Teknik Belajar


SmartStudy

Kerapkali saya dan staff mendapat panggilan ibu bapa untuk anak mereka menyertai program motivasi dan teknik belajar seperti yang saya anjurkan pada tahun 2007. Kini, peluang itu muncul lagi.

Tahun ini sekali lagi saya menganjurkan program ‘3 Langkah mencapai kecemerlangan akademik melalui teknik motivasi dan kemahiran belajar’. Program ini akan dijalankan pada cuti sekolah bulan Mac nanti iaitu pada hari Selasa, 11 Mac 2008 (untuk sekolah rendah tahun 4,5&6) dan pada hari Rabu, 12 Mac 2008 (untuk sekolah menengah tingkatan 1 hingga 5).

Kebiasaannya program begini akan mengambil seramai 100 ke 200 pelajar.  Namun program kali ini agak istimewa kerana ia hanya dibuka kepada 50 orang peserta sahaja. Juga, tawaran istimewa diberikan kepada 20 peserta pertama.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web ini. Klik disini.

Pernahkah anda terfikir, mengapa, di bulan ramadhan, semua makanan yang selama ini nampak tidak menarik, tidak sedap, membosankan dan tidak menyelerakan kelihatan sebaliknya? Maksud saya, di bulan ramadhan, air mineral dan roti kosong pun nampak sangat menyelerakan. Bahkan, goreng pisang dan keropok goreng yang dijual di tepi jalan yang selama ini kita tak pandang pun kelihatan sangat menyelerakan. (yang kelakarnya, kadang-kadang sayur pun kelihatan amat menyelerakan :) ? )

puasa

Saya percaya anda pasti jawab sebabnya ialah dalam bulan ramadhan kita sedang lapar. Sebab itulah semua makanan nampak menyelerakan. Betul!! Saya setuju dengan anda. Tetapi apa yang boleh kita pelajari daripada perkara ini?

Banyak perkara yang boleh anda pelajari sebenarnya. Satu perkara yang boleh anda pelajari sekarang ialah anda perlu menggunakan segala?peluang yang ada sebelum anda terlepas akan peluang itu. Manusia selalunya menghargai sesuatu apabila mereka telah kehilangan sesuatu itu. Dalam tajuk ini, saya minta anda hargai peluang yang anda ada sebagai seorang pelajar.

Sekarang anda masih ada peluang untuk belajar bersungguh-sungguh dan meningkatkan kecemerlangan anda. Selepas peluang ini hilang dan sekiranya anda gagal mencapai apa yang anda inginkan dalam pelajaran, anda akan melihat kepada peluang-peluang itu seperti anda melihat makanan di waktu siang, terliur, tetapi anda tidak boleh dapatkannya.

Di atas adalah hasil tulisan saya pada Ramadhan tahun lepas. Apa kaitannya dengan anda yang sedang bersedia untuk menghadapi peperiksaan PMR? Peluang yang ada kini tidak akan kembali. Walau apa pun cabaran yang anda rasa, kesukaran yang anda tempuhi semasa membuat persediaan di dalam bulan Ramadhan ini, anda harus cekal. Teruskan usaha anda untuk mencapai cita-cita menjadi pelajar cemerlang di dalam peperiksaan PMR ini.

Selamat Berusaha!! :)

 

Seperti yang saya telah katakan sebelum ini, cabaran menghadapi peperiksaan dalam bulan Ramadhan ialah anda mungkin tidak biasa menjawab soalan peperiksaan dalam keadaan lapar dan dahaga. Bagi pelajar yang biasa mengamalkan puasa sunat, Insyaallah tidak ada masalah untuk menghadapi situasi ini.

Ada beberapa nasihat yang pernah saya pelajari mengenai menjawab soalan peperiksaan di dalam bulan Ramadhan atau menajwab soalan semasa berpuasa. Saya ingin kongsikan nasihat-nasihat yang saya pelajari ini bersama anda.

