Thu 4 Oct 2007
Ada satu pepatah Arab yang bermaksud, “akal yang sihat berada di dalam tubuh yang sihat”.( Ini adalah pepatah Arab pertama saya belajar semasa belajar bahasa Arab di tingkatan 1 dulu
) Sebagai seorang pelajar, pekerja mahupun seorang usahawan, akal adalah satu kelebihan yang anda ada dan tidak mungkin boleh diganti.
Dalam program saya selalu saya tanya pelajar apakah alat utama yang mereka bawa ke sekolah untuk belajar. Mereka akan jawab buku dan alat tulis. Namun saya kata alat utama yang paling penting ialah akal fikiran mereka. Akal merupakan satu alat untuk anda mempelajari sesuatu dengan mudah. Seperti yang disebut dalam pepatah arab tadi pula, akal yang baik dan sihat datangnya daripada tubuh badan yang sihat.
Pernahkah anda demam atau tidak sihat semasa belajar atau bekerja? Apakah yang anda rasa? Bolehkah anda belajar atau bekerja dengan berkesan? Tentu tidak bukan? Seperti saya sendiri, jika saya tidak sihat, hendak berfikir tentang perkara-perkara mudah pun saya tidak mampu. Bagaimanakah cara anda menjaga kesihatan diri anda? Tentu anda akan jawab dengan makan makanan yang berkhasiat dan membuat senaman beberapa seminggu. Ya, itu adalah antara cara yang sangat berkesan untuk menjaga kesihatan. Namun, tahukah anda bahawa puasa di bulan Ramdhan adalah satu cara yang sangat baik untuk menjaga kesihatan?
Begini. Setiap hari apabila kita makan, tubuh kita bekerja keras untuk memproses makanan itu untuk dihadamkan dan ditukarkan kepada tenaga yang kita perlukan. Anda perlu tahu bahawa tidak semua yang kita makan akan menjadi tenaga. Seperti semasa kita melihat ibu kita memerah santan, setelah santan habis diperah, yang tinggal ialah hampas kelapa. Sama seperti makanan yang kita makan, setelah zatnya habis diserap, hampasnya akan dihantar ke usus besar untuk disingkirkan daripada tubuh badan kita. Apa akan jadi jika hampas makanan kita tidak dibuang dengan sempurna? Bayangkan rumah anda. Bayangkan satu hari ada dua plastik sampah di dapur rumah anda. Apa akan jadi jika anda tidak membuang sampah itu selama seminggu? Tentu dapur anda akan jadi busuk bukan? Malah, seluruh rumah anda juga akan berbau nanti. Akibatnya, anda sekeluarga akan jatuh sakit. Sama seperti hampas makanan tadi, jika ia tidak dibuang dengan betul, ia akan memenuhi usus besar anda. Hampas-hampas ini adalah beracun untuk tubuh anda dan ia perlu dibuang. Masalahnya ialah, disebabkan cara pemprosesan makanan di zaman kita ini, tubuh badan kita menghadapi kesukaran untuk memproses makanan yang kita makan dan sukar untuk menghapuskannya.
Menurut Harvey & Marilyn Diamond dalam buku mereka Fit For Life I & II, kebanyakan orang di zaman kini menghadapi masalah pencernaan disebabkan makanan yang terlalu banyak diproses hingga menghilangkan semua zat yang ada dalam makanan tersebut. Akibatnya, banyak kejadian perut meragam, pedih ulu hati, sembelit dan masalah alahan kulit. Adakah anda juga mengalami masalah sebegini? Bagaimanakah puasa di bulan Ramadhan boleh menyelesaikan masalah ini? Kita akan sambung perbincangan ini esok.