November 2006


Daripada cerita semalam, anda perlu sedar beberapa perkara:

Pertama, salahkan orang lain atau benci seseorang tidak akan membantu diri anda untuk berjaya. Tidak ada orang yang akan bersimpati dengan anda jika anda kata anda gagal sebab guru anda marah atau berkata tidak elok tentang anda. Orang juga tidak bersimpati jika anda kata anda gagal kerana keluarga anda susah atau anda kata kawan-kawan anda telah mempengaruhi dan merosakkan minda anda. Ini kerana, anda mempunyai pilihan. Anda boleh pilih sama ada anda mahu terus berusaha untuk berjaya atau anda mahu terus merengek dan menangis kerana seseorang telah menyakitkan hati anda. Berhenti merengek, berhenti menangis, berhenti merungut dan berhenti menyalahkan sesiapa di atas kelemahan dan kekurangan anda.

Kedua, menyalahkan orang lain bermaksud anda tidak tahu bertanggungjawab terhadap diri anda sendiri. Orang yang tidak tahu bertanggungjawab atas pilihan sendiri tidak akan berjaya dalam hidup. Orang begini akan sentiasa menyalahkan orang lain dalam hidup mereka dan tidak akan cuba berusaha untuk berjaya.

Ketiga, membenci atau menyalahkan orang lain di atas kelemahan anda akan mengurangkan fokus anda kepada apa yang sepatutnya anda lakukan untuk berjaya. Contohnya, bila anda gagal matapelajaran matematik, anda mungkin sibuk salahkan guru yang tidak pandai mengajar, anda salahkan kawan-kawan anda kerana membuat bising, anda salahkan sekolah kerana tidak menyediakan tempat belajar yang selesa, anda salahkan pembuat soalan peperiksaan kerana membuat soalan yang terlalu susah, malah anda mungkin salahkan tukang kebun sekolah kerana tidak menyediakan permandangan yang menyejukkan mata memandang! :)

Bila ini berlaku, anda tidak akan menumpukan perhatian anda kepada apakah yang boleh anda lakukan untuk memajukan diri anda dalam matapelajaran matematik. Jadi, lebih baik anda berhenti menyalahkan sesiapa sahaja dan mula berusaha untuk mencapai matlamat anda sendiri.

Sudahkah anda faham mengapa anda perlu berhenti menyalahkan orang lain?

Selamat berhenti menyalahkan orang lain……. :)

Pernahkah anda rasa marah atau benci kepada sesiapa hingga ia menjejaskan pelajaran anda? Contohnya, mungkin anda marah dan benci kepada guru Bahasa Inggeris hingga anda benci juga kepada matapelajaran Bahasa Inggeris. Akibatnya, anda gagal atau tidak bagus dalam matapelajaran Bahasa Inggeris? Soalan saya, jika anda marah atau benci kepada seseorang itu, adakah ia mendatangkan kesan kepada orang tersebut?

crySaya menghadiri program “World Internet Summit” di Park Royal Hotel, Kl bermula semalam hingga isnin ini. Sewaktu pembukaan program itu, seorang penganjur berkongsi kisah beliau di zaman persekolahan. Kata beliau,

“Saya masa disekolah rendah sangat benci kepada seorang guru. Ia kerana, guru itu pernah menyoal saya dalam kelas, dan saya tidak dapat menjawabnya. Kemudian, guru itu kata saya bodoh. Saya sangat marah dan malu ketika itu. Jadi saya mula membenci guru itu dan juga subjek itu. Subjek itu ialah subjek Bahasa Inggeris. Akibat saya benci guru itu, saya sentiasa gagal dalam matapelajaran Bahasa Inggeris. Apabila orang tanya saya, saya akan kata, cikgu itulah punca saya gagal. Sepanjang hidup saya, saya sentiasa salahkan cikgu tersebut dan sentiasa membencinya.

Setelah saya dewasa, kerjaya saya sangat terhad kerana saya lemah dalam bahasa Inggeris. Saya masih salahkan cikgu tersebut kerana membuat saya lemah Bahasa Inggeris. Tetapi, suatu hari, saya terfikir, saya asyik salahkan guru tersebut, tetapi adakah saya marah dan benci itu akan mendatangkan kesan kepada guru tersebut? Sudah tentu tidak!

