August 2007


johorSejak Sabtu lalu hingga semalam, saya berada di Johor Baru bagi menjayakan program ‘Pecutan Akhir’ bagi Yayasan Bandaraya Johor Baru dan juga Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Wangsa. Selama beberapa hari saya tinggal di hotel berhampiran bangunan Kotaraya Johor Baru. Itu bermakna, makan tengahari, minum petang atau makan malam, saya sentiasa ke bangunan Kotaraya ini. Bangunan ini sudah tidak asing lagi buat saya kerana disitulah letaknya pejabat Unit Bestari Johor Corporation. Bulan ini sahaja sudah 2 kali saya mengadakana program bersama mereka.

Bagi staff restoran Singgah Selalu, mungkin mereka sudah mula kenal muka saya yang hampir 3 kali sehari datang ke restoran mereka. Saya pilih restoran ini kerana mudah untuk saya bawa isteri dan anak saya. Anak saya boleh bermain di dalam satu bilik yang dipenuhi bola (Anak saya ni memang suka sangat dengan bola sampai ada bermacam-macam jenis bola ada di rumah saya :)   ).

johorProgram Pecutan Akhir sebenarnya adalah program yang menerangkan apa yang pelajar perlu lakukan menjelang peperiksaan utama. Banyak ketikanya, pelajar merasa buntu dan tertekan menjelang peperiksaan hingga tidak tahu apa yang perlu mereka lakukan. Lebih buruk lagi, jika mereka terlalu tertekan dan buntu, mereka mungkin akan hilang keupayaan untuk menjawab dengan baik dalam peperiksaan. Di zaman saya bersekolah dulu, saya ada dengar kisah pelajar yang langung ‘blank’ dalam dewan peperiksaan hingga dia tidak sedar langsung apa yang dia lakukan semasa peperiksaan. Akhirnya, setelah keputusan peperiksaan untuk kertas itu keluar, dia gagal dan yang lebih memeranjatkan, dia cuma menghantar kertas kosong. Pelajar ini langsung tidak ingat yang dia sendiri menghantar kertas kosong disebabkan fikirannya yang ‘blank’ semasa peperiksaan itu.

Jadi, di dalam program ini saya kongsikan beberapa tips dan teknik untuk bersedia menghadapi peperiksaan. Antaranya ialah pelajar perlu tahu bagaimana mahu menenangkan diri mereka jika mereka resah atau blank dalam dewan peperiksaan.

Mari saya kongsikan satu teknik apa yang boleh anda lakukan jika anda rasa tiba-tiba blank atau lupa semua yang telah anda pelajari. Jika anda rasa begitu dalam dewan peperiksaan, lepaskan pen dan pensel. letakkan tangan anda di atas meja dan bertenang. Pejam mata anda. Tarik nafas dengan tenang beberapa kali. Lupakan semua perkara buat seketika. Pejam mata seolah-olah atau sedang lena tidur dan tidak berada di dalam dewan peperiksaan itu. kemudian, setelah 15-20 saat, buka mata anda semula. Dengan tenang, cuba jawab semula soalan yang anda mahu jawab.

Teknik ini selalunya akan buat anda jadi lebih tenang. Bila anda sudah tenang, anda akan lebih mudah ingat apa yang telah anda pelajari. Selamat mencuba. :)

karangkrafSejak bulan Mac 2007, saya menulis ruangan teknik belajar di majalah Fokus SPM terbitan Karangkraf Sdn Bhd.. Karangkraf sudah agak terkenal kerana menerbitkan banyak bahan bacaan terutamanya majalah. Buat kali pertama pada minggu lalu, saya berpeluang mengendalikan satu program SmartStudy bersama anak-anak kakitangan di Karangkraf ini.

Program ini bermula dengan taklimat awal oleh En Hashim, pengurus hubungan awam di syarikat ini. Suasana agak ceria ketika ini. Suasananya membuat saya terasa seperti menghadiri hari keluarga di zaman kanak-kanak dahulu. Selepas tamat sesi taklimat ini, program pun dimulakan.

