Soft Skills


Jika anda sudah biasa melawat blog saya ini, sudah pasti anda pernah membaca 21 tips menggunakan microsoft powerpoint yang saya pernah tuliskan dulu. Saya juga ada letakkan semula tips ini di dalam ruangan kompilasi, www.osmanaffan.com/kompilasi.htm .

Saya dapati terdapat sambutan yang sangat menggalakkan untuk tips microsoft PowerPoint ini. Apabila saya buat program presentation skills atau public speaking di universiti atau kolej, 21 tips ini sangat berguna. CUma kadangkala saya tidak sempat untuk menerangkannya dengan jelas kerana kesuntukan masa.

Jadi, apa yang boleh saya lakukan ialah saya kumpulkan semula tips ini, tambahkan sedikit lagi maklumat dan jadikannya satu ebook. Ebook ini anda boleh download secara percuma nanti. Mengapa nanti? Hmm…saya masih dalam proses menyusun semula. Saya jangka ia akan siap selepas Raya nanti.

Jadi, nantikan kemunculan ebook ini nanti.

p/s Terima kasih kepada Zaizen, www.graphicsalien.com di atas design ebook yang sangat menarik ini.

 

Sabtu 15 September bersamaan 3 Ramadhan, saya telah diundang oleh ahlijawatankuasa MEDCY, sebuah persatuan jurusan perubatan Matrkulasi Universiti Islam Antarabangsa, untuk menjalankan program Bengkel Kemahiran Belajar SmartStudy. Ini kali pertama saya menjalankan program untuk persatuan ini. Pendapat pertama saya ialah, persatuan ini sangat hebat kerana dapat menjalankan dan menganjurkan program walaupun dalam bulan Ramadhan. lebih mengejutkan lagi, ini adalah program berbentuk bengkel kemahiran belajar pertama anjuran mereka. Tahniah saya ucapkan terutama sekali kepada Ain, Anas dan Farouk yang banyak berurusan dengan saya semasa program dijalankan.

Program sehari ini menyentuh beberapa kemahiran utama untuk menjadi pelajar cemerlang di universiti. Dalam ucapan pembukaan saya, saya ucapkan tahniah kepada peserta yang menyertai program ini. Mengapa? Dahlah program ini dijalankan pada hari Sabtu (hari di mana pelajar boleh pilih untuk pulang kerumah, peserta pula perlu membayar yuran penyertaan.

Dengan membuat pilihan untuk datang belajar, ia menunjukkan peserta sudah mempunyai satu semangat dan ciri-ciri pelajar cemerlang. ramai lagi pelajar lain yang membuat pilihan untuk tidur di bilik pada pagi sabtu atau pulang ke rumah. Tambahan pula hari tersebut adalah hari puasa, tentu lebih banyak alasan boleh diberikan untuk tidak hadir.

Ditambah pula ada yuran penyertaan,semakin banyak alasan pelajar beri untuk tidak hadir. Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, pelajar lebih rela membelanjakan duit mereka untuk bahan hiburan atau prepaid handphone daripada membelanjakan ke arah pendidikan. Sebab itulah terlalu kecil jumlah pelajar (walaupun di peringkat universiti) yang berbelanja dengan membeli buku-buku yang berbentuk pembangunan diri.

Jadi, sekali lagi tahniah kepada ahli jawatankuasa MEDCY dan semua peserta yang berjaya menjadikan bengkel kemahiran belajar SmartStudy ini satu kenyataan.

Saya sendiri merasa sangat gembira melihat kesungguhan anak bangsa saya sendiri berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya. Ini adalah kerana pada zaman ini, kita tidak lagi boleh bergantung atas bantuan orang lain untuk berjaya. Untuk memastikan kita berjaya, kita sendiri yang mesti usahakannya. Itu juga nasihat saya kepada semua peserta program ini. Untuk berjaya, berhenti merungut dan menyalahkan orang lain. Merungut dan menyalahkan orang lain tidak mungkin dapat menyelesaikan masalah yang kita hadapi.

Selamat berjaya!

 

 

fikirApakah cita-cita sebenar anda? Maksud saya, jika tidak ada halangan untuk anda jadi apa sahaja, apakah akan anda pilih sebagai cita-cita? tukang masak? Mekanik? Usahawan? Doktor? Kontraktor?

Apa sahaja cita-cita anda boleh tercapai jika anda menggunakan tenaga fikiran. Maksudnya, apa sahaja yang anda mahu capai akan mudah tercapai jika anda pandai berfikir. Cita-cita tidak semestinya mahu menjadi seseorang professional seperti doktor, peguam atau akauntan. Mari saya kongsikan satu kisah yang selalu saya kongsikan bersama peserta di program-program saya.

