September 2006
Monthly Archive
Sat 30 Sep 2006
Posted by Osman Affan under
KhasNo Comments
Mengenai pembersihan rohani, di dalam bulan Ramadhan terutamanya, kita digalakkan membaca Al-Quran hingga jika boleh, khatam satu Al-Quran. Malah saya tahu banyak pelajar yang boleh mengkhatamkan Al-Quran hingga 2 kali dalam bulan Ramadhan. Alhamdulillah.
Di dalam program-program yang saya jalankan bersama pelajar atau orang dewasa, saya selalu tekankan penggunaan Al-Quran dalam membersihkan dan menenangkan hati kita. Untuk pelajar, selalunya, apabila menjelang peperiksaan, tahap tekanan perasaan mereka sangat tinggi hingga ada yang tidak boleh mengawal perasaan mereka lagi. Apa yang saya selalu kongsikan bersama pelajar ialah, ada satu keajaiban dalam membaca Al-Quran. Walaupun anda mungkin tidak faham apa yang anda baca, anda akan tetap dapat merasakan ketenangan melalui bacaan anda. Anda akan rasa tenang hingga pernafasan anda menjadi lebih mudah, kepala anda terasa lebih ringan dan jantung anda anda akan berdegup dengan perlahan dan tenang. Hebat bukan?
Ini anda boleh nikmati terutamanya jika anda boleh membaca Al-Quran dengan lancar. Sebab itulah amat penting untuk anda dapat membaca Al-Quran dengan lancar. Jika anda masih belum boleh membaca dengan lancar, bulan Ramadhan ini adalah masa yang sesuai untuk anda pelajari dan berlatih supaya dapat membaca dengan lancar. Bukan sahaja anda akan diberi ganjaran kerana mempelajari Al-Quran, malah ganjaran anda akan digandakan kerana ini adalah bulan yang mulia.
Selamat menjalankan ibadah puasa dan selamat Bertadarus Al-Quran.
Fri 29 Sep 2006
Posted by Osman Affan under
Persediaan MindaNo Comments
Menurut apa yang telah saya pelajari selama ini, bulan Ramadhan adalah masa untuk pembersihan. Pembersihan rohani dan jasmani. Hari ini saya sentuh tentang pembersihan jasmani. Saya percaya ramai yang tahu puasa ini adalah proses pembersihan jasmani, tetapi apa maksudnya? Adakah dengan berpuasa kita akan menjadi bersih? Mandi sahaja tidak cukup bersihkah?
Sebenarnya, pembersihan jasmani itu bukan sahaja pembersihan luaran, tetapi bahagian dalaman tubuh badan kita. Untuk membuat kita mudah faham tentang perkara ini, cuba fikirkan fakta ini.
Sehari kita makan 3 hingga 6 kali dari kita bangun hingga kita tidur. Kadang-kadang ada yang makan lebih banyak daripada itu. Tetapi, secara purata, kita hanya buang air besar sekali sahaja. Ada yang lebih serius, buang air besar 2-3 hari sekali. Kemana perginya lebihan-lebihan makanan yang kita makan itu? Takkan ia semua diserap? Takkan ia lenyap begitu sahaja?
Menurut satu buku yang saya baca hasil tulisan Marilyn & Harvey Diamond, lebihan-lebihan itu semua akan melekat di dinding-dinding usus kita. Semakin banyak lebihan ini melekat di dinding usus, semakin kecil lorong laluan di usus. Semakin kecil pula lorong ini, anda akan menghadapi kesukaran untuk membuang air besar dan sistem percernaan anda akan menjadi tidak teratur. Lebih menakutkan lagi, lebihan yang melekat itu adalah beracun.
Hebatnya puasa untuk umat islam ini, ia dapat merehatkan usus-usus kita supaya ia dapat bekerja lebih untuk membuang sisa-sisa yang terlekat di dindingnya sepanjang tahun tadi. Satu perkara yang biasa nampak jelas bila ini berlaku ialah, anda selalunya rasa letih di minggu pertama puasa dan kadang-kadang ada yang pening-pening dan sakit kepala. Ini adalah antara tanda-tanda sisa toksin itu dikeluarkan. Secara ringkasnya puasa membantu organ dalaman tubuh badan kita berehat dan mengembalikan kesegaran dan kesihatan tubuh badan kita secara menyeluruh. Alangkah hebatnya!
