July 2007
Monthly Archive
Tue 31 Jul 2007
Posted by Osman Affan under
Khas ,
Cerita[7] Comments
Inikan pula tempat bermain……
Semalam saya ada ceritakan saya ke Kelantan bagi menjayakan program Pengurusan Pelanggan Di Kaunter. Sesi saya berakhir pada malam hari Khamis. Keesokan harinya (Jumaat), walaupun saya perlu checkout pada pukul 12 tengahari, saya bergegas untuk checkout sejurus selepas sarapan pagi, lebih kurang pukul 8.30 a.m. Saya berdua sebenarnya ke Kelantan, tetapi bukan isteri saya, ayah saya. Ya, untuk ke Kelantan, saya singgah di Terengganu dahulu dan bawa ayah saya bersama saya ke Kelantan. Isteri? Hmm..Isteri dan anak saya tinggal di Terengganu untuk melawat seorang anak saudara yang sakit.
Sudah lama saya tidak luangkan masa berbual-bual dengan ayah saya sendiri sebenarnya.Jadi, banyaklah cerita yang keluar sepanjang memandu ke Kelantan.
Baik….berbalik semula kepada cerita asal…. saya dan ayah saya check out awal kerana saya mengajak ayah saya pergi ke Pengkalan Chepa. Di sana ada sebuah kem perumahan tentera. Mengapa? Ayah saya dahulu seorang tentera dan kami pernah tinggal di kem Pengkalan Chepa Kelantan.
Kami tinggal di sana semasa saya berusia 6 hingga 7 tahun (tahun 1982 - 1983). Jadi, pengalaman paling utama ketika saya berada di sana ialah ektika saya berada di Tadika dan juga di dalam darjah satu.
Apabila saya jejakkan kaki ke kawasan perumahan tersebut, tidak banyak perubahan yang saya lihat. Mungkin ia kerana saya dah banyak lupa apa yang ada di sana. Namun saya dapat lihat juga beberapa rumah yang sudah ditinggalkan dan tidak digunakan lagi.
Bagi saya, tadika adalah satu kenangan yang sangat manis. Entah kenapa, saya suka suasana semasa belajar di Tadika. Saya tidak ingat nama cikgu saya ketika itu tetapi saya ingat ada dua cikgu perempuan yang rapat dan mesra dengan saya. Ada ketikanya, saya akan bantu cikgu ini menyerahkan kunci tadika kepada seorang pegawai yang tinggal di kawasan perumahan saya. Saya ingat juga cikgu ini pernah menghadiahkan saya aiskrim kerana selalu membantu mereka.
Hmm…bagi budak sekolah tadika, aiskrim pun dah cukup buat mereka gembira.
Darjah satu saya pula, sekolahnya terletak sangat dekat dengan kawasan perumahan itu tadi. Tak banyak yang saya ingat tentang sekolah ini. Saya hanya bersekolah di sini selama 1 penggal sahaja (lebih kurang 3 bulan) kerana ayah saya ditugaskan ke Kuala Lumpur pula selepas itu.
Namun, saya sangat ingat hari pertama saya bersekolah di dalam darjah 1. Ada beberapa orang cikgu masuk ke kelas dan memperkenalkan diri mereka. Saya hanya ingat cikgu kelas saya ketika itu. Dia mengajar matematik kalau tidak silap saya. Apa yang saya benar-benar ingat, cikgu
saya menunjukkan sepuluh ekor gambar unta. Dia pun bertanya,
“Gambar apa ni murid-murid?”
“UNTAAA!!!!” jerit semua pelajar.
“Unta tinggal di mana?” Soal cikgu saya lagi.
“Dalam hutan!!!!” Jawab hampir kesemua pelajar dengan yakin.
Entah kenapa ketika itu saya berani mengangkat tangan dan terus berkata, “Dekat negeri Arab cikgu.”
Saya ingat lagi senyuman cikgu saya ketika itu. Selepas sesi berakhir dan apabila sudah tiba masa untuk pulang ke rumah, cikgu saya menyuruh semua murid mengucapkan “Terima kasih cikgu”. kemudian, cikgu saya itu menyuruh saya menyebutnya dahulu seorang diri. Apabila saya sebut dengan kuat, semua pelajar lain mengikutnya. Jadi, secara rasminya ketika itu, saya telah dilantik menjadi ketua kelas. Mengapa? Mungkin kerana saya seorang sahaja ketika itu yang tahu bahawa unta boleh didapati di negeri Arab.
