Teknik Belajar


basikalPetua yang kelima untuk mudah ingat apa yang anda pelajari ialah anda perlu mempraktikkan apa yang anda pelajari dengan serta merta. Contohnya, jika anda baru sahaja belajar satu topik baru dalam subjek matematik, anda perlu segera cuba menyelesaikan masalah atau latihan matematik dalam subjek tersebut. Mengapa?

Kebanyakan pelajar suka menunggu masa yang sesuai untuk mencuba perkara yang baru dipelajari. Jika satu topik baru diajar pada hari Isnin dan kerja rumah diberikan, pelajar akan berlengah-lengah dalam melaksanakan kerja tersebut. Seperti yang pernah saya terangkan sebelum ini, jika pelajar bertangguh hingga melepasi tempoh 48 jam, mereka akan lupa lebih daripada 90% apa yang mereka pelajari itu.

Setelah anda pelajari topik baru, anda perlu segera mencuba dan buat latihan berkenaan. Ini adalah kerana, dalam masa yang singkat sahaja anda akan lupa apa yang guru anda telah ajarkan. Apabila anda lupa, anda tidak akan faham nota yang telah anda tulis sendiri. Apa akan jadi ialah anda perlu belajar semula topik itu dari awal hingga akhir.

basikalKatakan anda sedang belajar subjek selain subjek matematik. Katakan anda sedang belajar subjek sejarah. Apabila guru anda menerangkan tentang kisah penjajahan Jepun contohnya, anda boleh bayangkan seolah-olah anda sendiri berada pada zaman itu. Apabila anda bayangkan begitu, anda akan rasa lebih jelas mengenai kisah sejarah itu. ia seolah-olah anda boleh lihat semua kejadian semasa zaman itu di dalam minda anda. Ini akan membuat anda lebih ingat akan topik ini.

Satu kelebihan utama jika anda praktikkan apa yang anda pelajari secepat mungkin ialah anda akan cepat dapat menguasainya. Untuk menguasai sesuatu topik atau subjek, ’susah’ hanyalah pada peringkat permulaan. Apabila anda sudah melepasi tahap susah itu, semuanya akan jadi lebih mudah dan selesa. Sama seperti anda belajar menunggang basikal. Pada mulanya anda perlu ingat bagaimana cara hendak mengayuh dengan betul. Tetapi setelah anda menguasainya, anda boleh lakukannya tanpa berfikir. Malah, walaupun anda tidak menunggang basikal bertahun-tahun lamanya, kemahiran menunggang basikal pasti masih ada pada anda.

Selamat mencuba. :)

tidurPetua keempat untuk mudah ingat sesuatu yang dipelajari ialah dengan menjaga masa tidur anda. Untuk pengetahuan anda, minda anda lebih mudah ingat sesuatu jika ia berada dalam keadaan cergas dan segar. Sebab itulah anda selalu dengar petua untuk menghafal sesuatu di waktu pagi. Di waktu pagi selalunya minda anda lebih segar kerana baru sahaja berehat sepanjang malam. Namun, masalahnya ialah jika anda tidak menjaga masa tidur anda, minda anda akan sentiasa keletihan dan tidak mampu mengingati sesuatu dengan mudah.

Saya mahu tanya anda, pukul berapa anda tidur pada waktu malam? 10? 12? 2 pagi? kebanyakan pelajar mengatakan mereka tidur antara pukul 10 hingga 12 malam. Ada juga yang tidur lebih lewat daripada itu. Mengapa? Belajar adalah alasan mereka.

tidurAnda perlu tahu, minda anda adalah alat utama untuk anda mencapai kejayaan dalam bidang akademik. Jika seorang pelumba motosikal memerlukan motosikal sebagai alat utama dan pelumba kereta memerlukan kereta sebagai alat utama, anda perlukan minda anda. Jika minda anda lemah, sama seperti motor atau kereta yang tidak berkuasa, pasti tidak boleh memenangi pertandingan.

Jadi anda perlu dapatkan tidur yang mencukupi. Menurut satu kajian yang saya baca, masa paling bagus untuk tidur supaya mendapat kesan rehat yang baik ialah sebelum pukul 12 tengah malam. Jika anda tidur dalam pukul 10 atau 11 malam, tubuh anda akan rasa lebih segar di waktu pagi kerana waktu itu sangat sesuai untuk tubuh manusia berehat dan tidur. Katakan anda tidur pada pukul 1 atau 2 pagi, tubuh dan minda anda akan rasa penat walaupun anda bangun lewat keesokan harinya.

