Thu 12 Jul 2007
Setelah beberapa hari berlalu, hati saya sebenarnya masih runsing disebabkan pengalaman pahit daripada pengalaman pertama saya mengajar home tuition. Adakalanya saya rasa menyesal kerana buat keputusan untuk bersara terus daripada mengajar home tuition. Ini adalah kerana, home tuition mungkin boleh jadi sumber pendapatan yang sangat besar buat saya. Apakah yang telah saya pelajari melalui pengalaman ini rasanya?
- Pertama, jika saya mahu buat sesuatu untuk pelanggan saya, saya perlu selidik apa yang pelanggan saya mahu, bukan apa yang saya rasa pelanggan saya mahu. Sebagai contoh saya ini, saya rasa saya sudah berikan apa yang terbaik untuk pelanggan saya tetapi oleh kerana bukan itu yang dia mahu, usaha saya itu tidak bermakna. Ini bukan salah pelanggan, tetapi salah saya yang tidak menyelidik dahulu.
- Kedua, melalui pengalaman ini, saya sentiasa bertanya kepada pelanggan saya apa yang mereka mahukan. Sebagai contoh, ketika saya diberi peluang membuat program untuk pegawai di jabatan tanah beberapa bulan dulu, saya mengambil peluang bertemu dengan ketua jabatan dahulu untuk mengetahui apa yang beliau ingin saya sampaikan kepada para pegawai beliau. Hasilnya, saya dapat menyampaikan maklumat yang diperlukan dengan baik.
Namun, satu perkara yang paling besar saya pelajari ketika itu ialah, semasa saya sedang susah hati mengenangkan keputusan saya untuk tidak menceburi bidang home tuition itu, tunang saya ketika itu ada berkata kepada saya bahawa mungkin bukan itu sumber rezeki saya nanti. Mana tau ada sesuatu yang lebih besar menanti. Hmmm… inilah idea yang menenangkan saya ketika itu.
Tambahan pula, saya ketika itu ada membeli satu buku bertajuk “Dugaan hidup” hasil tulisan Wan Aznan Hj. Wan Abdullah. Ada sepotong ayat Al–quran di dalam buku itu yang membuat saya semakin tenang dan bersemangat untuk menempuh cabaran dalan usaha mencapai kejayaan dalam hidup saya. Ayat itu berbunyi:
“…Dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu, sedang ia lebih baik bagimu; dan boleh jadi kamu kasihi sesuatu, sedang ia melarat kepadamu. Dan Allah mengetahui, tetapi kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: Ayat 216)
Saya percaya, jika anda gagal mendapat apa yang anda idam-idamkan, jangan terlalu bersedih. teruskan usaha anda kerana anda tidak tahu bahawa sesuatu yang lebih hebat telah disediakan untuk anda……..