Khas


Apa kaitan Ramadhan dan disiplin diri? Hmm… saya percaya anda sudah boleh menekanya. Di dalam bulan Ramadhan, anda sentiasa berperang dan berlawan dengan nafsu anda untuk makan, minum dan membuat sesuatu yang dilarang. Dalam bulan Ramadhan, bukan sahaja anda menahan diri dari makan dan minum, malah melarang diri daripada berkata atau melihat sesuatu yang tidak baik. Kadangkala ia agak sukar bukan?

Kesukaran inilah yang menguji dan melatih disiplin diri dalam umat Islam. Contohnya anda sedang berjalan pulang ke rumah di bawah sinar matahari yang terik. Tekak anda kering. Tubuh anda terasa lemah. Apabila anda sampai di rumah, anda terlihat adik bongsu anda sedang seronok minum air tin berkabonat yang sejuk (baru dikeluarkan daripada peti ais). Secara lojiknya, fikiran anda pasti akan mahu minum air tersebut. Namun, anda tahu ia salah. Jadi, fikiran anda seperti sedang bermain tarik tali antara mahu memuaskan kehendak fizikal anda atau memenuhi tuntutan agama.

Alhamdulillah, disebabkan didikan agama yang baik daripada ibu bapa anda, anda memilih untuk tidak minum atau berbuka. Anda teruskan juga berpuasa walaupun anda tidak terasa hendak berpuasa. Bukankah ini satu contoh disiplin diri yang sangat baik?

Seperti contoh yang saya beri semalam, pelajar di universiti tidak akan dimarahi sesiapa kalau mereka tidak bangun pagi. Jadi, pada waktu pagi, pelajar ini ada dua pilihan, hendak bangun, sembahyang dan pergi ke kelas awal atau mahu sambung tidur. Lojiknya, tentulah memilih tidur lebih seronok bukan? Namun pelajar yang berdisiplin tinggi tetap memilih untuk bangun dan pergi ke kelas. Ini kerana mereka tahu, walaupun mereka tidak terasa hendak bangun dan pergi ke kelas, ia perlu dilakukan demi kebaikan pada masa hadapan.

Bagaimana dengan anda? Adakah Ramadhan tahun ini menambahkan lagi disiplin diri anda? Adakah ia lebih melemahkan disiplin diri anda?

Harapan saya, Ramadhan tahun ini akan membawa lebih berkat dan melatih diri kita semua agar lebih berdisiplin dan bergerak menuju kejayaan, di dunia dan akhirat. Selamat berpuasa. Selamat mendisiplin diri. :)

Menurut Stephen Covey, penulis buku 7 Habits of highly effective people, disiplin bermaksud kebolehan untuk membuat janji dan mengotakannya. Contohnya, disiplin diri yang mudah ialah mengemaskan tempat tidur sebaik sahaja bangun daripada tidur. Banyak ketikanya, apabila anda sudah berniat atau berazam untuk mengemas tempat tidur setiap pagi, anda tidak terasa hendak melakukannya kerana mengantuk, hendak cepat atau tidak ada mood untuk mengemas. Namun, seseorang yang berdisiplin untuk mengemas, dia pasti akan mengemas tempat tidurnya walau apa jua keadaaan sekalipun. Ini bermaksud, dia sentiasa berusaha untuk mengotakan janjinya.

Adakah anda seorang yang berdisiplin? Kekurangan disiplin adalah salah satu sebab utama mengapa pelajar gagal menjadi cemerlang. Contohnya, saya banyak lihat contoh kawan-kawan saya sendiri yang sangat cemerlang di zaman persekolahan namun gagal di universiti. Mengapa? Di universiti tidak ada orang yang akan kejutkan anda dari tidur. Di universiti tidak ada orang yang akan marah anda jika anda ponteng kelas. Di universiti tidak akan ada orang akan marah jika anda malas membuat assignment. Disebabkan tidak ada disiplin, pelajar-pelajar ini memilih untuk merasa selesa dan menikmati keseronokan cepat dengan tidur lewat dan bangun lewat, buat kerja saat akhir dan sebagainya.