  • Pertama, anda perlu mula berlatih menjawab soalan pada waktu siang (semasa anda berpuasa) mulai sekarang. Lebih baik lagi, jika anda sudah ada jadual peperiksaan sebenar, cuba buat latihan dan jawab soalan peperiksaan lepas pada waktu ini. Ini akan melatih otak anda untuk menjadi cergas walaupun anda sedang berpuasa.
  • Jika anda merasa letih semasa menjawab soalan semasa berpuasa ini, anda perlu bersabar dan rasa yakin bahawa rasa letih ini hanyalah sementara. Setelah anda cuba beberapa hari, anda akan rasa kurang letih. Malah, jika anda betul-betul berpuasa dengan erti kata yang betul (sederhana semasa makan, fikir dan bercakap perkara-perkara yang baik dan mengaji Al-Quran dan sebagainya), anda akan rasa lebih bertenaga berbanding hari-hari anda tidak berpuasa.
  • Kedua, jawab soalan peperiksaan seperti anda benar-benar berada di dalam dewan peperiksaan. Tetapkan berapa masa yang anda ada untuk menjawab soalan dan jawab soalan tersebut dalam masa yang telah ditetapkan. Dalam masa yang sama, jika ada soalan yang anda tidak pasti jawapannya, jawab juga sebaik mungkin, jangan rujuk kepada buku dahulu. Ini akan menguatkan lagi kebolehan anda untuk berfikir. Setelah masa tamat, periksa jawapan anda dan periksa juga apa jawapan yang anda tidak tahu tadi.

Kita sambung esok. :)

Jika anda merasa bimbang kerana peperiksaan PMR akan dijalankan pada bulan Ramadhan, ada berita baik untuk anda. Minggu ini saya akan kongsikan beberapa tips untuk anda membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan tersebut. Hari ini, kita akan bincangkan mengenai persediaan yang anda perlu buat di saat akhir ini.

Merasa penat, mengantuk dan tidak bermaya dalam bulan Ramadhan adalah perkara biasa buat pelajar. Namun anda tidak perlu risau, keadaan ini selalunya hanya berlaku pada awal puasa iaitu antara hari pertama hingga hari ketiga atau ketujuh bergantung kepada keadaan kesihatan anda. Saya percaya dalam masa 3 hari puasa, anda akan rasa bertenaga semula. Apa yang penting ialah:

  • Jangan terlalu manjakan diri anda. Ini bermaksud, jangan asyik merungut mengatakan anda rasa letih dan tidak larat. Dengan kerap kali merungut begitu, anda akan rasa benar-benar letih dan benar-benar tidak bermaya. Kuatkan semangat anda. Katakan kepada diri anda bahawa rasa letih itu hanya sementara sahaja. bergerak dan berjalan seperti orang yang sudah terlatih untuk berpuasa. Anda akan rasa lebih bertenaga.
  • Ikut Sunnah Rasulullah. Makan sahur dan berbuka pada waktunya. Dalam masa yang sama, elakkan makan terlalu banyak ketika berbuka kerana sistem penghadaman anda akan terkejut dengan kehadiran makanan itu semua dalam satu masa. Ia juga akan membuat anda rasa begitu letih selepas berbuka kerana seluruh tenaga anda perlu ditumpukan kepada sistem penghadaman anda. berbuka dengan ala kadar. Kunyah dengan perlahan kerana jika jika anda menguyah dengan laju, otak anda akan lambat mendapat isyarat yang mengatakan anda sudah kenyang.

Kita sambung lagi esok. :)

Tahun ini, pelajar PMR akan menghadapi peperiksaan utama mereka dalam bulan Ramadhan. Saya percaya, bagi kebanyakan pelajar, ini adalah perkara biasa sahaja. Namun bagi sesetengah pelajar, ini boleh jadi satu perkara yang sangat mencabar. Mengapa?

