October 2006


Dah seminggu cuti raya rasanya…. sepanjang cuti raya ni, saya agak sibuk memperbaharui design laman web utama saya  iaitu osmanaffan.com. Jadi kurang berkesempatan untuk mengisi ruangan di blog ini. Insyaallah tips-tips dan petua kemahiran belajar akan bermula semula di awal bulan November ini. :)

raya

Salam AidilFitri daripada saya sekeluarga. Moga Syawal kali ini membawa lebih berkat dan kerahmatan daripada tahun-tahun sebelum ini.

Alhamdulillah, Ramadhan telah kita lalui dengan penuh sabar Insyaallah. Hari ini, pasti semua sedang sibuk untuk menanti 1 Syawal esok. Begitu juga saya dan keluarga saya yang akan beraya di Kuala Terengganu. Raya tahun ini adalah raya yang bermakna buat saya kerana saya akan beraya sebagai seorang ayah. :)

Selamat bersiap sedia untuk menyambut hari lebaran. :)

Tanpa halangan, matlamat bukanlah suatu impian. ~Osman Affan

halangan

Saya secara peribadi suka falsafah hidup saya ini. Apabila anda mahukan sesuatu, anda boleh tahu sama perkara itu benar-benar atau tidak berdasarkan halangan yang perlu anda tempuhi. Semakin besar halangan yang perlu anda tempuhi, semakin besar nilainya matlamat anda itu.

Di dalam program-program yang pernah saya jalankan, maksud kata-kata ini boleh ditunjukkan dengan membuat peserta melalui halangan-halangan fizikal. Semakin susah halangan fizikal itu, semakin besar maknanya kepada peserta.

halangan1

Contohnya, ada satu aktiviti repelling di mana peserta perlu turun dengan tali daripada tempat tinggi. Ini benar-benar menguji keberanian dan ketabahan peserta terutamanya yang takutkan ketinggian. Tetapi, setelah mereka berjaya atasi halangan itu, mereka rasa lebih bersemangat dan yakin untuk menempuhi cabaran-cabaran yang lain. Keyakinan ini akan membuat mereka berjaya suatu hari nanti. :)

ebookMotivasi - Minggu lepas saya baru siapkan satu kompilasi teknik-teknik motivasi diri menjelang peperiksaan. Kompilasi ini saya jadikan satu mini ebook. Di dalamnya, saya senaraikan 7 teknik motivasi menjelang peperiksaan yang pernah saya tuliskan di dalam blog saya ini. Ini akan memudahkan anda jika anda hendak membuat rujukan.

Buat masa ini, saya belum siapkan beberapa perkara lagi yang berkenaan dengan ebook ini. Setelah saya siapkan semua, saya akan letakkan satu ruangan khas untuk ebook ini di dalam blog ini.

Buat masa ini juga, jika anda berminat untuk mendapatkan mini ebook ini, anda boleh email kepada saya dan saya akan hantarkan kepada anda melalui email attachment.

Berapakah harga untuk mini ebook ini??……. Anda boleh dapatkan ebook ini dengan percuma. :)

Tingkatkan tahap Motivasi!

Apabila anda bangun pagi, semasa anda hendak gosok gigi, pernahkah anda lihat wajah anda di dalam cermin ketika itu? Sudah tentu pernah bukan? Anda suka tak lihat rupa anda begitu? Pasti ramai yang tidak suka.

Satu teknik motivasi berkenaan cara meningkatkan keyakinan diri yang pernah saya pelajari ialah, anda perlu suka diri anda sendiri sebelum orang lain suka kepada anda. Maksudnya, jika anda mahu orang lain seperti kawan-kawan anda atau guru anda sukakan anda, anda perlu terlebih dahulu sukakan diri anda.

Banyak pelajar yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan pelajar lain disebabkan rasa rendah diri. Rasa rendah diri ini datang kerana anda rasa diri anda kurang berharga. Ini pula berlaku kerana anda kurang suka akan diri anda sendiri. Anda lihat wajah anda di cermin, dan anda lihat wajah yang anda tidak suka. Bila anda tidak suka diri anda sendiri, anda akan mula berkelakuan yang membuat orang lain juga menjadi tidak selesa apabila mendekati anda.

