August 2006
Monthly Archive
Thu 31 Aug 2006
Setelah kita tahu bahawa tekanan perasaan sebenarnya membawa kebaikan kepada kita jika kita dapat mengawalnya dengan baik, kita akan rasa lebih tenang. Anda akan rasa tenang kerana anda tahu, tekanan perasaan itu akan berakhir dan apabila ia berakhir, anda akan jadi lebih bijak dan matang.
Hari ini, saya ingin kongsikan satu teknik lain untuk mengurangkan tekanan perasaan. Teknik ini saya namakan mencari ‘masa aktif’.
Salah satu sebab anda merasa tertekan ialah kerana anda penat. Apabila anda penat, anda tidak boleh menumpukan perhatian kepada apa yang anda belajar. Apabila anda tidak boleh menumpukan perhatian, anda tidak faham. Apabila anda tidak faham, anda rasa…. TERTEKAN!
Mencari masa aktif bermaksud, anda perlu mengenal pasti pada waktu bila kah anda paling aktif? maksud, dalam sehari, pada waktu mana fikiran anda paling cergas? Ada pelajar yang cergas di waktu pagi dan ada pelajar yang cergas di waktu malam dan ada di waktu petang. Jika anda belajar sewaktu minda anda cergas dan tubuh badan anda rasa segar, anda lebih mudah faham apa yang anda pelajari. Disebabkan anda sedang cergas, anda juga tidak akan mudah rasa tertekan. Jadi, kenal pasti waktu mana yang sesuai untuk anda belajar. kenal pasti, bilakah ‘masa aktif’ anda itu.
Ada satu peringatan. Jika masa aktif anda adalah pada waktu malam, anda perlu berhati-hati supaya jangan membuat aktiviti yang terlalu berat pasa waktu siang. Aktiviti berat seperti bermain bola selama 2 jam di waktu petang hingga anda hilang semua tenaga simpanan yang perlu digunakan pada waktu malam. Sama juga jika masa aktif anda ialah pada waktu pagi. Jangan tidur terlalu lewat jika anda suka belajar pada waktu pagi. Ini akan mengganggu masa aktif anda itu.
Selamat mencuba.
Wed 30 Aug 2006
Dapatkah anda meneka apakah kesan baik tekanan perasaan kepada kita? Baiklah, saya akan terangkan dulu apa kesan membuat latihan angkat berat.
Katakan Ali berlatih angkat berat dan dia mengangkat besi seberat 20 kg beberapa kali hingga dia tidak mampu mengangkatnya. Besi yang berat ini memberi tekanan kepada otot-otot tangan Ali. Keesokan harinya, tangan Ali akan terasa sakit. Ini disebabkan otot-otot pada tangan Ali telah rosak disebabkan tekanan tadi.
Satu perkara yang hebat mengenai manusia ciptaan Allah, jika otot-otot kita rosak disebabkan tekanan benda berat tadi, ia akan digantikan dengan yang BARU, LEBIH BESAR dan LEBIH KUAT.
Ini bermakna, apabila Ali sudah hilang rasa sakit, kekuatan tangannya akan bertambah. Sebab itulah sebenarnya jika mula-mula kita angkat beg sekolah kita rasa berat, tapi lama kelamaan kita rasa biasa sahaja. Ini kerana kekuatan kita telah bertambah.Begitu juga dengan tekanan perasaan. Tekanan perasaan membuat kita pening kepala, sakit perut, rasa nak muntah dan sebagainya. Tetapi kalau kita sabar, hadapi tekanan itu dengan rasa yakin bahawa ia akan membuat kita lebih hebat, insyaallah kita akan jadi lebih matang dan bijak. Kita buat soalan matematik contohnya dan rasa pening, jika kita sabar dan hadapi tekanan itu dengan tenang, kita akan rasa bahawa soalan matematik tidak lagi memberi tekanan perasaan kepada kita. Ia seolah-olah kita sudah menjadi semakin kuat.
Jadi, sebagai langkah permulaan, ingat satu perkara ini. Jika anda rasa tertekan, percaya bahawa apabila anda susah melaluinya anda akan jadi lebih bijak dan matang dan anda akan lebih mempunyai peluang untuk berjaya di dalam pelajaran atau dalam hidup.