Entah-entah guru itu pun sudah lupa siapa saya. Guru itu juga mungkin sudah senang lenang dengan hidup beliau. Tetapi saya masih lagi begini kerana saya lemah Bahasa Inggeris.

Jadi, apa yang terfikir, marahkan guru itu dan membenci beliau langsung tidak akan membantu saya. Saya telah membuang masa sahaja selama ini. Rugi betul. Jadi, bermula dari itu, saya mula mempelajari Bahasa Inggeris, tapi kali ini tanpa menyalahkan sesiapa….. hasilnya….. saya rasa lebih mudah untuk belajar…… Jadi kawan-kawan….. jangan buang masa menyalahkan sesiapa saja… ia tak membantu….. bencikan orang hanya buat hati kita sendiri yang sakit dan kita sendiri yang akan menanggung kesusahan dan kerugian….”

Saya akan ceritakan apa yang boleh kita pelajari daripada cerita ini esok……

Pada 1 November lalu, saya ada menulis tentang adik bongsu saya yang mengambil peperiksaan UPSR dalam bulan September yang lalu. Saya ada katakan bahawa adik saya tu mungkin tertekan sedikit akibat diperbandingkan dengan keputusan peperiksaan semasa zaman persekolahan saya dahulu. Namun, saya jga katakan yang adik saya ni nampak rileks jer…. nampak macam tak ada pressure…. kat rumah memang tak nampak pun dia belajar ke apa….. sibuk nak bermain je…..

Beberapa hari yang lepas, keputusan peperiksaan UPSR telah diumumkan. Mungkin ramai pelajar tahun 6 berdebar pada hari tersebut. Yang peliknya, saya pun turut berdebar….. mungkin inilah yang ibu bapa saya rasakan semasa saya di zaman persekolahan dulu. lebih kurang pukul 11 pagi, saya dapat satu sms daripada adik bongsu saya…….mesejnya berbunyi…

“Arif dapat 5A”

Ringkas sahaja mesej Arif. Tetapi kegembiraan saya dan keluarga saya tidak seringkas itu. Kami sangat gembira….sangat gembira dan bersyukur…! Cuma sayangnya saya berada di Kuala Lumpur dan ibu bapa saya di Terengganu. Tak dapat dan raikan bersama-sama……

Ada dua perkara yang ingin saya kongsikan mengenai kejayaan ini. Pertama, adik saya Arif ni tidak pun disenaraikan oleh guru beliau sebagai calon 5A untuk peperiksaan UPSR ini. Namun, beliau tetap berjaya. Jadi, anda perlu ingat, kejayaan anda tidak terletak pada ramalan atau jangkaan sesiapa sahaja. Anda sendiri yang menentukan kejayaan anda. Jangan lemah semangat jika anda bukan dalam kelas ‘A’ atau anda bukan dianggap bijak di sekolah anda.

Kedua, kejayaan anda akan membuat anda lupa betapa penatnya anda berusaha dulu. Mungkin anda rasa tertekan, pening, sakit dan bermacam-macam lagi semasa berusaha…. tetapi, semua kesukaran itu akan menjadi sesuatu yang manis apabila anda mengecapi kejayaan…….jadi, jangan takut untuk berusaha keras…..

Tahniah Arif…..!

Tahniah kepada semua pelajar UPSR yang berjaya mencapai matlamat masing-masing….

Tahniah kepada semua pelajar yang telah berusaha sepenuh hati ……

Jika tidak ada sesuatu yang boleh menghalang anda di dalam dunia ini, apakah yang ingin anda capai?

Jika anda ada banyak masa yang lapang, wang yang tidak kehabisan dan semua kemahiran diri yang hebat, apa yang ingin anda lakukan dalam hidup anda?

Cita-cita dan impian bermula dengan keinginan dalam diri yang tidak dibataskan oleh kekurangan atau kelemahan diri. Maksud saya, jika anda mahu mencapai sesuatu, anda mungkin kurang rasa bersemangat kerana anda rasa anda ada banyak kelemahan seperti tidak pandai, tidak bijak, tidak ada ramai kawan, keluarga miskin dan tidak berpelajaran, tidak sihat dan sebagainya. Ini semua adalah satu halangan yang cuma wujud di minda anda. Jika anda mahu mencapai sesuatu yang hebat, anda perlu ketepikan semua halangan ini dan yakin bahawa anda boleh mencapai apa sahaja dengan izin Allah. Setelah anda ketepikan semua halangan ini, fikirkan dengan tenang, apa yang benar-benar anda ingin capai dalam hidup anda.