Mulai hari ini, jika anda biasa tidur lewat untuk mengulangkaji, dapatkan satu atau dua hari dalam seminggu untuk tidur awal (antara pukul 10 hingga 11). Ini akan memberi tubuh badan dan minda anda masa yang cukup untuk berehat sepenuhnya. Ingat, tubuh dan minda yang segar akan membuat anda jadi lebih aktif dan mampu mengingati apa yang anda pelajari dengan lebih mudah.

Satu cara mudah untuk tidur awal pula ialah dengan melakukan aktiviti riadhah / sukan yang berat sedikit pada waktu petang. Apabila tubuh anda letih akibat riadhah yang menyihatkan, anda akan lebih mudah tidur. Dalam masa yang sama, kurangkan tidur pada waktu siang. :)

Selamat mencuba.

ulangPetua ketiga untuk mudah mengingati sesuatu ialah anda perlu ulang dan latih semula apa yang anda ingin ingat. Kajian mengatakan bahawa selepas 48 jam, anda akan lupa lebih daripada 90% apa yang telah anda pelajari. Perkara ini boleh dielakkan jika anda mengulang semula apa yang telah anda pelajari atau apa yang ingin anda ingat.

Tentu anda pernah dengar pepatah Inggeris yang mengatakan ‘Repetition is the mother of all skills” (Pengulangan adalah ibu kepada segala kemahiran). Jika anda mahu pandai menaiki basikal, anda mesti menunggang basikal berulang-ulang kali hingga anda benar-benar pandai dan cekap.

Katakan anda baru mengenali seseorang dan dia memperkenalkan diri dan namanya. Tentu anda ada pengalaman sebaik sahaja seseorang memberitahu nama mereka, anda lupa apa nama itu. Akhirnya anda dengan rasa malu terpaksa bertanya sekali lagi. Untuk mengelakkan perkara begini, setelah seseorang itu memperkenalkan namanya, anda perlu sebut nama itu kembali dan gunakannya dalam perbualan anda. Contohnya, “Nama saya Ahmad.” “Oh..Ahmad…..Ahmad dari mana….” Ahmad ke sini ada urusan apa?”

ulangApabila anda mengulang nama itu beberapa kali dalam perbualan anda, anda jadi lebih mudah ingat nama itu.

Di dalam pelajaran pula, satu teknik terbaik untuk ingat apa yang guru anda ajarkan ialah pada waktu malam sebelum anda tidur, anda buka semula buku dan nota yang anda tulis dalam kelas bersama guru anda siang tadi. Baca semual buku dan nota itu sepintas lalu. Cuba ingat semula apa maksud tulisan anda itu. Lebih baik lagi, cuba ingat bagaimana cara gru anda menerangkan tentang nota itu siang tadi. Ia seolah-olah anda cuba memainkan semula video di dalam minda anda mengenai apa yang anda pelajari siang tadi.

Hasilnya, anda akan ingat lebih lama apa yang anda pelajari. Jika anda cuba menghafal sifir juga, anda mungkin rasa susah hendak hafal jika anda baru mencuba 5 ke 10 kali sahaja. Apa kata anda cuba hingga 100 kali. Tentu ia jadi lebih mudah.

Selamat mencuba. :)

gambarSebelum anda pelajari petua kedua, tahukah anda bahawa bahasa memori anda ialah ‘gambar‘? INi bermaksud, anda berfikir dan mengingat dengan cara bergambar. Jika sesoerang menyebut perkataan ‘asap’, anda akan terbayangkan gambar asap yang berkepul-kepul, bukan tulisan ‘a.s.a.p’. Dengan mengetahui bahasa memori ini, anda boleh mengingati sesuatu dengan lebih mudah.

