Psikologi Peperiksaan


Motivasi ada kaitannya dengan imej positif. Mengekalkan imej yang positif atau imej kejayaan selalunya adalah sesuatu yang sukar. Terlalu banyak perkara negatif disekeliling anda yang boleh mempengaruhi apa yang anda fikirkan. Pada pendapat anda, secara umum, minda pelajar lebih mudah diisi dengan unsur-unsur negatif atau positif……..????

Jawapannya tentulah unsur negatif. Ini kerana, anda perlu berusaha secara sedar untuk meletakkan unsur positif dalam minda anda. JIka anda tidak ada usaha untuk itu, secara otomatik, unsur negatif akan memenuhi minda anda.

osman affan

Jadi, tips untuk hari ini ialah, dalam usaha anda mengekalkan imej kejayaan dan positif dalam minda anda supaya sentiasa bersemangat, anda perlu bergaul dengan pelajar lain yang juga berfikiran positif, bermotivasi dan bersemangat untuk berjaya. Ada Hadith Rasulullah yang mengatakan bahawa kalau kita berkawan dengan penjual minyak wangi, badan kita juga akan berbau harum.

Jadi, cari pelajar lain atau kawan anda sendiri yang selalu bersemangat berusaha untuk berjaya. Luangkan masa bersama mereka. Ikut langkah mereka dalam belajar dengan bijak. Berkongsi pendapat dan ilmu bersama mereka tentang cara terbaik untuk mencapai matlamat anda untuk peperiksaan. Insyaallah, anda akan berjaya. Selamat mencuba :) Tingkatkan tahap Motivasi!

 

Motivasi hari ini adalah berkenaan minda anda. Tips paling utama yang saya ingin kongsikan ialah jika anda mahu mengekalkan semangat yang membara dalam diri anda untuk berjaya, anda mesti mengekalkan imej kejayaan di dalam minda anda. Seperti yang anda tahu, minda anda hanya boleh fokus kepada satu perkara sahaja pada satu masa. (There could be only one dominant thought at one time).

osman affan

Jadi, apa yang selalu anda kekalkan dalam fikiran anda selepas anda menghadiri kursus atau membaca buku-buku motivasi? Kebanyakan pelajar yang hilang fokus dan semangat menjelang peperiksaan telah hilang fokus kepada imej kejayaan di dalam minda mereka.

Jadi, mulai hari ini, fikirkan, apakah imej kejayaan yang anda ingin isi dalam minda anda? Mungkin anda boleh bayangkan imej kejayaan ketika mengambil keputusan peperiksaan. Mungkin juga anda boleh pergi jauh lagi dengan membayangkan imej kejayaan ketika anda sudah memasuki alam pekerjaan.

osman affan

Untuk pengetahuan anda juga, imej kejayaan di masa akan datang tidak semestinya menjadi seorang ahli korporat. Anda boleh jadi apa sahaja. Cuma, walau apa-apa pun kerjaya yang anda pilih, pilih untuk jadi professional, maksudnya, jadi yang terbaik.

Jadi, latihan untuk hari ini, fikirkan apa imej yang anda ingin kekalkan di dalam minda anda untuk terus rasa bersemangat. Ingat, jika anda tidak memilih untuk mengisi minda anda dengan imej yang memberikan semangat, ia akan diisi dengan imej yang akan menjatuhkan anda. Selamat mencuba. :) Tingkatkan tahap Motivasi!

 

Motivasi adalah amat diperlukan ketika menjelangnya peperiksaan. Ini kerana, menjelang peperiksaan, bermacam perasaan akan bermain di dalam diri anda. Kadang-kadang anda rasa berdebar, kadang-kadang pula anda rasa gembira kerana penantian anda selama ini akan berakhir. Walau apa pun yang anda rasakan, anda perlu sentiasa menaikkan tahap motivasi anda untuk menghadapi peperiksaan.

Ada sahabat saya seorang guru yang bergurau dengan saya dengan mengatakan, “Pelajar yang pergi kursus motivasi ni, masa dalam kursus, semangat mereka panas membara. Mereka berkobar-kobar hendak belajar dengan lebih tekun dan mahu mencapai kejayaan yang selama ini nampak mustahil. Pendek kata, memang panaslah….

Tetapi, habis sahaja kursus, dalam perjalanan balik ke rumah, bila dah kena angin yang bertiup, terus je diorang sejuk. belum sampai ke rumah lagi pun dah sejuk. Habis, macam nak bersemangat untuk berusaha?”