Sama seperti disekolah. Menurut pemerhatian dan pengalaman saya mengendalikan kaunseling untuk ibu bapa, saya lihat banyak pelajar sekolah rendah yang cemerlang bermula darjah 1 hingga darjah 3. Namun yang pelik, prestasi mereka semakin menurun apabila mereka memasuki darjah 4 dan seterusnya. Mengapa agaknya?

Satu penjelasan yang dapat saya fikirkan ialah, jika anda cemerlang di peringkat bawahan, anda mempunyai potensi dan kebolehan secara intellektual. Dalam erti kata lain, anda ada bakat dalam bidang pelajaran. Namun jika prestasi semakin jatuh apabila usia meningkat, ia menunjukkan anda mempunyai tahap disiplin diri yang rendah.

Begini, pada tahap bawahan, banyak pelajar yang boleh mengingat dan menjawab dengan baik dalam dewan peperiksaan hanya dengan mendengar penjelasan guru di dalam kelas sahaja. Sekali dengar, terus boleh ingat dan boleh jawab dalam dewan peperiksaan. Namun, bermula darjah 4, sukatan pelajaran menjadi lebih sukar. Anda tidak akan berjaya hanya dengan bergantung kepada apa yang anda dengar dan lihat dalam kelas sahaja. Anda perlu latihan tambahan di luar waktu kelas. Dalam kata lain, anda perlu buat banyak latihan dan kerja rumah. Bila sudah banyak kerja rumah dan latihan, barulah anda boleh praktikkan dan menjawab dengan baik dalam dewan peperiksaan.

Bagaimana dengan anda? Saya percaya anda ada berazam dan memasang niat untuk berjaya dalam bidang yang anda lakukan. Adakah anda mendisiplinkan diri anda membuat latihan yang diperlukan untuk berjaya dalam bidang anda? Jika anda tidak cemerlang atau tidak hebat kerana tidak berdisiplin, ini bermaksud anda masih boleh lakukan sesuatu untuk mengubahnya. Bagaimana? Latih diri untuk menguatkan disiplin diri. (saya akan terangkan tentang teknik ini dalam posting akan datang).

Apa kaitannya disiplin dengan bulan Ramadhan pula? Saya akan terangkan esok. :)

Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan selamat berjaya kepada semua pelajar yang mula menduduki peperiksaan PMR hari ini. Semoga semua persiapan yang telah dijalankan akan membuahkan hasil dan kejayaan yang sangat cemerlang.

Saya juga doakan agar hati semua pelajar mendapat ketenangan dan keselesaan semasa menjawab soalan nanti. Insyaallah, usaha tanpa putus asa pasti akan membuahkan hasil yang diidam-idamkan.

Selamat berjaya!

 

 

 

 

Semalam saya berada hampir sehari di Universiti Putra Malaysia bagi menjayakan program persediaan menjelang peperiksaan akhir anjuran kelab Rakan Siswa (KRS) UPM di bawah naungan unit bimbingan dan kaunseling. Seperti program yang saya jalankan bersama MEDCY UIA awal Ramadhan lalu, saya sangat berbangga dengan usaha urusetia yang terdiri daripada para mahasiswa dan mahasiswi sendiri dalam menjayakan program ini.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada urusetia program ini terutamanya kepada Presiden Kelab dan juga Pengarah projek kecemerlangan pelajar ini. Saya dulu juga terlibat dalam aktiviti pelajar di peringkat sekolah dan universiti jadi saya tahu betapa sukarnya untuk menganjurkan dan menjayakan program sebegini. Tanpa usaha dan semangat daripada pihak kepimpinan pelajar, pasti program ini sukar untuk dijayakan.

Tahniah juga kepada mahasiswa dan mahasiwi yang terlibat sebagai urusetia program ini. Saya agak seronok melihat kesungguhan dan keceriaan mereka semasa mengendalikan program ini. Ia membuat saya merasa tenang dan selesa sepanjang program dijalankan.