Petua kedua berbunyi, ‘tukarkan maklumat yang ingin anda ingat kepada gambar’. Sebagai contoh, jika seseorang memberi tunjuk arah kepada anda untuk pergi ke sesuatu tempat, anda akan lebih mudah ingat jika anda menukarkan maklumat itu kepada gambar. Contohnya, jika orang itu berkata, jalan terus melalui jalan ini (bayangkan gambar jalan raya yang lurus), kemudian belok kiri pada lampu isyarat pertama (bayangkan anda dapat lihat satu lampu isyarat dan mula membelok ke kiri), jalan terus lagi hingga anda jumpa pasaraya X (bayangkan anda bergerak terus hingga bertemu pasaraya x. Bayangkan rupa pasaraya X itu!) dan……seterusnya…..

gambarDengan menukarkan maklumat kepada gambar, anda lebih mudah ingat berbanding dengan hanya mendengarnya sahaja. Di dalam kelas atau dewan kuliah pula, anda perlu buat diri anda sibuk dengan menukarkan maklumat daripada gur dan pensyarah kepada gambar. Ada satu sebab utama mengapa anda perlu lakukan ini. untuk pengetahuan anda,

  • kelajuan menusia bercakap adalah antara 150 - 200 patah perkataan seminit
  • kelajuan manusia berfikir adalah antara 300 - 500 patah perkataan seminit.

Ini bermaksud, semasa guru atau pensyarah anda bercakap, minda anda ada banyak masa untuk leka dan hanyut memikirkan perkara lain. Dengan menukarkan apa yang guru/pensyarah anda katakan kepada gambar, anda akan lebih fokus dan tumpuan anda tidak akan terpesong ke tempat lain. Ini pastu akan membuat anda lebih mudah ingat.

Selamat mencuba.

fokusPetua yang pertama ialah ‘tumpukan sepenuh perhatian’ kepada apa yang anda mahu anda ingat. Begini, dalam kehidupan seharian kita, terlalu banyak benda dan perkara yang berlaku disekeliling kita. Jika anda berada di dalam kelas, ada bunyi kipas, bunyi kawan-kawan sedang bercakap, bau makanan yang datang dari kantin, suara cikgu sedang mengajar, bunyi tapak kaki pelajar di luar kelas, pokok-pokok yang bergoyang di luar kelas dan sebagainya.

Walaupun banyak perkara yang berlaku, minda anda hanya boleh fokuskan kepada satu perkara sahaja pada satu masa. Jika anda fokuskan kepada pokok-pokok yang sedang bergoyang, anda tidak akan sedar tentang perkara lain. Masalahnya, jika anda fokuskan kepada pokok-pokok yang bergoyang semasa guru anda mengajar, anda akan ingat tentang pokok bergoyang juga semasa peperiksaan nanti. :)

fokusIni sama seperti kejadian hilang kunci di rumah. Pernahkah anda terlupa di mana anda letakkan kunci rumah hingga puas anda cari seluruh rumah? Mengapa anda lupa di mana anda letak kunci tersebut? Menurut kajian, sebab utamanya ialah anda tidak menumpukan perhatian kepada kunci itu semasa anda meletakkannya di sesuatu tempat. Maksudnya, semasa anda tidak sengaja meletakkan kunci tersebut di dalam peti ais, fikiran anda sedang sibuk fokus kepada perkara lain seperti rancangan di televisyen atau masakan tengahari.

Jadi jika anda mahu ingat apa yang guru anda ajarkan, semasa guru mengajar:

  • Abaikan perkara lain yang berlaku disekeliling anda. Beri tumpuan sepenuhnya kepada apa yang guru anda sedang katakan dan cuba fahami maksudnya.
  • Tukarkan kata-kata guru anda kepada gambar di dalam minda anda. Katakan guru anda sedang bercerita tentang kesan asap kilang kepada pencemaran udara, bayangkan anda sedang melihat asap tersebut dan anda dapat lihat bagaimana udara menjadi kotor disebabkan asap tersebut.
  • Kadang-kadang gangguan boleh datang daripada kawan anda sendiri. Ada pelajar yang suka bercakap dan bertanya kepada anda semasa guru sedang mengajar. Ini sangat mengganggu. Walaupun kawan anda mahu tanya tentang pelajaran, dia tidak sepatutnya tanya anda sewaktu guru sedang mengajar. Jika mereka mahu tanya, mereka patut tanya guru. Jika anda ada kawan yang selalu mengganggu konsentrasi anda, anda patut berterus terang dan bercakap kepadanya dengan baik. Jika dia tidak berubah, anda patut fikir jika anda perlu ubah tempat demi memajukan pelajaran anda.
  • Jika anda ada apa-apa yang tidak faham, tanya guru anda bukan kawan di sebelah anda. Jika anda tanya kawan disebelah, guru akan sangka anda sedang berbual dan tidak menumpukan perhatian. Tambahan lagi, kawan anda mungkin tidak tahu bagaimana hendak menjawab soalan anda.