Jadi, langkah permulaan, apabila anda melihat wajah anda di cermin setiap pagi, senyum selebar-lebarnya. Bayangkan anda sedang melihat seseorang yang sangat ceria, popular dan hebat. Bayangkan yang anda sangat suka melihat wajah di dalam cermin itu. Lihat apa kesannya setelah anda lakukannya beberapa hari atau beberapa minggu.

Selamat mencuba. :)

 

“Lihat dunia dari mata burung, atau lihat dari bawah tempurung…..”~Lagu M. Nasir.

Saya terdengar lagu ini dimainkan sebentar tadi. Saya memang suka lagu ini, penuh makna walaupun saya mungkin tidak tahu kesemuanya. :)

Persoalannya, adakah anda melihat dunia dari mata burung atau anda lihat dari bawah tempurung? Jika anda lihat dunia dari bawah tempurung, dunia anda akan kelihatan sangat kecil dan sempit. Anda akan hidup dalam ketakutan kerana anda tidak tahu apa yang ada di luar tempurung itu. Ini perumpamaan pelajar yang berfikiran sempit dan cetek. Mereka cuma lihat apa yang didepan mata sahaja. Apa yang ada di depan mata?……….. Ya…. keseronokan…… seronok bermain jadi tak suka belajar…. seronok tidur jadi tak suka mengulangkaji…..

Jika anda lihat dunia dari mata burung pula, dunia akan kelihatan sangat luas. Anda akan lihat ada hutan belantara yang terbentang di hadapan anda, tetapi anda tidak risau kerana anda boleh nampak ada satu tempat yang sangat indah disebalik hutan belantara itu.

Ini perumpamaan untuk pelajar yang berpandangan jauh. Mereka sedar belajar itu susah dan kadangkala menyakitkan. Tetapi mereka boleh lihat kenikmatan dan kegembiraan yang akan mereka kecapi di masa akan datang. Jadi, mereka teruskan juga usaha mereka tanpa putus asa. tidak hairanlah mengapa mereka berjaya……… :)

Satu keindahan dalam menuntut ilmu ialah anda dapat meramaikan jumlah sahabat anda. Pada waktu anda belajar, anda mungkin tidak sedar apa kepentingan mempunyai kawan ini, tetapi setelah anda memasuki alam pekerjaan dan berumahtangga, anda akan tahu betapa indahnya jika anda mempunyai ramai kawan sewaktu anda belajar.

Beberapa hari lalu saya berpeluang bertemu dengan beberapa sahabat sekelas saya semasa saya di Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS). Sahabat saya itu dari kiri, Shahdan, Alang, (saya), Jamal dan Suhaili.

kisas

Shahdan kini adalah seorang peguam, Alang seorang Eksekutif Kanan sebuah syarikat Berhad, Jamal adalah pegawai di Bank Negara Malaysia dan Suhaili pula adalah seorang pensyarah bahagian Syariah dan Perniagaan Islam di Universiti Malaya.

Punya la seronok bertemu dengan sahabat lama ini sampai tak sedar sudah beberapa jam kami berbual, bercerita tentang kisah lama dan kerjaya masing-masing. Ada antara sahabat saya ini yang tidak jumpa selama 13 tahun! Lama sungguh.

Apa yang ingin saya sampaikan hari ini ialah, hargai sahabat-sahabat yang ada disekeliling anda. Anda tidak tahu apa peranan mereka kepada anda suatu hari nanti dan apa peranan anda kepada mereka juga suatu hari nanti. Yang pasti, anda pasti tidak akan menyesal jika anda mempunyai ramai kawan. :)

Ada 3 teknik utama yang saya ingin kongsikan bersama anda untuk keluar daripada zon selesa ini.

Pertama, dengan hanya menyedari bahawa keluar daripada zon selesa akan membuat anda lebih hebat, anda akan jadi lebih berani untuk keluar daripada zon itu. Contohnya, jika anda tiba-tiba dilantik menjadi pengerusi persatuan dan anda tidak selesa dengan jawatan itu, anda akan jadi lebih berani jika anda sedar bahawa anda akan rasa selesa juga nanti dan kemahiran anda akan semakin bertambah.

Kedua, dapatkan maklumat sebanyak mungkin tentang aktiviti baru yang membuat anda terpaksa keluar daripada zon selesa itu. Contohnya seperti anda menjadi pengerusi persatuan tadi, dapatkan maklumat daripada buku, kawan-kawan dan guru tentang bagaimana caranya untuk menjadi seorang pengerusi yang hebat. Ini kerana, anda rasa tidak selesa sebab anda tidak tahu pasti sama ada boleh lakukan tugas itu dengan baik dan anda juga tidak pasti bahawa anda akan suka jawatan itu atau tidak.

