Khas


upsrKepada semua pelajar tahun 6, hari ini merupakan hari yang sangat penting buat mereka. Hari peperiksaan UPSR bermula. Ini bermakna, segala persiapan yang telah dibuat selama ini akan teruji hari ini. Segala penat dan lelah semasa belajar akan dapat dilihat hasilnya tidak lama lagi.

Saya percaya, jika anda berusaha, kejayaan pasti akan menjadi milik anda. Dalam masa peperiksaan ini, lupakan seketika hasil yang anda inginkan. Tumpukan perhatian anda kepada soalan yang anda perlu jawab. Ini akan mengurangkan rasa tertekan yang anda rasa selama ini. Sama seperti mendaki gunung, anda perlu lihat puncak gunung yang ingin anda tawan. Namun, dalam masa yang sama, jangan lupa lihat kepada apa yang anda lalui di depan anda. Jika anda upsrasyik lihat puncak gunun, anda mungkin akan langgar semua batu kecil di hadapan anda yang mungkin menyebabkan anda gagal sampai ke puncak.

Sekali lagi, saya dan team SmartStudy mengucapkan selamat menduduki peperiksaan untuk semua pelajar tahun 6 di seluruh Malaysia. Selamat Berjaya! :)

 

 

johorSejak Sabtu lalu hingga semalam, saya berada di Johor Baru bagi menjayakan program ‘Pecutan Akhir’ bagi Yayasan Bandaraya Johor Baru dan juga Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Wangsa. Selama beberapa hari saya tinggal di hotel berhampiran bangunan Kotaraya Johor Baru. Itu bermakna, makan tengahari, minum petang atau makan malam, saya sentiasa ke bangunan Kotaraya ini. Bangunan ini sudah tidak asing lagi buat saya kerana disitulah letaknya pejabat Unit Bestari Johor Corporation. Bulan ini sahaja sudah 2 kali saya mengadakana program bersama mereka.

Bagi staff restoran Singgah Selalu, mungkin mereka sudah mula kenal muka saya yang hampir 3 kali sehari datang ke restoran mereka. Saya pilih restoran ini kerana mudah untuk saya bawa isteri dan anak saya. Anak saya boleh bermain di dalam satu bilik yang dipenuhi bola (Anak saya ni memang suka sangat dengan bola sampai ada bermacam-macam jenis bola ada di rumah saya :)   ).

johorProgram Pecutan Akhir sebenarnya adalah program yang menerangkan apa yang pelajar perlu lakukan menjelang peperiksaan utama. Banyak ketikanya, pelajar merasa buntu dan tertekan menjelang peperiksaan hingga tidak tahu apa yang perlu mereka lakukan. Lebih buruk lagi, jika mereka terlalu tertekan dan buntu, mereka mungkin akan hilang keupayaan untuk menjawab dengan baik dalam peperiksaan. Di zaman saya bersekolah dulu, saya ada dengar kisah pelajar yang langung ‘blank’ dalam dewan peperiksaan hingga dia tidak sedar langsung apa yang dia lakukan semasa peperiksaan. Akhirnya, setelah keputusan peperiksaan untuk kertas itu keluar, dia gagal dan yang lebih memeranjatkan, dia cuma menghantar kertas kosong. Pelajar ini langsung tidak ingat yang dia sendiri menghantar kertas kosong disebabkan fikirannya yang ‘blank’ semasa peperiksaan itu.

Jadi, di dalam program ini saya kongsikan beberapa tips dan teknik untuk bersedia menghadapi peperiksaan. Antaranya ialah pelajar perlu tahu bagaimana mahu menenangkan diri mereka jika mereka resah atau blank dalam dewan peperiksaan.

Mari saya kongsikan satu teknik apa yang boleh anda lakukan jika anda rasa tiba-tiba blank atau lupa semua yang telah anda pelajari. Jika anda rasa begitu dalam dewan peperiksaan, lepaskan pen dan pensel. letakkan tangan anda di atas meja dan bertenang. Pejam mata anda. Tarik nafas dengan tenang beberapa kali. Lupakan semua perkara buat seketika. Pejam mata seolah-olah atau sedang lena tidur dan tidak berada di dalam dewan peperiksaan itu. kemudian, setelah 15-20 saat, buka mata anda semula. Dengan tenang, cuba jawab semula soalan yang anda mahu jawab.

