Soft Skills


soalPetua keempat untuk memikat hati guru ialah ‘tumpukan sepenuh perhatian’ semasa guru sedang mengajar. Hmmm… saya percaya anda tentu pernah mendengar tentang petua ini. Namun, tahukah anda bagaimana caranya untuk memberi sepenuh tumpuan? Tahukah anda tumpuan bagaimanakah yang akan membuat hati guru terpikat kepada anda?

1. Perkara yang paling penting untuk anda amalkan mulai hari ini ialah, apabila guru anda mula mengajar, berhenti daripada melakukan perkara lain. Bila saya kata berhenti, maksudnya berhenti semua sekali aktiviti yang boleh mengganggu konsentrasi anda semasa belajar. Berhenti daripada mencari pen atau pensil, berhenti mencari buku, berhenti mengalihkan kedudukan meja, berhenti bercakap dengan kawan di sebelah, berhenti membetulkan kedudukan rambut anda, berhenti makan gula-gula dan sebagainya. Pendek kata, 100% perhatian anda mesti diberikan kepada guru anda.

Kesan utama amalan ini ialah anda tidak akan terlepas apa-apa penerangan daripada guru anda. Selalunya, 5 hingga 10 minit pertama dalam sesi pembelajaran adalah yang paling penting. Ini kerana, jika anda terlepas penerangan awal, anda akan terus tidak faham hingga ke akhirnya. Sama seperti apabila anda menonton tayangan gambar, apa akan jadi jika anda terlepas permulaan cerita itu? Adakah anda akan faham cerita itu?

soalMenurut pengalaman saya sendiri sebagai guru, saya akan merasa marah apabila pelajar sibuk dengan perkara lain semasa saya mula mengajar. Ini kerana, apabila tiba masa membuat latihan nanti, pelajar-pelajar inilah yang akan merungut dengan perkataan ’susah’, ‘pening’, ‘tak faham’, ‘ tak boleh buat’ dan sebagainya. Apa yang membuat saya marah ialah, mereka tidak faham bukan kerana mereka tidak ada kebolehan untuk memahami tetapi kerana mereka mempunyai tabiat yang tidak mahu memberikan tumpuan. Pelajar-pelajar ini selalunya akan mengganggu konsentrasi pelajar lain pula.

2. Memberikan tumpuan tidak bermakna anda hanya duduk diam tidak bersuara. Anda boleh bertanya jika anda kurang faham. Angkat tangan dan tanya dengan sopan tentang apa yanganda tidak faham. Seorang guru yang baik akan menjawab soalan anda dengan sopan juga dan bantu anda untuk memahami apa yang sedang diajarkan.

3. Beri tumpuan dengan cara duduk yang betul. Bayangkan bagaimana cara seorang yang malas duduk belajar. Tentu dia kelihatan tidak selesa bergerak ke sana ke sini dan menyandar di kerusi seperti sedang letih dan mengantuk bukan? Jika guru melihat anda duduk dengan cara ini semasa belajar, guru akan rasa ada tidak berminat dan tidak menumpukan perhatian kepada apa yang diajarkan. Jadi, jangan duduk begini. Bayangkan cara duduk seorang pelajar cemerlang. Mereka selalu duduk dengan selesa, tegak dan tubuh mereka ke depan sedikit (tidak menyandar). Bayangkan.

Hanya dengan mengubah cara anda duduk sebenarnya sudah boleh memikat hati guru anda kerana anda kelihatan benar-benar mahu belajar. Adapelajar yang bertanya saya mengapa guru tidak suka mengajar pelajar yang tidak pandai? Sebabnya bukan kerana pelajar itu susuah diajar tetapi ada kemungkinan pelajar itu tidak menunjukkan rasa minat dan tidak menunjukkan yang dia menumpukan perhatian kepada apa yang diajarkan. Selamat mencuba.

p/s Saya pernah lihat pelajar yang bersandar ke kerusi (seperti seorang bos sedang menemuramah pekerja) semasa bertanya soalan kepada cikgunya. Cara duduk begini semasa mengajukan soalan membuat pelajar itu kelihatan seperti seorang yang sombong dan berlagak di depan gurunya, walaupun saya percaya pelajar itu tidak bermaksud begitu. Jika anda mahu tanya soalan semasa duduk, tegakkan badan, gerakkan tubuh anda kedepan sedikit (lean forward) dan tanya soalan dengan sopan.

belajarPetua ketiga untuk memikat hati guru ialah ‘timbulkan minat untuk belajar’. Jika saya tanya anda, apakah fungsi dan peranan seorang guru?…….. tentulah untuk mengajar bukan? Jika anda mempunyai minat untuk belajar, anda akan membuat guru anda mampu memenuhi peranan mereka.