Tue 29 Aug 2006
Peperiksaan sudah semakin hampir. Bagaimanakah perasaan anda? Tertekan? Letih? Gementar? Atau anda rasa gembira kerana debaran sepanjang tahun ini akan berakhir tidak lama lagi.
Merasa gementar atau tertekan adalah perkara biasa. Namun perkara biasa ini boleh menjadi luar biasa jika anda tidak boleh mengawalnya. Sewaktu saya mengambil peperiksaan SPM pada tahun 1993, ada dua pelajar daripada sekolah saya yang tidak dapat mengambil peperiksaan. Mereka tidak sihat dan saya percaya ia disebabkan oleh tekanan menghadapi peperiksaan. Soalan saya, apakah kesan tekanan menghadapi peperiksaan ini? Maksud saya, apakah kesan-kesan yang anda boleh lihat akibat tekanan perasaan? Tuliskan 10 jawapan anda di atas kertas. Saya beri masa 3 minit untuk anda menulis kesan-kesan tekanan perasaan itu………… (3 minit dari sekarang……………..)
(…….. dah tulis….? Jangan sambung baca selagi anda belum tulis…. nanti anda tidak dapat faham apa yang saya ingin sampaikan dalam mesej ini.)
Baiklah. Apa yang ada dalam senarai anda? Antara kesan-kesan yang biasa pelajar tulis ialah pening kepala, tumbuh jerawat, cepat marah, hilang mood, hilang selera makan,(bertambah selera makan pun ada
), sakit perut, sakit hati, hilang tumpuan, rasa nak pengsan, benci tengok kawan, benci tengok muka guru, benci tengok muka sendiri, dan macam-macam lagi perkara yang negatif. Ada tak contoh-contoh ini dalam senarai anda?
Baiklah. Satu lagi soalan saya, dalam senarai anda, ada tak kesan yang positif atau kesan yang baik? Hmm…. selalunya, saya tidak pernah tengok pelajar tulis kesan yang baik bila ditanya tentang kesan tekanan perasaan. Padahal, memang ada kesan yang baik.
Apakah kesan baik tentang tekanan perasaan? Saya akan jawab esok. Tetapi saya akan bagi ‘hint’. Kesan positif tekanan perasaan ada kaitan dengan orang yang membuat senaman angkat berat. Apa agaknya ya? Fikirkan…….

Mon 28 Aug 2006
Posted by Osman Affan under
KhasNo Comments
Sabtu, 19 ogos 2006 yang lalu merupakan hari yang paling panjang dalam kerjaya saya dalam bidang ‘professional training’. Hari tersebut, saya dijadualkan untuk mengendalikan 2 program berbeza untuk dua kumpulan berbeza. Saya bangun lebih kurang pada pukul 5.30 pagi. Setelah semuanya sedia, saya keluar rumah pada pukul 6.30 pagi, bersedia menghadapi hari yang panjang ini. Program pertama saya hari ini ialah Kursus Keusahawanan Internet 3 dalam 1 yang diadakan di Hotel Flamingo Ampang. Lebih kurang 45 peserta akan hadir hari ini dari serata Malaysia termasuk Sarawak. Ada peserta muda di awal 20-an dan ada juga juga peserta yang sudah pencen.

Persediaan untuk mengadakan program begini selalunya mengambil masa. Saya perlu memastikan semua berjalan lancar. Lebih kurang pukul 9 pagi, kursus ini pun bermula. Kursus ini memberi pendedahan kepada peserta tentang konsep perniagaan internet. Saya terangkan apakah langkah-langkah betul yang perlu diambil jika seseorang ingin memulakan perniagaan internet. Diringkaskan cerita, kursus ini berakhir pada pukul 6.30 petang selepas Dr. Irfan menyampaikan tips-tips perniagaan internet beliau. Setelah barang-barang semua sudah dikemas, masa menunjukkan pukul 7.00 petang. Saya terus bergegas ke Ulu Langat. Di sana, program meningkatkan keyakinan diri yang akan disampaikan oleh saya dijadualkan berlangsung pada pukul 8.15 malam. Saya sampai di sana lebih kurang pukul 7.40 malam dan terus bersiap untuk program itu.