Program ini disertai oleh pelajar dari peringkat sekolah rendah hinggalah ke peringkat SPM. Seperti program-program yang pernah saya kendalikan sebelum ini, saya kongsikan 3 langkah untuk menjadi seorang pelajar cemerlang iaitu persediaan minda, kemahiran belajar dan psikologi menghadapi peperiksaan.

karangkrafProgram ini turut dihadiri oleh Pengarah Urusan Karangkraf, Tuan Haji Hussamudin Haji Yaacob. Beliau memberikan ucapan dan kata-kata perangsang yang sangat bermakna buat para peserta program ini.

Program ini diakhiri dengan lawatan ke seluruh bahagian operasi Karangkraf termasuk di bahagian percetakan. Utuk semua peserta yang menyertai program ini, saya ucapkan selamat berjaya! :)

universiti darul imanPada 18 Ogos yang lalu, saya buat pertama kalinya menjejakkan kaki ke Universiti Darul Iman sebagai penceramah untuk program kecemerlangan pelajar. Sebenarnya, itu bukanlah kali pertama saya menjejakkan kaki ke Universiti tersebut yang lebih dikenali dengan nama Kusza (Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin). Saya dibesarkan di Terengganu dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Tok Jiring dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Jiring Kuala Terengganu. Sekolah saya itu dekat benar dengan Universiti Darul Iman ini. Malah, salah satu pilihan saya untuk melanjutkan pelajaran satu ketika dulu ialah Univerisiti Darul Iman ini.

Saya agak berbesar hati kerana dijemput bagi menjayakan program untuk mahasiswa dan mahasiswi ini. Terima kasih kepada Pn Rosni, kaunselor Universiti Darul Iman yang telah menjemput saya dan memastikan program ini berjaya dijalankan dengan begitu lancar sekali.

universiti darul imanDalam program sehari ini, saya telah kongsikan beberapa pengalaman saya sendiri sebagai pelajar dan beberapa petua yang boleh pelajar amalkan untuk berjaya. Saya rasa sangat lega apabila melihat semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh pelajar dalam program ini. Ini menunjukkan bahawa mereka mempunyai kemahuan dan semangat yang diperlukan untuk berjaya dengan cemerlang suatu hari nanti.

Satu mesej saya kepada pelajar semua. Pencapaian anda sekarang bukanlah petunjuk kepada kebolehan anda yang sebenar. Pelajar yang cemerlang juga pasti pernah merasa pahitnya erti kegagalan. Kepahitan itu jugalah yang membuat mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk merubah hidup mereka dan berusaha untuk menjadi pelajar cemerlang.

universiti darul imanKepada para peserta program di UDM ini, semoga anda berjaya mencapai semua cita-cita yang telah anda tuliskan semasa program tersebut. Jika ada kesempatan, kita akan berjumpa lagi di dalam program yang akan datang. Selamat berjaya!

Setiap tahun pelajar UPSR dahulu yang akan menghadapi medan penguji tahap pengetahuan mereka setelah 6 tahun berada di sekolah kebangsaan. Bagi saya sendiri, sekolah kebangsaan merupakan satu asas dan persediaan bagi menghadapi cabaran yang lebih mencabar dan menarik di sekolah menengah kebangsaan.

Untuk semua pelajar yang bakal menduduki peperiksaan UPSR tahun ini, saya ucapakan selamat bersedia dan selamat berjaya. Anda boleh baca beberapa tips dan petua untuk bersedia menghadapi peperiksaan. Saya percaya, dengan persediaan dan keyakinan pada diri sendiri, anda pasti boleh mencapai apa sahaja yang anda inginkan.

Selamat Bersedia Menghadapi Peperiksaan UPSR

 

 

 

 

fikirApakah cita-cita sebenar anda? Maksud saya, jika tidak ada halangan untuk anda jadi apa sahaja, apakah akan anda pilih sebagai cita-cita? tukang masak? Mekanik? Usahawan? Doktor? Kontraktor?

Apa sahaja cita-cita anda boleh tercapai jika anda menggunakan tenaga fikiran. Maksudnya, apa sahaja yang anda mahu capai akan mudah tercapai jika anda pandai berfikir. Cita-cita tidak semestinya mahu menjadi seseorang professional seperti doktor, peguam atau akauntan. Mari saya kongsikan satu kisah yang selalu saya kongsikan bersama peserta di program-program saya.