Tetapi anda perlu ingat. Kesan baik ini tidak akan terjadi jika anda makan waktu berbuka seperti tidak akan ada lagi waktu berbuka selepas ini. Maksudnya, anda makan pada waktu berbuka seperti anda makan makanan untuk satu hari sekali gus. Ini akan membuat perut dan usus anda terkejut! (kesian dia…)
Jadi, apa yang kita boleh pelajari hari ini ialah, puasa benar-benar merupakan satu peluang dan satu rahmat untuk kita. Peluang untuk apa? Untuk membersihkan diri kita luaran dan juga dalaman. Saya semasa zaman budak-budak dulu sukar untuk memahami kebaikan berpuasa ini, jadi, saya seolah-olah merungut kerana membayangkan kesusahan yang akan saya tempuh apabila Ramadhan Menjelma. Kini, setelah saya pelajari serba sedikit tentang kebaikan puasa ini, saya rasa bersyukur dan bertuah kerana ibadah puasa adlah salah satu bukti bahawa Agama kita Islam adalah satu agama yang lengkap……
Selamat Berpuasa.
Thu 28 Sep 2006
Posted by Osman Affan under
Persediaan MindaNo Comments
Hari Ahad lalu, 24 hb September, hari pertama puasa, saya, isteri dan anak lelaki saya bersiar-siar di IKEA Damansara. Dah lama rasanya tak dapat bersiar-siar macam tu disebabkan program saya yang padat 2-3 minggu kebelakangan ini. Semasa dalam perjalanan ke sana, saya terpandang satu papan iklan McDonald. Ia menunjukkan gambar sebiji burger yang sangat besar dan sangat menyelerakan. Saya ulangi, SANGAT MENYELERAKAN!
Di sinilah timbulnya idea untuk saya menulis tentang petua semalam. Saya terfikir, kenapa selama ini saya langsung tidak tertarik kepada iklan itu? Perkara ini ada kaitannya dengan keinginan untuk berjaya dalam bidang pelajaran.
Dalam konteks pembelajaran, anda perlu fikir, adakah anda idamkan kejayaan dalam bidang pendidikan sama seperti anda idamkan makanan-makanan yang menyelerakan semasa anda sedang lapar?

Jika anda sedang lapar dan minda anda asyik teringatkan sejenis makanan, katakan makanan itu burger, anda akan cuba dapatkan burger itu dengan bersungguh-sungguh bukan? Begitu juga dengan kejayaan dalam bidang pendidikan. Pelajar yang cemerlang sentiasa mengidamkan dan terliur untuk mengecap kejayaan yang cemerlang. Mereka sentiasa terfikir bagaimana rasanya nanti bila sudah berjaya. Apabila mereka sentiasa teringat tentang kejayaan, semangat mereka akan sentiasa tinggi dan mereka akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk berjaya.
Apa yang perlu anda lakukan sekarang? Mula idamkan kejayaan cemerlang sekarang!
Wed 27 Sep 2006
Posted by Osman Affan under
Persediaan MindaNo Comments
Pernahkah anda terfikir, mengapa, di bulan ramadhan, semua makanan yang selama ini nampak tidak menarik, tidak sedap, membosankan dan tidak menyelerakan kelihatan sebaliknya? Maksud saya, di bulan ramadhan, air mineral dan roti kosong pun nampak sangat menyelerakan. Bahkan, goreng pisang dan keropok goreng yang dijual di tepi jalan yang selama ini kita tak pandang pun kelihatan sangat menyelerakan. (yang kelakarnya, kadang-kadang sayur pun kelihatan amat menyelerakan
)

Saya percaya anda pasti jawab sebabnya ialah dalam bulan ramadhan kita sedang lapar. Sebab itulah semua makanan nampak menyelerakan. Betul!! Saya setuju dengan anda. Tetapi apa yang boleh kita pelajari daripada perkara ini?

Banyak perkara yang boleh anda pelajari sebenarnya. Satu perkara yang boleh anda pelajari sekarang ialah anda perlu menggunakan segala peluang yang ada sebelum anda terlepas akan peluang itu. Manusia selalunya menghargai sesuatu apabila mereka telah kehilangan sesuatu itu. Dalam tajuk ini, saya minta anda hargai peluang yang anda ada sebagai seorang pelajar.