Program ini adalah bersama pelajar tahun kedua Universiti Islam Antarabangsa. Dalam sesi ini, saya tunjukkan kepada apakah sebab-sebab mereka mudah merasa tidak yakin atau gementar terutamanya jika kena bercakap dikhalayak ramai. Program ini melibatkan beberapa aktiviti menarik di mana pelajar perlu mengikis sikap terlalu malu untuk mencuba yang ada dalam diri mereka. Saya juga tunjukkan bagaimana cara paling mudah untuk menghilangkan rasa gementar dan bagaimana mahu kelihatan yakin apabila berada di depan khalayak ramai.
Program ini berakhir lebih kurang pukul 11.30 malam. Kaki saya sudah sakit sebab saya berdiri sejak awal pagi lagi. Saya cuma duduk sebentar dan kemudian saya pandu kereta saya pulang ke rumah. Saya tiba di rumah saya lebih kurang pukul 12.30 malam. Ini adalah hari yang paling panjang dalam kerjaya hidup saya sebagai seorang professional trainer. Penat? Sudah tentu? Seronok? Sudah tentu juga! Inilah seronoknya jika kita buat sesuatu yang kita suka. Letih bagaimana pun, kita akan tetap rasa seronok dan tidak puas. Daripada cerita saya ini, saya ingin tekankan satu perkara yang saya tegaskan kepada dua-dua kumpulan di atas. Saya tegaskan bahawa, ‘adalah amat penting untuk anda meningkatkan kebolehan anda untuk mempelajari sesuatu ilmu yang baru’. Tahukah mengapa?
Di zaman ini, banyak perkara baru yang kita tidak tahu. Kalau kita berdiri tidak bergerak, semua orang disekeliling kita akan bergerak ke depan. Akibatnya, kita akan jauh ketinggalan di belakang. Belajar adalah sesuatu yang tidak disukai oleh semua orang tetapi itulah satu perkara yang kita perlu untuk berjaya. Jadi, tingkatkan kebolehan anda untuk mempelajari sesuatu ilmu baru.
Sun 27 Aug 2006
Ada dua perkara penting yang anda perlu ada untuk mendapat markah yang cemerlang di dalam peperiksaan. Dua perkara itu ialah Kepantasan dan Ketepatan.
Saya ingin kongsikan satu tips tentang kepantasan.Bagaimana cara meningkatkan kepantasan? Atau saya soal dalam bentuk lain, bagaimana anda boleh menjawab soalan dengan pantas di dalam peperiksaan?
Kepantasan adalah amat penting terutamanya di dalam peperiksaan matematik. Satu teknik yang boleh digunakan untuk meningkatkan kepantasan dinamakan ‘Pengulangan’ (repetition).
Contohnya, anda sedang mengulangkaji matapelajaran matematik di bawah tajuk linear equation. Setelah anda faham tajuk itu dan mula membuat latihan, catat masa anda membuat latihan matematik. Katakanlah, disebabkan soalan itu susah, anda mengambil masa 7 minit untuk menyelesaikannya. Kemudian, ambil kertas kosong lain, selesaikan semula soalan itu. Jika anda tidak boleh selesaikan, maksudnya anda masih tidak faham jalan penyelesaian tadi. Jika boleh, lihat masa yang anda ambil. Masa anda ambil mungkin kurang sedikit iaitu mungkin 6 ke 7 minit.Ulang buat soalan itu sehingga anda betul-betul lancar dan masa yang anda ambil mesti jadi semakin pendek sekurang-kurangnya separuh daripada masa mula tadi (3.5 minit).
Anda mungkin terfikir, “jika saya asyik ulang soalan yang sama, tentulah saya akan jawab semakin cepat sebab saya sudah ingat jalan penyelesaiannya. Dalam peperiksaan bukan kena jawab soalan yang sama!”Benar, anda jawab semakin cepat kerana anda sudah ingat jalan penyelesaiannya. Tetapi sebenarnya, dalam masa yang sama, anda akan ingat juga cara menjawab soalan begini jika anda jumpa soalan yang lebih kurang sama bentuknya di dalam peperiksaan nanti.
