Fri 5 Oct 2007
Apa kaitannya Ramadhan dan kesihatan dan kekuatan akal fikiran? Begini.
Di dalam bulan Ramadhan, kita sepatutnya makan kurang daripada apa yang kita makan daripada hari-hari biasa. Ini kerana, kita tidak makan pagi, tengahari atau petang. Tambahan lagi kita tidak minum air. Jika anda berpuasa dibulan Ramadhan tetapi makan sama banyak seperti bulan-bulan biasa (balas dendam semasa berbuka dan sepanjang malam
), anda mungkin masih dapat kesan baik bulan Ramadhan walaupun tidak sepenuhnya.
Apabila anda berpuasa di siang hari, tubuh badan anda tidak perlu bekerja keras untuk menghadamkan apa yang anda makan sepanjang hari. Ini bermaksud, tubuh badan anda ada tenaga lebihan untuk membuat perkara yang lain. Apa yang akan dilakukan dengan tenaga lebihan ini? Ia akan digunakan untuk membuang sisa-sisa makanan dan toksik (beracun) di dalam tubuh anda terutamanya yang berada di dalam usus besar anda. Bagaimana ini boleh berlaku?
Biar saya berikan satu contoh. Contoh ini diberikan oleh Harvey Diamond dalam bukunya Fit for life. Katakan anda bekerja di sebuah pejabat. Tugas anda ialah untuk melupuskan / menghapuskan kertas-kertas terpakai yang telah dibuang ke dalam beberapa kotak khas. Katakan juga, sehari, anda hanya mampu melupuskan 5 kotak kertas sahaja. Tetapi, setiap hari, ada 8 kotak kertas terpakai yang terhasil.
Jadi, pada hari pertama, anda lupuskan 5 kotak, ada 3 kotak baki. Esok, datang lagi 8 kotak, tetapi anda boleh lupuskan hanya 5 kotak, jadi bakinya berapa? 6 kotak bukan? (3 dari hari pertama, 3 lagi hari kedua). Esoknya lagi datang lagi 8 kotak dan anda lupuskan 5 kotak. Berapa bakinya? Ya, 9 kotak (3 dari hari pertama, 3 lagi hari kedua dan 3 lagi hari ketiga). Jika ini berterusan, bukankah kotak-kotak itu akan memenuhi ruang pejabat anda kerana belum dilupuskan? Bukankah pejabat itu akan jadi semakin sempit dan tidak selesa? Katakan proses ini berterusan selama 10 hari, sudah tentu ada 30 kotak kertas terpakai yang belum dilupuskan.
Entah bagaimana, disebabkan polisi baru kitar semula syarikat, kertas terpakai yang terhasil setiap hari menurun daripada 8 kotak kepada hanya 3 kotak sehari. Anda pula kekal boleh melupuskan 5 kotak sehari. Jadi, pada hari ke 11, hanya 3 kotak kertas terpakai dihasilkan. Setelah anda lupuskan 3 kotak, anda masih boleh lupuskan 2 lagi bukan? Apa anda buat? Anda lupuskan kertas yang tidak mampu anda lupuskan selama ini. Jadi, daripada 30 baki kotak tadi, anda lupuskan 2. Lama kelamaan, baki kertas terpakai sebanyak 30 kotak tadi pasti akan habis dilupuskan.
Begitu juga dengan tubuh badan anda. Tenaga anda cuma cukup untuk menghadamkan makanan dalam kadar tertentu. Disebabkan anda makan terlalu banyak pada hari-hari biasa, tenaga itu tidak cukup lalu banyak sisa-sisa atau hampas yang tinggal. Namun, pada bulan Ramadhan, oleh kerana kurang makanan yang anda makanan, tubuh badan anda mempunyai tenaga yang cukup untuk menghadamkan makanan dan cukup untuk membuang sisa-sisa makanan yang selama ini terkumpul.
Inilah sebabnya mengapa selalunya pada hari pertama hingga ke tiga Ramdhan anda rasa agak lemah dan tidak bermaya. Ini bukan sahaja kerana anda kurang makan, tetapi kerana tubuh anda sudah mula mengeluarkan sisa-sisa toksik (beracun) daripada tubuh anda. Hasilnya, anda jadi lebih gagah dan bertenaga selepas beberapa hari berpuasa.
Apabila sistem perncernaan anda berfungsi dengan baik, tubuh anda akan jadi lebih sihat. Apabila tubuh jadi lebih sihat, otak dan minda anda juga jadi lebih sihat dan cergas. Bukankah ini satu kelebihan yang anda perolehi di dalam bulan Ramadhan?
Selamat berpuasa dan selamat menyihatkan tubuh badan.