Satu sifat yang biasa dilihat pada orang-orang yang berjaya ialah mereka pandai dan cekap mengambil peluang yang ada. Jika mereka lihat ada peluang yang melintas di depan mereka, dan jika mereka percaya bahawa peluang itu boleh membantu mencapai matlamat mereka, mereka pasti tidak lepaskan.

Mengambil peluang merupakan satu sifat yang jarang dilihat pada orang-orang yang kurang berjaya. Orang-orang yang kurang berjaya selalunya hanya melihat peluang yang melintas di depan mereka tanpa berbuat apa-apa. Ini mungkin disebabkan mereka tidak dapat buat keputusan, takut gagal atau rasa peluang itu akan datang lagi.

Sebagai pelajar contohnya, banyak peluang yang akan melintas di depan anda. Ada peluang untuk jadi pelajar cemerlang, ada peluang untuk tingkatkan kemahiran soft skills, ada peluang untuk belajar berfikir dan sebagainya. Namun, apa yang pelajar lakukan dengan peluang ini semua?

Satu sebab mengapa ramai yang tidak mahu mengambil peluang yang ada ialah kerana mereka tidak mahu berusaha dan mereka tidak mahu rasa susah. Peluang yang lalu di depan mata tidak seperti makanan, sedap dimakan apabila diambil. Peluang yang lalu di depan mata umpama sebakul tanah yang mengandungi butir-butir emas. Tanah itu perlu diayak /proses sebelum butir-butir emas itu menjelma. Sama seperti peluang yang lalu di depan mata anda, ia perlu diusahakan dengan sepenuh hati sebelum ia mendatangkan hasil yang diharapkan. 

Satu cara untuk anda melatih diri anda supaya sanggup mengambil peluang yang ada ialah dengan mula menghargai peluang yang ada. Anda perlu ingat, peluang tidak selalu datang. Sebab itulah Rasulullah S.A.W. berpesan agar kita merebut lima perkara sebelum lima perkara; masa kaya sebelum miskin, masa sihat sebelum sakit, masa muda sebelum tua, masa lapang sebelum sibuk dan masa hidup sebelum mati.

Jika anda dapat melatih diri anda supaya boleh gagahkan diri untuk mengambil peluang yang ada, anda pasti akan lebih berjaya suatu hari nanti. Soalan saya kepada anda, bagaimana Ramadhan boleh mendidik anda supaya menghargai sesuatu yang anda ada? Bagaimana Ramadhan melatih anda melihat kepentingan dan nilai yang tinggi pada sesuatu yang ada disekeliling anda? Kita sambung perbincangan ini esok. :)