Berlatih berulang kali dengan soalan yang sama boleh meningkatkan tahap keyakinan dan keselesaan anda. Anda akan rasa selesa untuk menjawab soalan begitu. Jadi, anda akan dapat jawab dengan baik. Jawab soalan yang sama berulang kali juga akan membuat anda sedar bahawa kebanyakan cara menjawab soalan peperiksaan adalah sama sahaja. Jika anda sudah faham danmahir menyelesaikan masalah menggunakan satu cara, cara itu juga boleh digunakan untuk soalan lain dalam tajuk yang sama.
Selamat mencuba.
Sat 26 Aug 2006
Peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM akan menjelma tidak lama lagi. Kebanyakan pelajar yang akan mengambil peperiksaan ini sudah habis belajar sukatan pelajaran masing-masing dan sepatutnya mereka semua sudah mula membuat latih tubi untuk menghadapi peperiksaan yang besar ini. Selain daripada melakukan sebanyak latihan yang mungkin, apakah perkara penting yang perlu dilakukan ketika ini?
Satu perkara penting yang patut anda lakukan ialah berlatih dengan suasana peperiksaan. Saya selalu mendengar rungutan pelajar bahawa jika mereka lakukan latihan di rumah, mereka boleh menjawab dengan baik, tetapi di dalam dewan peperiksaan, lain pula jadinya. Kenapa anda mungkin hebat di rumah dan di sekolah tetapi tidak begitu hebat semasa peperiksaan sebenar?
Ada beberapa sebab mengapa itu terjadi. Satu sebabnya ialah anda mungkin telah membiasakan diri dengan aktiviti yang tidak boleh dilakukan di dalam dewan peperiksaan. Contohnya, saya ada lihat pelajar yang suka meletakkan kedua-dua kaki mereka di atas kerusi semasa belajar. Mereka selesa belajar begitu. Tetapi, di dalam dewan peperiksaan mereka tidak boleh buat begitu, lalu mereka jadi tidak selesa. Bila tidak selesa, mereka tidak dapat berfikir sehebat bila mereka belajar di rumah.
Ada yang suka menyanyi-nyanyi dan bersiul sewaktu membuat latihan. Mereka kata mereka selesa begitu. Tetapi, tidak boleh bersiul dalam dewan peperiksaan. Jadi, mereka rasa tidak selesa dan akibatnya, tidak dapat menjawab dengan baik.
Apa yang perlu anda lakukan ialah, perhatikan cara anda belajar di rumah atau ketika bersendirian. Kenal pasti mana-mana perkara yang anda lakukan yang tidak boleh dilakukan di dalam dewan peperiksaan. Walaupun anda selesa belajar begitu (seperti belajar sambil meniarap), anda akan rasa tidak selesa semasa dalam dewan peperiksaan nanti. Kemudian, perlahan-lahan hentikan perbuatan itu. Anda perlu ingat, jika anda terlalu suka buat sesuatu yang tidak boleh dilakukan di dalam dewan peperiksaan, anda akan rasa tertekan semasa mengambil peperiksaan nanti.
Kemudian, berlatih duduk di satu tempat yang sesuai dan buat latihan mata pelajaran anda. Jika boleh, wujudkan suasana peperiksaan di mana anda buat latihan itu mengikut masa yang ditetapkan dan anda tidak membuat bising atau bergerak ke sana ke mari. Ringkasnya, berlagak seolah-olah anda sedang menghadapi peperiksaan yang sebenar.
Kesannya? Seperti biasa, mula-mula anda akan rasa tidak selesa dan janggal. Namun, setelah dilatih, anda akan mula rasa selesa malah anda akan rasa lebih mudah untuk fokus kepada latihan anda. Kemudian, insyaallah, anda akan rasa selesa juga di dalam dewan peperiksaan nanti.
Selamat mencuba.
Fri 25 Aug 2006
Posted by Osman Affan under
CeritaNo Comments
Abang, kenapa nak kena hormat kat cikgu eh?” Tanya adik saya yang berumur 8 tahun.
Soalan itu kelihatan begitu mudah sekali untuk dijawab tetapi saya terpaksa berfikir seketika. Satu persoalan yang terpaksa saya fikirkan ialah, bagaimana mahu menerangkan kepentingan menghormati guru kepada kanak-kanak berusia 8 tahun? Fahamkah dia nanti?
Selepas seketika, saya pun bersuara, “Arif, pernah tengok emak tuang air teh dari teko tak?” Jawab Arif , “Pernah.”