Anda perlu tahu, anda tidak ingat sesuatu dengan tidak sengaja. Anda tidak boleh ingat fakta sejarah dengan tidak sengaja. Anda perlu fokuskan sepenuh tumpuan anda kepada apa yang anda pelajari. Proses mengingat akan jadi jauh lebih mudah jika anda fokus. Teknik ini boleh anda gunakan semasa belajar apa sahaja.

Selamat mencuba. :)

fikirBeberapa minggu lalu saya ada terfikir untuk menulis beberapa tips dan petua berkenaan teknik ingat apa yang sudah dipelajari. Namun, saya sudah tuliskan isi-isinya dalam kemahiran menghafal. Di dalam petua yang saya ingin kongsikan beberapa hari ini agak berbeza kerana ini adalah cara praktikal yang anda boleh gunakan untuk mengingati sesuatu dengan lebih mudah.

Petua ini tidak semestinya anda gunakan semasa belajar, tetapi dalam mana-mana keadaan yang memerlukan anda untuk mengingat sesuatu. Contohnya, jika seseorang menerangkan cara untuk pergi ke suatu tempat, anda akan lebih mudah ingat penerangan itu jika anda gunakan petua-petua ini. Jadi, kita akan mulakan dengan petua yang pertama minggu depan.

Selamat membaca. :)

serembanAhad lalu saya berpeluang mengendalikan sesi bersama pelajar di kampung Taman Cengal Utama, Negeri Sembilan. Kem Insan Cemerlang ini dijalankan anjuran pihak Rukun tetangga dan juga jawatankuasa surau Al-Muttaqin kampung ini. Sebenarnya, saya agak terharu melihat kesungguhan pihak rukun tetangga dan pihak surau ini untuk mengendalikan program yang sangat baik ini.

Ini kerana di dalam era kesibukan hidup masa kini, masih ada yang prihatin dan sanggup luangkan masa dan tenaga untuk membantu generasi muda mencapai kejayaan dari segi akademik dan juga sahsiah diri.

serembanProgram ini dihadiri oleh pelajar dari umur 11 tahun hingga 15 tahun. Namun ada juga pelajar berumur dibawah 10 tahun yang turut menyertainya sekadar untuk pendedahan kepada program berbentuk motivasi dan kemahiran belajar ini.

Sepanjang sehari ini, saya berkongsi beberapa tips dan teknik kecemerlangan diri terutamanya kecemerlangan dalam bidang akademik. Saya merasa sungguh seronok melihat kesungguhan pelajar menumpukan perhatian kepada apa yang saya kongsikan meskipun mereka agak letih daripada aktiviti treasure hunt dan Qiamulail.

serembanSekali lagi, saya ucapkan tahniah kepada semua ahli jawatankuasa yang terlibat dalam menjayakan program ini. Ucapan tahniah dan terima kasih khas untuk Tuan Haji Azhar yang sudi menjemput saya bagi menjayakan program yang hebat ini.

Semalam saya ada terangkan beberapa langkah untuk menguruskan masa dengan berkesan. Hari ini, saya akan terangkan bagaimana anda boleh menggunakan kefahaman tentang fisiologi untuk menguruskan masa dengan baik. 

Fisiologi secara ringkasnya adalah kajian mengenai tubuh badan manusia dan bagaimana ia boleh mempengaruhi apa yang kita fikirkan. Contohnya, cuba anda jawab soalan ini: 

“Kita tersenyum kerana kita gembira, atau kita gembira kerana kita sedang senyum? 

Saya percaya ramai anda akan jawab kita senyum kerana kita gembira bukan? Namun dalam kajian fisiologi, satu perkara anda boleh faham, kita boleh rasa gembira apabila kita mula senyum. Maksudnya begini, cuba anda senyum selebar mungkin. Senyum sampai senyuman anda itu boleh mencecah telinga. Apabila anda senyum begini, apa yang anda rasakan? Tentu ada rasa sedikit gembira bukan? 