Itulah antara kenangan manis semasa tinggal di pengkalan Chepa. Saya dan ayah berjalan-jalan dan mula mengambil gambar kawasan ini supaya dapat saya tunjukkan kepada ibu, kakak dan adik perempuan saya yang sama-sama tinggal di situ dulu.
Benarlah kata pepatah, tempat jatuh lagi dikenang…inikan pula tempat bermain…..
Mon 30 Jul 2007
Posted by Osman Affan under
Khas ,
Soft SkillsNo Comments
Khamis lalu, saya berada di Kota Bharu Kelantan bagi mengendalikan satu sesi bertajuk Pengurusan Pelanggan di Kaunter untuk para pegawai daripada Jabatan Tanah dan Galian, Kuala Lumpur. Ini adalah kali kedua saya mengendalikan program untuk Jabatan Tanah KL dalam masa beberapa bulan ini. Kali pertama diadakan di Penang pada bulan Mei lalu. Perbezaan untuk kali ini ialah topiknya lebih khusus kepada cara dan teknik pengurusan pelanggan di kaunter.
Jika anda tidak pernah ada pengalaman menguruskan pelanggan di kaunter, anda patut mencubanya. Kerjaya ini boleh dikatakan mencabar kerana anda perlu berdepan pelbagai kerenah pelanggan.
Di dalam sesi ini, saya ada kongsikan beberapa teknik untuk menghadapi pelanggan yang marah-marah. teknik ini sebenarnya dapat mengurangkan rasa marah pelanggan dengan cara yang baik dan sopan. Salah satu caranya ialah pekerja di kaunter perlu duduk dalam keadaan berminat untuk mendengar apa yang dikatakan oleh pelanggan. Lebih kurang, perlu duduk dengan condong kehadapan sedikit (lean forward).
Namun ada satu soalan daripada peserta yang agak menarik bagi saya kerana saya belum pernah bertemu dengan soalan sebegitu. Soalannya ialah, “En Osman, macam mana saya nak lean forward kalau pelanggan saya tu mulutnya kuat batu todi?”
Saya dan peserta lain tergelak juga mendengar soalan ini kerana secara realitinya, ia benar-benar berlaku oleh para pegawai di Jabatan Tanah ini. Jika anda berdepan dengan situasi begini, apa yang akan anda lakukan?
Setelah saya minta pendapat beberapa orang yang berpengalaman di situ, kesimpulannya, walaupun mulut orang itu berbau, seorang pegawai tidak boleh marah atau menjatuhkan air pelanggan tersebut. Satu cara kreatif yang dicadangkan ialah dengan menggunakan sapu tangan untuk menutup hidung sambil berpura-pura tidak sihat.
Hmmm…. memang mencabar kerja di kaunter ni sebenarnya. Saya perlu ucapkan tahniah kepada para pegawai ini terutamanya yang sudah bertahun-tahun bekerja dalam suasana menjaga pelanggan dikaunter. Walaupun saya datang untuk berkongsi tips dan teknik, dalam masa yang sama, saya turut belajar beberapa cara baru untuk menyelesaikan masalah semasa menguruskan pelanggan di kaunter.
Fri 27 Jul 2007
Posted by Osman Affan under
Motivasi ,
Soft SkillsNo Comments
Pernahkah anda terfikir, mengapa anda perlu pergi ke sekolah?
Pernahkah anda terfikir, mengapa anda perlu belajar?
Belajar itu memenatkan….belajar itu memeningkan…belajar itu membosankan…
Tetapi mengapa ayah dan ibu masih mahu anda belajar??
Tidak pernahkah anda terfikir,
kehebatan manusia hadir apabila mereka berfikir?
Tidak pernahkah anda terfikir,
belajar membuat anda berfikir??
Tidakkah anda terfikir,
bahawa apa yang anda baca ini membuat anda berfikir?
Thu 26 Jul 2007
Posted by Osman Affan under
Motivasi ,
Soft SkillsNo Comments
Alhamdulillah. Saya telah kongsikan bersama anda 7 petua untuk memikat hati guru anda. Mungkin anda ada tertanya-tanya, adakah cuma ada 7 petua sahaja untuk memikat hati guru?
Hmm…. sebenarnya banyak lagi. Namun, tidak ada gunanya kalau kita pelajari semuanya jika kita tidak mampu mengamalkan 7 petua yang mudah ini. Satu perkara lagi yang anda mungkin terfikir, adakah 7 petua yang begitu mudah ini, dan mungkin orang semua sudah tahu ini, boleh membantu anda memikat hati guru anda?
