July 2006


Pernahkah anda merasa begitu berdebar semasa peperiksaan hendak dijalankan? JAntung anda berdegup dengan sungguh pantas. Tangan anda mula sejuk. Anda tidak boleh duduk diam. Anda juga rasa semakin sukar untuk fokuskan fikiran anda kepada apa yang telah anda pelajari. Apakah yang harus anda lakukan?

Ada satu cara untuk mengurangkan debaran sebegini. Sedar tak, semasa anda resah dan berdebar, anda bernafas dengan laju sekali? Anda bernafas kadangkala seperti orang yang baru berlari pecut 100 meter. :)   Bernafas dengan laju begitu akan membuat paru-paru anda sukar untuk menyerap oksigen yang anda sedut kerana anda sedut udara dan lepaskannya semula dalam masa yang sangat singkat.

Cara mudah untuk menyelesaikan masalah ini ialah, pertama, duduk atau berhenti seketika. Tarik nafas sedalam-dalamnya. Jika boleh tarik nafas panjang selama 7 saat. Kemudia tahan selama 7 saat juga (dalam masa yang sama tenangkan atau kosongkan fikiran anda) dan kemudian lepaskan perlahan-lahan selama 7 saat juga. Buat aktiviti ini 5 ke 10 kali.

Sebaik-baiknya anda amalkan cara pernafasan begini semasa mengulangkaji pelajaran. Nanti kesannya lebih baik jika anda lakukan semasa peperiksaan.

Praktikkan cara ini insyaallah anda akan rasakan kesannya yang membuat anda lebih tenang dan fokus. Selamat mencuba. :)

 

Majoriti pelajar yang ditanyakan soalan “apakah yang anda paling takuti sebagai seorang pelajar?” akan menjawab bahawa mereka takut gagal.

Satu perkara, bagus jika anda takut gagal dan mula berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya. Kegagalan boleh mencetuskan rasa takut dalam diri pelajar hingga mereka bermati-matian berusaha untuk mengelakkannya.

Namun, satu perkara yang tidak baik jika anda terlalu takutkan kegagalan ialah, anda akan takut untuk mencuba. Maksudnya, takut gagal kemudian takut mencuba.

Contohnya, anda pandai melukis dan ada satu pertandingan melukis di kawasan anda. Anda hendak masuk pertandingan itu tetapi anda takut gagal, atau takut jika anda tidak menang. Kalau tidak menang, anda mungkin akan rasa sangat kecewa. Jadi apa anda buat? Anda tidak memasuki pertandingan itu. Mengapa? Takut gagal kemudian takut mencuba.

Anda perlu ingat, jika anda cuba, anda mungkin gagal atau anda mungkin berjaya. Kita tidak pasti. Tetapi satu perkara yang pasti, jika anda tidak mencuba, anda pasti tidak akan berjaya!

 

Pelajar tanpa kemahiran belajar umpama mekanik yang tidak tahu membaiki kereta. ~Osman Affan~

Kita selalu dengar orang mengatakan bahawa jika anda selalu gagal dalam peperiksaan, anda mungkin seorang yang bodoh. Ada juga yang sanggup mengatakan yang otak anda lembab jika anda tidak mampu memahami apa yang cikgu anda ajarkan. benarkah begitu?

Saya tidak percaya itu semua. Saya percaya bahawa, jika anda tidak mendapat keputusan yang baik, mungkin anda masih tidak mempunyai kemahiran yang mencukupi sebagai seorang pelajar.

Sebagai pelajar, anda perlu banyak menghafal fakta, tetapi anda tidak tahu kemahiran menghafal, jadi anda gagal. Sebagai pelajar anda perlu banyak membaca, tetapi anda tidak boleh membaca dengan kadar yang pantas, jadi anda gagal membaca semua bahan bacaan yang perlu anda baca.

Apa yang perlu anda sedar di sini bahawa, jika kegagalan anda disebabkan oleh kekurangan kemahiran, bolehkah anda lakukan sesuatu?? Ya, sudah tentu anda boleh lakukan sesuatu. Kuasai semua kemahiran belajar yang boleh membantu anda.

 

Seperti yang saya ceritakan, kebolehan saya bermian snooker cepat meningkat kerana saya belajar langkah asas dalam bermain snooker.