“Bila emak tuang air teh, air keluar dari mana, teko ke cawan?” Tanya saya lagi. “Mesti la dari teko,” jawab Arif.
“Antara teko dengan cawan, yang mana kedudukan dia lebih tinggi bila emak tuang teh?” soal saya. “Mesti la teko bang. Teko kat atas, cawan kat bawah” Jawab Arif sambil menggayakan kedudukan teko dan cawan menggunakan tangannya.
“Hmm… kalau cawan tu lebih tinggi dari teko, boleh tak teh tu masuk dalam cawan? Soal saya lagi. “Mana boleh bang. Macam mana air teh nak jatuh ke atas pulak,” jawab Arif tegas.
“Haa.. kalau Arif nak tau, hubungan cikgu dengan murid macam tu jugak,” kata saya. “Macam mana?” Soal Arif.
“Ilmu datang dari cikgu, macam air teh datang dari teko jugak. Murid menerima ilmu dari cikgu, macam cawan menerima teh dari teko,” balas saya.
“O, ye ke. Habis tu?” Soal Arif lagi sambil mengerutkan keningnya.
“Kedudukan teko tu lagi tinggi dari cawan, macam kedudukan cikgu jugak, lebih tinggi dari murid. Kalau murid tak hormat cikgu, ia umpama murid tu nak tukar kedudukan, murid nak duduk kat atas pulak,” kata saya.
Arif diam tidak memberikan komen apa-apa.
“Jadi, kalau murid tak hormat cikgu dan nak duduk kat atas, rasanya boleh tak murid tu dapat ilmu dari cikgu?” Soal saya sambil menggayakan kedudukan cikgu dengan murid menggunakan tangannya.
“Ilmu pun takleh mengalir ke atas eh?” Soal Arif sambil tersengih.
“Ha, sebab tu la! Murid yang tidak menghormati cikgunya, nanti dia takkan dapat kuasai ilmu yang diturunkan oleh cikgunya,” balas saya.
“Habis tu, kalau tak hormat cikgu, nanti boleh jadi bodoh la eh?” Soal Arif dengan nada bimbang.
“Mungkin jugak,” jawab saya dengan senyuman sinis.
(Perbualan tamat di situ)
Mungkin anda pernah berhadapan dengan situasi sebegini. Bukan sahaja kanak-kanak yang tertanya-tanya mengapa guru perlu dihormati, malah orang dewasa juga kadangkala masih keliru mengenai persoalan ini.
Mari kita berkongsi apa rasanya menjadi seorang guru yang tidak dihormati. Bayangkan anda mengajar dua orang murid (Jika anda masih pelajar, bayangkan anda mengajar seseorang yang lebih muda dari anda seperti adik atau anak saudara anda). Seorang murid sangat hormatkan anda, bertutur dengan sopan dan sentiasa cuba mengikut nasihat anda yang baik. Seorang murid lagi langsung tidak menghormati anda. Dia biadap, sombong dan melayan anda seperti melayan seorang kuli. Secara semulajadi, murid yang manakah anda akan berikan lebih tumpuan? Murid yang manakah anda akan usahakan supaya menjadi seorang yang berjaya? Mudah untuk menjawabnya bukan?
Saya menulis kisah ini bukanlah kerana saya seorang guru atau untuk berpihak kepada mana-mana guru. Tetapi, saya terkilan melihat segelintir pelajar yang tidak memahami kepentingan ini. Ada pelajar yang terlalu cerewet dan sering mempertikaikan kebolehan seseorang guru. Fikirkan, jika anda memandang rendah kepada seseorang guru, ini juga bermakna kedudukan anda jauh lebih rendah dari guru itu kerana anda sedang cuba mempelajari sesuatu darinya!
Kesimpulannya buat kali ini, renungilah kata-kata seorang tokoh cendiakawan dan pemikir Islam yang hebat bernama Al-Zarnuji:
“Tidak ada pelajar yang akan memperolehi pengetahuan atau mendapat faedah dari pengetahuan yang diperolehinya melainkan dia menghormati pengetahuan dan orang-orang yang mempunyai pengetahuan.”
