Psikologi Peperiksaan


SMK BentaSabtu lalu, saya berpeluang menjalankan program SmartStudy di Negeri Pahang Darul Makmur. Program akan dijalankan di SMK Benta. Pada pagi hari tersebut, setelah melihat peta sekolah tersebut sepintas lalu malam sebelumnya, saya pun keluar daripada rumah tepat pukul 6 pagi. Saya bawa dengan agak tenang kerana saya jangka saya pasti boleh sampai ke tempat tersebut dalam pukul 7.15 atau 7.30 pagi. Program hanya akan bermula pada pukul 8.30 pagi, pasti saya banyak masa untuk berehat seketika.

Entah kenapa, jangkaan saya agak meleset. Tempat yang saya hendak pergi itu rupa-rupanya agak jauh dari yang saya jangkakan. Rupa-rupanya saya tersalah anggap. Saya sangka benta tu sangat dekat dengan bentong, tetapi agak jauh juga rupanya. Saya mula memandu dengan lebih laju. Apabila dah mula rasa cemas bimbang lewat, mulalah macam-macam perkara yang tak diingini berlaku. Saya tersalah jalan sebanyak 4 kali. nasib baik juga saya sedar saya dah salah jaan dan sempat berpatah semula.

SMK BentaApabila saya rasa dah tersesat dan mula mengejar masa, saya mula rasa panik, berdebar dan sedikit tertekan. Saya asyik melihat jam saya. Kemudian, saya teringat apa yang pernah saya ajarkan kepada para peserta saya. Kalau kita fokuskan perhatian kita kepada keadaan yang tidak elok, keadaan tidak elok itu akan semakin menjadi-jadi. Jika saya fokuskan kepada rasa gelisah, gelisah saya akan menjadi-jadi. Dan jika saya fokuskan kepada perkataan ‘lewat’ saya akan benar-benar lewat nanti. Akhirnya, saya tenangkan semula perasaan saya dan fokuskan minda saya kepada imej bahawa saya akan sampai pada masa yang sesuai.

Alhamdulillah, apa yang saya fokuskan benar menjadi. Saya sampai pada pukul 8.15 pagi, 15 minit sebelum program bermula. Para pelajar pula ketika itu sedang sibuk membuat persiapan untuk program ini dan program hanya bermula pada pukul 8.40 pagi.

Di SMK Benta ini, saya kongsikan bersama pelajar teknik-teknik belajar yang berkesan. Teknik utama yang saya kongsikan ialah teknik menghafal dan teknik membuat nota kreatif. Setelah saya ajarkan teknik tersebut, pelajar masuk ke kumpulan masing-masing dan mula menulis nota kreatif mereka sendiri. Mereka diberi beberapa jam untuk proses ini dan mereka perlu bentangkan hasil kerja mereka selepas makan tengahari.

Sementara menunggu pelajar menyiapkan kerja mereka, saya dan para guru bergerak ke bilik gerakan guru untuk sesi ‘SmartStudy for teachers’. Saya berpeluang berkongsi konsep SmartStudy saya bersama guru dan juga berbincang tentang teknik-teknik dalam meingkatkan kadar motivasi guru dan pelajar. Satu harapan yang saya kongsikan bersama guru ialah agar guru-guru mempunyai matlamat yang sama iaitu untukmenaikkan tahap prestasi sekolah dan meningkatkan tahap kerjasama dan keakraban sesama guru. Insyaallah, perkara ini pasti akan tercapai.

Program ini berakhir pada pukul 5 petang. Setelah bersalaman dengan beberapa pelajar dan guru, saya pun bertolak semula ke Kuala Lumpur dengan perasaan yang puas dan hati yang tenang kerana program ini berjalan lancar, sama seperti yang telah saya bayangkan……… Sekalung ucapan tahniah kepada semua pelajar yang turut serta dalam program ini….ribuan ucapan terima kasih kepada para guru yang sungguh bersemangat dan berdedikasi….ucapan terima kasih khas buat Cikgu Hassan Basri yang membuat program ini menjadi kenyataan….. :)

Buat semua pembaca setia blog ini terutamanya yang sedang aktif mengikuti tips Microsoft PowerPoint saya, posting saya agak terganggu dalam masa dua minggu ini. Ini disebabkan oleh kesibukan dalam memenuhi jadual training saya sebenarnya. Tak sempat langsung nak masuk ofis atau luangkan masa depan internet lama-lama. Tetapi insyallah tips-tips itu akan disambung seperti biasa Isnin depan….. saya akan usahakan lebih cepat sebenarnya kerana hari ini saya akan habis mengendalikan training bersama staff Universiti Malaya di Shah Village Hotel, PJ. Mungkin dalam minggu ini juga saya dapat mulakan tips Microsoft tu. :)

