PowerPoint


Jika anda sudah biasa melawat blog saya ini, sudah pasti anda pernah membaca 21 tips menggunakan microsoft powerpoint yang saya pernah tuliskan dulu. Saya juga ada letakkan semula tips ini di dalam ruangan kompilasi, www.osmanaffan.com/kompilasi.htm .

Saya dapati terdapat sambutan yang sangat menggalakkan untuk tips microsoft PowerPoint ini. Apabila saya buat program presentation skills atau public speaking di universiti atau kolej, 21 tips ini sangat berguna. CUma kadangkala saya tidak sempat untuk menerangkannya dengan jelas kerana kesuntukan masa.

Jadi, apa yang boleh saya lakukan ialah saya kumpulkan semula tips ini, tambahkan sedikit lagi maklumat dan jadikannya satu ebook. Ebook ini anda boleh download secara percuma nanti. Mengapa nanti? Hmm…saya masih dalam proses menyusun semula. Saya jangka ia akan siap selepas Raya nanti.

Jadi, nantikan kemunculan ebook ini nanti.

p/s Terima kasih kepada Zaizen, www.graphicsalien.com di atas design ebook yang sangat menarik ini.

 

Anda mungkin telah baca tips-tips power point yang saya tuliskan di blog ini beberapa minggu lalu. Saya baru sahaja mengemaskinikan ruangan kompilasi di laman web saya. Jadi anda boleh baca kompilasi ketujuh ’21 tips power point’ di http://www.osmanaffan.com/kompilasi.htm

Selamat membaca.:)

power pointKebetulan pula, sebaik sahaja saya habis bercerita tentang 21 tips Microsoft Power Point, saya dijemput mengendalikan satu sesi mengajar teknik presentation menggunakan perisian ini oleh UIA, Gombak. Di dalam program ini, saya juga terangkan asas-asas dalam membuat presentation (untuk assignment dan course subject) supaya mahasiswa dan mahasiswi mendapat perhatian dan mendapat markah yang tinggi daripada pensyarah.

Jika anda tanya saya, apa yang perlu dilakukan untuk membuat presentation anda menjadi menarik dan boleh mendapat markah yang tinggi, saya akan katakan…… “Ceritakan tentang sesuatu yang berkait dengan penonton (audience) anda”. Contoh yang saya berikan ialah, jika presentation anda adalah mengenai air mineral, tentu presentation anda akan jadi membosankan jika anda hanya bercerita tentang kandungan air, kebaikan air mineral dan bagaimana air mineral dihasilkan.

Kebanyakan pendengar anda tentu tidak begitu berminat hendak tahu bagaimana air mineral dihasilkan kerana perkara itu tidak ada kena mengena dengan mereka (melainkan mereka bercita-cita nak bekerja di kilang yang memproses air mineral :)   ). Cari fakta atau perkara tentang air mineral yang boleh menarik perhatian penonton anda. Cari sesuatu yang berkait dengan mereka. Contohnya, jika anda ceritakan tentang kebaikan air mineral, tanya penonton anda air apa yang mereka minum setiap hari. Ceritakan kepada mereka apa akibat jika meminum air yang mereka minum itu.

Ini juga bermaksud, anda perlu lakukan kajian anda. Saya faham, tugas nak buat kajian ni memang kelihatan sukar sedikit. Tetapi jika anda boleh bayangkan presentation anda yang disukai dan diberi sepenuh perhatian oleh penonton anda, pasti anda rasa lebih bersemangat untuk membuat kajian. Jadi, teruskan usaha anda untuk membuat presentation yang terbaik. :)

Ini adalah tip terakhir dalam siri tips Microsoft Power Point ini. Tip ini berkata, “Keep on improving”, terus majukan diri anda.

Seperti yang saya katakan di awal tips ini dahulu, Microsoft Power Point adalah satu perisian yang mempunyai fungsi yang sangat banyak. Anda tidak perlu tahu kesemuanya baru boleh anda jadi seorang yang dikatakan pandai menggunakannya. Saya percaya tips-tips yang saya kongsikan disini boleh membantu memajukan kebolehan anda menggunakan power point ini.

Seperti kata tip terakhir ini, jangan sekali-kali berhenti belajar kerana anda rasa anda sudah tahu semuanya. Saya sendiri pun masih lagi belajar perkara-perkara yang baru. Kadang-kadang perkara baru itu saya pelajari daripada seseorang yang masih baru menggunakan perisian ini. Ini terjadi kerana, kita selalunya belajar perkara yang berlainan. Jadi, walaupun anda sedang melihat presentation seseorang yang baru menggunakan perisian ini, jangan rasa anda lebih baik. Jangan malu untuk belajar apa yang baru dan menarik yang dapat anda saksikan dalam presentation seseorang itu.