Jika anda tanya saya, saya akan kata Ya, ia boleh memikat hati guru anda. Mari kita ulang kembali mengapa kita perlu memikat hati guru kita. Jika kita boleh memikat hati mereka,
- Guru akan lebih bersemangat untuk membantu kita mencapai kejayaan.
- Guru akan dapat rasa kesungguhan kita untuk belajar lalu mereka akan bantu kita dengan sepenuh hati mereka.
- Guru juga juga manusia biasa. Jika jauh hati mereka daripada kita, jauh jugalah peluang kita untuk mendapat sebanyak manfaat daripada apa yang mereka ajarkan.
- Kita akan mendapat lebih berkat daripada ilmu yang guru ajarkan. Petua ini semua menekankan agar kita hormat dan dengar nasihat guru. Jika kita lakukan itu semua, peluang untuk kita ingat apa yang diajarkan adalah lebih besar.
- Kita akan pandai menyesuaikan diri dalam suasan majls ilmu. Jika anda pandai memikat hati guru, anda akan mudah pelajari sesuatu dengan sangat cepat tidak kira di mana sahaja anda menuntut ilmu.
Selamat mencuba petua-petua ini dan selamat berjaya!
Wed 25 Jul 2007
Posted by Osman Affan under
Motivasi ,
Soft SkillsNo Comments
Petua yang terakhir ini mungkin berbunyi agak pelik sedikit. Jika petua kedua menyatakan bahawa anda perlu tawarkan bantuan kepada guru anda untuk memikat hati mereka, petua ke tujuh ini mengatakan bahawa anda perlu ‘minta bantuan’ daripada guru anda untuk memikat hati mereka.
Adakah anda boleh lihat mengapa perlu minta bantuan untuk memikat hati guru? Begini, secara umumnya guru datang ke sekolah dengan niat untuk membantu anak-anak muridnya mencapai kejayaan dalam bidang akademik dan kejayaan dalam hidup. Bagi saya tidak ada guru yang mahu anak muridnya gagal. (Kalau ada, saya tidak panggil orang itu dengan nama guru). Jadi, apabila anda minta bantuan mereka, mereka akan sedia membantu. Dan apabila mereka membantu anda, hubungan anda dengan guru tersebut akan jadi semakin rapat.
Bantuan tidak semestinya dalam bidang akademik. Jika anda ada masalah peribadi dan perlukan nasihat guru anda, saya percaya guru anda pasti bersedia untuk memberi nasihat.
Namun anda perlu ingat, minta bantuan hanya untuk memajukan diri anda dan tidak terlalu menyusahkan guru anda. Bila saya kata minta bantuan guru anda, jangan pula anda bersiap sedia untuk meminta duit pula daripada guru anda.
Ada permintaan pelajar yang bersifat terlalu peribadi dan menyusahkan guru mereka. Ada yang minta guru mereka menghantar mereka ke sana ke mari dengan kereta guru tersebut.
Ada pelajar yang meminta guru membelikan mereka sesuatu sedangkan mereka tahu tempat tinggal guru itu jauh daripada tempat barang tersebut. Ringkasnya, jangan jadikan petua in sebagai alasan untuk mengambil kesempatan ke atas guru anda. Jika anda lakukan ini, bukan sahaja anda akan gagal memikat hati guru anda, malah anda akan semakin dijauhi.
Mulai hari ini, jangan merasa segan untuk meminta bantuan daripada guru anda berkenaan pelajaran atau nasihat untuk masa depan anda. hargai segala pertolongan yang guru anda berikan. Jangan mengeluh atau memandang rendah kepada apa sahaja pertolongan yang mereka berikan walaupun kecil.
Selamat mencuba.
Tue 24 Jul 2007
Posted by Osman Affan under
Motivasi ,
Soft Skills[2] Comments
Petua keenam dalam memikat hati guru anda ialah satu petua yang selalu anda dengar, ‘hormati guru anda’. Namun, berapa ramaikah anak murid yang benar-benar menghormati guru mereka?
Kebanyakan pelajar yang saya temui agak kurang pasti apa maksudnya menghormati guru ini. Adakah ia bermaksud anda mesti dengar semua cakap guru anda walaupun ia tidak betul? Adakah anda perlu menerima bulat-bulat apa yang mereka katakan? Adakah anda mesti setuju dengan semua tindakan mereka dan jangan sekali-kali mempersoalkan apa yang mereka lakukan?