SK KijalMinggu lepas, saya ke Kijal mengendalikan program SmartStudy Learning Skills bersama pelajar Sekolah Kebangsaan Kijal. Pelajar yang turut serta adalah pelajar tahun 5 dan 6 yang bakal menduduki peperiksaan UPSR bulan September ini. Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada pihak sekolah SK Kijal terutama kepada Guru Besar, Penolong Kanan dan guru-guru yang mendidik pelajar tahun 5 dan 6 kerana menjemput dan membantu saya dalam menjalankan program tersebut. Ucapan terima kasih Khas buat Cikgu Jang yang berurusan dengan saya dan menjadikan program ini berjaya dijalankan dengan baik dan lancar. :)

Dalam program ini, saya kongsikan bersama pelajar tiga langkah yang perlu diambil dalam usaha mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan UPSR. Saya imbas kembali kisah saya sendiri mengambil peperiksaan UPSR dulu pada tahun 1988 (tahun pertama UPSR diperkenalkan). Ketika itu saya tidak termasuk dalam golongan pelajar yang dijangka mendapat 5A berdasarkan pencapaian saya yang lepas. Namun, apabila keputusan sebenar keluar, saya berjaya mendapat kejayaan 5A tersebut.

SK KijalMesej saya kepada semua pelajar melalui cerita ini ialah, kejayaan pelajar bukan terletak di dalam ramalan cikgu atau pandangan sesiapa terhadap pelajar. Tidak kisah jika ada ramai orang memandang rendah pada kebolehan atau kemampuan anda kerana anda sendiri yang menentukan apa kekuatan anda yang sebenarnya.

Jangan juga risau jika anda berada di kelas belakang atau kelas tidak cemerlang kerana itu BUKAN satu petanda bahawa anda tidak boleh berjaya. Anda boleh berjaya walau anda belajar di kelas mana-mana sekalipun.

Jangan juga risau jika pencapaian akademik anda selama ini tidak memuaskan kerana itu cuma menunjukkan usaha anda di masa lepas. Kejayaan anda di masa akan datang ditentukan oleh usaha anda pada masa sekarang. Jadi, anda belum terlambat dan boleh mula berusaha sekarang untuk mencipta kejayaan di masa akan datang. :)

Saya ucapkan selamat berjaya kepada semua pelajar yang sedang berusaha sekarang demi mencapai matlamat dan kejayaan yang diidam-idamkan…… :)

SK Durian BurungHari Rabu dan Khamis yang lepas, saya berada di Terengganu Darul Iman bagi menjalankan program SmartStudy Learning Skills untuk dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Kubang Ikan dan Sekolah Kebangsaan Durian Burung. Program ini adalah untuk pelajar tahun 6 yang bakal menduduki peperiksaan UPSR bulan September ini.

Di dalam program ini, saya kongsikan bersama pelajar pengalaman saya sendiri semasa mengambil peperiksaan tersebut. Saya ceritakan kepada pelajar bahawa saya adalah batch pertama yang mengambil peperiksaan UPSR pada tahun 1988. Ketika itu saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Tok Jiring, Kuala Terengganu.

Beberapa minggu sebelum peperiksaan dijalankan, sekumpulan pelajar di sekolah saya dipanggil oleh guru besar. Ada lebih kurang 20 orang pelajar yang dipanggil ketika itu. Pelajar-pelajar ini adalah pelajar yang disasarkan atau pelajar yang dijangka akan mendapat 5A dalam peperiksaan nanti. Ketika itu, saya tidak termasuk di dalam kumpulan pelajar itu. Maksudnya, berdasarkan prestasi saya, saya tidak dijangka akan mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR yang akan datang tidak lama lagi itu.

SK Kubang IkanSetelah pelajar itu semua keluar daripada bilik guru besar, mereka kelihatan gembira dan bangga. Saya pergi kepada beberapa orang pelajar tersebut dan cuba bertanya apa yang guru besar kata di dalam bilik tadi. Seorang kawan saya menjawab..” Aduhhh.. kitorang kena rotan tadi tu…..”. Dia berkata begini dengan muka tersengih-sengih. Seorang lagi menyambung lawak kawan saya ini, “ye la… abis lebam badan aku kena rotan…” kemudian mereka ketawa dan tidak menjawab soalan saya tadi….