Pengajarannya di sini ialah, jika kita hendak menguasai sesuatu kemahiran dengan cepat dan pantas, kita perlu cari apakah asas dalam menguasai kemahiran itu. Contohnya jika anda hendak belajar menghafal, ada langkah asas dalam menghafal sesuatu. Jika anda hendak belajar bahasa baru, ada langkah asas dalam mempelajari bahasa baru.

Dari mana boleh anda perolehi langkah asas itu semua? Pertama, melalui buku. Banyak buku yang menerangkan langkah-langkah asas kepada mana-mana kemahiran. Sekarang buku sangat senang diperolehi. Jika anda hendak belajar menjadi seorang yang disukai oleh kawan-kawan, ada buku yang mengajar langkah-langkah asasnya.

Kedua, cari seseorang yang mempunyai kemahiran yang anda inginkan. Tanya mereka, bagaimana mereka boleh kemahiran itu dengan baik. Untuk lebih efektif, perhatikan cara mereka menggunakan kemahiran itu. Contohnya, jika anda mahu belajar kemahiran menunggang basikal, perhatikan bagaimana seseorang yang handal itu memegang basikalnya, bagaimana ekspresi mukanya bilka menunggang basikal, bagaimana dia berlatih dan sebagainya.

Akhirnya, kita perlu ingat satu perkara. mempelajari asas kadangkala memakan masa dan mungkin membosankan. Tetapi, bila anda sudah menguasai langkah asas itu semua, anda akan lebih cepat menjadi handal dan hebat dalam kemahiran itu.

Selamat mencuba.  :)

 

Pada tahun 1996, setahun sebelum saya melanjutkan pelajaran ke luar negara, saya belajar main snooker daripada 2 sahabat baik saya. Kedua-dua sahabat baik saya ini sudah handal bermain snooker. Jadi, apabila saya mahu menyertai mereka bermain snooker, mereka mendapat idea menarik, “siapa yang lebih hebat antara mereka berdua”. Sahabat pertama bernama Irfan. Dia berkata kepada sahabat kedua, Zul, “kita tengok, siapa boleh kalahkan Man dengan mata paling banyak, dia lagi hebat!”. Zul setuju.

Saya pun bermain dengan Irfan dan Zul. Yang pasti, saya akan kalah. Tetapi, Irfan mengalahkan saya dengan lebih banyak mata berbanding Zul. Maka, terbuktilah Irfan lebih hebat daripada Zul.

Seminggu selepas itu, saya bermain lagi dengan mereka berdua. Amat mengejutkan, Irfan dan Zul kalah dengan saya. Zul terkejut, dan Irfan terfikir apakah sebabnya saya boleh menang. Inilah yang ingin saya ceritakan sebenarnya, bagaimana cara saya menang.

Caranya…. sehari selepas kalah dengan Irfan dan Zul, saya keluar berjalan di banda Kuala Lumpur. Entah bagaimana, saya terjumpa satu video tape tentang cara belajar main snooker. Saya pun beli tape tu dan pasang hari-hari untuk mempelajari.

Rupa-rupanya, ada 5 langkah asas main snooker. Yang peliknya, saya tak nampak sesiapa pun yang main snooker (dikalangan kawan-kawan saya) yang mengamalkan langkah-langkah asas tu. Bila saya buat 5 langkah asas tu, saya cepat pandai dan jadi antara pemain snooker terhebat dikalangan kawan-kawan saya. Malah, setelah saya habis belajar dan bekerja di PriceWaterHousecoopers Chartered Accountant, saya menjadi Johan Snooker dalam pertandingan yang dianjurkan. Saya berjaya mengalahkan ramai pemain berpengalaman di syarikat saya itu dan kemudian saya dipilih mewakili syarikat saya ke pertandingan antara syarikat-syarikat perakaunan.

Apakah yang dapat dipelajari disini? Saya akan terangkan dalam terbitan seterusnya……

 

“Kejayaan Boleh Diramalkan”
~Brian Tracy~

Ada orang mengatakan bahawa kejayaan adalah amat sukar untuk dicapai. Jika hendak dicapai pun susah, apatah lagi hendak diramalkan. Maksudnya, agak mustahil untuk kita meramal bahawa seseorang akan berjaya disuatu masa akan datang atau tidak.