Begini, kita perlu lihat petua ini dari satu sudut yang mudah. Kita perlu menghormati guru kita seperti kita menghormati seseorang yang pernah terhutang budi. Jika ada seseorang yang pernah menolong anda ketika anda benar-benar dalam keadaan susah, bagaimanakah cara anda melayan orang itu? Tentu dengan baik sekali bukan?
Begitu juga dengan guru. Selain daripada ibu bapa, guru adalah insan yang utama yang paling berbudi kepada kita. Kalau guru saya tidak mengajar saya matematik dengan betul sewaktu saya dalam darjah satu dahulu, sudah tentu saya masih tidak pandai mengira sekarang. Tentu anda setuju.
Jadi, apa yang perlu anda lakukan untuk menunjukkan rasa hormat kepada guru anda?
- Paling mudah, beri perhatian apabila guru anda bercakap sama ada di dalam kelas atau semasa dia sedang bercakap dengan anda. Jangan ambil hati teguran mereka walaupun ia mungkin berbunyi kasar dan menyakitkan hati. Saya percaya guru anda tidak ada langsung niat buruk dengan kata-kata mereka.
- Ceriakan diri anda semasa guru anda sedang mengajar dalam kelas. Duduk seperti seorang pelajar ceria yang seronok berada dalam kelas. Jika anda kelihatan, guru anda akan rasa anda tidak suka kepadanya atau tidak suka apa yang diajarnya. Ini juga akan membuat mereka rasa anda tidak hormat kepadanya. Bayangkan rungutan guru yang berbunyi begini, “Huh, budak tu, bila saya masuk kelas nak mengajar je mula la dia tunjuk muka bosan. Buat tak tahu je bila saya masuk kelas. Tak ada rasa hormat langsung!’.
- Latih gunakan suara dan intonasi yang berbunyi mesra. Kadangkala pelajar tidak sedar bahawa gaya mereka bercakap berbunyi agak biadab dan tidak sopan. Ini disebabkan oleh tabiat bercakap yang tidak baik setiap hari. Tanya kawan anda sama ada cara anda bercakap berbunyi sopan atau biadab. lebih baik lagi, tanya guru anda sendiri sama anda pernah bercakap dengan nada yang tidak sesuai dengan mereka.
- Tanya soalan jika anda tidak faham. Jika selepas bertanya soalan di dalam kelas dananda masih tidak faham, cari peluang untuk berjumpa denganguru anda secara bersemuka. Selalunya, anda akan belajar dengan lebih baik apabila mendapat perhatian penuh daripada guru anda. Dalam masa yang sama, guru anda akan rasa anda benar-benar mahu belajar dan suka belajar daripadanya.
- Jangan bergurau berlebihan dengan guru anda. Tidak salah bergurau dengan seorang guru tetapi anda tidak boleh samakan bergurau dengan guru dan bergurau dengan kawan. Ia akan kelihatan biadab dan mungkin menjatuhkan air muka guru atau membuat mereka tersinggung.
Satu kelebihan jika anda menghormati orang lain tidak kira mereka guru atau tidak. Ingat, jika anda hormat orang lain, orang lain juga akan hormati anda. Jika anda mahu dihormati, anda mesti menghormati orang terlebih dahulu.
Mon 23 Jul 2007
Posted by Osman Affan under
Motivasi ,
Soft Skills[3] Comments
Petua kelima untuk memikat hati guru anda ialah elakkan daripada melakukan sesuatu yang guru anda larang. Guru anda sudah pasti lebih banyak pengalaman berbanding anda terutamanya dalam bidang yang diajarinya. Apabila guru anda melarang anda daripada melakukan sesuatu, ikut nasihatnya.
Contoh paling mudah, jika guru anda suruh anda diam semasa dia mengajar, anda perlu diam. Mengapa? Jika anda tidak diam, tentu susah untuknya mengajar. Apabila dia rasa susah untuk mengajar, tentu susah juga baginya untuk membuat anda faham.
Kadangkala ada pelajar yang suka bergurau dengan melawan cakap gurunya. Guru kata jangan sentuh benda ini, pelajar itu akan semakin seronok untuk menyentuhnya. Semakin guru marah, semakin dia mempersendakan gru dengan cuba menyentuh benda tersebut. Jika anda yang jadi guru ketika itu, apakah perasaan anda?
Untuk pengetahuan anda, apa yang guru anda larang selalunya adalah bertujuan baik untuk anda. Jika anda mahu memikat hati guru anda supaya anda rapat dengannya dan mudah untuk memahami apa yang diajarnya, elakkan daripada melakukan perkara yang dilarangnya.