Saya terfikir di dalam hati, kenapa la susah sangat nak jawab soalan saya tadi…. rahsia sangatkah apa yang diceritakan di dalam bilik itu tadi….. sedikit sebanyak, sebagai seorang budak berumur 12 tahun ketika itu, saya merasa agak sedih kerana saya rasa saya tidak ada potensi untuk berjaya. Saya sedih kerana saya tidak dapat tergolong dalam kumpulan pelajar yang bakal jadi cemerlang itu. Saya seperti masih boleh ingat apa perasaan yang saya rasakan ketika itu.

Setelah peperiksaan berlalu dan apabila keputusan peperiksaan tiba, cuma 11 orang pelajar yang mendapat 5A di sekolah saya. Alhamdulillah, saya adalah salah seorang daripada pelajar tersebut. Saya berjaya mendapat 5A! Tuhan saja yang tahu betapa gembiranya saya ketika itu……lebih separuh pelajar yang dijangka mendapat 5A tadi gagal mendapatnya.

Mesej saya kepada pelajar melalui cerita ini ialah, kebolehan dan potensi anda untuk berjaya bukanlah ditetapkan oleh pandangan ataupun sasaran orang lain tidak kira orang itu adalah guru, guru besar, ibu bapa mahupun tok bomoh…. kebolehan dan potensi anda untuk berjaya terletak di tangan anda sendiri kerana anda sahaja yang boleh membuktikan kebolehan sebenar anda.

Jadi, jika anda tidak dijangka untuk mendapat kejayaan cemerlang, jika anda tidak berada di kelas paling pandai di sekolah anda dan jika anda tidak pernah mencapai kecemerlangan akademik sebelum ini, itu semua tidak sepatutnya mempengaruhi kebolehan sebenar anda. Anda patut belajar untuk merasa yakin dengan diri anda sendiri bahawa anda akan berjaya. Saya sendiri sentiasa cuba meyakinkan diri saya sendiri dengan mendapat sokongan daripada orang-orang yang mempercayai kebolehan saya iaitu ibu dan bapa saya. Dengan sokongan mereka, saya sentiasa rasa bersemangat dan yakin bahawa saya juga ada kebolehan yang hebat.

Saya ucapkan selamat berjaya kepada semua pelajar yang sedang bertungkus-lumus untuk menghadapi cabaran dalam membuktikan kebolehan sebenar masing-masing…. :)

osman affanSemalam (22/1/07), saya terlibat dalam rakaman satu rancangan Motivasi TV RTM “Get Set Go” yang biasa ditayangkan pada pagi hari Ahad. Rakaman dijalankan di Taman Tasik Titiwangsa. Saya dijadualkan menyiapkan 3 episod. Tajuk-tajuk saya adalah berkenaan konsep SmartStudy hasil tulisan saya sendiri iaitu persediaan minda, teknik belajar dan psikologi peperiksaan.

Semalam adalah antara hari yang paling menarik dalam hidup saya. Ada beberapa teknik motivasi yang telah saya kongsikan bersama anda harus saya gunakan semalam. Begini ceritanya……

Ia bermula dengan saya sangkut dalam traffic jam yang agak teruk. Dah lama saya tak keluar memandu  dalam KL waktu pagi, hampir terlupa betapa teruknya sesak jalan kat KL ni. So saya terlambat sampai. Patut start 8.30 pagi, saya sampai dalam 8.45 pagi.

osman affanBila sampai, cuma ada 2 krew sahaja di situ. Yang lain belum sampai. Tekpe la, boleh rehat dan breakfast dulu. Tetapi sampai pukul 10 pagi pun krew belum sampai. Rupa-rupanya ada miscommunication. Jadi, lebih kurang pukul 11 lebih baru krew datang.

Saya sebenarnya pula tidak pernah lakukan rakaman begini. Saya selesa kalau kena bercakap depan ratusan orang, tetapi semalam saya rasa berdebar sungguh….! kenapa agaknya? sebab saya sedang keluar daripada zon selesa saya.

