Mutiara Kata


Bagi setiap usaha yang disertai dengan disiplin, pasti akan ada ganjaran yang berganda. ~Jim Rohn

Semasa menjalankan sesi kaunseling, saya dengar banyak cerita daripada ibu bapa tentang anak-anak mereka yang mulanya cemerlang di dalam darjah 1,2 dan 3 tetapi kemudian semakin merosot apabila masuk darjah 4 ke atas. Apakah puncanya? Jika saya tanya ibu bapa apakah puncanya, apa agaknya jawapan mereka?

Majoriti ibu bapa meneka puncanya ialah cikgu yang mengajar dan juga keadaan sekolah yang tidak terkawal. Apa pendapat anda?

Perkara terbaik yang harus kita buat ialah elakkan dari menuding jari ke arah orang lain. Tuding jari ke arah kita dahulu. :) Saya akan kongsikan sedikit pemerhatian saya terhadap perkara ini.

JIka anda cemerlang diperingkat bawahan dan kemudian semakin menurun, besar kemungkinannya anda mempunyai potensi kelebihan intelek. Maksud saya, anda mempunyai kelebihan untuk belajar sesuatu dengan mudah. Jadi, anda berpeluang untuk menjadi pelajar yang sangat cemerlang. Tetapi kenapa prestasi anda semakin menurun?

Ia berlaku kerana anda tidak mempunyai disiplin belajar. Pada peringkat bawahan, anda boleh menjawab dengan baik dalam peperiksaan kerana anda mudah ingat apa yang cikgu anda ajar di dalam kelas. Jadi, walaupun tanpa ulangkaji, anda boleh menjawab dengan baik. Selepas darjah 3 ke atas, pembelajaran bukan sahaja anda perlu faham apa yang cikgu ajar di dalam kelas, tetapi anda perlu buat latihan tubi supaya ilmu itu sebati dengan anda.

Mungkin di sinilah kurangnya anda. Anda mungkin terasa yang menjawab peperiksaan tidak semudah dulu. Sebabnya, dulu anda tidak perlu mengulangkaji, tetapi kini disiplin untuk mengulangkaji dan membuat latihan adalah sangat penting.

Jadi, jangan risau jika prestasi anda semakin merosot. Anda bukan semakin bodoh. Apa yang perlu anda lakukan? Disiplinkan diri untuk mengulangkaji setiap hari dan membuat latihan matapelajaran anda. Insyallah, anda akan lihat prestasi anda meningkat semula. Inilah yang Jim Rohn maksudkan dengan ganjaran yang berganda.  :)

 

Imaginasi adalah lebih penting daripada kebijaksanaan. ~Albert Einstein

Imaginasi adalah sesuatu yang amat berguna kepada pelajar. Ia boleh membuat pelajar merasa bahawa belajar itu susah, atau belajar itu senang. Maksudnya, jika di dalam imaginasi pelajar itu menunjukkan bahawa belajar itu adalah perkara susah, maka pelajar itu pasti merasa susah semasa hendak belajar.

Begitu juga sebaliknya jika imaginasi pelajar menunjukkan bahawa belajar itu mudah dan menyeronokkan, ia akan menjadi nyata.

Jadi, jika anda belajar itu susah, periksa semula apakah imaginasi anda terhadap pelajaran?

 

Bodoh adalah apabila anda merasa terlalu pandai dan tidak mahu mendengar nasihat orang lain. ~Osman Affan

Saya tidak suka bercakap tentang perkataan bodoh sebenarnya kerana ia amat sensitif dan kalau disalah guna akan mendatangkan akibat yang tidak baik dalam jangka masa panjang. Saya selalu ingatkan sahabat-sahabat saya agar jangan sekali-kali menggunakan perkataan ‘bodoh’ kepada pelajar kerana kesannya sangatlah tidak baik.

Apa yang kita perlu ingat ialah, bodoh ini bukan satu sifat. Maksudnya, kalau tak tau jawab soalan, itu bukan bodoh. Kalau gagal dalam peperiksaan itu bukan bodoh. Bodoh ini ialah satu sikap. Ia adalah satu sikap anda bila anda merasa terlalu pandai dan mula tidak mahu mendengar nasihat atau pendapat orang lain.

Disekolah, saya pernah bertemu dengan murid sebegini. mereka ini selalu mencari kesalahan guru dan mentertawakan guru jika guru ada membuat kesilapan. Elakkan sejauh-jauhnya daripada menjadi pelajar sebegini.  :)

 

Jangan bazirkan tenaga anda untuk mencari alasan. Sebaliknya, gunakan segala keupayaan anda untuk mencari dan mencipta jalan penyelesaian. ~Osman Affan

Kenapa kerja sekolah tak siap? “Rumah saya ada kenduri semalam cikgu.”

Kenapa tak datang kelas tambahan semalam? “Kawan-kawan tak beritahu saya ada kelas cikgu.”

Kenapa gagal dalam ujian ni? “Cikgu ajar tak jelas. Lagi pun saya memang lemah sikit subjek ni.”

Semakin banyak kita gunakan keupayaan kita untuk mencipta alasan, semakin kurang keupayaan kita untuk mencari jalan penyelesaian. Akhirnya, kita akan sentiasa tersekat di takuk lama.

Setiap kali ada masalah, elakkan dari menuding jari ke arah orang lain. Cari kesilapan dari dalam diri sendiri dahulu kerana di situlah selalunya punya kebanyakan masalah kita. Bila kita sudah akui kesilapan kita, lebih mudahlah untuk kita perbaiki dan majukan diri kita sehingga berjaya.