Cuba anda tundukkan kepala dan buat muka seperti orang sedang bersedih. Apa yang anda rasakan? Tentu rasa seperti orang yang sedang benar-benar bersedih bukan? 

Apa yang dapat anda faham di sini ialah, pergerakan tubuh badan kita boleh mempengaruhi apa yang kita rasakan. Jika anda tidak percaya lagi, cuba anda berjalan seperti orang yang sangat malas. Jalan dengan kaki yang berat dan muka yang lemah seperti orang yang betul-betul sedang malas. Semasa berjalan dengan malas begitu, cuba pergi ambil buku dan baca buku itu. Baca buku itu pun dengan rupa orang malas. Apa yang anda rasakan? Ya, saya percaya anda akan rasa seperti orang malas. 

Sekarang, mari kita tukar. Cuba senyum, tegakkan tubuh anda dan mula berjalan seperti seorang pelajar yang rajin dan bijak. Jalan dengan bersemangat dan wajah yang ceria. Ambil buku tadi dan cuba baca. Baca buku itu seperti seorang yang sedang bersemangat, rajin dan bijak. Apa yang adik rasa? Ya, sama seperti cubaan pertama tadi, kini anda pasti merasa rajin dan bersemangat. 

Apa yang saya mahu anda faham ialah, jika anda rasa malas dan mengantuk semasa belajar, ada kemungkinan ia kerana anda suka duduk dan belajar seperti orang yang malas. Anda mungkin suka membuat muka seperti orang mengantuk dan malas tanpa anda sedari. 

Apa yang perlu dilakukan? Mulai hari ini, saya mahu anda perhatikan cara anda melakukan sesuatu. Perhatikan cara anda belajar di dalam kelas. Adakah anda belajar dalam kedudukan orang yang malas atau rajin, bijak atau tidak? Jika anda sedar bahawa anda tidak duduk, berjalan dan membaca dengan cara yang betul, mula ubahnya dari sekarang. 

Satu perkara lagi yang anda boleh lakukan, mula lihat dan perhatikan pelajar-pelajar yang rajin dan pandai di kelas atau di sekolah anda. Perhatikan gerak geri mereka semasa belajar. Adakah mereka kelihatan seronok dan bersemangat ketika belajar? Saya percaya mereka memang seronok dan bersemangat ketika belajar. Jadi, tiru apa yang mereka lakukan. Tiru gaya pergerakan mereka dan anda juga akan merasa bijak dan bersemangat seperti mereka. 

Perkara ini perlu dilatih sebenarnya. Jika adik lakukan perkara ini, pada mulanya anda mungkin rasa sedikit janggal kerana anda tidak biasa melakukannya. Tetapi setelah anda biasa melakukannya, anda akan rasa selesa dan boleh belajar dengan rasa bijak dan rajin. Ia sama seperti belajar menunggang basikal. Pada mulanya, anda perlu mengayuh dengan berhati-hati dan perlahan-lahan. Tetapi setelah cekap, anda boleh mengayuhnya tanpa berfikir mengenainya langsung. 

Selamat mencuba. :)

Semalam saya ada terangkan tentang pengurusan masa dan bagaimana anda boleh menguruskan masa dengan lebih baik jika anda boleh mencari masa yang terluang. Berjayakah anda mencari masa anda yang terluang untuk belajar dengan lebih tekun? Hari ini, saya ingin ceritakan tentang langkah ketiga dalam menguruskan masa dengan berkesan. 

Langkah ketiga – kurangkan gangguan 

Gangguan merupakan sesuatu yang boleh menggangu dan mengalihkan tumpuan anda kepada apa yang sedang anda lakukan. Contohnya, ketika anda sedang bersemangat untuk belajar di rumah, tiba-tiba ada seseorang (adik-beradik atau ibu bapa) memasang televisyen dengan sangat kuat. Bunyi daripada televisyen itu mungkin mengganggu tumpuan anda terhadap apa yang anda lakukan hingga tidak boleh fokus kepada pelajaran dengan sepenuhnya. Ini mungkin membuat anda hilang semangat untuk meneruskan pembelajaran. Lebih buruk lagi, anda terus menyertai aktiviti menonton televisyen tadi. Bukankah ini sangat merugikan? 