Tidak dilupakan tahniah kepada semua mahasiswa dan mahasiswi yang menghadiri program ini. Seperti kata saya pada awal program, semua mahasiswa dan mahasiswi mempunyai pilihan untuk datang atau tidak. Namun mereka tetap memilih untuk datang. Ini menunjukkan mereka mempunyai semangat, minat dan kehendak untuk berjaya.

Saya juga mengucapkan terima kasih khas kepada Wani, mahasiswi yang berurusan dengan saya sebelum program ini berlangsung. Beliau banyak membantu dari segi memberi maklumat yang saya perlukan. Juga kepada pengacara majlis yang begitu professional semasa menjalankan tugas mereka. Saya percaya anda berdua mempunyai bakat untuk menjadi pengacara majlis professional suatu hari nanti. :)

Satu mesej saya untuk semua pelajar yang hadir ke program tersebut dan semua pelajar yang membaca mesej ini….. anda semua mempunyai potensi dan kebolehan yang sama untuk berjaya. Apa yang membezakan pelajar yang berjaya atau tidak ialah tindakan yang anda ambil. Pelajar biasa mungkin ada matlamat dan ada strategi untuk berjaya. Namun pelajar cemerlang mengambil satu langkah lagi ke depan dengan mengambil tindakan ke atas matlamat dan strategi mereka. Mereka tidak hanya berpeluk tubuh dan mengharapkan kejayaan datang bergolek.

Selamat berjaya! :)

 

 

Setelah saya fikirkan buat satu jangka masa yang sangat lama, akhirnya saya buat keputusan untuk meletakkan cbox (seperti yang anda lihat di sebelah) di dalam blog saya ini. Selama ini saya ada terfikir untuk meletakkan cbox ini cuma ada rasa bimbang jika saya tidak berkesempatan untuk mengemaskininya.

Namun, saya percaya saya ada masa untuk ini. Tambahan pula, ini akan lebih memudahkan pengunjung blog ini untuk meninggalkan mesej, memberi pendapat atau berkongsi sesuatu.

Jika anda ada apa-apa yang ingin dikatakan, sila tinggalkan mesej anda di ruangan sebelah. :)

Apakah lagi sifat dan ciri-ciri yang anda pelajari dan amalkan di dalam bulan Ramadhan, yang membantu anda menuju ke arah kejayaan? Mari kita bincangkan.

Menurut pendapat pakar-pakar psikologi barat, antara satu sifat paling utama individu yang berjaya dan kaya-raya ialah”having the ability to delay gratification” (mempunyai kebolehan untuk menangguhkan keseronokan). Ia bermaksud, orang-orang yang berjaya selalunya sanggup bekerja keras dalam satu jangka masa yang lama tanpa mengharapkan pulangan yang segera. Mengapa? Kerana mereka tahu, pulangan yang akan datang nanti sangat besar dan mereka akan nikmatinya dengan penuh kepuasan.

Contohnya, pelajar cemerlang sanggup bekerja keras belajar dan mendisiplinkan diri dalam jangka masa lama. Walaupun aktiviti belajar boleh jadi memenatkan, memeningkan, dan tidak menyeronokkan, mereka masih boleh teruskan kerana mereka ada kebolehan untuk menangguhkan keseronokan yang mereka ingin kecapi. Pelajar tidak cemerlang pula asyik mahu seronok dengan cepat. Mereka rasa belajar itu memenatkan, lalu mereka bermain kerana bermain mendatangkan keseronokan segera. Mereka bosan belajar di sekolah lalu mereka ponteng kerana ponteng mendatangkan keseronokan segera.

Cuba tanya diri anda, adakah anda selalu membuat sesuatu yang mendatangkan keseronokan segera? Jika jawapan anda ya, anda perlu berhati-hati kerana itu adalah sifat yang jarang membawa kearah kejayaan atau kebahagiaan.

Satu contoh lagi orang-orang yang boleh menangguhkan keseronokan ialah para petani dan pekebun. Jika anda lihat, petani dan pekebun sanggup bekerja keras menanam pokok buah-buahan, sayur-sayuran dan sebagainya tanpa mendapat pulangan yang segera. Sebab itulah jika anda mahu belajar bagaimana mahu bersabar dan berusaha untuk mencapai kejayaan, para petani dan pekebun selalu menjadi contoh yang baik. Orang yang tidak sabar tidak boleh jadi petani kerana jika mereka tanam pokok hari ini, esok atau minggu depan mereka sudah mahu lihat hasilnya. Jika tidak ada hasil, mereka akan putus asa.

