December 2006


Mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa saya suka sangat topik hantu ni…. hmm…seperti yang saya jelaskan dalam buku pertama saya, saya sangat takutkan hantu sewaktu saya kecil dahulu….

Kini, dalam program kemahiran belajar saya, saya ada katakan, “kalau hantu boleh takutkan anda, anda boleh takutkan hantu itu kembali”.

Hehe… bolehkah kita takutkan hantu…? pelik bunyinya….. sebenarnya saya bukan mahu menyuruh anda mencari hantu dan menakutkan mereka…. nak mencari mereka pun bukan mudah kan?

Ayah saya selalu kata dulu bahawa, kalau kita berani, hantu nak melintas depan kita pun takut…… selalu saya tersenyum sendirian kalau teringat kata-kata ayah saya ini……

Apa-apa pun, mesej saya di sini ialah, jika sesuatu boleh takutkan anda, anda boleh takutkannya kembali……… apa yang anda boleh faham melalui kata-kata ini?

Sudahkah anda menyenaraikan kekuatan anda? Berapa banyak kekuatan yang anda ada?

Jika anda tidak tahu kekuatan bagaimana yang anda mahu cari dalam diri anda, mulakan dengan mencari sesuatu yang anda suka lakukan. Bukan sahaja anda suka lakukan, malah anda boleh lakukan lebih baik daripada orang lain. Jika anda pandai melukis, minat melukis dan boleh melukis lebih baik daripada orang lain, itu adalah kekuatan anda.

Jika anda pandai memasak, menjahit, bersukan, bergaul dengan orang lain dan anda boleh lakukan ini semua lebih baik daripada orang lain, itu juga merupakan kekuatan anda.

Apa yang perlu anda lakukan dengan kekuatan ini?

Pertama, latih kekuatan ini supaya ia menjadi lebih kuat. Jika anda melukis contohnya, latih supaya anda dapat hasilkan lukisan yang cantik setiap kali anda melukis, bukan hanya cantik sekali sekala sahaja….. :)

Setelah anda latih…… ini bahagian yang penting…. mula fikirkan…… (bila saya kata mula fikirkan, ia bermakna, anda mungkin tidak akan dapat jawapannya segera, tetapi, teruskan berfikir)…. bagaimana anda boleh guna kekuatan ini untuk membantu anda di alam pekerjaan nanti………

Apakah kekuatana anda? Adakah anda mudah menghafal? Adakah anda cepat faham? Adakah anda pandai berkawan? Atau anda pandai memasak…?

Dalam perlumbaan menjadi pelajar cemerlang, saya lihat pelajar dan ibu bapa hanya tertumpu kepada kecemerlangan akademik sahaja. Jika berjaya dapat ‘A’, baru dikira cemerlang, baru dikira berjaya dan baru dikira bijak. Bagaimana dengan yang tidak dapat ‘A’? Tidak cemerlang? Tidak bijak?

Lupakan kecemerlangan akademik buat seketika. Mulai hari ini, kaji kekuatan anda tidak kira dalam bidang apa pun. Sebagai pelajar, kecemerlangan akademik akan membantu anda di alam pekerjaan nanti. Tetapi di alam pekerjaan, kejayaan bukan diukur dalam bidang akademik sahaja. Kejayaan selalunya datang apabila anda pandai menggunakan kekuatan anda dlam menyesuaikan diri di alam pekerjaan.

Sebab itulah ada pelajar yang akademiknya cemerlang gagal menyesuaikan diri dalam alam pekerjaan. Malah ramai juga yang berjaya dalam bidang akademik tetapi gagal mendapat pekerjaan. Mengapa…??

Kerana selama ini mereka tidak kaji apakah kekuatan sebenar yang ada dalam diri mereka…………

Tanpa halangan matlamat bukanlah suatu impian…….

Ini adalah salah satu mutiara kata yang saya tulis dalam buku pertama saya dan saya ada kongsikan di blog ini juga….

Matlamat saya adalah untuk menghasilkan satu laman web dapat memberikan tips dan petua yang berguna untuk pelajar. Laman web itu akan menjadi rujukan utama pelajar Malaysia dan juga boleh menjadi sumber rujukan untuk para guru dan ibu bapa.

Seperti mutiara kata itu, matlamat itu bukanlah satu impian jika tiada halangan……. Buat masa ini, saya mengalami sedikit masalah teknikal berkenaan laman web saya. Jika anda sedar, laman web saya www.ismartstudy.com tidak dapat dimasuki. Ini kerana ada proses pertukaran server dan saya diberitahu ia akan mengambil masa 3 bulan…! terkejut juga saya. Cuma Alhamdulillah kerana laman web utama saya www.osmanaffan.com masih berfungsi seperti biasa. Cuma masih ada masalah dari segi rss yang menyambungkan blog ini ke laman web saya itu tidak berfungsi.