Saya tidak nafikan bahawa gangguan yang berlaku amat sukar untuk dielakkan. Secara umumnya, ada dua jenis gangguan yang boleh mengganggu konsentrasi dan fokus anda kepada pelajaran. Gangguan-gangguan itu ialah gangguan luaran dan dalaman. Hari ini saya ceritakan tentang gangguan-gangguan luaran. Gangguan luaran merupakan gangguan yang datang daripada luar diri anda sendiri. Bunyi televisyen dan radio yang kuat, aktiviti adik-beradik yang lain dan tugasan harian di rumah boleh jadi beberapa faktor yang menyebabkan gangguan luaran ini.

Jika anda ada adik-beradik yang masih kecil di rumah, mungkin mereka kadang-kadang menggangu ketika anda sedang belajar. Gangguan luaran juga boleh disebabkan oleh faktor cuaca seperti suhu yang terlalu panas di tempat anda sedang belajar. Selalunya, suhu yang terlalu panas boleh menggangu konsentrasi anda semasa belajar. 

Langkah mengurangkan gangguan luaran  Ada beberapa perkara yang anda boleh lakukan untuk mengurangkan gangguan-gangguan ini. Pertama, jika gangguan itu datang daripada adik-beradik di rumah, anda perlu mendapatkan kerjasama daripada ibu bapa di rumah. Anda perlu bercakap dengan ibu bapa dan beritahu mereka bahawa anda perlu sedikit masa untuk fokus kepada pelajaran adik-adik.

Mungkin ibu bapa anda boleh menghalang adik-beradik lain daripada mengganggu proses pembelajaran anda. Ini tidak bermaksud anda terlepas daripada tanggungjawab untuk menjaga adik-beradik yang lain terutamanya jika ada adik-beradik yang masih kecil. Mereka perlu juga dijaga supaya dapat mengurangkan beban ibu bapa di rumah. Apa yang saya nasihatkan ialah, dapatkan sedikit masa untuk diri anda sendiri supaya dapat fokus sepenuhnya kepada usaha-usaha belajar dan mengulangkaji. 

Kedua, anda perlu berusaha mencari tempat yang sesuai untuk anda belajar. Mungkin kawan anda ada tempat belajar yang sesuai. Cari tempat yang yang tidak bising dan tempat di mana anda tidak akan diganggu. Ia tidak semestinya tempat yang tersorok atau sunyi. Cukup jika suasana tempat itu tenang dan bersih. Di sini, anda boleh belajar secara berkumpulan. Cuma anda perlu ingat, apabila sudah bersama kawan-kawan, jangan sampai lalai dan leka berborak hingga lupa tujuan utama untuk belajar. Ketiga, jika tidak ada tempat yang sesuai di rumah atau di rumah kawan, saya cadangkan anda luangkan banyak masa di sekolah atau di perpustakaan.

Saya percaya perpustakaan adalah antara tempat yang paling sempurna untuk anda belajar. Ini kerana perpustakaan menyediakan tempat yang selesa untuk anda duduk belajar, suasananya tidak bising dan anda mudah pula untuk mendapatkan buku rujukan. Jadi, luangkan masa anda untuk belajar di perpustakaan. 

Setelah anda kurangkan gangguan luaran ini, anda akan dapat menggunakan masa anda dengan lebih berkesan. Mungkin dengan duduk belajar selama 40 minit sahaja, hasilnya sama dengan masa 2 jam belajar dalam keadaan penuh gangguan luaran. Saya ucapkan selamat berjaya.   

 

Semalam saya ada terangkan tentang program pengurusan masa yang saya jalankan di Universiti Islam Antarabangsa. Saya ada terangkan bahawa 

satu masalah yang ketara dalam menguruskan masa ialah apabila tiba waktu belajar, anda tidak terasa hendak belajar langsung. Dalam kata lain, anda tidak ada ‘mood’ untuk belajar. Perkara ini akan membuat anda sukar untuk menyiapkan sebarang kerja. 

 

Saya juga telah terangkan langkah pertama dalam menguruskan masa berdasaran matlamat anda. Saya ada suruh anda cari subjek yang anda rasa paling lemah dan luangkan lebih banyak masa pada subjek tersebut. Hari ini saya akan terangkan tentang langkah kedua pula. 