Sama seperti pelajar, pelajar yang tidak sabar apabila mereka belajar hari ini, mereka mahu terus mendapat A hari esoknya. Apabila mereka tahu mereka perlu bekerja keras belajar sepanjang tahun untuk berjaya, mereka lemah semangat dan mula putus asa. Pernahkah anda rasa begitu?

Jadi, bagaimanakah anda boleh pupuk dan bina kebolehan untuk menangguhkan keseronokan ini? Apa pula kaitannya dengan bulan Ramadhan? Saya akan terangkan esok. :)

Sama ada anda sedar atau tidak, Ramadhan membawa pelbagai rahmat bukan sahaja dari segi pahala berbuat amalan yang digalakkan dan amalan kebajikan, tetapi dari segi membentuk sifat dan keperibadian untuk menuju kejayaan. Apakah yang saya maksudkan?

Cuba anda lihat orang-orang yang berjaya di sekeliling anda atau orang berjaya yang anda kenal. Tentu mereka mempunyai sifat-sifat unik tertentu yang tidak banyak terdapat di dalam diri orang-orang yang kurang berjaya. Contohnya, orang yang berjaya mempunyai matlamat yang jelas tentang apa yang mereka mahu capai. Orang yang berjaya juga tidak kenal erti berputus-asa. Lebih hebat lagi, orang berjaya boleh bersabar dan terus berusaha walaupun apa yang mereka kerjakan belum membuahkan hasil.

Percayakah anda jika saya katakan ciri-ciri dan sifat-sifat ini semua boleh dibentuk semasa anda menjalani ibadah puasa? Hmm… jika anda mahu berjaya seperti mereka juga suatu hari nanti, mari kita bincangkan dan fikirkan bersama mengenai apa yang anda perolehi sepanjang bulan Ramadhan ini………….. :)

Rabu lalu, 19 Spetember, saya berpeluang untuk bercerita secara ringkas mengenai buku terbaru saya “Menjual Perkhidmatan di Internet” di rakaman rancangan Selamat Pagi Malaysia, Slot Resensi. Slot ini dikendalikan oleh Syed Munawar yang sudah tidak asing lagi kepada saya kerana sendiri telah bertemu beliau beberapa kali.

Di dalam sesi rakaman ini, saya diberi peluang untuk menceritakan serba sedikit mengenai siapa yang perlu membacanya, apa isi kandungannya dan apakah tiga langkah untuk membina perniagaan internet bagi sesiapa yang tidak mempunya latar belakang dalam bidang IT.

Seperti saya sendiri, latar belakang pendidikan saya ialah perakaunan dan kemudian dalam bidang kaunseling & Psikologi. Dari mana datangnya pengetahuan mengenai IT dan internet? Sebenarnya, bagi saya, pengetahuan IT atau internet adalah sejenis ilmu. Ilmu boleh dikuasai oleh sesiapa sahaja tidak mengira latar belakang. Jika kena caranya, anda boleh belajar dan kuasai apa sahaja yang anda mahu. Ini jugalah yang selalu saya kongsikan bersama pelajar setiap kali saya kendalikan program-program motivasi dan kemahiran belajar.

Satu mesej utama yang saya kongsikan melalui buku saya ini ialah jika anda seorang usahawan atau bercadang mahu memasuki dunia keusahawanan, internet merupakan satu alat yang sangat berkesan untuk membantu memajukan perniagaan anda. Melalui internet, anda mudah dicari, dihubungi dan dipercayai. Lalu, perniagaan anda akan semakin meningkat maju. Saya juga tekankan bahawa anda tidak perlu risau jika anda tidak mempunyai kemahiran IT kerana itu bukanlah kelayakan utama untuk berjaya memasarkan perniagaan anda di internet.