Jika anda masuk ke laman web osmanaffan.com tu, tentu anda sedar ada ruang kosong di bahagian blog yang patut menunjukkan catatan hari ini dan semalam. Itu juga merupakan sedikit masalah teknikal. Insyaallah saya sedang mencari jalan penyelesaian kepada itu supaya laman web utama saya jadi lebih menarik.

Itulah dia…… tanpa halangan…… matlamat bukanlah suatu impian…… :)

Soalan saya semalam, yang mana lebih kuat….. keinginan anda untuk berjaya atau keengganan anda untuk merasa susah kerana bekerja keras…?

Selalunya, inilah persoalan yang dihadapi oleh para pelajar…. pelajar yang mempunyai keinginan yang kuat untuk berjaya akan mengenepikan rasa susah yang dihadapi sewaktu proses pembelajaran…. hasilnya, fikiran mereka sentiasa fokus dan mereka tahu kesusahan itu akan dihadiahkan dengan kegembiraan sewaktu menerima keputusan peperiksaan dan semasa dapat melanjutkan pelajaran ke mana-mana sahaja yang mereka suka….

Pelajar yang mempunyai keengganan untuk bekerja keras yang lebih kuat pula akan sentiasa mencari jalan untuk mencapai keseronokan segera. Baca buku atau main games? Sudah tentu main games….. Buat kerja sekolah atau berlumba basikal/motor? sudah tentu anda tahu jawapannya…..

Malangnya…. saya selalu melihat bekas anak murid saya yang enggan bekerja keras kerana mereka rasa terlalu susah untuk bekerja keras semasa belajar…. setelah mereka tempuhi alam dewasa dan alam pekerjaan, mereka tersedar bahawa…. kesusahan sewaktu belajar adalah jauh lebih mudah dan lebih menyeronokkan berbanding apa yang mereka alami sekarang………

Tahun baru akan menjelman tidak lama lagi…. semester baru di kebanyakan universiti juga telah bermula….. untuk anda para pelajar, saya ada satu soalan untuk anda…..

Yang mana lebih kuat, keinginan anda untuk berjaya dengan cemerlang atau keengganan anda untuk merasa susah kerana bekerja keras……

Saya teringat kisah seorang sahabat saya yang bercerita tentang pengelaman beliau… kata beliau, pada satu malam, beliau rasa sangat mengantuk dan letih. Waktu itu baru lebih kurang pukul 9 malam. Beliau belum bersembahyang isya’ ketika itu. Oleh kerana terlalu mengantuk, beliau buat keputusan untuk baring seketika. Lepas barig seketika beliau akan bangun dan menunaikan solat.

Oleh kerana terlalu letih, beliau rasa terlalu sukar untuk bangun semula selepas terlena, tetapi keinginan beliau untuk bangun sembahyang isya’ tetap kuat. Beliau terus tertidur tetapi beliau terjaga hampir setiap jam dan terkenang yang beliau belum sembahyang isya’. Tertidur juga beliau termimpi yang beliau telah bangun dan menunaikan sembahyang isya’.

Akhirnya, pada pukul 5.30 pagi, beliau terjaga lagi. Sudah hampir benar waktu Subuh. Ketika itu, kata beliau, terlintas di hati beliau, mana lebih kuat, keinginan aku nak bangun sembahyang isya’ atau atau keinginan aku untuk tidur….. kata beliau lagi, ketika itu, fikiran lojik beliau mendesak beliau untuk tidur kerana beliau sangat letih.

Namun, keinginan beliau untuk sembahyang isya’ adalah ternyata lebih kuat. Beliau gagahkan diri untuk bangun dan berjaya menunaikan sembahyang isya’ yang sudah hampir habis waktunya…….. selepas sembahyang, keletihan dan rasa mengantuk itu semua seolah hilang serta merta. Beliau rasa segar dan bersemangat, terus bersiap sedia untuk menunaikan sembahyang subuh………….

Apakah yang anda dapat fahami dan pelajari melalui cerita sahabat saya ini……… ?

Jika anda baca cerita yang saya tulis semalam, ada tiga perkataan yang saya ingin anda ingat dalam kisah ini. Perkataan-perkataan itu ialah:

  1. Pemanah
  2. Pantas   
  3. Tepat    

Saya percaya, untuk menjadi mahir dalam kemahiran belajar, anda juga perlu menjadi seperti seorang pemanah yang hebat. Seorang pemanah yang hebat mempunyai kebolehan untuk menumpukan perhatian mereka. Mereka tenang dan tahu masa yang sesuai untuk bertindak. Apa yang paling hebat ialah, mereka sangat pantas dan tepat semasa memanah.

