SmartStudy

Kerapkali saya dan staff mendapat panggilan ibu bapa untuk anak mereka menyertai program motivasi dan teknik belajar seperti yang saya anjurkan pada tahun 2007. Kini, peluang itu muncul lagi.

Tahun ini sekali lagi saya menganjurkan program ‘3 Langkah mencapai kecemerlangan akademik melalui teknik motivasi dan kemahiran belajar’. Program ini akan dijalankan pada cuti sekolah bulan Mac nanti iaitu pada hari Selasa, 11 Mac 2008 (untuk sekolah rendah tahun 4,5&6) dan pada hari Rabu, 12 Mac 2008 (untuk sekolah menengah tingkatan 1 hingga 5).

Kebiasaannya program begini akan mengambil seramai 100 ke 200 pelajar.  Namun program kali ini agak istimewa kerana ia hanya dibuka kepada 50 orang peserta sahaja. Juga, tawaran istimewa diberikan kepada 20 peserta pertama.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web ini. Klik disini.

Mulai hari ini segala posting saya untuk Blog OsmanAffan.com akan dilakukan di www.MotivasiBelajar.com. OsmanAffan.com juga akan mengalami beberapa masalah teknikal minggu ini berikutan usaha menukarkan server ke suatu lokasi yang baru. Segala bantuan dan sokongan anda selama ini sangat saya hargai. Insyaallah teruskan membaca dan jumpa anda di www.MotivasiBelajar.com . :)

Sekarang ini saya berada di Cititel Hotel untuk menjayakan program Wealth Summit anjuran True Wealth Sdn Bhd (Milik Azizi Ali). Program ini mendedahkan beberapa cabang keusahawanan yang bakal disampaikan oleh 5 penceramah utama iaitu Azizi Ali, Eruwan Gerry Norsen, Irwan Dahnil, Zamri Nanyan dan saya sendiri.

Ini adalah satu majlis ilmu yang menarik buat saya. Walaupun saya hadir sebagai penceramah, saya sebenarnya juga akan belajar banyak perkara daripada 4 penceramah lain ini. Mereka in semua sangat berjaya dalam bidang mereka. Insyaallah minggu depan saya akan ceritakan tentang program ini dengan lebih lanjut.

Ada juga satu pengumuman penting. Mulai minggu depan, Isnin, saya akan mula membuat posting di dalam laman web baru saya iaitu www.MotivasiBelajar.com. Walaupun laman web itu belum siap sepenuhnya, ia perlu dilakukan memandangkan saya akan memindahkan OsmanAffan.com ke server baru. Mungkin laman web OsmanAffan.com tidak akan dapat dilayari buat beberapa hari minggu depan. Jadi, jumpa anda di laman web baru saya nanti. :)

Hari ini saya paparkan satu sumbangan daripada pelawat blog ini yang merupakan satu komen kepada mutiara kata yang saya paparkan satu ketika dulu. Terima kasih Muliyadi atas pandangan dan hasil tulisan yang baik ini. :)

(Ini adalah mutiara kata yang saya paparkan)

“99% kegagalan datang dari orang-orang yang suka memberi alasan.” ~George Washington Carver~

Ada dua perkara yang anda boleh faham tentang mutiara kata ini. Pertama, jika anda suka memberi alasan tentang apa sahaja, anda mungkin masih gagal mencapai apa yang anda inginkan sampai ke hari ini. Kedua, jika anda masih lagi gagal mencapai apa sahaja yang anda inginkan, fikir semula, adakah anda suka memberi alasan atas kegagalan anda? Jika ya, berhenti mencari alasan. Tumpukan tenaga anda kepada mencari jalan untuk mencapai kejayaan dan mencapai apa sahaja yang anda inginkan. :)

(Ini adalah komen Muliyadi)

Assalamualaikum. 