Saya banyak mendengar rungutan pelajar mengatakan bahawa kebanyakan guru lebih suka mengajar di kelas-kelas elit atau kelas utama di sesebuah sekolah. Kata pelajar ini, guru suka mengajar mereka kerana mereka sudah pandai dan senang diajar. Saya percaya tanggapan ini kurang tepat.

Saya boleh percaya bahawa guru lebih suka mengajar kelas elit namun ia bukan kerana pelajar itu semua sudah pandai dan memudahkan kerja guru. Sebab utamanya ialah pelajar di kelas elit selalunya menunjukkan semangat dan keinginan untuk belajar yang tinggi. Mereka begitu berminat untuk belajar dan dengar dengan bersungguh-sungguh apa yang guru mereka ajarkan. Apabila pelajar menunjukkan rasa minat untuk belajar, guru akan bertambah minat untuk mengajar.

belajarSusahkah untuk menunjukkan minat untuk belajar? Hmmm…. mungkin susah jika anda langsung tidak berminat untuk belajar. Soal diri anda sendiri, mengapa anda perlu belajar dan mengapa anda perlu kuasai apa yang mahu anda pelajari? Jika anda tidak boleh minat kepada apa yang guru anda ajarkan, anda tidak boleh memikat hati mereka.

Mulai hari ini, timbulkan rasa minat anda pada apa yang anda pelajari. Cari sebab mengapa anda perlu suka apa yang anda pelajari. Fikirkan bagaimana anda boleh gunakan apa yang anda pelajari sekarang dan di masa hadapan. Buat semua kerja dan latihan yang guru anda suruh. Ini dapat menunjukkan kesungguhan dan minat anda.

Selamat mencuba. :)

tolongPetua kedua untuk memikat hati guru anda ialah, tawarkan bantuan anda apabila mereka memerlukannya. Sebagai contoh, disekolah selalunya anda dapat lihat guru terpaksa bawa banyak buku ke bilik mereka. Ada ketikanya, guru akan meminta pertolongan pelajar. Ada ketikanya, guru tidak meminta dan cuba membawa sendiri.

Peranan anda disini ialah menawarkan bantuan tanpa disuruh. Kebanyakan pelajar akan menolong guru mereka tetapi mereka menunggu hingga disuruh. Jika guru mereka tidak berkata apa-apa, mereka juga akan mendiamkan diri dan melihat sahaja guru mereka bersusah payah membawa buku-buku tersebut.

Apabila anda tawarkan pertolongan kepada guru anda, hati mereka akan jadi lembut kepada anda. Bayangkan, ketika anda dalam kesusahan dan seseorang menawarkan pertolongan tanpa diminta, apakah yang akan anda rasa?

tolongBudaya dan cara pemikiran kita di Malaysia terutamanya, kita mudah rasa rapat kepada seseorang yang suka menolong kita. Tentu anda pernah mendengar ungkapan ini, ‘Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa’.

Mulai hari ini, jangan menunggu disuruh untuk membantu. Bantuan anda ini adalah satu cara yang sangat berkesan untuk memikat hati guru anda. :)

gelasPetua pertama adalah petua yang paling penting. Untuk memikat hati guru anda, anda perlu belajar dalam keadaan ‘Gelas yang kosong‘. Apakah maksud saya ini?

Belajar dalam keadaan gelas yang kosong ialah anda perlu rasa rendah diri dan buka minda anda untuk menerima apa yang diajarkan oleh guru anda. Banyak ketikanya saya lihat pelajar datang ke sekolah, kolej, universiti, seminar atau bengkel dalam keadaan gelas yang penuh. Ini bermaksud, mereka rasa mereka tahu banyak perkara berbanding kawan-kawan sebaya mereka malah mereka juga rasa mereka lebih tahu daripada guru mereka.