Tambahan pula saya tidak boleh gunakan skrip yang telah saya sediakan, semakin bertambah lah debaran saya. Susah juga jadi pengacara atau bercakap depan kamera untuk rancangan tv ni. Namun, saya tetap praktikkan beberapa teknik bercakap yang pernah saya kongsikan di sini. Jadi, debaran saya berkurangan apabila rakaman 2 scene selesai.

osman affanDugaan….. semasa scene kedua untuk episod kedua dirakamkan, cuaca semakin mendung…. pengarah mula mencari ‘angle’ yang sesuai supaya cahaya mencukupi. Rakaman perlu dihabiskan hari ini.

Namun, dalam sibuk-sibuk bimbang hari akan hujan, timbul satu masalah baru. Ada masalah Audio yang serius. Rakaman diberhentikan dan krew sibuk cuba membaiki peralatan. Setelah rehat selama hampir sejam setengah, 2 krew yang lebih professional datang untuk membaiki masalah audio tadi. Malangnya, masalah terlalu serius dan tidak boleh diperbaiki. 

Dalam kesibukan membaiki itu pula, hujan mula turun dengan lebatnya. Terpaksa lah kami berlari untuk berlindung dibawah sebuah pondok. Dalam gelak ketawa kami berlari itu, hampir tak perasan yang krew tadi terpaksa bergerak perlahan sambil membawa peralatan mereka. Rasa bersalah pulak….. :)

osman affanAkhirnya, setelah berteduh beberapa ketika dan melihat masa yang menunjukkan hampir pukul 5 petang, pengarah membuat keputusan bahawa rakaman perlu di tangguhkan ke hari Rabu ini…..

Bagi saya, pengalaman ini sangat menarik. Jika diikutkan, suasana agak tegang apabila berlaku salah faham semasa berkomunikasi dan semasa masalah yang tidak diduga timbul.

Namun, jika masalah mahu timbul, ia akan timbul juga. Jika peralatan mahu rosak, ia akan rosak juga. Sama seperti hujan, jika ia mahu turun, ia pasti akan turun juga.

Pengajaran paling utama yang saya dapat hari ini ialah, apabila sesuatu berlaku, saya boleh pilih apa yang saya mahu rasakan. Jadi, saya telah memilih untuk rasa seronok. Benar, memang seronok pengalaman in buat saya walaupun pelbagai masalah telah datang mengganggu.

 

Setelah anda tahu 5 asas dalam melafazkan doa, anda perlu tahu bagaimana cara melaksanakan doa supaya anda kekal bersemangat dan mula menuju ke arah matlamat anda. Kebanyakan pelajar tidak tahu 5 asas yang saya berikan semalam. Bagi pelajar yang tahu 5 asas doa itu pula tidak tahu bagaimana cara yang betul untuk melaksanakannya.

Ada 5 langkah lagi untuk melaksanakan doa (Fuhh!! banyak betul langkah ni. Harapnya anda belum penat lagi  :)   )

Langkah satu - Kenal pasti apa yang anda mahukan sejelas-jelasnya. Saya sedar kebanyakan pelajar berdoa dengan doa yang sudah dihafal. Doa-doa yang ada dalam buku semuanya bagus jika anda baca. Namun saya percaya adalah bagus juga jika anda membaca doa anda sendiri, iaitu apa yang anda inginkan dalam ayat anda sendiri. Apabila anda guna ayat sendiri, anda lebih faham apa yang anda minta, anda rasa lebih selesa dan lebih jelas tentang apa yang anda mahu. Jadi, mula tulis doa menggunakan ayat anda sendiri.

Langkah kedua - Lafazkan doa anda. Anda boleh lafaz dalam hati tetapi bagus lagi jika anda lafazkan dengan suara. Tidak perlu suara yang kuat. Cukup untuk telinga anda mendengar suara anda sendiri sahaja. Ingat, lafazkan doa dalam bentuk positif. Jangan doa “Aku tidak mahu gagal lagi”. jika anda doa begini, perkataan gagal akan memenuhi minda anda dan itulah selalunya yang akan muncul dalam hidup anda. Lafaz “aku berjaya dalam peperiksaan UPSR/PMR/SPM/STPM dengan 5A/6A/7A….”

(Saya akan kongsikan langkah seterusnya esok)

Motivasi terakhir untuk motivasi diri menjelang peperiksaan yang ingin saya kongsikan hari ini adalah tips yang paling penting dan meliputi semua tips-tips yang telah saya berikan. Tips hari ini ialah doa yang khusus.

Sepanjang pengalaman saya dan rakan-rakan saya sebagai pelajar dulu, kami percaya doa adalah satu senjata paling hebat yang dimiliki oleh seorang pelajar. Jika anda tidak bersemangat, mungkin ia kerana anda kurang berdoa. Jika anda selalu berdoa tetapi tidak masih kurang bersemangat, mungkin ia kerana doa anda tidak memenuhi ciri-ciri yang diperlukan.

