiran bulan Ramadhan sudah pasti bakal membawa rahmat kepada anda. Di dalam bulan ini, anda mempunyai peluang untuk menambahkan pahala dan menambahkan ketenangan hati dan jiwa anda. Namun, dalam masa yang sama, anda perlu tahu, menjawab soalan peperiksaan dalam bulan Ramadhan mempunyai cabarannya yang tersendiri.
- Cabaran pertama ialah selama ini anda sudah biasa dengan belajar dalam keadaan perut berisi dan tekak yang basah. Apabila perkara ini bertukar, cara anda berfikir dan kelancaran otak anda berfikir juga pasti akan bertukar. Apa yang membimbangkan ialah jika cara anda berfikir menjadi tidak lancar apabila perut kosong dan tekak kering nanti.
- Cabaran kedua ialah dari segi persiapan. Selalunya pelajar sukar untuk belajar apabila berada dalam keadaaan lapar dan dahaga. Jadi, mereka memberi alasan untuk belajar pada waktu malam. Malangnya, mereka mudah pula merasa letih pada waktu malam kerana kekenyangan. Jadi, belajar dan mengulangkaji ditangguhkan.
Apakah cara penyelesaian untuk perkara yang saya bincangkan ini? Maksud saya, bagaimanakah anda perlu siapkan diri anda untuk menjawab soalan peperiksaan PMR nanti? Adakah anda perlu berbuka dan tinggalkan puasa? (Hmm…harapnya anda tidak terfikir untuk berbuat begini kerana meninggalkan puasa ternyata bukanlah satu jalan penyelesaian
)
Insyaallah saya akan bincangkan mengenai perkara ini minggu ini.