Saya pernah menyertai satu kursus usahawan yang dianjurkan oleh agensi kerajaan. Di sini saya berjumpa dengan seorang usahawan berjaya daripada Kedah. Semasa berbual-bual dengan beliau, beliau ada ceritakan kepada saya satu cerita yang agak mengejutkan saya.

Ceritanya adalah mengenai seorang lelaki muda yang kerjanya menjual goreng pisang. Jika anda seorang wanita, adakah anda mahu jadikan seorang penjual goreng pisang sebagai calon suami anda? Selalunya peserta program saya akan menggelengkan kepala mereka. Namun apa yang perlu anda tahu mengenai lelaki muda ini ialah pendapatan beliau daripada peniagaan menjual goreng pisang ialah RM10 ribu. Ya….anda tidak salah baca….10 ribu ringgit. Sekali lagi, jika anda seorang wanita, adakah lelaki ini layak anda jadikan calon suami? (hihi…anda jawab sendiri :) )

Bunyinya agak mustahil bagi seorang penjual goreng pisang mendapat pendapatan seperti seorang Akauntan bertauliah bukan? Rupa-rupanya, apa yang menyebabkan lelaki muda ini berpendapatan demikian ialah beliau mempunyai 5 gerai goreng pisang yang terletak di lima lokasi strategik berbeza. Jadi, tidak hairanlah dia begitu berjaya.

Mesej utama kepada anda melalui cerita ini ialah walau apa pun yang ingin anda lakukan sebagai kerjaya satu hari nanti, ia akaan jadi lebih berjaya jika anda pandai berfikir. Berfikir adalah satu tugas sukar bagi mereka yang malas berfikir. Berfikir adalah satu senjata terhebat bagi mereka yang rajin berfikir.

Jadi mulai hari ini, tidak kira anda masih bersekolah, sedang bekerja atau berniaga, gunakan tenaga fikiran anda. Pelajari asas-asas dan teknik berfikir. Kuatkan minda anda. Baca buku-buku yang membuat anda berfikir kearah kejayaan dan kebaikan.

Melalui posting ini, entah kenapa hati saya tergerak untuk mencari beberapa petua untuk meningkatkan kebolehan kita untuk berfikir. Insyaallah, mulai minggu depan, saya akan cari dan kongsikan beberapa petua untuk meningkatkan kebolehan kita untuk berfikir dengan baik. Diharapkan hasil daripada petua-petua ini akan menambahkan kejayaan kita dan mempercepatkan perjalanan kita menuju ke arah kejayaan.

Selamat berjaya!

fikirBeberapa minggu kebelakangan ini saya sangat banyak menjalankan program pelajar dari usia 8 tahun hinggalah ke pelajar di peringkat universiti. Malah, terdapat juga beberapa aktiviti yang saya jalankan untuk orang dewasa dari usia 25 tahun hinggalah yang sudah bersara.

Melalui program-program ini, ada satu mesej yang sama yang sentiasa saya cuba sampaikan. Mesej itu ialah penggunaan tenaga fikiran. Soalan saya kepada anda, sejauh mana anda gunakan fikiran anda untuk memajukan hidup anda, pencapaian akademik anda dan juga pencapaian peribadi anda? Lebih penting lagi, tahukah anda apa yang dimaksudkan dengan tenaga fikiran?

Bagi saya, tenaga fikiran adalah tenaga yang anda hasilkan melalui kebolehan anda berfikir. Pelajar datang ke sekolah bukan untuk menguatkan tenaga fizikal mereka. Jika pelajar mahu menguatkan tenaga fizikal mereka di sekolah, sudah pasti guru-guru akan menyuruh mereka mengangkat meja, kerusi atau apa-apa yang berat setiap hari supaya tubuh badan pelajar menjadi gagah perkasa.

