Wed 3 Oct 2007
Apa kaitan Ramadhan dan disiplin diri? Hmm… saya percaya anda sudah boleh menekanya. Di dalam bulan Ramadhan, anda sentiasa berperang dan berlawan dengan nafsu anda untuk makan, minum dan membuat sesuatu yang dilarang. Dalam bulan Ramadhan, bukan sahaja anda menahan diri dari makan dan minum, malah melarang diri daripada berkata atau melihatĀ sesuatu yang tidak baik. Kadangkala ia agak sukar bukan?
Kesukaran inilah yang menguji dan melatih disiplin diri dalam umat Islam. Contohnya anda sedang berjalan pulang ke rumah di bawah sinar matahari yang terik. Tekak anda kering. Tubuh anda terasa lemah. Apabila anda sampai di rumah, anda terlihat adik bongsu anda sedang seronok minum air tin berkabonat yang sejuk (baru dikeluarkan daripada peti ais). Secara lojiknya, fikiran anda pasti akan mahu minum air tersebut. Namun, anda tahu ia salah. Jadi, fikiran anda seperti sedang bermain tarik tali antara mahu memuaskan kehendak fizikal anda atau memenuhi tuntutan agama.
Alhamdulillah, disebabkan didikan agama yang baik daripada ibu bapa anda, anda memilih untuk tidak minum atau berbuka. Anda teruskan juga berpuasa walaupun anda tidak terasa hendak berpuasa. Bukankah ini satu contoh disiplin diri yang sangat baik?
Seperti contoh yang saya beri semalam, pelajar di universiti tidak akan dimarahi sesiapa kalau mereka tidak bangun pagi. Jadi, pada waktu pagi, pelajar ini ada dua pilihan, hendak bangun, sembahyang dan pergi ke kelas awal atau mahu sambung tidur. Lojiknya, tentulah memilih tidur lebih seronok bukan? Namun pelajar yang berdisiplin tinggi tetap memilih untuk bangun dan pergi ke kelas. Ini kerana mereka tahu, walaupun mereka tidak terasa hendak bangun dan pergi ke kelas, ia perlu dilakukan demi kebaikan pada masa hadapan.
Bagaimana dengan anda? Adakah Ramadhan tahun ini menambahkan lagi disiplin diri anda? Adakah ia lebih melemahkan disiplin diri anda?
Harapan saya, Ramadhan tahun ini akan membawa lebih berkat dan melatih diri kita semua agar lebih berdisiplin dan bergerak menuju kejayaan, di dunia dan akhirat. Selamat berpuasa. Selamat mendisiplin diri.