Saya pernah menyertai satu kursus usahawan yang dianjurkan oleh agensi kerajaan. Di sini saya berjumpa dengan seorang usahawan berjaya daripada Kedah. Semasa berbual-bual dengan beliau, beliau ada ceritakan kepada saya satu cerita yang agak mengejutkan saya.

Ceritanya adalah mengenai seorang lelaki muda yang kerjanya menjual goreng pisang. Jika anda seorang wanita, adakah anda mahu jadikan seorang penjual goreng pisang sebagai calon suami anda? Selalunya peserta program saya akan menggelengkan kepala mereka. Namun apa yang perlu anda tahu mengenai lelaki muda ini ialah pendapatan beliau daripada peniagaan menjual goreng pisang ialah RM10 ribu. Ya….anda tidak salah baca….10 ribu ringgit. Sekali lagi, jika anda seorang wanita, adakah lelaki ini layak anda jadikan calon suami? (hihi…anda jawab sendiri :) )

Bunyinya agak mustahil bagi seorang penjual goreng pisang mendapat pendapatan seperti seorang Akauntan bertauliah bukan? Rupa-rupanya, apa yang menyebabkan lelaki muda ini berpendapatan demikian ialah beliau mempunyai 5 gerai goreng pisang yang terletak di lima lokasi strategik berbeza. Jadi, tidak hairanlah dia begitu berjaya.

Mesej utama kepada anda melalui cerita ini ialah walau apa pun yang ingin anda lakukan sebagai kerjaya satu hari nanti, ia akaan jadi lebih berjaya jika anda pandai berfikir. Berfikir adalah satu tugas sukar bagi mereka yang malas berfikir. Berfikir adalah satu senjata terhebat bagi mereka yang rajin berfikir.

Jadi mulai hari ini, tidak kira anda masih bersekolah, sedang bekerja atau berniaga, gunakan tenaga fikiran anda. Pelajari asas-asas dan teknik berfikir. Kuatkan minda anda. Baca buku-buku yang membuat anda berfikir kearah kejayaan dan kebaikan.

Melalui posting ini, entah kenapa hati saya tergerak untuk mencari beberapa petua untuk meningkatkan kebolehan kita untuk berfikir. Insyaallah, mulai minggu depan, saya akan cari dan kongsikan beberapa petua untuk meningkatkan kebolehan kita untuk berfikir dengan baik. Diharapkan hasil daripada petua-petua ini akan menambahkan kejayaan kita dan mempercepatkan perjalanan kita menuju ke arah kejayaan.

Selamat berjaya!

fikirBeberapa minggu kebelakangan ini saya sangat banyak menjalankan program pelajar dari usia 8 tahun hinggalah ke pelajar di peringkat universiti. Malah, terdapat juga beberapa aktiviti yang saya jalankan untuk orang dewasa dari usia 25 tahun hinggalah yang sudah bersara.

Melalui program-program ini, ada satu mesej yang sama yang sentiasa saya cuba sampaikan. Mesej itu ialah penggunaan tenaga fikiran. Soalan saya kepada anda, sejauh mana anda gunakan fikiran anda untuk memajukan hidup anda, pencapaian akademik anda dan juga pencapaian peribadi anda? Lebih penting lagi, tahukah anda apa yang dimaksudkan dengan tenaga fikiran?

Bagi saya, tenaga fikiran adalah tenaga yang anda hasilkan melalui kebolehan anda berfikir. Pelajar datang ke sekolah bukan untuk menguatkan tenaga fizikal mereka. Jika pelajar mahu menguatkan tenaga fizikal mereka di sekolah, sudah pasti guru-guru akan menyuruh mereka mengangkat meja, kerusi atau apa-apa yang berat setiap hari supaya tubuh badan pelajar menjadi gagah perkasa.

Namun, pelajar ke sekolah adalah untuk menguatkan tenaga fikiran mereka. Bagaimana? Apabila pelajar belajar, mereka sedang mengasah kebolehan mereka berfikir. Apabila pelajar merasa pening dan tidak selesa semasa belajar, itu petanda menunjukkan mereka benar-benar sedang menggunakan akal fikiran mereka (pelajar yang tidak gunakan akal fikiran semasa belajar selalunya kelihatan tidak kisah dan tidak peduli lalu tidak merasa pening dan tidak selesa :) ).