Bagi saya, petua ini adalah petua yang paling mudah difahami tetapi ia juga petua yang paling susah diamalkan oleh pelajar. Ini adalah kerana apa yang pelajar suka selalunya adalah apa yang guru tidak suka. Contohnya guru tidak suka pelajar bising dalam kelas, tetapi pelajar sangat suka membuat bising di dalam kelas. Guru sangat melarang pelajarnya daripada meniru tetapi pelajar sangat suka meniru kerana ia kerja mudah bagi mereka.
Jadi, mulai hari ini, lihat semula, adakah anda suka melakukan sesuatu yang dilarang oleh guru anda? Jika ada, berhenti lakukannya serta-merta jika anda berniat untuk memikat hati guru anda.
Sat 21 Jul 2007
Ahad lalu saya berpeluang mengendalikan sesi bersama pelajar di kampung Taman Cengal Utama, Negeri Sembilan. Kem Insan Cemerlang ini dijalankan anjuran pihak Rukun tetangga dan juga jawatankuasa surau Al-Muttaqin kampung ini. Sebenarnya, saya agak terharu melihat kesungguhan pihak rukun tetangga dan pihak surau ini untuk mengendalikan program yang sangat baik ini.
Ini kerana di dalam era kesibukan hidup masa kini, masih ada yang prihatin dan sanggup luangkan masa dan tenaga untuk membantu generasi muda mencapai kejayaan dari segi akademik dan juga sahsiah diri.
Program ini dihadiri oleh pelajar dari umur 11 tahun hingga 15 tahun. Namun ada juga pelajar berumur dibawah 10 tahun yang turut menyertainya sekadar untuk pendedahan kepada program berbentuk motivasi dan kemahiran belajar ini.
Sepanjang sehari ini, saya berkongsi beberapa tips dan teknik kecemerlangan diri terutamanya kecemerlangan dalam bidang akademik. Saya merasa sungguh seronok melihat kesungguhan pelajar menumpukan perhatian kepada apa yang saya kongsikan meskipun mereka agak letih daripada aktiviti treasure hunt dan Qiamulail.
Sekali lagi, saya ucapkan tahniah kepada semua ahli jawatankuasa yang terlibat dalam menjayakan program ini. Ucapan tahniah dan terima kasih khas untuk Tuan Haji Azhar yang sudi menjemput saya bagi menjayakan program yang hebat ini.
Fri 20 Jul 2007
Posted by Osman Affan under
Motivasi ,
Soft Skills[2] Comments
Petua keempat untuk memikat hati guru ialah ‘tumpukan sepenuh perhatian’ semasa guru sedang mengajar. Hmmm… saya percaya anda tentu pernah mendengar tentang petua ini. Namun, tahukah anda bagaimana caranya untuk memberi sepenuh tumpuan? Tahukah anda tumpuan bagaimanakah yang akan membuat hati guru terpikat kepada anda?
1. Perkara yang paling penting untuk anda amalkan mulai hari ini ialah, apabila guru anda mula mengajar, berhenti daripada melakukan perkara lain. Bila saya kata berhenti, maksudnya berhenti semua sekali aktiviti yang boleh mengganggu konsentrasi anda semasa belajar. Berhenti daripada mencari pen atau pensil, berhenti mencari buku, berhenti mengalihkan kedudukan meja, berhenti bercakap dengan kawan di sebelah, berhenti membetulkan kedudukan rambut anda, berhenti makan gula-gula dan sebagainya. Pendek kata, 100% perhatian anda mesti diberikan kepada guru anda.
Kesan utama amalan ini ialah anda tidak akan terlepas apa-apa penerangan daripada guru anda. Selalunya, 5 hingga 10 minit pertama dalam sesi pembelajaran adalah yang paling penting. Ini kerana, jika anda terlepas penerangan awal, anda akan terus tidak faham hingga ke akhirnya. Sama seperti apabila anda menonton tayangan gambar, apa akan jadi jika anda terlepas permulaan cerita itu? Adakah anda akan faham cerita itu?
Menurut pengalaman saya sendiri sebagai guru, saya akan merasa marah apabila pelajar sibuk dengan perkara lain semasa saya mula mengajar. Ini kerana, apabila tiba masa membuat latihan nanti, pelajar-pelajar inilah yang akan merungut dengan perkataan ’susah’, ‘pening’, ‘tak faham’, ‘ tak boleh buat’ dan sebagainya. Apa yang membuat saya marah ialah, mereka tidak faham bukan kerana mereka tidak ada kebolehan untuk memahami tetapi kerana mereka mempunyai tabiat yang tidak mahu memberikan tumpuan. Pelajar-pelajar ini selalunya akan mengganggu konsentrasi pelajar lain pula.