Sekarang anda masih ada peluang untuk belajar bersungguh-sungguh dan meningkatkan kecemerlangan anda. Selepas peluang ini hilang dan sekiranya anda gagal mencapai apa yang anda inginkan dalam pelajaran, anda akan melihat kepada peluang-peluang itu seperti anda melihat makanan di waktu siang, terliur, tetapi anda tidak boleh dapatkannya.
Tue 26 Sep 2006
Posted by Osman Affan under
CeritaNo Comments
Satu peristiwa yang tidak dapat saya lupakan mengenai berpuasa di zaman persekolahan ialah kisah dua sahabat baik saya. Ketika itu sudah hampir bulan ramadhan dan kebanyakan pelajar yang tinggal di asrama mula membiasakan diri dengan mengamalkan puasa sunat. (Saya disekolah menengah di Trg ketika itu).
Dua sahabat saya ini sudah niat untuk puasa sunat, dan selepas sembahyang subuh dan sesi membaca al-quran, lebih kurang pukul 7.30 pagi, mereka mendapat tahu bahawa ada latihan bola sepak untuk pemilihan pemain di akhir minggu itu. Dua sahabat saya ini terkejut juga kerana mereka sedang berpuasa sunat dan mereka pula sangat suka bermain bolasepak. Saya terfikir, apa agaknya akan mereka lakukan. Adakah mereka akan membatalkan niat puasa sunat itu atau adakah mereka akan membatalkan niat menyertai latihan pemilihan pemain bolasepak itu?
Saya terkejut. Apa yang mereka pilih ialah, mereka terus berpuasa dan mereka pergi juga ke latihan bolasepak itu. Latihan itu berlangsung hampir 2 jam dari pukul 8 - 10 pagi. Habis latihan, dua sahabat saya ini kelihatan sangat letih tetapi masih lagi ceria.
Sesi persekolahan kami adalah pada waktu petang ketika itu. Apabila saya pulang ke asrama lebih kurang pukul 6.30 petang, saya lihat dua sahabat saya ini terlentang tidur, tidak sedarkan diri. Muka mereka kelihatan agak pucat. Tetapi saya rasa amat kagum dengan mereka kerana mereka masih lagi berpuasa, walaupun itu cuma puasa sunat. Saya amat kagum melihat disiplin dan keteguhan semangat mereka ini. Salah seorang sahabat saya yang berpuasa itu adalah pelajar terbaik peringkat PMR di sekolah saya pada tahun itu. Saya percaya, semangat beliau yang saya lihat semasa menjalankan ibadah puasa itu jugalah yang mendorong kejayaan dan kecemerlangan beliau.
Sejak itu, jika saya merasa lemah semangat atau rasa ingin berputus asa, saya selalu cuba ingat akan kisah ini. Kisah bagaimana ketabahan dan semangat dua sahabat saya dalam menunaikan janji mereka untuk puasa sunat ini.
Saya lihat kisah ini bukan sebagai kisah puasa sahaja, malah sebagai satu kisah kekuatan diri, keazaman dan disiplin diri pada tahap tertinggi. JIka semua pelajar mempunyai semangat sebegini, kecemerlangan di dalam bidang akademik akan menjadi sesuatu yang amat mudah. Mampukah saya dan anda mempunyai semangat dan disiplin diri begini?
Mon 25 Sep 2006
Posted by Osman Affan under
KhasNo Comments
Apabila ramadhan menjelma, saya selalu terkenangkan zaman persekolahan saya. Banyak kenangan manis di bulan Ramadhan yang berlaku.
Satu contoh yang saya ingat semasa di sekolah rendah ialah, bulan ramadhan dikaitkan dengan ‘bulan meludah’. Pelik juga, apabila mula bulan ramadhan, pelajar menjadi kuat meludah. Alasannya, tidak mahu batal puasa kerana menelan air liur. Kelakar pula bila diingatkan kembali. Puas guru besar dan guru-guru kanan menerangkan di perhimpunan tentang keburukan banyak meludah ini. Sayangnya, sukar pelajar mendengar nasihat ini dan masih terus meludah.