Thu 24 Aug 2006
Posted by Osman Affan under
Persediaan MindaNo Comments
Saya telah kongsikan pendapat saya mengenai keburukan bertutur dengan bahasa yang tidak sopan. Ini pula berkenaan bercakap buruk tentang orang lain dengan harapan orang lain akan nampak kita lebih baik.
Menceritakan tentang keburukan orang lain memang menyeronokkan. Tahu kenapa? Kerana dengan menceritakan tentang keburukan orang lain, kita akan rasa lebih baik daripada orang yang kita ceritakan itu. Kita rasa gembira kerana ada orang yang lebih teruk daripada kita. Tetapi kita perlu berhati-hati. Apa sahaja keburukan yang kita ceritakan tentang orang lain itu besar kemungkinan ada pada kita.
Saya pernah terbaca hasil tulisan ahli falsafah Ralph Waldo Emerson yang mengatakan, apa yang kita lihat pada orang lain adalah apa yang kita bawa dalam hati kita. Maksudnya, jika perkara buruk yang kita asyik nampak pada orang lain, perkara buruk juga lah sebenarnya yang memenuhi hati kita.Jadi, kalau kita asyik menceritakan tentang keburukan orang lain, bukankah secara tidak langsung kita memberitahu seluruh dunia bahawa hati kita penuh dengan perkara yang buruk, hodoh dan busuk?
Dalam masa yang sama, lihat orang yang berjaya sama ada pelajar, ahli perniagaan, guru, ahli sukan atau sesiapa saja, apa yang sering mereka perkatakan? Orang-orang yang berjaya sering bercakap tentang kejayaan, kegembiraan, kasih sayang, matlamat untuk berjaya dan sebagainya. Ini menggambarkan apa yang ada dalam hati mereka dan alhamdulillah saya percaya sebab itulah mereka berjaya.
Jadi, mulai hari ini, dalam usaha menuntut ilmu terutamanya, perbetulkan niat dan matlamat kita dan perbetulkan adab dan tatasusila kita dalam mengejar ilmu yang berkat. Penuhi hati kita dengan kasih dan sayang sesama kita dan insyallah itu yang akan kelihatan dengan jelas nanti.
Wed 23 Aug 2006
Posted by Osman Affan under
Persediaan MindaNo Comments
Sepanjang hidup saya, telah banyak ragam manusia yang dapat dilihat. Ada yang periang, ada yang sentiasa bermuram dan ada yang sentiasa berkata-kata. Saya sentiasa tertarik mendengar cara kawan-kawan berkomunikasi di antara satu sama lain. Ada yang bercakap dengan lemah lembut, ada yang bercakap dengan kasar,ada yang bercakap dengan bahasa yang indah, malah ada yang bercakap dengan bahasa yang kurang sopan.Apabila membicarakan tentang penggunaan bahasa atau perkataan dalam perbualan, saya teringat kata-kata seorang ustaz bernama Muhammad Nor ketika saya berada di tingkatan satu di sebuah sekolah di Terengganu. Kata ustaz Muhammad Nor, “Kalau sebuah lori yang membawa oren terbalik di tengah jalan, apakah yang akan keluar dan bertaburan di atas jalan raya? Tentulah oren bukan?”Ustaz terus menerangkan lagi bahawa perumpamaan itu sama juga dengan kehidupan kita. Apa sahaja yang kita isi di dalam diri sepanjang kehidupan kita akan terkeluar semula dan nampak jelas sewaktu kita hendak mati nanti. Apa yang penting dapat saya faham daripada kata-kata ini ialah, jika kita sentiasa menuturkan perkataan yang tidak sopan, atau dengan lebih tepat lagi mencarut dan mencaci, perkataan-perkataan itu jugalah yang akan keluar bila kita hendak mati nanti.
Sebagai contoh, jika kita sentiasa menuturkan perkataan “ayam” setiap kali kita marah, terkejut, kecewa atau kita memang gemar menyebut perkataan itu walaupun tanpa sebab, bukankah besar kemungkinannya kita akan menuturkan perkataan itu juga di akhir hayat kita nanti? Apakah kemungkinan kita melafazkan kalimah shahadah pula? Bagaimanakah perasaan anda jika “ayam” yang anda sebutkan buat kali terakhir dalam kehidupan anda, dan bukannya kalimah shahadah?