 

Memburu kejayaan tidak seperti menjamu selera di kedai makan; makan dahulu bayar kemudian. Memburu kejayaan umpama menanam pokok buah-buahan. Tanam, jaga dan nikmati hasilnya kemudian. ~Osman Affan~

Ada masanya kita terlalu tidak sabar untuk mengecap kejayaan. Hari ini kita belajar, esok lusa kita sudah mahu berjaya dengan cemerlang. Ada yang lebih malang lagi, mahu berjaya dahulu dengan cemerlang baru mahu ada semangat untuk berusaha.

Kita perlu ingat, kalau kita bersifat tidak sabar dalam mengejar kejayaan, kita akan mula mencari sesuatu aktiviti yang memberikan kepuasan dengan cepat. Contohnya, ada orang yang mahu menjadi kaya tetapi tidak sabar kerana usaha untuk menjadi kaya akan memakan masa yang lama, mungkin bertahun-tahun. Jadi, apa mereka lakukan? Mereka beli nombor ekor, dengan harapan, jika kena, mereka akan kaya dengan segera.

Malang juga kerana saya tahu ada orang yang bertahun-tahun habiskan masa beli nombor ekor tapi masih juga tidak kaya. Malah, jika masa yang bertahun-tahun itu dihabiskan dengan berusaha di atas jalan yang halal dan diberkati, sudah pasti mereka akan kaya raya sekarang. Fikirkanlah…..

 

Pelajar tanpa kemahiran belajar umpama mekanik yang tidak tahu membaiki kereta. ~Osman Affan~

Kita selalu dengar orang mengatakan bahawa jika anda selalu gagal dalam peperiksaan, anda mungkin seorang yang bodoh. Ada juga yang sanggup mengatakan yang otak anda lembab jika anda tidak mampu memahami apa yang cikgu anda ajarkan. benarkah begitu?

Saya tidak percaya itu semua. Saya percaya bahawa, jika anda tidak mendapat keputusan yang baik, mungkin anda masih tidak mempunyai kemahiran yang mencukupi sebagai seorang pelajar.

Sebagai pelajar, anda perlu banyak menghafal fakta, tetapi anda tidak tahu kemahiran menghafal, jadi anda gagal. Sebagai pelajar anda perlu banyak membaca, tetapi anda tidak boleh membaca dengan kadar yang pantas, jadi anda gagal membaca semua bahan bacaan yang perlu anda baca.

Apa yang perlu anda sedar di sini bahawa, jika kegagalan anda disebabkan oleh kekurangan kemahiran, bolehkah anda lakukan sesuatu?? Ya, sudah tentu anda boleh lakukan sesuatu. Kuasai semua kemahiran belajar yang boleh membantu anda.

 

“Kejayaan Boleh Diramalkan”
~Brian Tracy~

Ada orang mengatakan bahawa kejayaan adalah amat sukar untuk dicapai. Jika hendak dicapai pun susah, apatah lagi hendak diramalkan. Maksudnya, agak mustahil untuk kita meramal bahawa seseorang akan berjaya disuatu masa akan datang atau tidak.

Tetapi, menurut Brian Tracy (seorang penulis, penceramah, ahli perniagaan dan pakar motivasi terkenal) kejayaan boleh diramalkan. Maksud beliau, kita boleh tahu seseorang akan berjaya atau tidak di masa akan datang berdasarkan apa yang mereka lakukan sekarang.

Untuk lebih mudah faham, cuba bayangkan anda melihat ibu anda memasak mi segera. Anda lihat dengan teliti setiap perkara yang ibu anda lakukan. Kemudian, anda ikuti langkah itu semula satu persatu. Jika anda lakukan semua apa yang ibu anda lakukan dengan terperinci, bolehkah saya ramalkan bahawa anda pasti akan berjaya memasak mi segera sebaik ibu anda? Tentu jawapannya ya bukan?

Itulah yang dimaksudkan oleh Brian Tracy. Jika anda mahu berjaya, lakukan apa yang orang telah berjaya lakukan. Jadi, jika anda masih tidak berjaya, kaji semula apa yang anda lakukan selama ini. Mungkin ada langkah anda selama ini tidak sesuai dengan apa yang anda ingin capai.

Satu lagi pengajaran penting, jika anda masih tidak berjaya, bukan bermakna anda tidak pandai atau lemah. Ia cuma bermakna anda masih belum melakukan sesuatu dengan betul. :)

 

Jika anda lakukan sesuatu yang bodoh, semua orang pernah lakukannya. Jika anda merasa seperti orang bodoh, ada ubat untuk merawatnya. Tetapi, jika anda percaya bahawa anda adalah seorang yang bodoh, bodohlah anda jadinya. ~Osman Affan~

Apa yang kita percaya tentang diri kita, itulah diri kita yang sebenarnya. Ada pelajar yang selalu gagal dalam peperiksaan lalu percaya bahawa dia bodoh. Selagi dia percaya begitu, selagi itulah dia akan kekal bodoh. Sebaliknya, jika dia percaya bahawa kegagalan itu hanyalah satu kesilapan bodoh yang dia lakukan (sebab tidak berhati-hati semasa menjawab soalan, tidak membuat persediaan yang cukup, tidak menggunakan teknik kemahiran belajar yang baik), dia akan berusaha dengan cara yang lain untuk berjaya. Jadi, masih ada harapan! :)

Mengikut pengalaman saya, pelajar yang sering gagal sudah mula percaya yang mereka bodoh. Untuk membantu mereka, saya bukan kena ajar bagaimana mahu menjawab soalan peperiksaan dengan lebih baik, tetapi bagaimana mahu menghilangkan rasa percaya yang mereka adalah bodoh. (Ikuti catatan-catatan saya yang seterusnya dalam mencari jalan penyelesaian kepada masalah ini……. )

Osman Affan

« Previous Page