 

Langkah kedua – Cari masa yang terluang 

 

Kebanyakan pelajar yang tidak dapat menguruskan masa mereka mengadu bahawa mereka terlalu sibuk hingga tidak mempunyai masa langsung untuk belajar dengan tenang. Kata mereka, dari pagi hingga tengahari, mereka sibuk di sekolah. Selepas waktu sekolah, mereka sibuk pula dengan aktiviti-aktiviti kurikulum seperti persatuan, badan beruniform atau aktiviti-aktiviti kelab sekolah. Pada waktu petang pula, mereka terlibat dalam kegiatan sukan atau mereka mereka mahu menenangkan fikiran dengan berjalan-jalan atau bermain dengan kawan-kawan. 

 

Pada waktu malam, pelajar sibuk dengan aktiviti mengaji atau ada yang perlu menghadiri tuisyen. Aktiviti ini selalunya berakhir pada pukul 10 atau 11 malam. Selepas itu, mereka sudah merasa penat dan tidak boleh belajar lagi. Mereka tidak boleh siapkan kerja sekolah atau membaca topik baru yang disuruh guru mereka di sekolah tadi. Akibatnya, mereka selalu dimarahi guru kerana tidak siap kerja sekolah dan pecapaian mereka dalam bidang akademik pula semakin menurun. Adakah anda juga merasa begini? 

 

Benar, apa yang saya terangkan tadi adalah perkara biasa yang boleh kita lihat berlaku setiap hari kepada para pelajar. Di Kuala Lumpur, saya lihat pelajar sekolah rendah juga begitu sibuk sepanjang hari terutamanya pelajar yang perlu menghadiri sekolah agama pada waktu petang. Apakah yang boleh anda lakukan untuk mencari masa yang terluang agar anda dapat membuat kerja sekolah, mengulangkaji dan dan merasa tidak terlalu penat? 

 

Satu perkara yang anda perlu tahu, dalam pengurusan masa, setiap masa yang ada adalah sangat berharga. Untuk mencari masa anda yang terluang, anda perlu kaji sedalam-dalamnya masa yang anda gunakan setiap hari. 

 

Mari kita mulakan dengan masa anda di sekolah. Sebenarnya, walaupun anda ada kelas dari pagi hingga tengahahari atau petang, banyak masa yang terluang di dalamnya. Contohnya, kadangkala cikgu anda terlewa masuk kelas kerana ada mesyuarat atau perjumpaan. Kadangkala ada cikgu yang tidak masuk ke kelas kerana semua guru ada perjumpaan. Ini merupakan masa yang terluang untuk anda. Biasanya apa yang anda lakukan apabila tidak ada guru di dalam kelas begini? Kebiasaannya, saya lihat pelajar akan membuat bising, berlari ke sana ke mari dan bermain-main sesama mereka. Bukankah anda sudah kerugian masa di sini? 

 

Saya biasa melihat sahabat-sahabat saya yang rajin belajar semasa saya bersekolah di Kolej Islam Sultan Alam Shah Klang dulu. Mereka akan buat kerja sekolah mereka apabila guru tidak ada atau semasa mereka menunggu guru masuk ke kelas. Pada waktu rehat pula, selepas mereka makan, mereka akan cuba siapkan kerja sekolah mereka secepat mungkin. 

 

Pernah saya bertanya kepada sahabat-sahabat saya ini kenapa mereka asyik mengejar masa di sekolah untuk menyiapkan kerja sekolah mereka. Padahal, mereka boleh siapkan semasa di asrama nanti. Jawab mereka, jika semua kerja sekolah sudah disiapkan awal, mereka akan ada masa untuk membuat ulangkaji sendiri terutama subjek-subjek yang mereka rasa lemah. Kata mereka lagi, jika kerja sekolah sudah siap, mereka akan rasa lebih tenang semasa mengulangkaji kerana tidak perlu bimbang dimarahi guru nanti. 

 

Jadi, andaperlu melakukan perkara yang sama. Hari ini, cari di mana agaknya anda boleh curi masa untuk melakukan kerja-kerja anda supaya anda banyak ada banyak masa lain untuk mengulangkaji pelajaran anda. 

« Previous PageNext Page »