Satu perkara yang biasa saya dengar, anda mungkin kata bahawa anda tidak tahu apa yang anda mahu capai. Anda tidak tahu nak jadi apa. Anda tak tau apa yang patut anda lakukan di masa akan datang. Tidak mengapa, itu adalah normal. Anda mungkin tidak dapat menjawab soalan ini dengan serta merta. Caranya ialah, anda mesti mula berfikir tentang soalan ini iaitu: Apa yang benar-benar ingin anda capai dalam hidup anda?

Apabila anda mula berfikir, minda anda akan membantu anda mencari jawapannya. Minda anda akan jadi lebih cergas dalam mencari jawapan yang anda perlukan. Anda akan mula sedar akan peluang-peluang yang ada disekeliling anda.

Jangan risau jika anda lambat mendapat jawapannya. Teruskan berfikir. Walaupun jawapan itu mengambil masa yang lama untuk sampai kepada anda, ia pasti akan sampai juga……….. :)

Ada satu program yang sedang saya bina untuk pelajar cemerlang di universiti Islam Antarabangsa. Program itu dinamakan “Educated Vs Marketable”. Lebih kurang, ia berkenaan apa yang patut pelajar fokuskan semasa mereka di alam pembelajaran…. sama ada mereka patut jadi seorang yang terpelajar dengan memiliki sijil seperti diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana atau ijazah kedoktoran…… atau mereka patut fokuskan kepada kemahiran-kemahiran yang kaan membuat mereka diperlukan oleh bakal majikan nanti.

Pada pendapat anda mana lebih penting, memiliki segulung ijazah atau memiliki kemahiran yang membuat anda diperlukan oleh bakal majikan?

Jika anda hanya mengejar segulung ijazah, anda tentu pernah dengar tentang masalah graduan menganggur. Ini menunjukkan, ijazah tidak menjanjikan peluang pekerjaan.

Jika anda tidak mempunyai ijazah pula, sukar untuk anda mendapat pekerjaan kerana selalunya itulah yang akan diminta oleh majikan jika anda mahu mencari kerja?

Apakah jalan penyelesaiannya?

Satu jalan penyelesaiannya ialah, anda perlu berusaha untuk mendapatkan pendidikan yang terbaik. Kemudian, dalam proses itu, anda perlu kaji apakah kemahiran yang diperlukan oleh bakal majikan di tempat kerja nanti. Majikan tidak mencari seseorang yang pandai menjawab soalan di dalam dewan peperiksaan. majikan mencari seseorang yang boleh membuat kerja dan boleh menyelesaikan masalah.

Jadi, sambil anda belajar apa yang anda sedang belajar sekarang, fikirkan, apakah kemahiran dan kelebihan lain yang anda perlukan yang boleh membuat anda diperlukan oleh mana-mana majikan…..

Selamat berfikir…. :)

Kadangkala, teknik meluahkan perasaan kepada seseorang mengenai tekanan perasaan anda kelihatan seperti terlalu mudah atau mungkin kurang berkesan. Tetapi sebenarnya, ia adalah antara teknik yang paling berkesan untuk mengurangkan tekanan perasaan.

Teknik pertama yang saya pelajari untuk membantu sahabat yang mengalami tekanan perasaan ialah (waktu tu saya berada di tingkatan lima, saya pelajari teknik ini daripada guru kaunseling sekolah saya) dengan meminta sahabat saya itu menulis apa yang beliau rasakan di atas kertas. Saya akan arahkan sahabat saya tulis apa sahaja masalah yang beliau ada atau semua masalah yang bermain dikepala beliau.

Yang peliknya, selalunya sahabat saya tidak boleh menulis lebih daripada 5 perkara di atas kertas. Padahal pada mulanya beliau katakan terlalu banyak perkara yang mengganggu fikiran beliau.