Apa akan jadi jika air dituangkan ke dalam gelas yang penuh? Ya….. air yang dituang itu akan tumpah. Malah, air yang ada di dalam gelas yang penuh itu juga akan turut mengalir keluar. Jika anda tidak percaya, cuba isikan air sirap kedalam sebiji gelas hingga penuh. Tuangkan air masak ke dalam gelas itu. Biarkan air yang melimpah keluar. Lama-kelamaan, anda akan lihat gelas yang berwarna merah disebabkan air sirap itu akan lama kelamaan menjadi putih.

Apa yang ingin saya katakan ialah jika anda datang ke majlis ilmu dengan perasaan anda lebih mengetahui, anda tidak akan pelajari sesuatu yang baru. Malah ilmu yang ada pada anda juga akan jadi semakin susut dan tidak bernilai. Apa kena-mengena petua ini dengan memikat hati guru?

gelasGuru sangat mudah mengesan jika anda datang kepada mereka dengan gelas yang penuh. Orang yang datang dengan gelas yang penuh boleh dikesan melalui percakapannya, soalannya dan juga cara mereka duduk dalam sesuatu majlis ilmu itu. Apabila seorang guru dapat mengesan orang-orang begini, selalunya guru akan cuba mengalihkan perhatian kepada anak murid yang lain. Ini adalah supaya guru dapat mengekalkan semangat mereka untuk mengajar dan emosi mereka tidak terganggu dengan pelajar gelas penuh ini. (Jika anda rasa kurang yakin bahawa seorang guru boleh mengesan pelajar gelas penuh ini, cuba tanya kepada mana-mana guru atau trainer yang anda kenal. :)   )

Sebaliknya, jika anda datang dengan gelas yang kosong, guru akan dapat mengesan bahawa anda datang dengan niat mahu belajar. Saya sendiri, saya sangat suka melayan pelajar yang ada niat mahu belajar. Mereka ini selalunya bersedia untuk mendengar nasihat bagaimana mahu memajukan pelajaran mereka. Untuk pelajar begini, seorang guru sanggup berkorban masa dan tenaga untuk membantu.

Apa yang perlu anda lakukan sekarang? Ada beberapa perkara:

  • Betulkan niat anda untuk betul-betul belajar. Anda perlu ingat, orang yang bijak adalah orang yang mempunyai kebolehan untuk mempelajari sesuatu dengan baik, bukan orang yang suka menunjukkan kepandaian mereka.
  • Elakkan daripada memalukan guru anda dengan menunjukkan kepandaian anda. Contohnya, ada kalanya guru membuat kesilapan seperti membuat kiraan yang salah di depan kelas. Jika anda mahu betulkan kesalahan itu, betulkan dengan cara yang sopan agar tidak menjatuhkan air muka guru tersebut.
  • Dengar nasihat dan cadangan guru anda tentang bagaimana cara untuk memajukan diri anda.

Selamat mencuba. :)

cikguPernahkah anda dengar pelajar merungut, “Cikgu tu tah apa-apa tah….. pilih kasih…. kalau si Leman tu, apa dia buat semua ok…. kalau aku ni, ada je benda tak kena….. pilih kasih betul…….”

Rungutan begini selalunya datang daripada pelajar yang iri hati melihat sesetengah pelajar lain rapat hubungan dengan guru mereka. Adakah anda juga begini? :)

Katakan memang ada guru yang pilih kasih dan melebih-lebihkan sesetengah pelajar, adakah anda akan merungut jika anda yang menjadi anak murid kesayangan guru itu? Tentu tidak bukan? Apa yang ingin saya katakan ialah, guru pilih kasih adalah perkara biasa. Ia tidak bermaksud guru itu pilih kasih pada sesetengah pelajar hingga menganiaya pelajar lain. Saya percaya semua guru sayangkan anak muridnya. Cuma, disebabkan guru juga adalah manusia biasa, mereka akan lebih menyayangi beberapa anak murid yang memenuhi beberapa kriteria pilihan mereka.

Pentingkah anda memikat hati guru anda? Apa untungnya jika guru anda mengasihi anda? Saya beri satu contoh mudah. Katakan anda diminta mengajar dua anak saudara anda yang beberapa tahun lebih muda. Anak saudara yang pertama suka mendengar kata anda. Dia membuat apa yang anda suruh semasa sesi pembelajaran dan memberi sepenuh perhatian kepada anda semasa anda mengajar.