Saya terkilan melihat kawan-kawan atau anak muda di bangku sekolah sudah petah melafazkan perkataan-perkataan yang saya sendiri malu hendak menyebutnya. Lebih menyedihkan apabila mendengar perkataan tersebut dilafazkan oleh pelajar yang berumur tujuh hingga sepuluh tahun di sekolah rendah.
Sebagai umat Islam dan rakyat Malaysia yang terkenal dengan kesopanan dan tatasusila yang baik, inikah generasi yang akan dihasilkan di masa akan datang? Sama-samalah kita fikirkan.
Tue 22 Aug 2006
Posted by Osman Affan under
CeritaNo Comments
Tiba-tiba…. “Kreeeeekkkkkkkk” bunyi papan tangga surau tua tu. Saya terkejut sampai tercampak ubat nyamuk tu ke tanah. Jantung saya kuat makin kuat berdegup. “Nak naik ke tidak?” fikir saya lagi.
Saya tekad nak sahut cabaran ni. Saya dah keluar daripada rumah, rugi kalau saya berhenti separuh jalan. Saya masuk juga. Surau tu gelap. Walaupun surau tu masih digunakan, ia agak uzur. Tingkapnya tidak berpintu. Jadi dari dalam surau, saya boleh melihat bayangan pokok di luar.
Saya duduk di tengah-tengah surau. Saya telah ambil air sembahyang daripada rumah tadi. Jadi, saya sembahyang sunat beberapa rakaat, termasuk dua rakaat sembahyang hajat. Saya berdoa agar saya benar-benar dapat menghilangkan sifat penakut saya ni.
Selesai sembahyang sunat, saya duduk dengan diam. Matlamat saya ialah duduk di situ sekurang-kurangnya 30 minit. Perasaan takut saya ketika itu sukar saya gambarkan. Saya rasa saya dengar macam-macam benda yang menakutkan yang tidak mahu saya gambarkan di sini. Ada satu ketika, saya rasa seperti ada orang sedang berjalan di bahagian wanita (bahagian itu dihalang atau ditutupi dengan kain). Percaya atau tidak, kaki dan tangan saya menggigil.
Walaubagaimanapun, saya cuba bersabar. Apa yang saya terfikir ketika itu ialah, saya malu untuk menarik diri. Baik saya usahakan juga. Setelah lebih kurang 20 minit saya berada di situ, saya rasa debaran saya semakin berkurangan. Kurang sikit perasaan takut yang kuat tadi. Akhirnya, setelah 30 minit, saya bangun perlahan-lahan dan meninggalkan surau itu.
Sepanjang perjalanan ke rumah, saya rasa tenang, tidak takut. Pelik juga. Adakah ini kerana saya terlampau takut tadi sampai semua perasaan takut habis keluar? Selalu saya tersenyum sendiri mengingatkan perkara ini. Keesokan harinya, saya ceritakan perkara ini kepada ayah saya. Dia tersenyum. Dia cuma tanya kalau saya ada terjumpa hantu atau tidak. Saya hanya tersenyum.
Pengalaman ini mengajar saya satu perkara. Tentang hantu, tak perlu lah saya komen kerana ini bukan tempatnya. Saya belajar bahawa jika saya takutkan sesuatu, saya ada PILIHAN samada saya mahu menghadapinya atau mahu menghindarinya. Masalahnya, jika saya sentiasa hindarinya, saya akan merasa takut sepanjang hayat saya. Saya tidak suka keadaan begitu. Semasa bergelar seorang pelajar saya banyak hadapi situasi yang mencabar keberanian saya. Contohnya, semasa di United Kingdom, saya pernah diminta menjadi lead presenter untuk satu assignment. Saya perlu membentangkan kajian kumpulan saya di hadapan satu dewan penuh dengan ‘mat salleh’. Berdebar juga ketika itu kerana saya akan bertutur dalam bahasa mereka, di negara mereka. tetapi dalam hati saya percaya, cabaran hantu tu pun berjaya saya lepasi, inikan pula berdiri di depan orang yang tidak makan orang. Kurang lah sedikit debaran tu.
Saya akan sambung lagi di lain kali bagaimana konsep takut hantu ini berkait dengan kebolehan untuk mempelajari sesuatu dengan baik.
— Next Page »