Tetapi, menurut Brian Tracy (seorang penulis, penceramah, ahli perniagaan dan pakar motivasi terkenal) kejayaan boleh diramalkan. Maksud beliau, kita boleh tahu seseorang akan berjaya atau tidak di masa akan datang berdasarkan apa yang mereka lakukan sekarang.

Untuk lebih mudah faham, cuba bayangkan anda melihat ibu anda memasak mi segera. Anda lihat dengan teliti setiap perkara yang ibu anda lakukan. Kemudian, anda ikuti langkah itu semula satu persatu. Jika anda lakukan semua apa yang ibu anda lakukan dengan terperinci, bolehkah saya ramalkan bahawa anda pasti akan berjaya memasak mi segera sebaik ibu anda? Tentu jawapannya ya bukan?

Itulah yang dimaksudkan oleh Brian Tracy. Jika anda mahu berjaya, lakukan apa yang orang telah berjaya lakukan. Jadi, jika anda masih tidak berjaya, kaji semula apa yang anda lakukan selama ini. Mungkin ada langkah anda selama ini tidak sesuai dengan apa yang anda ingin capai.

Satu lagi pengajaran penting, jika anda masih tidak berjaya, bukan bermakna anda tidak pandai atau lemah. Ia cuma bermakna anda masih belum melakukan sesuatu dengan betul. :)

 

“Aku tak boleh belajar lagi la, umur aku dah meningkat…. otak dah tepu….”

“Aku masa kecik-kecik dulu, belajar apa-apa pun senang. Sekarang dah besar ni, susah sikit la…”

“Susah la nak ingat benda baru ni. Dalam kepala aku ni dah banyak benda yang aku kena ingat, mana boleh masuk lagi.”

Tentu anda biasa mendengar ucapan-ucapan sebegini. Benarkah, semakin kita lanjut usia, semakin susah kita hendak belajar sesuatu?? ….. Mungkin…. mungkin susah jika kita sendiri percaya yang perkara itu susah.

Ada dua perkara asas yang ingin saya kongsikan. Pertama, semakin banyak kita belajar, semakin meningkat kebolehan kita untuk belajar. Maksudnya, setiap perkara baru yang kita pelajari, menambahkan lagi kebolehan kita untuk memahami sesuatu yang lain. Jadi, semakin meningkat umur, semakin banyak kita pelajari, maka semakin bertambah kebolehan untuk belajar.

Kedua, semakin banyak kita hafal sesuatu, semakin besar kemampuan kita untuk menghafal perkara-perkara lain. Otak kita bukan macam gelas, bila diisi air, ia nanti akan penuh dan melimpah. Kalau otak kita macam gelas, tentu kepala orang-orang yang terpelajar macam professor-professor diuniversiti mempunya kepala yang besar (sebab terlalu banyak ilmu dalam kepala) :)

Jadi, elakkan dari menyalahkan faktor umur. Elakkan dari menyalahkan keadaan sekeliling. Daripada kita membuang masa dan tenaga mencipta alasan untuk tidak belajar perkara yang baru, lebih baik kita simpan tenaga itu untuk berfikir tentang sesuatu yang berfaedah seperti contohnya, “Bagaimana caranya mahu meningkatkan Kebolehan Belajar“?

 

Apabila ditanya tentang cara menghafal, pelajar akan terbayangkan nota-nota yang dipenuhi tulisan yang perlu dihafal. Memang susah hendak menghafal, terutamanya jika tulisan-tulisan itu semua sukar untuk dibaca. Ini membuatkan pelajar rasa tidak bersemangat untuk menghafal.

Adakah memang sukar untuk menghafal? Mungkin…. mungkin sukar jika anda tidak tahu caranya yang betul.

Untuk menghafal, anda perlu tahu satu perkara asas. Apakah bahasa memori kita? Bahasa Melayu? Bahasa Inggeris? Bahasa Cina? Atau bahasa India? Untuk mengetahuinya, jawab soalan ini.

Jika saya sebut perkataan kucing, apakah yang terbayang difikiran anda? Adakah perkataan K.U.C.I.N.G. ? atau gambar seekor kucing? Tentu gambar seekor kucing bukan?