Apabila saya mengendalikan program untuk pelajar di waktu pagi, ada pelajar yang merungut kerana mereka belum bersarapan. Ini membuat mereka rasa lapar dan tidak selesa untuk belajar. Bayangkan apa yang pelajar ini semua akan rasa jika mereka perlu menjawab soalan peperiksaan terpenting dalam bulan Ramadhan?

Satu perkara yang jelas ialah jika anda bakal mengambil peperiksaan PMR tahun ini, kehadiran bulan Ramadhan sudah pasti bakal membawa rahmat kepada anda. Di dalam bulan ini, anda mempunyai peluang untuk menambahkan pahala dan menambahkan ketenangan hati dan jiwa anda. Namun, dalam masa yang sama, anda perlu tahu, menjawab soalan peperiksaan dalam bulan Ramadhan mempunyai cabarannya yang tersendiri.

  • Cabaran pertama ialah selama ini anda sudah biasa dengan belajar dalam keadaan perut berisi dan tekak yang basah. Apabila perkara ini bertukar, cara anda berfikir dan kelancaran otak anda berfikir juga pasti akan bertukar. Apa yang membimbangkan ialah jika cara anda berfikir menjadi tidak lancar apabila perut kosong dan tekak kering nanti.
  • Cabaran kedua ialah dari segi persiapan. Selalunya pelajar sukar untuk belajar apabila berada dalam keadaaan lapar dan dahaga. Jadi, mereka memberi alasan untuk belajar pada waktu malam. Malangnya, mereka mudah pula merasa letih pada waktu malam kerana kekenyangan. Jadi, belajar dan mengulangkaji ditangguhkan.

Apakah cara penyelesaian untuk perkara yang saya bincangkan ini? Maksud saya, bagaimanakah anda perlu siapkan diri anda untuk menjawab soalan peperiksaan PMR nanti? Adakah anda perlu berbuka dan tinggalkan puasa? (Hmm…harapnya anda tidak terfikir untuk berbuat begini kerana meninggalkan puasa ternyata bukanlah satu jalan penyelesaian :)   )

Insyaallah saya akan bincangkan mengenai perkara ini minggu ini. :)

johorSejak Sabtu lalu hingga semalam, saya berada di Johor Baru bagi menjayakan program ‘Pecutan Akhir’ bagi Yayasan Bandaraya Johor Baru dan juga Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Wangsa. Selama beberapa hari saya tinggal di hotel berhampiran bangunan Kotaraya Johor Baru. Itu bermakna, makan tengahari, minum petang atau makan malam, saya sentiasa ke bangunan Kotaraya ini. Bangunan ini sudah tidak asing lagi buat saya kerana disitulah letaknya pejabat Unit Bestari Johor Corporation. Bulan ini sahaja sudah 2 kali saya mengadakana program bersama mereka.

Bagi staff restoran Singgah Selalu, mungkin mereka sudah mula kenal muka saya yang hampir 3 kali sehari datang ke restoran mereka. Saya pilih restoran ini kerana mudah untuk saya bawa isteri dan anak saya. Anak saya boleh bermain di dalam satu bilik yang dipenuhi bola (Anak saya ni memang suka sangat dengan bola sampai ada bermacam-macam jenis bola ada di rumah saya :)   ).

johorProgram Pecutan Akhir sebenarnya adalah program yang menerangkan apa yang pelajar perlu lakukan menjelang peperiksaan utama. Banyak ketikanya, pelajar merasa buntu dan tertekan menjelang peperiksaan hingga tidak tahu apa yang perlu mereka lakukan. Lebih buruk lagi, jika mereka terlalu tertekan dan buntu, mereka mungkin akan hilang keupayaan untuk menjawab dengan baik dalam peperiksaan. Di zaman saya bersekolah dulu, saya ada dengar kisah pelajar yang langung ‘blank’ dalam dewan peperiksaan hingga dia tidak sedar langsung apa yang dia lakukan semasa peperiksaan. Akhirnya, setelah keputusan peperiksaan untuk kertas itu keluar, dia gagal dan yang lebih memeranjatkan, dia cuma menghantar kertas kosong. Pelajar ini langsung tidak ingat yang dia sendiri menghantar kertas kosong disebabkan fikirannya yang ‘blank’ semasa peperiksaan itu.

