Tue 17 Oct 2006
Ada 3 teknik utama yang saya ingin kongsikan bersama anda untuk keluar daripada zon selesa ini.
Pertama, dengan hanya menyedari bahawa keluar daripada zon selesa akan membuat anda lebih hebat, anda akan jadi lebih berani untuk keluar daripada zon itu. Contohnya, jika anda tiba-tiba dilantik menjadi pengerusi persatuan dan anda tidak selesa dengan jawatan itu, anda akan jadi lebih berani jika anda sedar bahawa anda akan rasa selesa juga nanti dan kemahiran anda akan semakin bertambah.
Kedua, dapatkan maklumat sebanyak mungkin tentang aktiviti baru yang membuat anda terpaksa keluar daripada zon selesa itu. Contohnya seperti anda menjadi pengerusi persatuan tadi, dapatkan maklumat daripada buku, kawan-kawan dan guru tentang bagaimana caranya untuk menjadi seorang pengerusi yang hebat. Ini kerana, anda rasa tidak selesa sebab anda tidak tahu pasti sama ada boleh lakukan tugas itu dengan baik dan anda juga tidak pasti bahawa anda akan suka jawatan itu atau tidak.
Dengan mendalami ilmu tentang jawatan baru itu, ia akan menimbulkan rasa yakin diri dan akhirnya akan membuat anda lebih selesa dengan diri anda. Ketika saya mula-mula terlibat secara serius dalam membuat ‘training’ untuk orang dewasa dulu, saya habiskan banyak masa membaca buku berkenaan training dan bertanya kepada trainers yang sudah berpengalaman. Hasilnya, saya rasa selesa dengan lebih cepat berbanding dengan sesiapa yang tidak menggunakan cara ini.
Ketiga, fokuskan kepada perasaan selesa di dalam minda anda. Maksudnya begini. Apabila anda mahu mula melakukan sesuatu yang baru, minda anda akan dipenuhi dengan keraguan, kebimbangan dan rasa takut kerana anda tidak tahu apa akan berlaku kepada anda. Anda boleh hapuskan rasa ini semua. Caranya, bayangkan apa anda rasa jika perkara baru itu adalah selesa bagi anda. Contohnya, di dalam minda anda, bayangkan situasi di mana anda rasa selesa menjadi seorang pengerusi. Malah anda rasa seronok dan gembira semasa menjadi pengerusi.
Jika anda fokus kepada perasaan selesa dan seronok ini, kesannya ialah, ia akan menggantikan perasaan bimbang dan tidak selesa yang ada dalam minda anda pada peringkat awal tadi. Anda perlu tahu, minda anda hanya boleh fokus kepada satu perkara pada satu masa sahaja. Jadi, jika anda fokus kepada rasa selesa, pasti akan tidak akan boleh rasa perasaan tidak selesa itu.
Selamat mencuba.