Anak saudara yang kedua pula tidak boleh duduk diam semasa sesi pembelajaran. Semasa anda sibuk mengajar, dia sibuk mengasah pensel, mencari buku, melukis kartun dan sebagainya. Apabila anda suruh buat latihan, dia merungut dengan mengatakan bahawa dia tidak faham apa yang anda ajarkan.

Soalan saya, anak saudara mana yang anda akan lebih suka? Mudah bukan? Soalan saya lagi, jika anda rasa anak saudara anda suka mendengar apa yang anda ajar, apakah anda akan semakin bersemangat untuk mengajarnya? Sudah tentu bukan?

Jadi, anda perlu tau serba sedikit bagaimana mahu mengambil hati atau memikat hati seorang guru. Ini tidak bermaksud anda mahu mempermainkan mereka. Memikat hati guru bertujuan agar ilmu anda lebih diberkati dan anda akan lebih mudah faham apa yang diajarkan. Inilah objektif utama mengapa anda perlu tahu beberapa petua untuk memikat hati seorang guru. Kita akan mulakan dengan petua yang pertama esok. :)

loveAlhamdulillah, saya telah kongsikan 7 petua untuk memikat hati rakan sebaya anda. Tidak kira anda sedang berada di bangku sekolah, kolej, universiti atau sudah bekerja, anda perlu tahu bagaimana mahu memikat hati rakan sebaya anda. Kawan-kawan adalah penting dalam hidup kita. Tanpa mereka, kita mungkin jadi makhluk asing di tempat kita sendiri.

Jadi, walaupun 7 petua ini kelihatan mudah, anda akan terkejut dengan kesannya. Saya ucapkan selamat berjaya dan selamat mencuba untuk memikat hati rakan sebaya anda. :)

sedihPetua yangterakhir untuk siri 7 petua memikat hati rakan sebaya ini ialah, “elakkan diri daripada menajdi seorang terlalu sensitif dan mudah kecil hati”. Apa yang saya maksudkan dengan mudah kecil hati?

Anda tentu pernah ada kawan yang mudah sangat merajuk, hilang mood dan bersedih. Apa yang anda rasa setiap kali kawan anda ini merajuk walaupun disebabkan perkara kecil sahaja? Tentu anda rasa tidak senang bukan? Ada orang yang terlalu sensitif hingga apabila anda abaikan dia seketika sahaja pun dia boleh jadi marah dan merajuk. Aduhh…. letih kalau nak layan kawan macam ni bukan?

Masalah terlalu sensitif ini bukan sahaja masalah dikalangan kawan-kawan perempuan ye, :) kawan-kawan lelaki pun sama naiknya. Cuma lelaki yang mudah hilang mood dan merajuk ni lagi buruk lah rupanya.. :)

sedihTidak salah kalau anda hilang mood atau terasa hati sekali sekala tetapi jangan jadikan itu sebagai salah satu identiti anda. Silap sikit merajuk. Silap sikit bersedih. Silap sikit tidak mahu bercakap. Hmmm… kalau anda teruskan berperangai begini, saya percaya satu hari nanti anda boleh kira berapa ramai kawan-kawan disekeliling anda.

Jadi, mulai hari ini, tabahkan dan kuatkan semangat anda. Jangan hiraukan perkara sangat gurauan remeh temeh kawan-kawan disekeliling anda. Jika hati anda ceria dari dalam, tidak ada sesiapa yang boleh mengganggu keceriaan anda itu.

Selamat mencuba. :)

cita citaPetua memikat hati rakan sebaya yang keenam ialah “sokong cita-cita kawan-kawan anda”. Maksudnya, jika kawan-kawan anda bercerita kepada anda tentang cita-cita mereka, dengar dengan teliti dan beri sepenuh sokongan anda kepada mereka. Namun, ini ada syaratnya. Syaratnya ialah cita-cita kawan-kawan anda itu adalah cita-cita yang baik. Jika mereka kata mahu jadi perompak professional atau membuka pusat perjudian antarabangsa, jangan sekali-kali anda sokong mereka! :)   Sebaliknya, beri mereka nasihat dan tunjuk sebab mengapa mereka tidak sepatutnya ada cita-cita sebegitu.