Saya tergelak mendengar celoteh sahabat saya ini. Bila difikirkan, ada betulnya. Kursus motivasi boleh menaikkan semangat pelajar dengan cepat tetapi selalunya cepat pula semangat mereka turun semula. Saya terfikir, mengapa ini terjadi?

osman affan

Ada banyak sebab mengapa ini terjadi. Tetapi satu sebab yang saya nampak dengan jelas ialah, kursus motivasi sebenarnya bukan sahaja cuba menaikkan semangat pelajar ketika kursus dijalankan, ia juga selalunya membekalkan teknik-teknik yang patut diamalkan agar pelajar sentiasa bersemangat untuk berusaha. Teknik-teknik ini selalunya dikenali sebagai teknik untuk memotivasikan diri sendiri.

Mungkin pelajar terlupa akan kepentingan teknik ini. Mungkin juga pelajar gagal mendisiplinkan diri untuk mencuba teknik-teknik tersebut. yang pastinya, motivasi bukan sahaja datang daripada luaran tetapi yang lebih penting ialah yang datang dari dalam diri pelajar itu sendiri. Minggu ini saya akan sentuh beberapa teknik untuk membuat anda faham bagaimana caranya meningkatkan tahap Motivasi.

Manusia amat memerlukan tekanan untuk dia lebih cerdas, cergas dan cemerlang. Untuk dia dilihat sebagai memiliki keunikan-keunikan yang mengatasi orang lain. Sebagaimana air dari kepala paip, jika tak kuat tekanannya, lemahlah air yang mengalir, jika kuat tekanannya terpancutlah dengan derasnya. ~Dr. HM Tuah, ‘Nak ke Tak Nak’~

Seperti yang telah kita bincangkan beberapa hari ini, tekanan boleh membawa kesan positif kepada hidup kita dengan syarat kita sabar dan hadapinya dengan tenang. Dr. Tuah ada menerangkan konsep ini dengan menarik melalui buku beliau Nak ke Tak Nak. Adalah satu idea yang bagus jika anda mendapatkan buku ini.  :)

Satu petua lagi yang ingin saya kongsikan disini ialah teknik pernafasan. Ada pelbagai jenis teknik pernafasan yang ada tetapi saya ingin kongsikan satu teknik pernafasan yang diajarkan oleh Lisa Curtis, seorang pakar Sophrology di Amerika Syarikat (jangan risau jika anda tidak tahu apa maksud sophrology). Ini adalah teknik pernafasan beliau untuk menghilangkan tekanan perasaan.

Mula-mula berdiri. Jarakkan kaki anda lebih kurang selebar bahu anda. Tarik nafas melalui hidung anda dan bayangkan yang anda sedang menyedut udara dari ibu jari kaki anda dan ia memenuhi sebiji belon besar di dalam perut anda. Lakukan proses ini selama 8 saat. (tarik nafas selama 8 saat perlahan-lahan).

Kekalkan belon besar itu di dalam perut anda selama 4 saat.

Kemudian, kempiskan belon itu perlahan-lahan selam 8 saat.

Kemudian biarkan belon itu kosong selama 4 saat. Tenangkan fikiran anda. Jangan fikirkan apa-apa.

Kemudian ulang semula proses ini dari awal 4 - kali. Insyaallah anda akan rasa lebih tenang dan kadar tekanan perasaan itu akan menurun.

Selamat mencuba.  :)

 

Pernahkah anda merasa begitu tertekan hingga tidak boleh tidur dan tidak boleh makan? Ingat semula pengalaman itu. Cuba ingat, bagaimana cara anda berdiri, bagaimana cara anda duduk dan bagaimana memek muka anda ketika anda merasa tertekan? Ingat?

Bagus. Jika anda hendak tahu, anda boleh mengurangkan rasa tekanan dengan hanya mengubah cara anda berdiri, duduk dan juga menukar memek muka anda. Sekarang, jika anda rasa tertekan, cuba berdiri tegak. Tarik nafas dalam-dalam. Tinggikan kedudukan dada anda seolah-olah anda baru menang satu anugerah dan anda merasa sangat bangga. Senyum. Senyum sampai nampak semua gigi anda. Apa yang anda rasa sekarang? Lebih baik kan? Ini adalah teknik ‘Fisiologi’ untuk mengurangkan tekanan perasaan.