Maksudnya, bahasa otak kita adalah ‘gambar’. Disebabkan itu, kita lebih mudah mengingat gambar dari perkara lain seperti tulisan. Jadi, jika anda merasa sukar untuk menghafal, jangan risau. Bukan anda memiliki daya pemikiran yang lemah, tetapi, anda mungkin selama ini cuba menghafal tulisan, bukan gambar.

Apa yang perlu anda fikirkan sekarang ialah, bagaimana caranya untuk anda menukarkan semua nota anda dalam bentuk gambar…

 

Kalau saya ditanya apa perbezaan paling ketara antara pelajar cemerlang dengan pelajar kurang cemerlang, saya akan katakan “Hormat kepada Guru“.

Saya telah banyak buat program disekolah-sekolah, kolej dan universiti. Malah saya sendiri ada mengajar di Pusat Tuisyen saya sendiri. Apa yang saya lihat, pelajar cemerlang sangat menghormati guru mereka. Perkara paling mudah untuk menunjukkan rasa hormat kepada guru ialah dengan mendengar dengan teliti semasa guru bercakap. Fokuskan tumpuan anda kepada apa yang guru sedang katakan.

Walaupun kadangkala anda tidak faham apa yang guru anda katakan, bersabar dan teruskan dengar dengan teliti. kemudian, tanya guru anda apa yang anda masih kurang faham. Adakalanya guru tidak melayan soalan anda kerana mengejar masa untuk menghabiskan sukatan pelajaran. Jadi, anda tanya guru anda di luar waktu kelas. Guru selalunya akan merasakan anda amat bersungguh-sungguh dalam pelajaran jika anda bertanya tentang pelajaran di luar waktu kelas. Jadi, mereka akan lebih mesra melayan soalan anda.

Jika anda masih kurang jelas mengapa hormat kepada guru itu penting, bayangkan anda hendak mengajar dua adik atau adik saudara atau sesiapa yang lebih muda daripada anda. Adik yang pertama sentiasa mendengar penerangan anda dengan teliti. Dia fokuskan perhatian kepada anda dan bercakap dengan anda dengan nada yang sopan.

Adik kedua pula tidak pernah fokus kepada anda. Kadangkala bila anda menerangkan sesuatu kepadanya, dia akan lihat ke arah lain, bermain dengan pensel, atau sibuk makan gula-gula. Kemudian, dia bising bila tak faham cara anda mengajar. Dia juga kadangkala bercakap kasar dan memberikan komen yang menyakitkan hati.

Soalan saya, adik yang manakah akan anda ajar dengan bersungguh-sungguh? Senang untuk menjawab soalan ini bukan? Jadi, jika pelajar yang tidak fokus, biadap dan suka membuat bising di dalam kelas tidak dipedulikan oleh guru, adakah itu pelik? Fikirkan…..

 

Jika anda lakukan sesuatu yang bodoh, semua orang pernah lakukannya. Jika anda merasa seperti orang bodoh, ada ubat untuk merawatnya. Tetapi, jika anda percaya bahawa anda adalah seorang yang bodoh, bodohlah anda jadinya. ~Osman Affan~

Apa yang kita percaya tentang diri kita, itulah diri kita yang sebenarnya. Ada pelajar yang selalu gagal dalam peperiksaan lalu percaya bahawa dia bodoh. Selagi dia percaya begitu, selagi itulah dia akan kekal bodoh. Sebaliknya, jika dia percaya bahawa kegagalan itu hanyalah satu kesilapan bodoh yang dia lakukan (sebab tidak berhati-hati semasa menjawab soalan, tidak membuat persediaan yang cukup, tidak menggunakan teknik kemahiran belajar yang baik), dia akan berusaha dengan cara yang lain untuk berjaya. Jadi, masih ada harapan! :)

Mengikut pengalaman saya, pelajar yang sering gagal sudah mula percaya yang mereka bodoh. Untuk membantu mereka, saya bukan kena ajar bagaimana mahu menjawab soalan peperiksaan dengan lebih baik, tetapi bagaimana mahu menghilangkan rasa percaya yang mereka adalah bodoh. (Ikuti catatan-catatan saya yang seterusnya dalam mencari jalan penyelesaian kepada masalah ini……. )

Osman Affan

Next Page »