Dengan meningkatkan kebolehan anda untuk berfikir, anda boleh berjaya dalam bidang apa sahaja. Insyaallah dalam minggu ini, saya akan kongsikan mengenai kelebihan menggunakan tenaga fikiran dalam mencapai apa sahaja yang anda inginkan.

jabatan tanahKhamis lalu, saya berada di Kota Bharu Kelantan bagi mengendalikan satu sesi bertajuk Pengurusan Pelanggan di Kaunter untuk para pegawai daripada Jabatan Tanah dan Galian, Kuala Lumpur. Ini adalah kali kedua saya mengendalikan program untuk Jabatan Tanah KL dalam masa beberapa bulan ini. Kali pertama diadakan di Penang pada bulan Mei lalu. Perbezaan untuk kali ini ialah topiknya lebih khusus kepada cara dan teknik pengurusan pelanggan di kaunter.

Jika anda tidak pernah ada pengalaman menguruskan pelanggan di kaunter, anda patut mencubanya. Kerjaya ini boleh dikatakan mencabar kerana anda perlu berdepan pelbagai kerenah pelanggan.

Di dalam sesi ini, saya ada kongsikan beberapa teknik untuk menghadapi pelanggan yang marah-marah. teknik ini sebenarnya dapat mengurangkan rasa marah pelanggan dengan cara yang baik dan sopan. Salah satu caranya ialah pekerja di kaunter perlu duduk dalam keadaan berminat untuk mendengar apa yang dikatakan oleh pelanggan. Lebih kurang, perlu duduk dengan condong kehadapan sedikit (lean forward).

Namun ada satu soalan daripada peserta yang agak menarik bagi saya kerana saya belum pernah bertemu dengan soalan sebegitu. Soalannya ialah, “En Osman, macam mana saya nak lean forward kalau pelanggan saya tu mulutnya kuat batu todi?”

Saya dan peserta lain tergelak juga mendengar soalan ini kerana secara realitinya, ia benar-benar berlaku oleh para pegawai di Jabatan Tanah ini. Jika anda berdepan dengan situasi begini, apa yang akan anda lakukan?

Setelah saya minta pendapat beberapa orang yang berpengalaman di situ, kesimpulannya, walaupun mulut orang itu berbau, seorang pegawai tidak boleh marah atau menjatuhkan air pelanggan tersebut. Satu cara kreatif yang dicadangkan ialah dengan menggunakan sapu tangan untuk menutup hidung sambil berpura-pura tidak sihat. :)

Hmmm…. memang mencabar kerja di kaunter ni sebenarnya. Saya perlu ucapkan tahniah kepada para pegawai ini terutamanya yang sudah bertahun-tahun bekerja dalam suasana menjaga pelanggan dikaunter. Walaupun saya datang untuk berkongsi tips dan teknik, dalam masa yang sama, saya turut belajar beberapa cara baru untuk menyelesaikan masalah semasa menguruskan pelanggan di kaunter.

Pernahkah anda terfikir, mengapa anda perlu pergi ke sekolah?

Pernahkah anda terfikir, mengapa anda perlu belajar?

Belajar itu memenatkan….belajar itu memeningkan…belajar itu membosankan…

Tetapi mengapa ayah dan ibu masih mahu anda belajar??

Tidak pernahkah anda terfikir,

kehebatan manusia hadir apabila mereka berfikir?

Tidak pernahkah anda terfikir,

belajar membuat anda berfikir??

Tidakkah anda terfikir,

bahawa apa yang anda baca ini membuat anda berfikir?

cikguAlhamdulillah. Saya telah kongsikan bersama anda 7 petua untuk memikat hati guru anda. Mungkin anda ada tertanya-tanya, adakah cuma ada 7 petua sahaja untuk memikat hati guru?

Hmm…. sebenarnya banyak lagi. Namun, tidak ada gunanya kalau kita pelajari semuanya jika kita tidak mampu mengamalkan 7 petua yang mudah ini. Satu perkara lagi yang anda mungkin terfikir, adakah 7 petua yang begitu mudah ini, dan mungkin orang semua sudah tahu ini, boleh membantu anda memikat hati guru anda?