Teknik ini adalah mudah. Ia mengatakan bahawa anda boleh mengubah apa yang anda rasa dengan hanya mengubah cara pergerakan tubuh badan anda. Mari kita cuba sekali lagi. Katakan anda hendak pergi ke meja anda untuk belajar. Buku-buku anda telah siap tersedia di atas meja. Cuba jalan perlahan-lahan dengan muka yang ‘monyok’ (boleh guna ke perkataan ni :)   ) Kalau tak faham monyok, buat muka ketika anda sangat kecewa. Jalan dengan langkah yang berat seolah-olah ada rantai di kaki anda dan anda tidak larat nak berjalan dengan tegak.

Apa yang anda rasa? Berat dan malas kan? Untuk mengatasinya, buat perkara sebaliknya. Berjalan dengan gagah dan buat muka riang gembira macam anda baru menang hadiah cabutan bertuah.  Apa anda rasa? Bukan sahaja anda akan rasa lebih cergas, anda juga akan kurang merasa kesan tekanan perasaan yang melanda.

Jadi, ubah pergerakan anda dan ubah memek muka anda untuk mengurangkan tekanan perasaan yang anda rasa. Selamat mencuba.  :)

 

Setelah kita tahu bahawa tekanan perasaan sebenarnya membawa kebaikan kepada kita jika kita dapat mengawalnya dengan baik, kita akan rasa lebih tenang. Anda akan rasa tenang kerana anda tahu, tekanan perasaan itu akan berakhir dan apabila ia berakhir, anda akan jadi lebih bijak dan matang.

Hari ini, saya ingin kongsikan satu teknik lain untuk mengurangkan tekanan perasaan. Teknik ini saya namakan mencari ‘masa aktif’.

Salah satu sebab anda merasa tertekan ialah kerana anda penat. Apabila anda penat, anda tidak boleh menumpukan perhatian kepada apa yang anda belajar. Apabila anda tidak boleh menumpukan perhatian, anda tidak faham. Apabila anda tidak faham, anda rasa…. TERTEKAN!

Mencari masa aktif bermaksud, anda perlu mengenal pasti pada waktu bila kah anda paling aktif? maksud, dalam sehari, pada waktu mana fikiran anda paling cergas? Ada pelajar yang cergas di waktu pagi dan ada pelajar yang cergas di waktu malam dan ada di waktu petang. Jika anda belajar sewaktu minda anda cergas dan tubuh badan anda rasa segar, anda lebih mudah faham apa yang anda pelajari. Disebabkan anda sedang cergas, anda juga tidak akan mudah rasa tertekan. Jadi, kenal pasti waktu mana yang sesuai untuk anda belajar. kenal pasti, bilakah ‘masa aktif’ anda itu.

Ada satu peringatan. Jika masa aktif anda adalah pada waktu malam, anda perlu berhati-hati supaya jangan membuat aktiviti yang terlalu berat pasa waktu siang. Aktiviti berat seperti bermain bola selama 2 jam di waktu petang hingga anda hilang semua tenaga simpanan yang perlu digunakan pada waktu malam. Sama juga jika masa aktif anda ialah pada waktu pagi. Jangan tidur terlalu lewat jika anda suka belajar pada waktu pagi. Ini akan mengganggu masa aktif anda itu.

Selamat mencuba. :)

 

Dapatkah anda meneka apakah kesan baik tekanan perasaan kepada kita? Baiklah, saya akan terangkan dulu apa kesan membuat latihan angkat berat.

Katakan Ali berlatih angkat berat dan dia mengangkat besi seberat 20 kg beberapa kali hingga dia tidak mampu mengangkatnya. Besi yang berat ini memberi tekanan kepada otot-otot tangan Ali. Keesokan harinya, tangan Ali akan terasa sakit. Ini disebabkan otot-otot pada tangan Ali telah rosak disebabkan tekanan tadi.

Satu perkara yang hebat mengenai manusia ciptaan Allah, jika otot-otot kita rosak disebabkan tekanan benda berat tadi, ia akan digantikan dengan yang BARU, LEBIH BESAR dan LEBIH KUAT.

Ini bermakna, apabila Ali sudah hilang rasa sakit, kekuatan tangannya akan bertambah. Sebab itulah sebenarnya jika mula-mula kita angkat beg sekolah kita rasa berat, tapi lama kelamaan kita rasa biasa sahaja. Ini kerana kekuatan kita telah bertambah.Begitu juga dengan tekanan perasaan. Tekanan perasaan membuat kita pening kepala, sakit perut, rasa nak muntah dan sebagainya. Tetapi kalau kita sabar, hadapi tekanan itu dengan rasa yakin bahawa ia akan membuat kita lebih hebat, insyaallah kita akan jadi lebih matang dan bijak. Kita buat soalan matematik contohnya dan rasa pening, jika kita sabar dan hadapi tekanan itu dengan tenang, kita akan rasa bahawa soalan matematik tidak lagi memberi tekanan perasaan kepada kita. Ia seolah-olah kita sudah menjadi semakin kuat.