Namun, pelajar ke sekolah adalah untuk menguatkan tenaga fikiran mereka. Bagaimana? Apabila pelajar belajar, mereka sedang mengasah kebolehan mereka berfikir. Apabila pelajar merasa pening dan tidak selesa semasa belajar, itu petanda menunjukkan mereka benar-benar sedang menggunakan akal fikiran mereka (pelajar yang tidak gunakan akal fikiran semasa belajar selalunya kelihatan tidak kisah dan tidak peduli lalu tidak merasa pening dan tidak selesa :) ).

Dengan meningkatkan kebolehan anda untuk berfikir, anda boleh berjaya dalam bidang apa sahaja. Insyaallah dalam minggu ini, saya akan kongsikan mengenai kelebihan menggunakan tenaga fikiran dalam mencapai apa sahaja yang anda inginkan.

katakPernahkah anda dengar mana-mana pelajar yang didenda guru disiplin dan berkata, “Semua cikgu disiplin memang macam ni, suka je nak rotan orang!” Atau

Seseorang yang tidak dilayan dengan baik semasa berurusan di jabatan kerajaan lalu merungut, “Semua kakitangan kerajaan memang macam ni, tak cekap!”. Atau

Seorang wanita yang ditinggalkan kekasih berkata, “Semua lelaki memang tak guna!”

Anda perlu berhati-hati jika anda suka menggunakan perkataan ‘semua‘ begini untuk menggambarkan pengalaman hidup anda. Ini kerana pada hakikatnya, satu pengalaman atau beberapa pengalaman tidak boleh dijadikan fakta umum untuk menyatakan semua perkara. Contohnya, jika tiba-tiba anda terlihat seekor cicak mempunyai ekor yang bercabang dua, anda tidak boleh kata semua cicak mempunyai ekor bercabang dua. Atau anda terlihat seekor katak yang bermata merah, anda akan katakan bahawa semua katak di dunia ini bermata merah.

Jika anda terlihat seorang penunggang motosikal menunggang dengan cuai dan laju, anda tidak boleh kata semua penunggang motosikal menunggang dengan cuai dan laju. Mengapa? Ada juga penunggang motosikal yang menunggang dengan cermat dan berhati-hati bukan?

Jika anda gunakan satu pengalaman anda untuk menggambarkan semua perkara secara umum, hidup anda akan menjadi sempit. Hidup anda akan dipenuhi bayangan bahawa semua orang didunia ini adalah jahat dan mahu menganiaya anda. Jadi, mulai hari ni, berhati-hati dengan perkataan yang anda gunakan. Perkataan yang anda gunakan menggambarkan sedalam mana pengetahuan anda mengenai kehidupan. :)

perdasamaRabu lalu saya berada di Kota Tinggi Johor bagi menjayakan Projek Mutiara Johor yang dianjurkan oleh Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia(PERDASAMA) Nasional. Projek ini dirasmikan oleh Menteri Besar Johor YAB Dato’ Haji Abdul Ghani Othman. Projek ini dihadiri oleh Presiden Perdasama Nasional Dato’ Moehamad Izat Emir dan juga YB Tuan Haji Zainal Abidin Bin Haji Osman, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran Negeri Johor. Program ini telah mengumpulkan pelajar-pelajar disekitar kawasan Kota Tinggi iaitu SM Teknik Kota Tinggi, SMK Tun Habab, SMK Laksamana, SMK Bandar, SMK Taman Kota, SMK Jaafar Albar dan SMK Saujana. Lebih kurang 400 pelajar mengikut program yang berlangsung selama sehari ini. Program ini turut dijayakan oleh 5 penceramah lain yang hebat dalam bidang pendidikan ini. 

Saya diberikan tugas untuk menyampaikan ceramah bertajuk ‘Fun & Smart Learning’. Jika anda tanya diri anda sendiri, adakah belajar itu sesuatu yang menyeronokkan, membosankan, atau menyakitkan? Setiap pelajar boleh memberikan definisi mereka sendiri. perdasamaDalam sesi ceramah saya ini, saya terangkan 3 langkah untuk membuat proses pembelajaran menjadi sesuatu aktiviti yang menyeronokkan. Langkah pertama ialah ‘hapuskan halangan minda’. Jika anda rasa belajar itu tidak seronok, membosankan malah menyakitkan, anda mungkin mempunyai halangan minda terhadap proses pembelajaran. Mungkin anda selalu gagal atau tidak mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan. Ini menyebabkan wujud halangan minda dalam diri anda hingga anda tidak suka kepada proses pembelajaran. Jadi, selepas anda hapuskan halangan minda anda, anda akan rasa belajar itu adalah sesuatu yang mudah dan sangat menyeronokkan. 