Hari ini, saya berikan lima perkara asas dalam melafazkan doa. Asas ini saya pelajari daripada ustaz saya semasa saya berada di Tingkatan 1 dulu. (Lama dah tu :)   )Perkara asas ini seperti lima jari anda.

doa

Esok saya akan terangkan beberapa aspek lain tentang teknik berdoa.

Tingkatkan tahap Motivasi!

Motivasi diri menjelang peperiksaan hari ini ialah dengan mulakan dengan nyalaan api yang kecil. Satu cara yang saya kongsikan untuk menyalakan api yang kecil itu ialah dengan menguasai satu bahagian kecil dalam pelajaran anda dan biarkan ia merebak ke bahagian lain matapelajaran itu.

Tips hari ini ialah untuk anda menyalakan api kecil itu, bukan dengan menguasai subjek, tetapi dengan mencari apakah perkara yang boleh menyalakan api kecil dalam diri anda itu. Maksudnya begini. Pernahkah anda sedang buat sesuatu seperti menonton televisyen, bermain bolasepak, berjalan-jalan, membeli belah atau berehat, tiba-tiba sahaja anda rasa semangat anda untuk belajar meningkat. Anda jadi bersemangat dengan tiba-tiba. Apabila itu berlaku, anda terus rasa rajin untuk belajar dan mengulangkaji. Apa yang berlaku ini ialah api semangat yang kecil itu telah menyala. Ia tidak menyala dengan sendiri, tetapi sesuatu yang anda lakukan telah menyalakannya.

osman affan

Tugas anda hari ini ialah untuk mencari apakah aktiviti yang anda lakukan yang boleh menyalakan api semangat dalam diri anda ini. Ia tidak semestinya anda mesti baca buku. Jika anda tanya saya, api semangat dalam diri saya selalunya menyala jika saya menonton movie yang berkisahkan kehebatan manusia seperti kisah Ejen rahsia yang hebat seperti ‘The Bourne Identity & The Bourne Supremacy’ dan beberapa cerita fantasi lain. (Malu pula saya hendak nyatakan filem-filem fantasi berasaskan komik yang saya minati :)   ) Apabila saya menonton cerita begini, saya rasa bersemangat dan bermotivasi apabila melihat kehebatan watak-watak dalam cerita itu. Ini secara langsung menyalakan api kecil dalam diri saya. Jadi, setiap kali saya hilang semangat dan memerlukan api kecil itu, saya akan pasang vcd movie yang saya minat tadi.

Bagaimana dengan anda? Apakah aktiviti begini untuk anda? Saya perlu ingatkan bahawa pada mulanya agak sukar untuk mencari aktiviti ini tetapi jika anda teruskan usaha dan membuka mata dan minda anda, insyaallah anda akan jumpa.

Selamat Mencari dan selamat meningkatkan tahap Motivasi!

 

Motivasi hari agak penting. Seperti yang telah saya terangkan sebelum ini, jika anda hendak mengekalkan motivasi diri, anda perlu mengekalkan imej kejayaan dan imej positif di dalam diri anda. Salah satu cara mudah untuk mencapai perkara ini ialah dengan berlakon. Ya, berlakon!

Apa yang perlu anda buat ialah, apabila anda hendak duduk dan mula belajar, berlakon seolah-olah anda adalah seorang pelajar paling pintar di Malaysia. Apabila hendak berlakon, anda perlu buat betul-betul seperti orang berlakon. Anda perlu duduk seperti pelajar pintar, anda perlu buat memek muka seperti pelajar pintar, dan bergerak juga seperti pelajar pintar. Bagaimana pelajar pintar lakukan semua itu? Anda cuma perlu bayangkan sahaja kalau seseorang itu pelajar pintar, bagaimana agaknya cara mereka lakukan semua perkara tadi.

Osman Affan

Berlakon yang anda juga adalah seorang pelajar pintar yang paling bersemangat semasa belajar. Berlakon seperti anda betul-betul berseronok dan gembira semasa anda belajar dan mengulangkaji.

Mengapa perlu berlakon?……… Sebabnya, otak anda tidak dapat membezakan sama ada berlakon atau betul-betul rasa seronok dan pintar semasa belajar. jadi, bila anda berlakon seperti pelajar pintar, pergerakan tubuh anda akan berubah jadi seperti pelajar pintar dengan sendirinya. Tetapi yang lebih hebat, pemikiran anda akan jadi lebih lancar dan lebih mudah untuk memahami sesuatu. pendek kata, anda betul-betul jadi pelajar pintar.

