pengkalan chepaInikan pula tempat bermain……

Semalam saya ada ceritakan saya ke Kelantan bagi menjayakan program Pengurusan Pelanggan Di Kaunter. Sesi saya berakhir pada malam hari Khamis. Keesokan harinya (Jumaat), walaupun saya perlu checkout pada pukul 12 tengahari, saya bergegas untuk checkout sejurus selepas sarapan pagi, lebih kurang pukul 8.30 a.m. Saya berdua sebenarnya ke Kelantan, tetapi bukan isteri saya, ayah saya. Ya, untuk ke Kelantan, saya singgah di Terengganu dahulu dan bawa ayah saya bersama saya ke Kelantan. Isteri? Hmm..Isteri dan anak saya tinggal di Terengganu untuk melawat seorang anak saudara yang sakit.

Sudah lama saya tidak luangkan masa berbual-bual dengan ayah saya sendiri sebenarnya.Jadi, banyaklah cerita yang keluar sepanjang memandu ke Kelantan.

Baik….berbalik semula kepada cerita asal…. saya dan ayah saya check out awal kerana saya mengajak ayah saya pergi ke Pengkalan Chepa. Di sana ada sebuah kem perumahan tentera. Mengapa? Ayah saya dahulu seorang tentera dan kami pernah tinggal di kem Pengkalan Chepa Kelantan.

Kami tinggal di sana semasa saya berusia 6 hingga 7 tahun (tahun 1982 - 1983). Jadi, pengalaman paling utama ketika saya berada di sana ialah ektika saya berada di Tadika dan juga di dalam darjah satu. Apabila saya jejakkan kaki ke kawasan perumahan tersebut, tidak banyak perubahan yang saya lihat. Mungkin ia kerana saya dah banyak lupa apa yang ada di sana. Namun saya dapat lihat juga beberapa rumah yang sudah ditinggalkan dan tidak digunakan lagi.

Bagi saya, tadika adalah satu kenangan yang sangat manis. Entah kenapa, saya suka suasana semasa belajar di Tadika. Saya tidak ingat nama cikgu saya ketika itu tetapi saya ingat ada dua cikgu perempuan yang rapat dan mesra dengan saya. Ada ketikanya, saya akan bantu cikgu ini menyerahkan kunci tadika kepada seorang pegawai yang tinggal di kawasan perumahan saya. Saya ingat juga cikgu ini pernah menghadiahkan saya aiskrim kerana selalu membantu mereka. Hmm…bagi budak sekolah tadika, aiskrim pun dah cukup buat mereka gembira. :)

Darjah satu saya pula, sekolahnya terletak sangat dekat dengan kawasan perumahan itu tadi. Tak banyak yang saya ingat tentang sekolah ini. Saya hanya bersekolah di sini selama 1 penggal sahaja (lebih kurang 3 bulan) kerana ayah saya ditugaskan ke Kuala Lumpur pula selepas itu.

Namun, saya sangat ingat hari pertama saya bersekolah di dalam darjah 1. Ada beberapa orang cikgu masuk ke kelas dan memperkenalkan diri mereka. Saya hanya ingat cikgu kelas saya ketika itu. Dia mengajar matematik kalau tidak silap saya. Apa yang saya benar-benar ingat, cikgu saya menunjukkan sepuluh ekor gambar unta. Dia pun bertanya,

“Gambar apa ni murid-murid?”

“UNTAAA!!!!” jerit semua pelajar.

“Unta tinggal di mana?” Soal cikgu saya lagi.

“Dalam hutan!!!!” Jawab hampir kesemua pelajar dengan yakin.

Entah kenapa ketika itu saya berani mengangkat tangan dan terus berkata, “Dekat negeri Arab cikgu.”

Saya ingat lagi senyuman cikgu saya ketika itu. Selepas sesi berakhir dan apabila sudah tiba masa untuk pulang ke rumah, cikgu saya menyuruh semua murid mengucapkan “Terima kasih cikgu”. kemudian, cikgu saya itu menyuruh saya menyebutnya dahulu seorang diri. Apabila saya sebut dengan kuat, semua pelajar lain mengikutnya. Jadi, secara rasminya ketika itu, saya telah dilantik menjadi ketua kelas. Mengapa? Mungkin kerana saya seorang sahaja ketika itu yang tahu bahawa unta boleh didapati di negeri Arab. :)

Itulah antara kenangan manis semasa tinggal di pengkalan Chepa. Saya dan ayah berjalan-jalan dan mula mengambil gambar kawasan ini supaya dapat saya tunjukkan kepada ibu, kakak dan adik perempuan saya yang sama-sama tinggal di situ dulu.

Benarlah kata pepatah, tempat jatuh lagi dikenang…inikan pula tempat bermain…..