Jika anda tanya saya, saya akan kata Ya, ia boleh memikat hati guru anda. Mari kita ulang kembali mengapa kita perlu memikat hati guru kita. Jika kita boleh memikat hati mereka,

  • Guru akan lebih bersemangat untuk membantu kita mencapai kejayaan.
  • Guru akan dapat rasa kesungguhan kita untuk belajar lalu mereka akan bantu kita dengan sepenuh hati mereka.
  • Guru juga juga manusia biasa. Jika jauh hati mereka daripada kita, jauh jugalah peluang kita untuk mendapat sebanyak manfaat daripada apa yang mereka ajarkan.
  • Kita akan mendapat lebih berkat daripada ilmu yang guru ajarkan. Petua ini semua menekankan agar kita hormat dan dengar nasihat guru. Jika kita lakukan itu semua, peluang untuk kita ingat apa yang diajarkan adalah lebih besar.
  • Kita akan pandai menyesuaikan diri dalam suasan majls ilmu. Jika anda pandai memikat hati guru, anda akan mudah pelajari sesuatu dengan sangat cepat tidak kira di mana sahaja anda menuntut ilmu.

Selamat mencuba petua-petua ini dan selamat berjaya! :)

tolongPetua yang terakhir ini mungkin berbunyi agak pelik sedikit. Jika petua kedua menyatakan bahawa anda perlu tawarkan bantuan kepada guru anda untuk memikat hati mereka, petua ke tujuh ini mengatakan bahawa anda perlu ‘minta bantuan’ daripada guru anda untuk memikat hati mereka.

Adakah anda boleh lihat mengapa perlu minta bantuan untuk memikat hati guru? Begini, secara umumnya guru datang ke sekolah dengan niat untuk membantu anak-anak muridnya mencapai kejayaan dalam bidang akademik dan kejayaan dalam hidup. Bagi saya tidak ada guru yang mahu anak muridnya gagal. (Kalau ada, saya tidak panggil orang itu dengan nama guru). Jadi, apabila anda minta bantuan mereka, mereka akan sedia membantu. Dan apabila mereka membantu anda, hubungan anda dengan guru tersebut akan jadi semakin rapat.

Bantuan tidak semestinya dalam bidang akademik. Jika anda ada masalah peribadi dan perlukan nasihat guru anda, saya percaya guru anda pasti bersedia untuk memberi nasihat.

tolongNamun anda perlu ingat, minta bantuan hanya untuk memajukan diri anda dan tidak terlalu menyusahkan guru anda. Bila saya kata minta bantuan guru anda, jangan pula anda bersiap sedia untuk meminta duit pula daripada guru anda. :)   Ada permintaan pelajar yang bersifat terlalu peribadi dan menyusahkan guru mereka. Ada yang minta guru mereka menghantar mereka ke sana ke mari dengan kereta guru tersebut.

Ada pelajar yang meminta guru membelikan mereka sesuatu sedangkan mereka tahu tempat tinggal guru itu jauh daripada tempat barang tersebut. Ringkasnya, jangan jadikan petua in sebagai alasan untuk mengambil kesempatan ke atas guru anda. Jika anda lakukan ini, bukan sahaja anda akan gagal memikat hati guru anda, malah anda akan semakin dijauhi.

Mulai hari ini, jangan merasa segan untuk meminta bantuan daripada guru anda berkenaan pelajaran atau nasihat untuk masa depan anda. hargai segala pertolongan yang guru anda berikan. Jangan mengeluh atau memandang rendah kepada apa sahaja pertolongan yang mereka berikan walaupun kecil.

Selamat mencuba.

hormatPetua keenam dalam memikat hati guru anda ialah satu petua yang selalu anda dengar, ‘hormati guru anda’. Namun, berapa ramaikah anak murid yang benar-benar menghormati guru mereka?

Kebanyakan pelajar yang saya temui agak kurang pasti apa maksudnya menghormati guru ini. Adakah ia bermaksud anda mesti dengar semua cakap guru anda walaupun ia tidak betul? Adakah anda perlu menerima bulat-bulat apa yang mereka katakan? Adakah anda mesti setuju dengan semua tindakan mereka dan jangan sekali-kali mempersoalkan apa yang mereka lakukan?

Begini, kita perlu lihat petua ini dari satu sudut yang mudah. Kita perlu menghormati guru kita seperti kita menghormati seseorang yang pernah terhutang budi. Jika ada seseorang yang pernah menolong anda ketika anda benar-benar dalam keadaan susah, bagaimanakah cara anda melayan orang itu? Tentu dengan baik sekali bukan?

hormatBegitu juga dengan guru. Selain daripada ibu bapa, guru adalah insan yang utama yang paling berbudi kepada kita. Kalau guru saya tidak mengajar saya matematik dengan betul sewaktu saya dalam darjah satu dahulu, sudah tentu saya masih tidak pandai mengira sekarang. Tentu anda setuju.

