Apakah lagi sifat dan ciri-ciri yang anda pelajari dan amalkan di dalam bulan Ramadhan, yang membantu anda menuju ke arah kejayaan? Mari kita bincangkan.
Menurut pendapat pakar-pakar psikologi barat, antara satu sifat paling utama individu yang berjaya dan kaya-raya ialah”having the ability to delay gratification” (mempunyai kebolehan untuk menangguhkan keseronokan). Ia bermaksud, orang-orang yang berjaya selalunya sanggup bekerja keras dalam satu jangka masa yang lama tanpa mengharapkan pulangan yang segera. Mengapa? Kerana mereka tahu, pulangan yang akan datang nanti sangat besar dan mereka akan nikmatinya dengan penuh kepuasan.
Contohnya, pelajar cemerlang sanggup bekerja keras belajar dan mendisiplinkan diri dalam jangka masa lama. Walaupun aktiviti belajar boleh jadi memenatkan, memeningkan, dan tidak menyeronokkan, mereka masih boleh teruskan kerana mereka ada kebolehan untuk menangguhkan keseronokan yang mereka ingin kecapi. Pelajar tidak cemerlang pula asyik mahu seronok dengan cepat. Mereka rasa belajar itu memenatkan, lalu mereka bermain kerana bermain mendatangkan keseronokan segera. Mereka bosan belajar di sekolah lalu mereka ponteng kerana ponteng mendatangkan keseronokan segera.
Cuba tanya diri anda, adakah anda selalu membuat sesuatu yang mendatangkan keseronokan segera? Jika jawapan anda ya, anda perlu berhati-hati kerana itu adalah sifat yang jarang membawa kearah kejayaan atau kebahagiaan.
Satu contoh lagi orang-orang yang boleh menangguhkan keseronokan ialah para petani dan pekebun. Jika anda lihat, petani dan pekebun sanggup bekerja keras menanam pokok buah-buahan, sayur-sayuran dan sebagainya tanpa mendapat pulangan yang segera. Sebab itulah jika anda mahu belajar bagaimana mahu bersabar dan berusaha untuk mencapai kejayaan, para petani dan pekebun selalu menjadi contoh yang baik. Orang yang tidak sabar tidak boleh jadi petani kerana jika mereka tanam pokok hari ini, esok atau minggu depan mereka sudah mahu lihat hasilnya. Jika tidak ada hasil, mereka akan putus asa.
Sama seperti pelajar, pelajar yang tidak sabar apabila mereka belajar hari ini, mereka mahu terus mendapat A hari esoknya. Apabila mereka tahu mereka perlu bekerja keras belajar sepanjang tahun untuk berjaya, mereka lemah semangat dan mula putus asa. Pernahkah anda rasa begitu?
Jadi, bagaimanakah anda boleh pupuk dan bina kebolehan untuk menangguhkan keseronokan ini? Apa pula kaitannya dengan bulan Ramadhan? Saya akan terangkan esok.