Teknik ini selalunya akan buat anda jadi lebih tenang. Bila anda sudah tenang, anda akan lebih mudah ingat apa yang telah anda pelajari. Selamat mencuba. :)

karangkrafSejak bulan Mac 2007, saya menulis ruangan teknik belajar di majalah Fokus SPM terbitan Karangkraf Sdn Bhd.. Karangkraf sudah agak terkenal kerana menerbitkan banyak bahan bacaan terutamanya majalah. Buat kali pertama pada minggu lalu, saya berpeluang mengendalikan satu program SmartStudy bersama anak-anak kakitangan di Karangkraf ini.

Program ini bermula dengan taklimat awal oleh En Hashim, pengurus hubungan awam di syarikat ini. Suasana agak ceria ketika ini. Suasananya membuat saya terasa seperti menghadiri hari keluarga di zaman kanak-kanak dahulu. Selepas tamat sesi taklimat ini, program pun dimulakan.

Program ini disertai oleh pelajar dari peringkat sekolah rendah hinggalah ke peringkat SPM. Seperti program-program yang pernah saya kendalikan sebelum ini, saya kongsikan 3 langkah untuk menjadi seorang pelajar cemerlang iaitu persediaan minda, kemahiran belajar dan psikologi menghadapi peperiksaan.

karangkrafProgram ini turut dihadiri oleh Pengarah Urusan Karangkraf, Tuan Haji Hussamudin Haji Yaacob. Beliau memberikan ucapan dan kata-kata perangsang yang sangat bermakna buat para peserta program ini.

Program ini diakhiri dengan lawatan ke seluruh bahagian operasi Karangkraf termasuk di bahagian percetakan. Utuk semua peserta yang menyertai program ini, saya ucapkan selamat berjaya! :)

universiti darul imanPada 18 Ogos yang lalu, saya buat pertama kalinya menjejakkan kaki ke Universiti Darul Iman sebagai penceramah untuk program kecemerlangan pelajar. Sebenarnya, itu bukanlah kali pertama saya menjejakkan kaki ke Universiti tersebut yang lebih dikenali dengan nama Kusza (Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin). Saya dibesarkan di Terengganu dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Tok Jiring dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Jiring Kuala Terengganu. Sekolah saya itu dekat benar dengan Universiti Darul Iman ini. Malah, salah satu pilihan saya untuk melanjutkan pelajaran satu ketika dulu ialah Univerisiti Darul Iman ini.

Saya agak berbesar hati kerana dijemput bagi menjayakan program untuk mahasiswa dan mahasiswi ini. Terima kasih kepada Pn Rosni, kaunselor Universiti Darul Iman yang telah menjemput saya dan memastikan program ini berjaya dijalankan dengan begitu lancar sekali.

universiti darul imanDalam program sehari ini, saya telah kongsikan beberapa pengalaman saya sendiri sebagai pelajar dan beberapa petua yang boleh pelajar amalkan untuk berjaya. Saya rasa sangat lega apabila melihat semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh pelajar dalam program ini. Ini menunjukkan bahawa mereka mempunyai kemahuan dan semangat yang diperlukan untuk berjaya dengan cemerlang suatu hari nanti.

Satu mesej saya kepada pelajar semua. Pencapaian anda sekarang bukanlah petunjuk kepada kebolehan anda yang sebenar. Pelajar yang cemerlang juga pasti pernah merasa pahitnya erti kegagalan. Kepahitan itu jugalah yang membuat mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk merubah hidup mereka dan berusaha untuk menjadi pelajar cemerlang.

universiti darul imanKepada para peserta program di UDM ini, semoga anda berjaya mencapai semua cita-cita yang telah anda tuliskan semasa program tersebut. Jika ada kesempatan, kita akan berjumpa lagi di dalam program yang akan datang. Selamat berjaya!

Setiap tahun pelajar UPSR dahulu yang akan menghadapi medan penguji tahap pengetahuan mereka setelah 6 tahun berada di sekolah kebangsaan. Bagi saya sendiri, sekolah kebangsaan merupakan satu asas dan persediaan bagi menghadapi cabaran yang lebih mencabar dan menarik di sekolah menengah kebangsaan.

Untuk semua pelajar yang bakal menduduki peperiksaan UPSR tahun ini, saya ucapakan selamat bersedia dan selamat berjaya. Anda boleh baca beberapa tips dan petua untuk bersedia menghadapi peperiksaan. Saya percaya, dengan persediaan dan keyakinan pada diri sendiri, anda pasti boleh mencapai apa sahaja yang anda inginkan.