Jadi, di dalam program ini saya kongsikan beberapa tips dan teknik untuk bersedia menghadapi peperiksaan. Antaranya ialah pelajar perlu tahu bagaimana mahu menenangkan diri mereka jika mereka resah atau blank dalam dewan peperiksaan.

Mari saya kongsikan satu teknik apa yang boleh anda lakukan jika anda rasa tiba-tiba blank atau lupa semua yang telah anda pelajari. Jika anda rasa begitu dalam dewan peperiksaan, lepaskan pen dan pensel. letakkan tangan anda di atas meja dan bertenang. Pejam mata anda. Tarik nafas dengan tenang beberapa kali. Lupakan semua perkara buat seketika. Pejam mata seolah-olah atau sedang lena tidur dan tidak berada di dalam dewan peperiksaan itu. kemudian, setelah 15-20 saat, buka mata anda semula. Dengan tenang, cuba jawab semula soalan yang anda mahu jawab.

Teknik ini selalunya akan buat anda jadi lebih tenang. Bila anda sudah tenang, anda akan lebih mudah ingat apa yang telah anda pelajari. Selamat mencuba. :)

perdasamaRabu lalu saya berada di Kota Tinggi Johor bagi menjayakan Projek Mutiara Johor yang dianjurkan oleh Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia(PERDASAMA) Nasional. Projek ini dirasmikan oleh Menteri Besar Johor YAB Dato’ Haji Abdul Ghani Othman. Projek ini dihadiri oleh Presiden Perdasama Nasional Dato’ Moehamad Izat Emir dan juga YB Tuan Haji Zainal Abidin Bin Haji Osman, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran Negeri Johor. Program ini telah mengumpulkan pelajar-pelajar disekitar kawasan Kota Tinggi iaitu SM Teknik Kota Tinggi, SMK Tun Habab, SMK Laksamana, SMK Bandar, SMK Taman Kota, SMK Jaafar Albar dan SMK Saujana. Lebih kurang 400 pelajar mengikut program yang berlangsung selama sehari ini. Program ini turut dijayakan oleh 5 penceramah lain yang hebat dalam bidang pendidikan ini. 

Saya diberikan tugas untuk menyampaikan ceramah bertajuk ‘Fun & Smart Learning’. Jika anda tanya diri anda sendiri, adakah belajar itu sesuatu yang menyeronokkan, membosankan, atau menyakitkan? Setiap pelajar boleh memberikan definisi mereka sendiri. perdasamaDalam sesi ceramah saya ini, saya terangkan 3 langkah untuk membuat proses pembelajaran menjadi sesuatu aktiviti yang menyeronokkan. Langkah pertama ialah ‘hapuskan halangan minda’. Jika anda rasa belajar itu tidak seronok, membosankan malah menyakitkan, anda mungkin mempunyai halangan minda terhadap proses pembelajaran. Mungkin anda selalu gagal atau tidak mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan. Ini menyebabkan wujud halangan minda dalam diri anda hingga anda tidak suka kepada proses pembelajaran. Jadi, selepas anda hapuskan halangan minda anda, anda akan rasa belajar itu adalah sesuatu yang mudah dan sangat menyeronokkan. 