Namun, aktiviti begini cuma hebat di dalam minggu pertama puasa sahaja sebenarnya. Selepas itu, pelajar sudah dapat membiasakan diri dan berhenti meludah. Mereka pun sudah jadi penat meludah agaknya.
Sun 24 Sep 2006
Posted by Osman Affan under
KhasNo Comments
Saya mengambil peluang untuk mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam Di Malaysia dan juga diserata dunia. Bulan kerahmatan telah kembali lagi. Semoga Ramadhan kali ini membawa lebih rahmat kepada kita semua secara peribadi berbanding tahun-tahun yang lalu.
Sat 23 Sep 2006
Posted by Osman Affan under
CeritaNo Comments
Semasa saya di alam persekolahan terutamanya semasa berada di sekolah menengah, saya banyak mengikuti kursus-kursus kepimpinan dan pembangunan diri. Jadi pengawas, pergi kursus. Jadi presiden kelab dan persatuan, pergi kursus. Jadi ahli sukan, pergi kursus. Jadi Naqib usrah, pergi kursus. Jadi AJK blok pun kena pergi kursus. Sampai satu masa, saya rasa muak dengan kursus-kursus ni semua.
Saya terfikir ketika itu, kenapa la semua benda ni nak kena pergi kursus. Kalau bagi 2-3 buku je suruh baca tak cukup ke? Pernah timbul rasa bosan dan penat setiap kali nak kena pergi kursus.
Seorang senior di sekolah saya berkata kepada saya, menghadiri kursus ini semua umpama berada dalam satu mutiara. Kalau kita berada dalam satu mutiara, kita akan rasa lemas kerana hanya benda berwarna putih disekliling kita. Tetapi suatu hari bila kita dah keluar daripada mutiara itu, kita baru nampak betapa tingginya nilai mutiara yang kita miliki itu.
Beberapa hari lepas saya teringat akan perkara ini. Benar kata senior saya itu. Kini baru saya dapat lihat betapa tingginya nilai kursus-kursus yang pernah saya hadiri itu. Malah, selalunya, mana-mana kursus yang paling membosankan itulah yang paling tinggi nilainya sekarang.
Jadi, untuk para pelajar, jangan lepaskan sebarang peluang kursus yang boleh anda sertai. Anda mungkin tidak nampak kelebihan menghadiri kursus-kursus itu sekarang, tetapi suatu hari nanti anda akan rasa bersyukur dan bertuah kerana pernaha belajar sesuatu yang hebat melalui kursus-kursus kepimpinan dan pembangunan diri itu.
Fri 22 Sep 2006
Posted by Osman Affan under
Mutiara KataNo Comments
Satu rahsia untuk hidup aman, tenang dan sejahtera sepanjang hayat ialah dengan memaafkan semua orang setiap malam sebelum anda tidur. ~Bernard Baruch~
Mungkin anda ada disakiti oleh kawan-kawan anda. Mungkin anda ada tersinggung atau kecil hati akibat kata-kata kawan anda. Sedar atau tidak, anda boleh pilih sama ada mahu terus rasa sakit atau mahu lupa kesakitan itu dan hidup dengan tenang. Caranya amat mudah, setiap malam sebelum tidur, maafkan semua kesalahan sesiapa yang pernah buat kesalahan dengan anda. Perkara ini pasti sukar pada mulanya, tetapi dengan memaafkan orang lain, anda akan mula rasakan ketenangan dan kesejahteraan dalam hidup anda.
Selamat mencuba.
Thu 21 Sep 2006
Posted by Osman Affan under
Mutiara KataNo Comments
Fungsi membaca kepada minda adalah umpama fungsi senaman kepada tubuh badan kita. ~Joseph Addison
Saya kagum melihat sahabat-sahabat dan kenalan saya yang berjaya menimba ilmu melalui pembacaan. Saya juga kagum melihat orang-orang yang berjaya yang benar-benar suka membaca. Benar pepatah melayu mengatakan bahawa membaca jambatan ilmu. Jika anda tidak dapat mencapai ilmu, membaca umpama membina jambatan yang menyambungkan anda dan ilmu.
Membaca membuat minda anda lebih cergas. Membaca membuat anda lebih yakin untuk berbicara. Membaca juga membuat fikiran anda lebih terbuka kerana anda telah terdedah kepada pelbagai idea, cerita kehidupan dan budaya yang berlainan.
— Next Page »