Jadi, sebagai langkah permulaan, ingat satu perkara ini. Jika anda rasa tertekan, percaya bahawa apabila anda susah melaluinya anda akan jadi lebih bijak dan matang dan anda akan lebih mempunyai peluang untuk berjaya di dalam pelajaran atau dalam hidup. :)

 

Peperiksaan sudah semakin hampir. Bagaimanakah perasaan anda? Tertekan? Letih? Gementar? Atau anda rasa gembira kerana debaran sepanjang tahun ini akan berakhir tidak lama lagi.

Merasa gementar atau tertekan adalah perkara biasa. Namun perkara biasa ini boleh menjadi luar biasa jika anda tidak boleh mengawalnya. Sewaktu saya mengambil peperiksaan SPM pada tahun 1993, ada dua pelajar daripada sekolah saya yang tidak dapat mengambil peperiksaan. Mereka tidak sihat dan saya percaya ia disebabkan oleh tekanan menghadapi peperiksaan. Soalan saya, apakah kesan tekanan menghadapi peperiksaan ini? Maksud saya, apakah kesan-kesan yang anda boleh lihat akibat tekanan perasaan? Tuliskan 10 jawapan anda di atas kertas. Saya beri masa 3 minit untuk anda menulis kesan-kesan tekanan perasaan itu………… (3 minit dari sekarang……………..)

(…….. dah tulis….? Jangan sambung baca selagi anda belum tulis…. nanti anda tidak dapat faham apa yang saya ingin sampaikan dalam mesej ini.)

Baiklah. Apa yang ada dalam senarai anda? Antara kesan-kesan yang biasa pelajar tulis ialah pening kepala, tumbuh jerawat, cepat marah, hilang mood, hilang selera makan,(bertambah selera makan pun ada :) ), sakit perut, sakit hati, hilang tumpuan, rasa nak pengsan, benci tengok kawan, benci tengok muka guru, benci tengok muka sendiri, dan macam-macam lagi perkara yang negatif. Ada tak contoh-contoh ini dalam senarai anda?

Baiklah. Satu lagi soalan saya, dalam senarai anda, ada tak kesan yang positif atau kesan yang baik? Hmm…. selalunya, saya tidak pernah tengok pelajar tulis kesan yang baik bila ditanya tentang kesan tekanan perasaan. Padahal, memang ada kesan yang baik.

Apakah kesan baik tentang tekanan perasaan? Saya akan jawab esok. Tetapi saya akan bagi ‘hint’. Kesan positif tekanan perasaan ada kaitan dengan orang yang membuat senaman angkat berat. Apa agaknya ya? Fikirkan…….

Osman

 

Ada dua perkara penting yang anda perlu ada untuk mendapat markah yang cemerlang di dalam peperiksaan. Dua perkara itu ialah Kepantasan dan Ketepatan.

Saya ingin kongsikan satu tips tentang kepantasan.Bagaimana cara meningkatkan kepantasan? Atau saya soal dalam bentuk lain, bagaimana anda boleh menjawab soalan dengan pantas di dalam peperiksaan?

 Kepantasan adalah amat penting terutamanya di dalam peperiksaan matematik. Satu teknik yang boleh digunakan untuk meningkatkan kepantasan dinamakan ‘Pengulangan’ (repetition).

Contohnya, anda sedang mengulangkaji matapelajaran matematik di bawah tajuk linear equation. Setelah anda faham tajuk itu dan mula membuat latihan, catat masa anda membuat latihan matematik. Katakanlah, disebabkan soalan itu susah, anda mengambil masa 7 minit untuk menyelesaikannya. Kemudian, ambil kertas kosong lain, selesaikan semula soalan itu. Jika anda tidak boleh selesaikan, maksudnya anda masih tidak faham jalan penyelesaian tadi. Jika boleh, lihat masa yang anda ambil. Masa anda ambil mungkin kurang sedikit iaitu mungkin 6 ke 7 minit.Ulang buat soalan itu sehingga anda betul-betul lancar dan masa yang anda ambil mesti jadi semakin pendek sekurang-kurangnya separuh daripada masa mula tadi (3.5 minit).