Selamat Bersedia Menghadapi Peperiksaan UPSR

 

 

 

 

perdasamaRabu lalu saya berada di Kota Tinggi Johor bagi menjayakan Projek Mutiara Johor yang dianjurkan oleh Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia(PERDASAMA) Nasional. Projek ini dirasmikan oleh Menteri Besar Johor YAB Dato’ Haji Abdul Ghani Othman. Projek ini dihadiri oleh Presiden Perdasama Nasional Dato’ Moehamad Izat Emir dan juga YB Tuan Haji Zainal Abidin Bin Haji Osman, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran Negeri Johor. Program ini telah mengumpulkan pelajar-pelajar disekitar kawasan Kota Tinggi iaitu SM Teknik Kota Tinggi, SMK Tun Habab, SMK Laksamana, SMK Bandar, SMK Taman Kota, SMK Jaafar Albar dan SMK Saujana. Lebih kurang 400 pelajar mengikut program yang berlangsung selama sehari ini. Program ini turut dijayakan oleh 5 penceramah lain yang hebat dalam bidang pendidikan ini. 

Saya diberikan tugas untuk menyampaikan ceramah bertajuk ‘Fun & Smart Learning’. Jika anda tanya diri anda sendiri, adakah belajar itu sesuatu yang menyeronokkan, membosankan, atau menyakitkan? Setiap pelajar boleh memberikan definisi mereka sendiri. perdasamaDalam sesi ceramah saya ini, saya terangkan 3 langkah untuk membuat proses pembelajaran menjadi sesuatu aktiviti yang menyeronokkan. Langkah pertama ialah ‘hapuskan halangan minda’. Jika anda rasa belajar itu tidak seronok, membosankan malah menyakitkan, anda mungkin mempunyai halangan minda terhadap proses pembelajaran. Mungkin anda selalu gagal atau tidak mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan. Ini menyebabkan wujud halangan minda dalam diri anda hingga anda tidak suka kepada proses pembelajaran. Jadi, selepas anda hapuskan halangan minda anda, anda akan rasa belajar itu adalah sesuatu yang mudah dan sangat menyeronokkan. 

Langkah kedua ialah dengan memahami konsep ‘fisiologi’. Secara mudah, saya katakan bahawa cara anda bergerak boleh mempengaruhi apa yang anda rasa. Jika anda bergerak, duduk atau berjalan seperti orang yang malas atau tidak seronok, anda akan rasa perkara yang sama. Jadi, jika anda rasa malas atau tidak ada ‘mood’ untuk belajar, ubah cara anda bergerak. bergerak, duduk dan membaca seperti seorang yang sangat rajin, bersemangat dan cemerlang. Anda akan rasa perkara yang sama. Akhir sekali, anda perlu belajar teknik belajar yang betul. Belajar jadi tidak seronok apabila anda tidak tahu cara belajar yang betul. Sama seperti bermain sukan, bolasepak jadi tidak seronok jika anda tidak ada kemahiran dan tidak tahu undang-undang dan peraturannya. Perlumbaan basikal jadi tidak seronok jika anda tidak tahu bagaimana mahu menunggang basikal dan seterusnya. 

Mulai hari ini, pelajari lebih lanjut mengenai 3 langkah ini melalui buku-buku motivasi dan kemahiran belajar. Insyaallah, anda juga akan pasti jadi pelajar yang sangat cemerlang satu hari nanti.  Selamat berjaya kepada anda semua terutamanya semua pelajar yang mengikuti sesi bersama saya di Kota Tinggi ini. :)  

j corpMinggu lalu saya berada di Johor Baru bersama para pegawai daripada Johor Corporation bagi mengadakan satu sesi Program SmartStudy bersama guru-guru kaunseling di sekitar Johor Baru. Ini merupakan kali pertama saya mengadakan program bersama Johor Corporation dan juga ini kali pertama saya berada dihadapan para guru kaunseling di Johor.

Di dalam program setengah hari ini, saya diberi peluang memberikan gambaran kasar mengenai program SmartStudy yang saya jalankan bersama pelajar sekolah rendah, menengah, kolej dan juga universiti ini. Antara topik-topik yang saya ketengahkan adalah topik mengenai potensi diri pelajar yang terpendam dan bagaimana caranya untuk mengeluarkan potensi diri pelajar itu.

Hasil daripada program ini, pihak Johor Corporation akan menganjurkan beberapa program SmartStudy untuk pelajar di sekitar Johor Baru. Program-program ini diharap dapat memberi pelajar sedikit pendedahan terhadap teknik-teknik belajar yang betul dan juga teknik bagaimana untuk meningkatkan tahap motivasi diri mereka.