Di zaman kanak-kanak dan remaja tentu anda mempunyai banyak cita-cita dan impian yang ingin anda capai dalam hidup anda. Saya ada dengar cita-cita kawan saya yang mahu mengembara ke seluruh dunia, ada yang mahu menjadi rakan kongsi di syarikat antarabangsa yang besar, ada yang mahu menjadi tokoh yang dikenali dan sebagainya.

cita citaNamun, sewaktu anda mendengar cita-cita itu, bunyinya mungkin agak tidak munasabah dan terlalu sukar untuk dicapai. Peranan anda dalam memikat hati kawan-kawan anda ialah anda perlu beri sokongan kepada mereka walau apa pun cita-cita mereka. Ini bukan bermakna anda berlakon memberikan semangat kepada mereka semata-mata mahu memikat hati mereka. Sokongan anda mestilah ikhlas di mana anda perlu yakin dan percaya bahawa kawan anda tadi boleh mencapai cita-cita mereka.

Sokongan anda ini akan menyebabkan dua perkara terjadi:

  1. Kawan anda tadi akan menghargai anda kerana menyokong cita-citanya. Anda akan menjadi sumber tenaga dan semangatnya untuk berusaha. Saya percaya selepas ini jika dia ada sesuatu yang baru dalam usaha mencapai cita-citanya, dia akan mencari anda. Dia akan ceritakan kepada anda. Lebih baik lagi, dia pula akan menyokong cita-cita anda. Anda juga akan jadi semakin bersemangat. Akhirnya, hubungan anda berdua menjadi semakin rapat dan akrab.
  2. Apabila anda menyokong kawan-kawan anda, semangat dan kayakinan diri mereka akan bertambah. Mereka akan mula yakin dengan kebolehan diri mereka sendiri lalu mereka berusaha dengan lebih kuat lagi. Anda akan jadi orang yang bertangungjawab di atas kejayaan kawan anda tadi. Bukankah itu sesuatu yang baik untuk dicapai dalam hidup?

Mulai hari ini, dengar dengan teliti cerita kawan-kawan anda mengenai cita-cita dan impian mereka. Beri sepenuh tumpuan dan sokong mereka dengan merasa yakin bahawa mereka akan berjaya. Insyaallah, jika anda bantu kawan anda untuk mencapai kejayaan, kejayaan akan menjadi milik anda juga nanti. :)

nama baikPetua kelima ini adalah mudah. Jika anda hendak memikat hati rakan sebaya anda, sebut nama mereka dengan baik. Teknik anda perlu gunakan sama ada anda sudah kenal lama dengan kawan anda itu atau anda baru sahaja berkenalan dengannya.

Jika anda sudah kenal lama dengan kawan anda:

  • Sebut nama mereka dengan baik. Kadangkala, kita tidak tahu cara menyebut nama kawan kita dengan betul. Mereka pula malu untuk membetulkan cara kita memanggil mereka. Jadi, jika tidak pasti, tanya mereka bagaimana cara untuk menyebut nama mereka. Contoh mudah, saya ada kawan bernama Farid. Beberapa tahun saya berkawan dengannya saya asyik memanggil namanya Farid, Farid. Cara bunyi saya sebut ‘Rid’ itu sama seperti saya menyebut perkataan (parit). Saya rasa semua orang sebut nama Farid begitu. Tiba-tiba satu hari Farid bercerita kepada saya bahawa ayahnya tidak suka nama Farid dipanggil begitu kerana ia salah. Cara memanggilnya ialah ‘Rid’ dibunyikan seperti perkataan inggeris ‘read’. Saya pun agak terkejut kerana tidak mengetahui tentang perkara ini. Namun, tidak semua kawan bernama farid mahu disebut nama mereka begitu. :)
  • Kadang-kadang ada kawan yang dipanggil menggunakan nama gelaran sahaja. Ada yang dipanggil panjang, bulat, rempit, botol,tokan, toyol dan sebagainya. Walaupun kawan kita ini menyahut setiap kali dipanggil dengan nama begitu, ia tidak bermaksud mereka suka nama itu. Jadi anda perlu berhati-hati tidak mengikut apa sahaja yang orang lain gunakan.

nama baikJika anda baru berkenalan:

  • Sebaik-baiknya, anda tanya kawan baru anda ini bagaimana cara untuk menyebut nama mereka. Kadang-kadang mereka tidak selesa dengan nama penuh  mereka lalu mereka anda panggil mereka dengan nama ringkas atau pendek. Ikut sahaja asalkan nama itu bukan bermaksud yang terlalu tidak baik. JIka dia menyuruh anda memanggilnya dengan nama tidak baik, mungkin anda boleh nasihatinya dengan memberitahu akibat buruk jika menggunakan nama yang tidak elok. Nama adalah satu doa. Jika anda menggunakan nama yang tidak elok maksudnya, ia seolah-olah anda mendoakan sesuatu yang tidak elok juga.
  • Gunakan nama kawan anda itu selalu apabila bercakap dengannya. Jika nama beliau Ali, selalu gunakan nama itu dalam ayat anda. Contohnya, “Ali, awak ada kenal tak……”, “Ali, awak berasal dari……” dan sebagainya. Ada dua kesan bila anda bercakap begini. Pertama, ia kelihatan lebih mesra dan sopan. Jadi ia boleh merapatkan hubungan anda dengannya. Kedua, anda akan mudah ingat namanya dengan cepat. Tentu anda ada pengalaman berkenalan dengan seseorang dan cepat pula terlupa nama mereka. Dengan sentiasa mengulang nama mereka, anda akan pasti lebih mudah ingat.

Selamat mencuba. :)

gosipPetua yang keempat ialah bercakap hanya tentang perkara yang baik mengenai kawan-kawan anda. Anda tentu pernah berada dalam satu kumpulan kawan-kawan di mana mereka bercakap tentang sesuatu yang tidak baik mengenai kawan-kawan lain. Kita panggil ini sebagai sesi mengumpat. :)

Ada banyak perkara yang tidak baik jika anda bercakap atau menyertai sesi mengumpat ini.

  • Perkara terbesar ialah ini boleh jadi satu dosa. Apabila anda bercakap tentang sesuatu yang buruk mengenai kawan anda, anda menjatuhkan maruah kawan anda itu dan mungkin anda akan berkata sesuatu yang tidak benar.
  • Apabila anda mengutuk atau mengumpat kawan anda, jelas hubungan anda dan kawan itu akan renggang atau putus terutama apabila kawan anda itu tahu mengenai apa yang anda katakan.
  • Anda sendiri akan merasa janggal apabila berada di samping kawan-kawan yang anda kutuk tadi. Ini kerana, anda sedar bahawa anda kutuk mereka dan kini anda berada disamping mereka pula.
  • Apabila anda mengutuk, anda menjatuhkan reputasi anda sendiri dikalangan kawan-kawan anda sendiri. Kawan-kawan anda akan mula berhati-hati dengan anda kerana bimbang anda akan mengutuk tentang diri mereka pula.
  • Akhirnya anda akan dipulaukan.

gosipAda dua nasihat yang pernah saya pelajari yang boleh anda amalkan.

  • Pertama, amalkan cara berfikir yang positif. Maksud saya, lihat kepada perkara yang baik dalam sesuatu kejadian. Apabila anda selalu mencari, melihat dan berfikir tentang perkara yang baik, anda akan mula bercakap tentang perkara-perkara yang baik. Jika anda ternampak sesuatu yang baik di dalam diri kawan-kawan anda, puji mereka. Dalam waktu yang sama, tanamkan azam dalam diri anda untuk mempunyai sifat yang baik itu juga.
  • Jika anda berada di dalam kumpulan yang sedang mengumpat dan mengutuk, cadangkan topik lain untuk dibincangkan jika anda mampu. Jika anda tidak mampu mengubah topik negatif yang sedang dibincangkan, minta diri dan tinggalkan kumpulan itu hingga mereka mengubah topik yang lebih baik. Anda perlu ingat, anda adalah apa yang anda fikirkan. Jika anda selalu bercampur dalam perbualan bersifat negatif, anda akan selalu terfikir tentang perkara negatif. Akibatnya, anda juga jadi seorang yang berfikiran dan bersifat negatif.

Tambahan pula, dengan bercakap tentang sesuatu yang baik tentang kawan-kawan anda, anda akan merapatkan lagi hubungan anda dengan kawan itu. kawan-kawan lain yang melihat sifat anda itu akan mahu mendekati anda kerana mereka tahu anda hanya akan bercerita tentang perkara yang baik mengenai mereka.

Selamat mencuba. :)

« Previous PageNext Page »