Begitu juga dengan pelajar yang cemerlang. Pelajar yang cemerlang mempunyai ciri-ciri kehebatan mereka yang tersendiri terutamanya kebolehan mereka untuk menumpukan perhatian terhadap apa yang mereka pelajari. Di dalam dewan peperiksaan, mereka boleh menjawab soalan dengan sangat pantas dan tepat. Inilah rahsia kecemerlangan mereka. Bolehkah anda menjadi seperti mereka?


Sebenarnya ini adalah gambaran kandungan keseluruhan buku kedua saya yang sedang dalam proses penerbitan oleh PTS Publishing. Di dalam buku ini saya bahagikannya kepada tiga bahagian iaitu Pemanah, Pantas dan Tepat. Matlamat utama buku ini adalah untuk memberikan anda kemahiran untuk dapat mempelajari sesuatu dengan pantas.

Untuk itu, anda perlu menjadi seorang pelajar yang boleh menumpukan perhatian terhadap apa yang anda pelajari. Hasilnya nanti, anda akan dapat mengingati apa yang anda pelajari dengan pantas dan tepat.

Cuma saya tidak pasti bila buku ini akan terbit di pasaran. Harapnya, ia keluar awal tahun 2007. :)

Gadek berdiri kaku. Matanya tidak berkelip memandang ke arah hadapan. Seekor harimau seberat 200 kilogram sedang merenung ke arahnya. Gadek berada di dalam keadaan bahaya. Harimau itu cuma berada lebih kurang 20 meter darinya sahaja. “Macam mana aku tak sedar ada jejak harimau masa aku masuk dalam hutan ni tadi?” Soal hati Gadek.


Harimau itu tidak bergerak. Matanya masih merenung Gadek. Ekornya sudah mula digoyangkan ke kiri dan ke kanan. Itu satu petanda bahaya. Ia akan menyerang bila-bila masa sahaja. Perlahan-lahan Gadek mengambil panah yang disangkutkan di bahunya. Suasana disekeliling hutan itu terasa begitu sunyi seolah-olah mereka tahu satu pertarungan hebat bakal berlaku. Gadek memperbetulkan kedudukannya. Dia berdiri dengan tegak, tidak bergerak walau seinci.

“Berdiri tegak Gadek!” Terngiang suara arwah ayah di telinga Gadek. “Bernafas betul-betul! Tenangkan hati! Tumpukan perhatian!” Jerit suara itu lagi. Di saat yang getir ini, memori ketika Gadek mula-mula belajar memanah dengan ayahnya mula terimbas dengan sendiri.

Gadek mula menarik nafas perlahan-lahan dan menahannya selama beberapa saat. Ketika itu, tumpuan sepenuhnya adalah terhadap harimau itu. Dia langsung tidak hiraukan nyamuk-nyamuk dan pacat yang mengerumuni tubuhnya. Secara mental, Gadek sudah bersedia. Dia berdiri sebagai seorang pemanah yang hebat. Tiba-tiba, harimau itu mengaum dan mula berlari ke arah Gadek. Rupanya yang bengis dan suaranya yang menakutkan pasti akan melemahkan semangat sesiapa sahaja yang berada di situ. Daya tumpuan Gadek masih lagi tidak terganggu. Dia masih menanti waktu yang sesuai untuk bertindak. Harimau itu semakin mendekati. Nyawa Gadek kini seperti telur di hujung tanduk.

“Gadek! Kau mesti pantas dan tepat! Barulah boleh jadi pemburu handal seperti ayah,” suara arwah ayah Gadek terngiang di telinganya lagi. Ketika kecil, Gadek selalu bercita-cita menjadi seorang pemburu yang hebat seperti ayahnya. Cuma ketika itu dia belum cukup pantas dan tepat semasa keluar memburu bersama ayahnya. “Pantas dan tepat! Pantas dan tepat! Pantas dan tepat!” Terkumat-kamit mulut Gadek mengucapkan kata-kata itu.

“Pantas dan tepat!” Bentak hati Gadek lalu dengan pantas diangkat panahnya dan ditujukan kepada harimau itu. Harimau itu cuma berada beberapa meter dari Gadek dan mula melompat untuk menerkam ke arah Gadek. Gadek melepaskan anak panahnya. Ia meluncur laju. Anak panah Gadek tepat mengenai mata kiri harimau itu dan menembusi kepalanya. Gadek mengelak ke kanan. Harimau itu tersungkur dan rebah di sebelah kiri Gadek, tidak bergerak, tidak bernyawa.

Gadek masih lagi berdiri dengan gagah. Kepantasan dan ketepatannya dalam memanah sudah membuatnya dikenali di sekitar kampung kediamannya. Dia merenung ke arah bangkai harimau itu dengan rasa lega bercampur kesal. Gadek lega kerana dia berjaya menyelamatkan dirinya dan kesal kerana terpaksa membunuh harimau itu…

Cerita oleh : Osman Affan

Saya akan ceritakan kisah di sebalik cerita ini esok……    

  

 

 

« Previous Page