Ucapan terima kasih khas diucapkan buat Pn Ruzila, Cik Muna dan En Ramli yang mengaturkan pertemuan awal dan program ini. Insyaallah program ini akan membuahkan hasil yang memuaskan.

osman affanHmm…. beberapa hari ini saya mengalami beberapa cabaran yang menghalang saya mencoretkan sesuatu di dalam blog saya ini. Cabaran pertama ialah mengenai hosting saya ini. Ia akan tamat tempoh dalam beberapa hari sahaja lagi tetapi saya masih gagal mendapatkan hosting yang baru. Entah kenapa, ada masalah dalam proses pembelian hosting saya. Jadi saya agak sibuk membuat salinan semua isi kandungan laman web ini. Jika anda ada masuk ke blog ini pada waktu petang beberapa hari lepas, anda tentu sedar ada sesuatu yang tidak kena. Mana tidaknya, hampir semua gambar di dalam blog ini tidak keluar. Alhamdulillah, semua masalah telah berjaya diselesaikan.

Kemudian, timbul pula masalah handphone saya. Mungkin kerana terkena air yang tumpah tempohari, timbul masalah untuk saya downloadkan gambar yang saya ambil menggunakan handphone tersebut. Pening juga memikirkan bagaimana hendak selesaikan masalah ini.

Akhir sekali, cabaran biasa, kesibukan memenuhi jadual training. Training memang seronok tapi dalam masa yang sama agak memenatkan. Kadangkala, kepenatan ini boleh mengganggu kelancaran idea untuk menulis. Hmm…kalau anda biasa menulis, tentu anda juga boleh rasakan apa yang saya ingin katakan ini. :)

Walau apa pun, semua cabaran ini sedang cuba diselesaikan dengan cara terbaik. Doakan kejayaan saya dan juga blog ini. :)

pengkalan chepaInikan pula tempat bermain……

Semalam saya ada ceritakan saya ke Kelantan bagi menjayakan program Pengurusan Pelanggan Di Kaunter. Sesi saya berakhir pada malam hari Khamis. Keesokan harinya (Jumaat), walaupun saya perlu checkout pada pukul 12 tengahari, saya bergegas untuk checkout sejurus selepas sarapan pagi, lebih kurang pukul 8.30 a.m. Saya berdua sebenarnya ke Kelantan, tetapi bukan isteri saya, ayah saya. Ya, untuk ke Kelantan, saya singgah di Terengganu dahulu dan bawa ayah saya bersama saya ke Kelantan. Isteri? Hmm..Isteri dan anak saya tinggal di Terengganu untuk melawat seorang anak saudara yang sakit.

Sudah lama saya tidak luangkan masa berbual-bual dengan ayah saya sendiri sebenarnya.Jadi, banyaklah cerita yang keluar sepanjang memandu ke Kelantan.

Baik….berbalik semula kepada cerita asal…. saya dan ayah saya check out awal kerana saya mengajak ayah saya pergi ke Pengkalan Chepa. Di sana ada sebuah kem perumahan tentera. Mengapa? Ayah saya dahulu seorang tentera dan kami pernah tinggal di kem Pengkalan Chepa Kelantan.

Kami tinggal di sana semasa saya berusia 6 hingga 7 tahun (tahun 1982 - 1983). Jadi, pengalaman paling utama ketika saya berada di sana ialah ektika saya berada di Tadika dan juga di dalam darjah satu. Apabila saya jejakkan kaki ke kawasan perumahan tersebut, tidak banyak perubahan yang saya lihat. Mungkin ia kerana saya dah banyak lupa apa yang ada di sana. Namun saya dapat lihat juga beberapa rumah yang sudah ditinggalkan dan tidak digunakan lagi.

Bagi saya, tadika adalah satu kenangan yang sangat manis. Entah kenapa, saya suka suasana semasa belajar di Tadika. Saya tidak ingat nama cikgu saya ketika itu tetapi saya ingat ada dua cikgu perempuan yang rapat dan mesra dengan saya. Ada ketikanya, saya akan bantu cikgu ini menyerahkan kunci tadika kepada seorang pegawai yang tinggal di kawasan perumahan saya. Saya ingat juga cikgu ini pernah menghadiahkan saya aiskrim kerana selalu membantu mereka. Hmm…bagi budak sekolah tadika, aiskrim pun dah cukup buat mereka gembira. :)

Darjah satu saya pula, sekolahnya terletak sangat dekat dengan kawasan perumahan itu tadi. Tak banyak yang saya ingat tentang sekolah ini. Saya hanya bersekolah di sini selama 1 penggal sahaja (lebih kurang 3 bulan) kerana ayah saya ditugaskan ke Kuala Lumpur pula selepas itu.