Akhir kata, saya ucapkan selamat berjaya kepada anda semua. Selamat memajukan kemahiran penggunaan perisian power point anda. Jika anda sudah kuasai tips-tips ini, jangan lupa kongsikan dan ajarkan kepada kawan-kawan yang lain pula. :)

power pointTip ke 20 ini amat mudah. Tip ini kata, “Keep on trying”, teruskan mencuba. Mengapa saya beri tip ini? Mudah sahaja.

Saya mula meningkatkan kebolehan saya menggunakan power point pada tahun 2005 semasa saya menyambung pengajian di peringkat Master di UIA. Ketika itu saya mengambil subjek Educational Measurement & Statistics. Kebetulan, pensyarah saya ketika itu mahu membuat satu kelainan. Selain daripada belajar statistik, pensyarah saya mahu semua pelajar membuat satu portfolio apa yang telah dipelajari menggunakan power point. Portfolio ni nak senang cerita, kita panggil buat nota la.

Ketika itu juga, pensyarah saya tidak tahu bagaimana bentuk dan cara ia patut power pointdilakukan. Jadi dia serahkan kepada pelajar untuk melakukannya dengan cara masing-masing.Pensyarah cuma akan memeriksa portfolio ini setiap 4 minggu. Oleh kerana modul ini mengambil masa 3 bulan, jadi pensyarah akan memeriksa portfolio ini sebanyak 3 kali.

Saya pun mula lah cuba membuat portfolio ini. Susah juga. Saya lihat semua pelajar lain macam dah banyak dilakukan dalam minggu pertama dan kedua. Saya masih lagi tidak ada idea. AKhirnya, di akhir minggu ketiga, saya dapat idea bagaimana saya mahu lakukannya.

Jadi saya buat portfolio ini mengikut idea saya. Hasilnya, apabila pensyarah saya periksa di akhir minggu keempat, dia memilih portfolio saya sebagai contoh. Saya jadi seronok. lebih banyak saya pelajari untuk memperbaiki portfolio saya itu. Di akhir minggu ke lapan, pensyarah memeriksa semua portfolio pelajar satu persatu di power pointdalam kelas. Apabila saya mahu hantar untuk diperiksa, pensyarah saya suruh saya hantar akhir sekali nanti. Akhirnya, bila tiba saya menghantar portfolio saya, pensyarah meminta saya berdiri di hadapan dan ceritakan kepada kelas bagaimana saya buat keseluruhan portfolio saya itu. Ada antara pelajar seperti tidak percaya apa yang saya tunjukkan itu menggunakan microsoft powerpoint. Mereka sangka saya gunakan perisian lain.

Di akhir semester, saya mendapat A+ dalam subjek ini dan saya diberitahu yang pensyarah saya tadi menggunakan portfolio saya tadi sebagai contoh untuk kelas beliau di semester seterusnya. Itu merupakan satu pencapaian yang memberi kenangan manis kepada saya semasa mengikuti pengajian Master tersebut.

Persoalannya, bagaimana saya dapat lakukan dan hasilkan portfolio terbaik ketika itu menggunakan power point? Mudah juga, saya guna tip ke 20 ini, “keep on trying”.

Banyak ketikanya saya rasa susah untuk menggunakan power point ini. Apabila apa yang saya buat tidak menjadi, kadang-kadang rasa sakit hati sampai rasa nak tendang komputer saya tu. (Rasa je, tak pernah seumur saya tendang komputer :) ) Apabila apa yang saya nak buat tak menjadi, dan apabila saya terus mencuba, ada satu perkara pelik berlaku. Perkara pelik itu ialah, saya akan pelajari sesuatu yang lain, yang lebih hebat. Jadi, setiap kali ada masalah dan apabila saya terus mencuba, saya yakin bahawa saya akan pelajari sesuatu yang baru dan hebat. Tak ada lah rasa tension sangat bila dah berfikiran macam ni.

Saya percaya, kesemua 21 tips yang saya berikan kepada anda ini adalah berasal daripada pengalaman saya menghasilkan portfolio tadi. Jika anda gunakan kesemua tips-tips ini, saya percaya anda juga akan majukan kebolehan anda menggunakan perisian Power Point ini.

Selamat mencuba. :)

Tip ke 19, gunakan animasi untuk menggambarkan isi kandungan anda.

Semasa anda membuat presentation, lebih separuh daripada penonton anda ialah cenderung kepada visual dan auditori. Maksudnya, mereka suka lihat dan dengar. Anda akan dapat menarik perhatian mereka dengan lebih baik jika anda gunakan animasi yang mungkin melibatkan penggunaan bunyi juga. Tetapi pastikan ia tidak bercanggah dengan tip 2 dan 3.