Apa yang mengganggu fikiran anda atau membuat anda rasa tertekan selalunya tidak banyak. Tetapi ia tidak teratur dan memuhi minda anda. Akibatnya, anda rasa tertekan kerana tidak mampu mengawalnya. Apabila anda menulisnya, anda dapat melihat masalah itu dengan teratur dan sedar sebenarnya tidak banyak sangat masalah itu.

Apa kaitan teknik ini dengan meluahkan perasaan kepada seseorang yang anda percayai? Kedua-dua teknik ini sebenarnya membuat anda rasa ringan seperti anda telah melepaskan atau menurunkan beban yang anda pikul seorang diri selama ini. Dengan hanya meluahkan sahaja perasaan anda, anda akan rasa lebih tenang dan selesa. Walaupun seseorang yang anda percayai itu tidak berkata apa2, anda masih akan rasa beban anda semakin ringan.

Satu tips daripada saya, jika anda tidak dapat mencari sesiapa yang anda boleh percayai untuk meluahkan perasaan anda, saya cadangkan anda berjumpa dengan seorang kaunselor, sama ada kaunselor professional atau kaunselor sekolah. Seorang kaunselor yang terlatih faham akan teknik ini dan saya percaya mereka pasti dapat membantu anda.

Selamat mencuba :)

Tidak mudah menjawab persoalan bagaimana hendak mengatasi tekanan perasaan yang timbul akibat harapan ibu bapa atau sanak saudara. Ikut kata pepatah, diluah mati emak, ditelan mati bapak….. :) Adakah cara untuk mengurangkan tekanan ini?

Satu cara yang saya dapati berkesan ialah berkongsi tekanan perasaan ini dengan seseorang yang anda percayai. Seseorang itu adalah prihatin dan mengambil berat tentang anda. Lebih baik lagi, jika seseorang itu adalah ibu dan ayah anda sendiri.

Cara berkongsi tekanan perasaan yang anda hadapi ini begini. Jumpa dengan seseorang yang anda percayai itu. Perlahan-lahan, ceritakan apa yang anda rasakan. Minta kebenaran seseorang itu untuk anda bercerita dulu tentang perasaan anda sebelum beliau memberi sebarang komen. Ini penting, jika beliau memberi komen sebelum anda habis bercerita, anda akan hilang kepercayaan terhadap orang itu dan anda akan rasa beliau tidak memahami situasi anda. Jadi, beritahu beliau, kalau boleh, dengar dulu sekejap apa yang anda ingin luahkan.

Dalam masa yang sama, jangan bercerita terlalu lama dan tak tentu hala. Terus nyatakan apa yang anda rasa. Jangan bermain dengan kata-kata, tak perlu guna ayat berbunga atau tak perlu bermain dengan teka teki. Semakin lama anda bercerita, semakin sukar untuk seseorang itu menumpukan perhatian kepada anda. Lebih buruk jika seseorang itu hilang sabar. Jadi, ceritakan apa yang anda rasakan dalam masa yang sesuai, tidak terlalu lama.

Tahukah anda apa kesannya jika anda lakukan perkara ini untuk mengurangkan tekanan perasaan tadi? Adakah ia berkesan?

Adik bongsu saya baru-baru menjalani peperiksaan UPSR. Jika saya lihat, beliau mungkin rasa sedikit tertekan kerana keluarga saya selalu cuba membandingkan beliau dengan saya semasa saya di zaman persekolahan. Namun, kadang-kadang, saya tengok rileks je adik saya sorang ni, macam tak kisah jer…..

Satu perkara yang ingin saya kongsi bersama anda hari ini, harapan orang disekeliling anda boleh membawa dua kesan utama.

Pertama, anda rasa bersemangat kerana tanggungjawab berada di bahu anda. Anda bersemangat kerana orang-orang disekeliling anda mengambil tahu tentang anda lalu mereka meletakkan harapan mereka kepada anda.

Kedua, yang selalunya terjadi, anda rasa tertekan. tertekan kerana apa akan jadi jika anda tidak boleh memenuhkan impian dan harapan mereka? Apa akan jadi jika anda gagal dan seterusnya membuat mereka kecewa? Pernahkah anda terfikir begini?

Jika perkara kedua yang anda rasakan, apa yang patut anda lakukan?