Anda mungkin terfikir, “jika saya asyik ulang soalan yang sama, tentulah saya akan jawab semakin cepat sebab saya sudah ingat jalan penyelesaiannya. Dalam peperiksaan bukan kena jawab soalan yang sama!”Benar, anda jawab semakin cepat kerana anda sudah ingat jalan penyelesaiannya. Tetapi sebenarnya, dalam masa yang sama, anda akan ingat juga cara menjawab soalan begini jika anda jumpa soalan yang lebih kurang sama bentuknya di dalam peperiksaan nanti.

Berlatih berulang kali dengan soalan yang sama boleh meningkatkan tahap keyakinan dan keselesaan anda. Anda akan rasa selesa untuk menjawab soalan begitu. Jadi, anda akan dapat jawab dengan baik. Jawab soalan yang sama berulang kali juga akan membuat anda sedar bahawa kebanyakan cara menjawab soalan peperiksaan adalah sama sahaja. Jika anda sudah faham danmahir menyelesaikan masalah menggunakan satu cara, cara itu juga boleh digunakan untuk soalan lain dalam tajuk yang sama.

Selamat mencuba.

 

Peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM akan menjelma tidak lama lagi. Kebanyakan pelajar yang akan mengambil peperiksaan ini sudah habis belajar sukatan pelajaran masing-masing dan sepatutnya mereka semua sudah mula membuat latih tubi untuk menghadapi peperiksaan yang besar ini. Selain daripada melakukan sebanyak latihan yang mungkin, apakah perkara penting yang perlu dilakukan ketika ini?

Satu perkara penting yang patut anda lakukan ialah berlatih dengan suasana peperiksaan. Saya selalu mendengar rungutan pelajar bahawa jika mereka lakukan latihan di rumah, mereka boleh menjawab dengan baik, tetapi di dalam dewan peperiksaan, lain pula jadinya. Kenapa anda mungkin hebat di rumah dan di sekolah tetapi tidak begitu hebat semasa peperiksaan sebenar?

Ada beberapa sebab mengapa itu terjadi. Satu sebabnya ialah anda mungkin telah membiasakan diri dengan aktiviti yang tidak boleh dilakukan di dalam dewan peperiksaan. Contohnya, saya ada lihat pelajar yang suka meletakkan kedua-dua kaki mereka di atas kerusi semasa belajar. Mereka selesa belajar begitu. Tetapi, di dalam dewan peperiksaan mereka tidak boleh buat begitu, lalu mereka jadi tidak selesa. Bila tidak selesa, mereka tidak dapat berfikir sehebat bila mereka belajar di rumah.

Ada yang suka menyanyi-nyanyi dan bersiul sewaktu membuat latihan. Mereka kata mereka selesa begitu. Tetapi, tidak boleh bersiul dalam dewan peperiksaan. Jadi, mereka rasa tidak selesa dan akibatnya, tidak dapat menjawab dengan baik.

Apa yang perlu anda lakukan ialah, perhatikan cara anda belajar di rumah atau ketika bersendirian. Kenal pasti mana-mana perkara yang anda lakukan yang tidak boleh dilakukan di dalam dewan peperiksaan. Walaupun anda selesa belajar begitu (seperti belajar sambil meniarap), anda akan rasa tidak selesa semasa dalam dewan peperiksaan nanti. Kemudian, perlahan-lahan hentikan perbuatan itu. Anda perlu ingat, jika anda terlalu suka buat sesuatu yang tidak boleh dilakukan di dalam dewan peperiksaan, anda akan rasa tertekan semasa mengambil peperiksaan nanti.

Kemudian, berlatih duduk di satu tempat yang sesuai dan buat latihan mata pelajaran anda. Jika boleh, wujudkan suasana peperiksaan di mana anda buat latihan itu mengikut masa yang ditetapkan dan anda tidak membuat bising atau bergerak ke sana ke mari. Ringkasnya, berlagak seolah-olah anda sedang menghadapi peperiksaan yang sebenar.

Kesannya? Seperti biasa, mula-mula anda akan rasa tidak selesa dan janggal. Namun, setelah dilatih, anda akan mula rasa selesa malah anda akan rasa lebih mudah untuk fokus kepada latihan anda. Kemudian, insyaallah, anda akan rasa selesa juga di dalam dewan peperiksaan nanti.

Selamat mencuba. :)

 

« Previous PageNext Page »