Saya berikan contoh. Dalam program saya, saya selalu ceritakan kisah seorang saintis dan seekor kutu di mana saintis ini mahu melatih kutu ini untuk melompat tidak lebih daripada satu balang kaca. Selama ini saya hanya bercerita mengenai kisah ini. Namun, setelah saya pelajari sedikit asas membuat animasi menggunakan macromedia fireworks, saya buat sedikit animasi menunjukkan bagaimana kutu itu melompat keluar daripada balang kaca. Hasilnya, saya dapat menceritakan kisah ini dengan lebih baik.

Saya faham jika anda kata anda tidak pandai membuat animasi. Jangan risau, Anda mungkin boleh dapatkan khidmat sesiapa atau anda boleh gunakan mana-mana animasi sedia ada yang sesuai dengan presentation anda. Apa-apa pun, jangan mengalah sebelum mencuba.

Selain daripada animasi, klip video juga sangat menarik untuk digunakan. Saya selalu gunakan klip video untuk menerangkan mesej saya. Anda boleh cari klip-klip video yang sesuai atau kelakar dengan menaip ‘funny videos’ di enjin pencari. Cuma, anda perlu berhati-hati supaya tidak menunjukkan klip video yang tidak sesuai. Tidak semua klip video yang sesuai digunakan. Dalam simpanan saya, ada lebih 400 video klip. Namun, cuma ada lebih kurang 20 sahaja klip video yang sesuai untuk presentation saya. Jadi, perlu sabar semasa mencari klip video yang sesuai.

Kesimpulannya, fikirkan bagaimana anda boleh menggunakan animasi untuk menerangkan dengan lebih jelas tentang mesej anda.

Selamat mencuba. :)

Tip ke 18 ialah, jika anda membuat power point presentation, anda mesti rancang perjalanan presentation anda dari awal hingga akhir. Maksudnya, anda perlu susun slide-slide anda mengikut turutan apa yang anda persembahkan. Pelik, ada ke sesiapa yang tidak susun presentation mereka?

Sudah tentu ada. Ramai pulak tu. Maksud saya di sini ialah, saya lihat ramai presenter yang apabila membuat power point presentation, terpaksa melompat dari satu slide ke slide lain tanpa mengikut turutan. Katakan presenter sedang menunjukkan slide ke 10, tiba-tiba dia exit slide show dan melompat ke slide yang ke 25. Lebih teruk lagi, presenter ini akan melompat ke file power point yang lain pula.

Jika anda melompat dari satu slide ke slide yang lain dengan tidak teratur, anda akan kelihatan seperti membuat kerja di saat akhir. Penonton anda juga akan jadi tidak tentu arah, kerana sukar untuk memahami presentation yang tidak teratur ini.

Jadi, rancang presentation dari awal hingga akhir. Pastikan apabila anda membuat slide show, anda tidak perlu keluar daripadanya lagi. Anda boleh terus klik slide show anda dari awal hingga akhir. Selamat mencuba. :)

Jika anda mahu membuat presentation, pernahkah anda merasa bimbang jika anda terlupa mahu katakan sesuatu yang penting? Ya, inilah satu perkara yang saya selalu bimbangkan semasa saya mula-mula menceburi bidang profesional training dahulu. Namun, satu keindahan menggunakan power point ialah, anda boleh letakkan semua isi penting yang ingin anda katakan di slide anda.

Katakan anda mahu bercerita tentang satu kisah semasa menerangkan sesuatu fakta. Kadang-kadang, apabila anda terlalu sibuk menerangkan tentang fakta itu, anda terlupa hendak menceritakan kisah yang anda mahu ceritakan tadi. Jadi, apa yang boleh anda lakukan dengan mudah ialah, letakkan di slide anda isi seperti “Kisah seorang saintis dan seekor kutu’, atau “Mengapa mudah mengantuk selepas makan”.

Walaupun tips ini nampak mudah, saya jarang melihat penceramah menggunakannya. Selalunya, seseorang penceramah bergantung kepada apa yang mereka ingat. Jadi, peluang untuk lupa adalah lebih besar.

power pointKadang-kadang, anda tidak perlu tulis isi yang anda mahu katakan. Anda boleh letakkan gambar. Gambar sangat menarik jika anda gunakan. Contohnya, dalam program saya, ada saya ceritakan tentang sejenis ulat bulu yang suka berjalan mengikut ulat bulu yang lain. Ulat bulu ini dinamakan ‘processionary caterpillar’. Jadi, untuk mengingatkan saya sendiri supaya bercerita tentang ulat bulu ini, saya letakkan gambar ulat bulu ini di slide yang berkenaan. (Di mana mahu cari gambar begini? Mudah sahaja, cari di enjin pencari :) )

Ada masanya, saya akan gariskan atau warnakan dengan warna tertentu isi kandungan yang saya tunjukkan. Apabila saya lihat ada garisan di bawah tulisan atau warna tulisan itu berlainan daripada isi kandungan lain, saya tahu slide selepas itu ada sesuatu seperti video clip atau gambar khas yang ingin saya tunjukkan.