Jadi, apa yang perlu anda lakukan untuk menunjukkan rasa hormat kepada guru anda?

  • Paling mudah, beri perhatian apabila guru anda bercakap sama ada di dalam kelas atau semasa dia sedang bercakap dengan anda. Jangan ambil hati teguran mereka walaupun ia mungkin berbunyi kasar dan menyakitkan hati. Saya percaya guru anda tidak ada langsung niat buruk dengan kata-kata mereka.
  • Ceriakan diri anda semasa guru anda sedang mengajar dalam kelas. Duduk seperti seorang pelajar ceria yang seronok berada dalam kelas. Jika anda kelihatan, guru anda akan rasa anda tidak suka kepadanya atau tidak suka apa yang diajarnya. Ini juga akan membuat mereka rasa anda tidak hormat kepadanya. Bayangkan rungutan guru yang berbunyi begini, “Huh, budak tu, bila saya masuk kelas nak mengajar je mula la dia tunjuk muka bosan. Buat tak tahu je bila saya masuk kelas. Tak ada rasa hormat langsung!’.
  • Latih gunakan suara dan intonasi yang berbunyi mesra. Kadangkala pelajar tidak sedar bahawa gaya mereka bercakap berbunyi agak biadab dan tidak sopan. Ini disebabkan oleh tabiat bercakap yang tidak baik setiap hari. Tanya kawan anda sama ada cara anda bercakap berbunyi sopan atau biadab. lebih baik lagi, tanya guru anda sendiri sama anda pernah bercakap dengan nada yang tidak sesuai dengan mereka.
  • Tanya soalan jika anda tidak faham. Jika selepas bertanya soalan di dalam kelas dananda masih tidak faham, cari peluang untuk berjumpa denganguru anda secara bersemuka. Selalunya, anda akan belajar dengan lebih baik apabila mendapat perhatian penuh daripada guru anda. Dalam masa yang sama, guru anda akan rasa anda benar-benar mahu belajar dan suka belajar daripadanya.
  • Jangan bergurau berlebihan dengan guru anda. Tidak salah bergurau dengan seorang guru tetapi anda tidak boleh samakan bergurau dengan guru dan bergurau dengan kawan. Ia akan kelihatan biadab dan mungkin menjatuhkan air muka guru atau membuat mereka tersinggung.

Satu kelebihan jika anda menghormati orang lain tidak kira mereka guru atau tidak. Ingat, jika anda hormat orang lain, orang lain juga akan hormati anda. Jika anda mahu dihormati, anda mesti menghormati orang terlebih dahulu. :)

larangPetua kelima untuk memikat hati guru anda ialah elakkan daripada melakukan sesuatu yang guru anda larang. Guru anda sudah pasti lebih banyak pengalaman berbanding anda terutamanya dalam bidang yang diajarinya. Apabila guru anda melarang anda daripada melakukan sesuatu, ikut nasihatnya.

Contoh paling mudah, jika guru anda suruh anda diam semasa dia mengajar, anda perlu diam. Mengapa? Jika anda tidak diam, tentu susah untuknya mengajar. Apabila dia rasa susah untuk mengajar, tentu susah juga baginya untuk membuat anda faham.

Kadangkala ada pelajar yang suka bergurau dengan melawan cakap gurunya. Guru kata jangan sentuh benda ini, pelajar itu akan semakin seronok untuk menyentuhnya. Semakin guru marah, semakin dia mempersendakan gru dengan cuba menyentuh benda tersebut. Jika anda yang jadi guru ketika itu, apakah perasaan anda?

larangUntuk pengetahuan anda, apa yang guru anda larang selalunya adalah bertujuan baik untuk anda. Jika anda mahu memikat hati guru anda supaya anda rapat dengannya dan mudah untuk memahami apa yang diajarnya, elakkan daripada melakukan perkara yang dilarangnya.

Bagi saya, petua ini adalah petua yang paling mudah difahami tetapi ia juga petua yang paling susah diamalkan oleh pelajar. Ini adalah kerana apa yang pelajar suka selalunya adalah apa yang guru tidak suka. Contohnya guru tidak suka pelajar bising dalam kelas, tetapi pelajar sangat suka membuat bising di dalam kelas. Guru sangat melarang pelajarnya daripada meniru tetapi pelajar sangat suka meniru kerana ia kerja mudah bagi mereka.

Jadi, mulai hari ini, lihat semula, adakah anda suka melakukan sesuatu yang dilarang oleh guru anda? Jika ada, berhenti lakukannya serta-merta jika anda berniat untuk memikat hati guru anda.

Next Page »