2. Memberikan tumpuan tidak bermakna anda hanya duduk diam tidak bersuara. Anda boleh bertanya jika anda kurang faham. Angkat tangan dan tanya dengan sopan tentang apa yanganda tidak faham. Seorang guru yang baik akan menjawab soalan anda dengan sopan juga dan bantu anda untuk memahami apa yang sedang diajarkan.
3. Beri tumpuan dengan cara duduk yang betul. Bayangkan bagaimana cara seorang yang malas duduk belajar. Tentu dia kelihatan tidak selesa bergerak ke sana ke sini dan menyandar di kerusi seperti sedang letih dan mengantuk bukan? Jika guru melihat anda duduk dengan cara ini semasa belajar, guru akan rasa ada tidak berminat dan tidak menumpukan perhatian kepada apa yang diajarkan. Jadi, jangan duduk begini. Bayangkan cara duduk seorang pelajar cemerlang. Mereka selalu duduk dengan selesa, tegak dan tubuh mereka ke depan sedikit (tidak menyandar). Bayangkan.
Hanya dengan mengubah cara anda duduk sebenarnya sudah boleh memikat hati guru anda kerana anda kelihatan benar-benar mahu belajar. Adapelajar yang bertanya saya mengapa guru tidak suka mengajar pelajar yang tidak pandai? Sebabnya bukan kerana pelajar itu susuah diajar tetapi ada kemungkinan pelajar itu tidak menunjukkan rasa minat dan tidak menunjukkan yang dia menumpukan perhatian kepada apa yang diajarkan. Selamat mencuba.
p/s Saya pernah lihat pelajar yang bersandar ke kerusi (seperti seorang bos sedang menemuramah pekerja) semasa bertanya soalan kepada cikgunya. Cara duduk begini semasa mengajukan soalan membuat pelajar itu kelihatan seperti seorang yang sombong dan berlagak di depan gurunya, walaupun saya percaya pelajar itu tidak bermaksud begitu. Jika anda mahu tanya soalan semasa duduk, tegakkan badan, gerakkan tubuh anda kedepan sedikit (lean forward) dan tanya soalan dengan sopan.
Thu 19 Jul 2007
Posted by Osman Affan under
Motivasi ,
Soft Skills[2] Comments
Petua ketiga untuk memikat hati guru ialah ‘timbulkan minat untuk belajar’. Jika saya tanya anda, apakah fungsi dan peranan seorang guru?…….. tentulah untuk mengajar bukan? Jika anda mempunyai minat untuk belajar, anda akan membuat guru anda mampu memenuhi peranan mereka.
Saya banyak mendengar rungutan pelajar mengatakan bahawa kebanyakan guru lebih suka mengajar di kelas-kelas elit atau kelas utama di sesebuah sekolah. Kata pelajar ini, guru suka mengajar mereka kerana mereka sudah pandai dan senang diajar. Saya percaya tanggapan ini kurang tepat.
Saya boleh percaya bahawa guru lebih suka mengajar kelas elit namun ia bukan kerana pelajar itu semua sudah pandai dan memudahkan kerja guru. Sebab utamanya ialah pelajar di kelas elit selalunya menunjukkan semangat dan keinginan untuk belajar yang tinggi. Mereka begitu berminat untuk belajar dan dengar dengan bersungguh-sungguh apa yang guru mereka ajarkan. Apabila pelajar menunjukkan rasa minat untuk belajar, guru akan bertambah minat untuk mengajar.
Susahkah untuk menunjukkan minat untuk belajar? Hmmm…. mungkin susah jika anda langsung tidak berminat untuk belajar. Soal diri anda sendiri, mengapa anda perlu belajar dan mengapa anda perlu kuasai apa yang mahu anda pelajari? Jika anda tidak boleh minat kepada apa yang guru anda ajarkan, anda tidak boleh memikat hati mereka.
Mulai hari ini, timbulkan rasa minat anda pada apa yang anda pelajari. Cari sebab mengapa anda perlu suka apa yang anda pelajari. Fikirkan bagaimana anda boleh gunakan apa yang anda pelajari sekarang dan di masa hadapan. Buat semua kerja dan latihan yang guru anda suruh. Ini dapat menunjukkan kesungguhan dan minat anda.
Selamat mencuba.
— Next Page »