Langkah kedua ialah dengan memahami konsep ‘fisiologi’. Secara mudah, saya katakan bahawa cara anda bergerak boleh mempengaruhi apa yang anda rasa. Jika anda bergerak, duduk atau berjalan seperti orang yang malas atau tidak seronok, anda akan rasa perkara yang sama. Jadi, jika anda rasa malas atau tidak ada ‘mood’ untuk belajar, ubah cara anda bergerak. bergerak, duduk dan membaca seperti seorang yang sangat rajin, bersemangat dan cemerlang. Anda akan rasa perkara yang sama. Akhir sekali, anda perlu belajar teknik belajar yang betul. Belajar jadi tidak seronok apabila anda tidak tahu cara belajar yang betul. Sama seperti bermain sukan, bolasepak jadi tidak seronok jika anda tidak ada kemahiran dan tidak tahu undang-undang dan peraturannya. Perlumbaan basikal jadi tidak seronok jika anda tidak tahu bagaimana mahu menunggang basikal dan seterusnya. 

Mulai hari ini, pelajari lebih lanjut mengenai 3 langkah ini melalui buku-buku motivasi dan kemahiran belajar. Insyaallah, anda juga akan pasti jadi pelajar yang sangat cemerlang satu hari nanti.  Selamat berjaya kepada anda semua terutamanya semua pelajar yang mengikuti sesi bersama saya di Kota Tinggi ini. :)  

fikirAlhamdulillah, saya telah berjaya kongsikan 7 petua untuk mudah ingat apa yang dipelajari. Dengan menggunakan petua ini, anda boleh meningkatkan kebolehan anda untuk mengingat sesuatu yang anda pelajari hingga 2-3 kali ganda. Bayangkan jika anda lebih mudah ingat, apakah kesannya kepada pencapaian akademik dan keyakinan diri anda?

Satu pesan saya, anda perlu ingat, kebolehan yang ada dalam diri anda tidak terbatas. Apa yang membataskan kebolehan anda adalah diri anda sendiri. Jika selama ini anda rasa anda lemah dan sukar mempelajari sesuatu, hapuskan rasa dan kepercayaan begitu. Mulakan hari ini dengan satu kepercayaan baru bahawa anda juga hebat seperti mana-mana pelajar cemerlang yang lain.

Selamat berjaya!

telingaPetua yang terakhir buat untuk mudah ingat apa yang dipelajari ialah ‘mengaitkan sesuatu yang dipelajari itu kepada sesuatu yang sedia ada diketahui’. Hmm…jangan risau jika anda kurang pasti apa maksudnya….. :)  

Begini, bayangkan anda sedang belajar tulisan dalam bahasa Cina. Jika anda pertama kali melihat tulisan dalam bahasa Cina, anda akan rasa sangat sukar mengenal pasti perbezaan antara setiap huruf-huruf itu. Ini adalah kerana anda tidak tidak boleh mengaitkannya kepada apa yang pernah anda lihat sebelum ini. Jika anda belajar Bahasa Inggeris, sekurang-kurangnya abjad A.B.C.D…dan sterusnya itu anda sudah biasa lihat. Apabila anda sukar untuk mengenal pasti perbezaannya, anda akan hadapi kesukaran untuk mengingatinya. 

Namun, jika anda boleh mengaitkan huruf-huruf itu kepada sesuatu yang anda sudah biasa lihat, anda akan lebih mudah mengenalpasti huruf-huruf tersebut. Contohnya, ada huruf yang anda kata ‘macam gambar pokok rendang’. Ada huruf yang macam bentuk ‘H’. Ada huruf yang macam orang sedang berlari. 

Mengaitkan huruf tulisan Cina kepada bentuk-bentuk yang anda kenal itulah yang dimaksudkan dengan ‘mengaitkan sesuatu yang dipelajari itu kepada sesuatu yang sedia ada diketahui’. 

Apabila anda belajar sesuatu yang baru, anda akan lebih mudah ingat jika anda kaitkan pelajaran baru itu kepada sesuatu yang anda sudah tahu. Ini bermaksud, anda perlu memberikan makna atau maksud kepada apa yang anda pelajari. Katakan anda sedang menghafal subjek Sains, organ dalaman telinga contohnya. Ada satu bahagian dalam telinga namanya Cochlea. Mungkin sukar untuk anda ingat nama ini kerana anda jarang mendengarnya. tetapi, apa kata jika anda tukarkan Cochlea ini kepada perkataan ‘Kak Lia’ dan bayangkan seorang perempuan berpangkat kakak yang anda panggil Kak Lia? Ia lebih mudah diingat bukan.