Langkah kedua ialah dengan memahami konsep ‘fisiologi’. Secara mudah, saya katakan bahawa cara anda bergerak boleh mempengaruhi apa yang anda rasa. Jika anda bergerak, duduk atau berjalan seperti orang yang malas atau tidak seronok, anda akan rasa perkara yang sama. Jadi, jika anda rasa malas atau tidak ada ‘mood’ untuk belajar, ubah cara anda bergerak. bergerak, duduk dan membaca seperti seorang yang sangat rajin, bersemangat dan cemerlang. Anda akan rasa perkara yang sama. Akhir sekali, anda perlu belajar teknik belajar yang betul. Belajar jadi tidak seronok apabila anda tidak tahu cara belajar yang betul. Sama seperti bermain sukan, bolasepak jadi tidak seronok jika anda tidak ada kemahiran dan tidak tahu undang-undang dan peraturannya. Perlumbaan basikal jadi tidak seronok jika anda tidak tahu bagaimana mahu menunggang basikal dan seterusnya. 

Mulai hari ini, pelajari lebih lanjut mengenai 3 langkah ini melalui buku-buku motivasi dan kemahiran belajar. Insyaallah, anda juga akan pasti jadi pelajar yang sangat cemerlang satu hari nanti.  Selamat berjaya kepada anda semua terutamanya semua pelajar yang mengikuti sesi bersama saya di Kota Tinggi ini. :)  

j corpMinggu lalu saya berada di Johor Baru bersama para pegawai daripada Johor Corporation bagi mengadakan satu sesi Program SmartStudy bersama guru-guru kaunseling di sekitar Johor Baru. Ini merupakan kali pertama saya mengadakan program bersama Johor Corporation dan juga ini kali pertama saya berada dihadapan para guru kaunseling di Johor.

Di dalam program setengah hari ini, saya diberi peluang memberikan gambaran kasar mengenai program SmartStudy yang saya jalankan bersama pelajar sekolah rendah, menengah, kolej dan juga universiti ini. Antara topik-topik yang saya ketengahkan adalah topik mengenai potensi diri pelajar yang terpendam dan bagaimana caranya untuk mengeluarkan potensi diri pelajar itu.

Hasil daripada program ini, pihak Johor Corporation akan menganjurkan beberapa program SmartStudy untuk pelajar di sekitar Johor Baru. Program-program ini diharap dapat memberi pelajar sedikit pendedahan terhadap teknik-teknik belajar yang betul dan juga teknik bagaimana untuk meningkatkan tahap motivasi diri mereka.

Ucapan terima kasih khas diucapkan buat Pn Ruzila, Cik Muna dan En Ramli yang mengaturkan pertemuan awal dan program ini. Insyaallah program ini akan membuahkan hasil yang memuaskan.

fikirAlhamdulillah, saya telah berjaya kongsikan 7 petua untuk mudah ingat apa yang dipelajari. Dengan menggunakan petua ini, anda boleh meningkatkan kebolehan anda untuk mengingat sesuatu yang anda pelajari hingga 2-3 kali ganda. Bayangkan jika anda lebih mudah ingat, apakah kesannya kepada pencapaian akademik dan keyakinan diri anda?

Satu pesan saya, anda perlu ingat, kebolehan yang ada dalam diri anda tidak terbatas. Apa yang membataskan kebolehan anda adalah diri anda sendiri. Jika selama ini anda rasa anda lemah dan sukar mempelajari sesuatu, hapuskan rasa dan kepercayaan begitu. Mulakan hari ini dengan satu kepercayaan baru bahawa anda juga hebat seperti mana-mana pelajar cemerlang yang lain.

Selamat berjaya!

Next Page »