Saya faham, selalunya tidak lama anda boleh kekalkan berlakon begini. Tidak mengapa. Ada yang bertahan selama 10 minit. Ada yang lebih. Tetapi buat teknik ini setiap kali anda mahu belajar. lama kelamaan anda akan bertahan lebih lama. Beri sedikit masa sahaja lagi, insyaallah anda akan kekal berfikiran seperti seorang pelajar paling pintar di Malaysia.  :)

Selamat mencuba. Tingkatkan tahap Motivasi!

 

Motivasi diri menjelang peperiksaan hari ini ialah, mulakan dengan api semangat yang kecil dan biar ia merebak menjadi api semangat yang berkobar-kobar. Biar saya terangkan dengan lebih lanjut.

Biasanya, anda tidak bersemangat tentang suatu subjek kerana anda tidak pandai subjek itu. Jika anda tidak pandai Bahasa Inggeris, pasti anda tidak suka subjek itu. Kalau ada masa lapang, anda pasti akan ulangkaji subjek yang anda lebih suka dan pandai, bukan subjek bahasa Inggeris. Untuk menaikkan minat dan motivasi anda terhadap matapelajaran yang anda tidak pandai ini ialah, pilih hanya satu bahagian kecil yang boleh anda kuasai.

osman affan

Anda tidak boleh kuasai Bahasa Inggeris dengan sekelip mata. Anda tahu banyak benda yang anda tidak tahu, jadi ini akan melemahkan semangat anda. Jadi, apa yang patut anda buat sekarang, cari satu bahagian kecil dalam Bahasa Inggeris yang anda mahu kuasai. Contohnya, anda mahu kuasai perkara asas dahulu, apakah perbezaan antara Noun dan Verb. (jika anda rasa ini mudah, jangan terkejut jika saya kata saya jumpa terlalu ramai pelajar walaupun sudah disekolah menengah tidak tahu beza dua perkara ini.

Fahami betul-betul apa maksud noun dan verb ini. Cari perbezaan mereka. Cari perkataan-perkataan yang dikatakan verb dan juga noun. Pendek kata, belajar betul-betul sampai anda nampak 2 perkara ini mudah sahaja. Ini yang saya maksudkan dengan bermula dengan api semangat yang kecil. Apabila anda sudah menguasai sesuatu walaupun ia kecil sahaja, ia adalah satu api semangat yang telah mula menyala dalam diri anda. Percayalah bahawa, setelah api semangat yang kecil ini telah menyala, anda akan rasa lebih berminat untuk menambahkan apa yang anda tahu. Jadi anda kuasai bahagain lain pula.

Semakin banyak yang anda kuasai, semakin besar nyalaan api semangat ini. Keyakinan diri anda akan bertambah. Penguasaan anda terhadap subjek juga akan bertambah. Apabila api ini sudah cukup besar dan menyala dengan begitu berkobar-kobar, insyaallah saya percaya anda akan kecapi kejayaan yang anda idam-idamkan. Tingkatkan tahap Motivasi!

 

Motivasi hari ini, sama seperti petua semalam, jika anda boleh mengekalkan imej positif dan imej kejayaan dalam minda anda dengan berkawan dengan pelajar-pelajar yang bersemangat untuk berjaya, anda juga boleh kekalkan imej positif dengan menjauhkan diri daripada pelajar-pelajar yang bersifat negatif, malas, biadap, bising dalam kelas dan tidak mementingkan pelajaran mereka.

osman affan

Apabila saya katakan menjauhkan diri, ia tidak bermaksud anda memutuskan persahabatan dengan sahabat-sahabat anda ini. Ia bermaksud anda perlu kurangkan masa bergaul dengan mereka dan jauhkan dari mengikuti aktiviti-aktiviti mereka yang membuang masa. Tahap Motivasi anda akan jatuh atau menurun jika anda terlalu mengikut aktiviti mereka.

Ada satu pepatah Inggeris yang mengatakan bahawa, “jika anda mahu terbang bersama helang di langit, anda tidak boleh terus mencakar bersama ayam di tanah”. Jadi, terbanglah bersama dengan kawan-kawan pelajar yang mempunyai ketinggian dalam tahap Motivasi!

 

Next Page »