Satu contoh lagi dalam organ telinga ialah eardrum. Anda tahu drum itu adalah gendang. Jadi, apa kata anda kaitkan eardrum kepada satu gambar gendang kecil yang ada dalam telinga? Ia lebih mudah diingat bukan?

Jadi, mulai hari ini, kaitkan apa-apa sahaja yang anda pelajari kepada sesuatu yang anda sudah ketahui.

Selamat mencuba. :)

tulisPetua keenam untuk mudah ingat apa yang anda pelajari ialah mudah iaitu, ‘tulis‘. Saya selalu perhatikan gelagat pelajar semasa berada di dalam kelas, ceramah atau kursus. Mereka selalu leka mendengar atau mengelamun tanpa berbuat apa-apa mengenai apa yang mereka dengar. Perkara ini juga mengingatkan saya kepada seorang ustazah saya yang mengajar bahasa Arab semasa saya di tingkatan 3, ustazah Fatimah. 

Ustazah saya ini terkenal dengan ungkapannya, “Ha…catatlah….”. Setiap hari dan hampir setiap kelas Ustazah akan menyuruh dan mengingatkan kami untuk mencatat apa yang kami pelajari. Walaupun kami sedar apa yang ustazah ajarkan sangat penting, kami selalu leka dan tidak mencatatnya. Kini, saya benar-benar boleh melihat mengapa Ustazah Fatimah beria-iya benar mahu kami mencatat apa yang telah kami pelajari. 

Satu sebabnya anda pasti sudah tahu bahawa kita mudah lupa. Dengan mencatat atau menulis apa yang baru kita pelajari, kita boleh merujuk kepadanya pada bila-bila masa sahaja. 

Kedua, apabila anda menulis apa yang anda pelajari, fikiran anda akan fokus kepada apa yang anda tuliskan itu. Jadi, anda tidak akan leka. Minda yang fokus kepada sesuatu yang dipelajari akan lebih mudah mengingatinya. 

tulis

Ada beberapa tips untuk menulis apa yang anda pelajari. 

  • Pertama, anda tidak semestinya menulis bulat-bulat apa yang guru anda tuliskan di papan hitam. Apa yang patut tulis adalah berdasarkan apa yang anda faham. Tulis dalam bentuk yang anda boleh faham. 

  • Kedua, jika anda menyalin nota yang guru anda berikan, buat penerangan kecil dalam ayat anda sendiri tentang maksud nota yang anda salin itu. Contohnya, jika anda menyalin nota yang menunjukkan jalan kerja matematik, anda boleh tuliskan penjelasan menggunakan ayat anda sendiri (jika boleh, menggunakan pen warna berbeza) tentang jalan penyelesaian matematik. Ini supaya anda faham apa yang berlaku di dalam jalan penyelesaian matematik itu kelak. 

  • Anda perlu ingat, antara menulis nota dan mendengar penjelasan cikgu, yang kedua adalah lebih penting. Ini bermaksud, jika guru anda sedang menerangkan tentang sesuatu, berhenti menulis dan dengar penjelasannya dengan teliti. Tulisan anda tidak akan bermakna jika anda tidak faham apa yang guru anda terangkan. 

  • Jadi kreatif. Anda boleh reka nota dan tulisan anda sendiri. Nota patut jadi sesuatu yang menyeronokkan untuk dibaca. Gunakan warna. Gunakan lukisan. Kadangkala penerangan guru anda boleh ditulis dalam bentuk lukisan, bukan tulisan. 

Selamat mencuba. :)  

 

Next Page »