Sat 30 Sep 2006
Mengenai pembersihan rohani, di dalam bulan Ramadhan terutamanya, kita digalakkan membaca Al-Quran hingga jika boleh, khatam satu Al-Quran. Malah saya tahu banyak pelajar yang boleh mengkhatamkan Al-Quran hingga 2 kali dalam bulan Ramadhan. Alhamdulillah.
Di dalam program-program yang saya jalankan bersama pelajar atau orang dewasa, saya selalu tekankan penggunaan Al-Quran dalam membersihkan dan menenangkan hati kita. Untuk pelajar, selalunya, apabila menjelang peperiksaan, tahap tekanan perasaan mereka sangat tinggi hingga ada yang tidak boleh mengawal perasaan mereka lagi. Apa yang saya selalu kongsikan bersama pelajar ialah, ada satu keajaiban dalam membaca Al-Quran. Walaupun anda mungkin tidak faham apa yang anda baca, anda akan tetap dapat merasakan ketenangan melalui bacaan anda. Anda akan rasa tenang hingga pernafasan anda menjadi lebih mudah, kepala anda terasa lebih ringan dan jantung anda anda akan berdegup dengan perlahan dan tenang. Hebat bukan?
Ini anda boleh nikmati terutamanya jika anda boleh membaca Al-Quran dengan lancar. Sebab itulah amat penting untuk anda dapat membaca Al-Quran dengan lancar. Jika anda masih belum boleh membaca dengan lancar, bulan Ramadhan ini adalah masa yang sesuai untuk anda pelajari dan berlatih supaya dapat membaca dengan lancar. Bukan sahaja anda akan diberi ganjaran kerana mempelajari Al-Quran, malah ganjaran anda akan digandakan kerana ini adalah bulan yang mulia.
Selamat menjalankan ibadah puasa dan selamat Bertadarus Al-Quran.