Jadi, letakkan semua isi penting anda di slide supaya anda tidak terlepas untuk menceritakannya. :)

 

Tip yang seterusnya untuk anda memajukan penggunaan Microsoft Power Point anda ialah dengan menggunakan maklumat tutorial percuam yang mudah didapati di internet. Anda perlu ingat, anda tidak perlu tahu semua mengenai powerpoint. Ini kerana, tujuan anda belaajr powerpoint bukanlah untuk menjadi seorang pensyarah yang mengajar powerpoint. Jadi, tidak perlu tahu kesemuanya.

power pointNamun, mana-mana bahagian penggunaan powerpoint yang anda tidak tahu, anda boleh cari maklumat cara penggunaannya di internet secara percuma. Apa yang perlu anda lakukan ialah, masuk ke enjin pencari dan taip “powerpoint tutorial”. Jika anda lihat hasilnya seperti imej yang saya tunjukkan, anda pasti tahu sebenarnya banyak maklumat yang anda boleh perolehi dengan mudah untuk belajar powerpoint.

Malah, inilah cara utama bagaimana saya majukan cara penggunaan powerpoint saya. Apabila saya terlihat sesuatu yang menarik, saya akan fikirkan bagaimana mahu membuatnya di powerpoint. Contohnya, beberapa minggu lepas ketika menemani anak saya menonton Disney Channel, “Make way for Noddy”, saya terlihat satu animasi mudah yang menunjukkan bagaimana pintu garaj tertutup dari atas dan naik semula. Apabila ia naik semula, ada satu imej baru yang muncul di dalam garaj itu.

powerpointIni membuat saya terfikir bagaimanakah caranya untuk membuat kesan begini untuk powerpoint. Saya fikir, menarik juga jika saya tukar slide saya dengan menunjukkan pintu garaj turun daripada atas dan naik semula. (Saya gunakan drawing tool untuk buat pintu garaj ringkas seperti imej disebelah). Apabila pintu itu naik semula, ada slide baru yang saya tonjolkan. Setelah beberapa kali mencuba dan mencari idea melalui tutorial powerpoint di internet, saya dapat caranya. Walaupun isteri saya kata ia kelihatan kelakar kalau saya gunakan, saya masih berpuas hati kerana berjaya mencari cara untuk membuatnya.

Jadi, gunakan tutorial percuma di internet untuk memajukan penggunaan perisian power point anda. :)

 

Tip yang ke 15 ialah, untuk kelihatan lebih cekap dan mahir dalam menggunakan power point, anda perlu pelajari beberapa perisian lain. Contohnya, saya pelajari perisian Macromedia Fireworks dan juga windows movie maker untuk membantu beberapa aspek dalam power point presentation saya.

Perisian fireworks adalah untuk saya olah gambar, buat animasi atau membuat background powerpoint saya sendiri. Jika anda lihat contoh gambar background dalam power point saya di tip-tip lepas, saya gunakan perisian fireworks ini. Selain daripada fireworks, perisian yang lebih kurang sama (malah lebih baik) ialah perisian photoshop.

Pentingkah pelajari perisian lain…………………………………..? Ya, sangat penting. Bayangkan jika anda mahu belajar memasak. Adakah anda akan belajar menggoreng, merebus, mengukus dan memanggang sahaja? Tentu tidak kan? Anda perlu belajar juga memotong (bawang,sayur, ayam & daging) dan memilih bahan yang sesuai untuk di masak. Maksudnya, untuk mahir dalam sesuatu ilmu, anda perlu pelajari beberapa ilmu lain disekitarnya.

Sama seperti saya sendiri, walaupun saya adalah professional trainer dalam motivasi dan kemahiran belajar, selain menambahkan pengetahuan saya dalam bidang psikologi, saya juga pelajari tentang komputer dan perisiannya. Saya perlu belajar tentang teknik pemasaran kerana teknik pemasaran (marketing) banyak boleh dikaitkan dengan kebolehan menarik minat sewaktu memberi ceramah), dan saya juga perlu pelajari tentang menguruskan laman web. Hasilnya, saya dapat kongsikan bidang kepakaran saya dalam laman web saya seperti apa yang saya lakukan di blog ini. :)

Jadi, mulai hari ini, pelajari beberapa perisian lain yang boleh membantu kemahiran penggunaan perisian power point anda.

Next Page »