Namun, saya sangat ingat hari pertama saya bersekolah di dalam darjah 1. Ada beberapa orang cikgu masuk ke kelas dan memperkenalkan diri mereka. Saya hanya ingat cikgu kelas saya ketika itu. Dia mengajar matematik kalau tidak silap saya. Apa yang saya benar-benar ingat, cikgu saya menunjukkan sepuluh ekor gambar unta. Dia pun bertanya,

“Gambar apa ni murid-murid?”

“UNTAAA!!!!” jerit semua pelajar.

“Unta tinggal di mana?” Soal cikgu saya lagi.

“Dalam hutan!!!!” Jawab hampir kesemua pelajar dengan yakin.

Entah kenapa ketika itu saya berani mengangkat tangan dan terus berkata, “Dekat negeri Arab cikgu.”

Saya ingat lagi senyuman cikgu saya ketika itu. Selepas sesi berakhir dan apabila sudah tiba masa untuk pulang ke rumah, cikgu saya menyuruh semua murid mengucapkan “Terima kasih cikgu”. kemudian, cikgu saya itu menyuruh saya menyebutnya dahulu seorang diri. Apabila saya sebut dengan kuat, semua pelajar lain mengikutnya. Jadi, secara rasminya ketika itu, saya telah dilantik menjadi ketua kelas. Mengapa? Mungkin kerana saya seorang sahaja ketika itu yang tahu bahawa unta boleh didapati di negeri Arab. :)

Itulah antara kenangan manis semasa tinggal di pengkalan Chepa. Saya dan ayah berjalan-jalan dan mula mengambil gambar kawasan ini supaya dapat saya tunjukkan kepada ibu, kakak dan adik perempuan saya yang sama-sama tinggal di situ dulu.

Benarlah kata pepatah, tempat jatuh lagi dikenang…inikan pula tempat bermain…..

jabatan tanahKhamis lalu, saya berada di Kota Bharu Kelantan bagi mengendalikan satu sesi bertajuk Pengurusan Pelanggan di Kaunter untuk para pegawai daripada Jabatan Tanah dan Galian, Kuala Lumpur. Ini adalah kali kedua saya mengendalikan program untuk Jabatan Tanah KL dalam masa beberapa bulan ini. Kali pertama diadakan di Penang pada bulan Mei lalu. Perbezaan untuk kali ini ialah topiknya lebih khusus kepada cara dan teknik pengurusan pelanggan di kaunter.

Jika anda tidak pernah ada pengalaman menguruskan pelanggan di kaunter, anda patut mencubanya. Kerjaya ini boleh dikatakan mencabar kerana anda perlu berdepan pelbagai kerenah pelanggan.

Di dalam sesi ini, saya ada kongsikan beberapa teknik untuk menghadapi pelanggan yang marah-marah. teknik ini sebenarnya dapat mengurangkan rasa marah pelanggan dengan cara yang baik dan sopan. Salah satu caranya ialah pekerja di kaunter perlu duduk dalam keadaan berminat untuk mendengar apa yang dikatakan oleh pelanggan. Lebih kurang, perlu duduk dengan condong kehadapan sedikit (lean forward).

Namun ada satu soalan daripada peserta yang agak menarik bagi saya kerana saya belum pernah bertemu dengan soalan sebegitu. Soalannya ialah, “En Osman, macam mana saya nak lean forward kalau pelanggan saya tu mulutnya kuat batu todi?”

Saya dan peserta lain tergelak juga mendengar soalan ini kerana secara realitinya, ia benar-benar berlaku oleh para pegawai di Jabatan Tanah ini. Jika anda berdepan dengan situasi begini, apa yang akan anda lakukan?

Setelah saya minta pendapat beberapa orang yang berpengalaman di situ, kesimpulannya, walaupun mulut orang itu berbau, seorang pegawai tidak boleh marah atau menjatuhkan air pelanggan tersebut. Satu cara kreatif yang dicadangkan ialah dengan menggunakan sapu tangan untuk menutup hidung sambil berpura-pura tidak sihat. :)

Hmmm…. memang mencabar kerja di kaunter ni sebenarnya. Saya perlu ucapkan tahniah kepada para pegawai ini terutamanya yang sudah bertahun-tahun bekerja dalam suasana menjaga pelanggan dikaunter. Walaupun saya datang untuk berkongsi tips dan teknik, dalam masa yang sama, saya turut belajar beberapa cara baru untuk menyelesaikan masalah semasa menguruskan pelanggan di kaunter.

« Previous PageNext Page »