Semasa rakaman dijalankan, saya juga berpeluang bertemu dengan beberapa usahawan internet lain yang juga merupakan penulis di bawah naungan syarikat True Wealth Sdn Bhd. Pertemuan ini sangat menyeronokkan kerana kami rasanya sudah mengenali antara satu sama lain di alam siber tetapi tidak pernah berpeluang untuk berjumpa.

Sayang pula rasanya kerana kami tidak sempat untuk berbual lama memandangkan masing-masing mempunyai agenda tersendiri pada hari tersebut. namun insyaallah kami akan bertemu lagi dalam program yang bakal di anjurkan oleh Azizi Ali tidak lama lagi.

(Dari kiri: Shuth, Osman Affan, Zamri Nanyan, Eruwan Gerry Norsen & Irwan Dahnil)

Untuk maklumat lanjut mengenai buku “Menjual Perkhidmatan di Internet” ini, sila klik disini.

 

 

Sabtu 15 September bersamaan 3 Ramadhan, saya telah diundang oleh ahlijawatankuasa MEDCY, sebuah persatuan jurusan perubatan Matrkulasi Universiti Islam Antarabangsa, untuk menjalankan program Bengkel Kemahiran Belajar SmartStudy. Ini kali pertama saya menjalankan program untuk persatuan ini. Pendapat pertama saya ialah, persatuan ini sangat hebat kerana dapat menjalankan dan menganjurkan program walaupun dalam bulan Ramadhan. lebih mengejutkan lagi, ini adalah program berbentuk bengkel kemahiran belajar pertama anjuran mereka. Tahniah saya ucapkan terutama sekali kepada Ain, Anas dan Farouk yang banyak berurusan dengan saya semasa program dijalankan.

Program sehari ini menyentuh beberapa kemahiran utama untuk menjadi pelajar cemerlang di universiti. Dalam ucapan pembukaan saya, saya ucapkan tahniah kepada peserta yang menyertai program ini. Mengapa? Dahlah program ini dijalankan pada hari Sabtu (hari di mana pelajar boleh pilih untuk pulang kerumah, peserta pula perlu membayar yuran penyertaan.

Dengan membuat pilihan untuk datang belajar, ia menunjukkan peserta sudah mempunyai satu semangat dan ciri-ciri pelajar cemerlang. ramai lagi pelajar lain yang membuat pilihan untuk tidur di bilik pada pagi sabtu atau pulang ke rumah. Tambahan pula hari tersebut adalah hari puasa, tentu lebih banyak alasan boleh diberikan untuk tidak hadir.

Ditambah pula ada yuran penyertaan,semakin banyak alasan pelajar beri untuk tidak hadir. Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, pelajar lebih rela membelanjakan duit mereka untuk bahan hiburan atau prepaid handphone daripada membelanjakan ke arah pendidikan. Sebab itulah terlalu kecil jumlah pelajar (walaupun di peringkat universiti) yang berbelanja dengan membeli buku-buku yang berbentuk pembangunan diri.

Jadi, sekali lagi tahniah kepada ahli jawatankuasa MEDCY dan semua peserta yang berjaya menjadikan bengkel kemahiran belajar SmartStudy ini satu kenyataan.

Saya sendiri merasa sangat gembira melihat kesungguhan anak bangsa saya sendiri berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya. Ini adalah kerana pada zaman ini, kita tidak lagi boleh bergantung atas bantuan orang lain untuk berjaya. Untuk memastikan kita berjaya, kita sendiri yang mesti usahakannya. Itu juga nasihat saya kepada semua peserta program ini. Untuk berjaya, berhenti merungut dan menyalahkan orang lain. Merungut dan menyalahkan orang lain tidak mungkin dapat menyelesaikan masalah yang kita hadapi.

Selamat berjaya!

 

 

Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan kepada seluruh umat Islam umunya dan pembaca blog saya khususnya, Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak. Semoga Ramadhan tahun ini membawa lebih keberkatan, kedamaian, dan kesejahteraan ke dalam hati kita semua.

Selamat Berpuasa. :)

 

 

 

 

 

 

« Previous PageNext Page »