Dengan mendalami ilmu tentang jawatan baru itu, ia akan menimbulkan rasa yakin diri dan akhirnya akan membuat anda lebih selesa dengan diri anda. Ketika saya mula-mula terlibat secara serius dalam membuat ‘training’ untuk orang dewasa dulu, saya habiskan banyak masa membaca buku berkenaan training dan bertanya kepada trainers yang sudah berpengalaman. Hasilnya, saya rasa selesa dengan lebih cepat berbanding dengan sesiapa yang tidak menggunakan cara ini.

Ketiga, fokuskan kepada perasaan selesa di dalam minda anda. Maksudnya begini. Apabila anda mahu mula melakukan sesuatu yang baru, minda anda akan dipenuhi dengan keraguan, kebimbangan dan rasa takut kerana anda tidak tahu apa akan berlaku kepada anda. Anda boleh hapuskan rasa ini semua. Caranya, bayangkan apa anda rasa jika perkara baru itu adalah selesa bagi anda. Contohnya, di dalam minda anda, bayangkan situasi di mana anda rasa selesa menjadi seorang pengerusi. Malah anda rasa seronok dan gembira semasa menjadi pengerusi.

Jika anda fokus kepada perasaan selesa dan seronok ini, kesannya ialah, ia akan menggantikan perasaan bimbang dan tidak selesa yang ada dalam minda anda pada peringkat awal tadi. Anda perlu tahu, minda anda hanya boleh fokus kepada satu perkara pada satu masa sahaja. Jadi, jika anda fokus kepada rasa selesa, pasti akan tidak akan boleh rasa perasaan tidak selesa itu.

Selamat mencuba. :)

Beberapa hari lepas saya pulang ke Terengganu ke rumah ibu bapa saya. Ketika menunggu untuk berbuka puasa, saya tunjukkan kepada ibu dan bapa saya satu video yang di ambil semasa program saya bersama Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun Terengganu. Dalam video itu, saya sedang bercakap di hadapan lebih 200 pelajar mengenai teknik pemasaran melalui internet.

dungun1

Setelah ayah saya melihat video itu, beliau berkata kepada ibu saya, “Tak sangka ye Man boleh bercakap depan orang ramai macam ni……” Balas ibu saya, ” Tu la, kalau tengok perangai masa kecik dulu yang pemalu sangat, tak sangka pulak boleh jadi macam ni sekarang….”

“Pemalu?” Soal saya buat2 lupa….”pemalu macam mana?” Balas ibu saya, “Ye la, asyik terperap je dalam bilik kalau ada orang datang. Kalau nak jumpa orang baru kenal, punya la susah nak bercakap, banyak duduk diam je….”

dungun2

Perkara ini membuat saya teringat semula zaman saya semasa kecil dulu. Memang pemalu sikit, tapi takde la pemalu sangat. Cuma satu perkara saya paling ingat masa saya berda di tingkatan 5. Apa yang saya ingat, saya menggeletar kaki dan tangan bila kena bagi ucapan depan kelas saya. Padahal, cuma ada lebih kurang 18 orang sahaja dalam kelas saya tu.

Bagaimana saya boleh berubah daripada menggeletar begitu kepada keadaan sekarang ini? Jawapannya saya pasti terletak pada kisah zon selesa yang saya ceritakan dalam beberapa hari ini. Seperti orang lain, saya juga tidak selesa semasa saya mula-mula hendak keluar dari zon selesa saya. Saya rasa takut dan gementar.

dungun3

Tetapi, setelah saya teruskan juga dengan usaha dan dengan beberapa teknik yang berkesan, saya berjaya atasi rasa tidak selesa dengan mencipta beberapa lagi kawasan kuning di sekeliling saya. Kini, setiap kali saya perlu memberi ucapan di khalayak ramai, saya rasa selesa dan tenang.

Jadi, setiap kali anda melakukan sesuatu yang baru demi kebaikan dan pembangunan diri anda, jangan risau jika anda rasa kekok dan tidak selesa. Keadaan itu akan berlalu. Apabila ia sudah berlalu, anda akan jadi seseorang yang lebih maju dan hebat daripada sebelum ini. Selamat Keluar daripada Zon Selesa.

Next Page »