Saya ada menulis satu mutiara kata yang hampir sama seperti mutiara kata di atas. Moga dapat dikongsi bersama.
SERIBU JALAN, SEJUTA ALASAN
Oleh
Muliyadi Guliling
“Sekiranya kita mahu sesuatu, kita sebenarnya ada seribu jalan. Tetapi sekiranya kita tak hendak sesuatu, kita ada sejuta alasan.”
Bayangkan situasi ini. Anda didatangi seorang jurujual. Dia memperkenalkan diri secara ringkas kemudian menawarkan anda suatu produk yang sememang anda sangat-sangat berminat. Anda pun tanpa berfikir dua kali bersetuju untuk membeli. Malangnya, semasa nak bayar anda seluk poket seluar ataupun tas tangan. Keluarkan dompet. Buka. Tiada duit. Otak anda secara automatik akan ligat berfikir. Antara soalan dan jawapan yang mungkin bermain di dalam kepala ketika itu ialah
Apa nak buat nie?
Di mana aku letak duit aku tadi?
Boleh bayar guna kad kredit tak?
Pinjam duit kawanlah dulu. Esok aku ganti.
Hutang dululah. Kemudian baru bayar.
Kita selagi bernama manusia yang waras akan berfikir dan terus berfikir untuk mencari jalan penyelesaian. Seterusnya kita akan bertindak dan memilih salah satu atau beberapa jalan penyelesaian yang difikirkan sesuai.
Sekarang bayangkan anda berada dalam situasi begini. Nama anda dicadangkan sebagai ketua bagi mengendalikan majlis perasmian suatu acara di tempat anda bekerja. Anda mungkin tersentak. Pada masa yang sama, anda sebenarnya tidak mahu menerima cadangan rakan sekerja tersebut. Tentunya, anda akan memberikan alasan-alasan. Antaranya mungkin seperti di bawah:
Saya cadangkan A jadi ketua bukannya saya. A lebih senior. A lebih berkebolehan. A lebih hebat. A lebih cekap. A pandai berkata-kata. A lebih ramai kenalan. A lebih popular. A lebih…A lebih….
Pelbagai alasan lagi akan anda senaraikan untuk menguatkan penolakan cadangan tersebut.
Pada pendapat saya, kita selalunya lebih mudah memberikan alasan daripada mencari jalan penyelesaian.
Terima kasih.

Beberapa hari ini saya bersengkang mata menguruskan satu laman web baru saya. Sebenarnya, laman web ini adalah untuk blog saya ini. Sudah lama saya bercadang untuk mengalihkan blog ini ke satu laman web lain agar tidak bercampur aduk dengan osmanaffan.com. Nanti saya akan umumkan masanya saya hentikan posting di sini dan berpindah ke laman web baru pula.

Laman web baru saya itu nanti ialah www.motivasibelajar.com. Ia adalah blog kemahiran belajar dan saya bercadang untuk menjadikannya satu sumber rujukan untuk bahan-bahan motivasi di Malaysia ini. Jika anda ke sana, masih banyak lagi perkara yang tidak berfungsi sepenuhnya.

Seperti yang anda mungkin sudah tahu, saya tidak mempunyai latar belakang dalam bidang IT, perisian komputer apatah lagi programming. Jadi untuk menguruskan blog baru saya ini, saya terpaksa banyak gunakan trial and error. Pening juga mata saya melihat kepada kod-kod php yang langsung saya tak faham. Tetapi yang peliknya, setelah digodek beberapa kali, saya mula faham beberapa perkara. Jadi saya dapat mengubah beberapa rekabentuk daripada rekabentuk asal yang saya download.

Itulah yang dikatakan tentang kalau hendak seribu daya. Kalau saya betul-betul hendak belajar sesuatu, saya akan fokuskan sepenuh perhatian saya agar saya dapat menguasainya dengan cepat. Mana-mana bahagian yang saya masih lagi tidak boleh kuasai, saya boleh gunakan satu teknik belajar yang paling berkuasa iaitu, “Tanya kepada orang yang lebih tahu.” :)

“Create your future from your future, not your past.” ~Werner Erhard

“Cipta masa depan anda daripada masa depan, bukan daripada masa silam”.

Apa pendapat anda mengenai mutiara kata ini? Apabila anda mahu mencapai sesuatu dalam hidup anda, adakah anda membuatnya berdasarkan kejayaan dan kegagalan di masa lepas atau berdasarkan sesuatu yang anda ingin capai di masa hadapan?

Mesej utama mutiara kata ini ialah masa lepas anda bukanlah kayu pengukur tahap kejayaan yang bakal anda kecapi di suatu masa akan datang. Jika semua ahli keluarga anda tidak berpendidikan tinggi, ia tidak bermakna anda akan ikuti jejak langkah yang sama. Jika kebanyakan ahli keluarga anda dan saudara mara anda bersifat panas baran dan mudah hilang sabar, ia tidak bermakna anda juga begitu.

Masa lepas atau silam adalah sesuatu yang sudah berlalu. Jika anda mahu berjaya di masa akan datang, fikirkan dengan sejelas-jelasnya apa yang anda mahu capai itu dan mulakan cara hidup seolah-olah anda sudah mencapai apa yang anda idamkan itu tadi.

Sudah lebih seminggu saya buka blog saya tanpa menulis apa-apa. Nak kata tak ada idea, rasanya banyak perkara yang ingin dituliskan. Nak kata tak ada mood, hari-hari saya menulis terutamanya untuk buku saya yang berikutnya. Seminggu ini saya habiskan dengan membaca dua buah buku yang sangat menarik bagi saya. Seminggu ini juga saya habiskan dengan mengikuti perkembangan pengunjung ke blog saya ini. Saya sangka ramai masih bercuti dan tidak berminat untuk membaca, namun sangkaan saya agak salah. Pengunjung ke blog ini sudah kembali seperti biasa sejak Selasa lalu. :)

Bagaimana dengan hari raya anda? Adakah Syawal tahun lebih bermakna? Adakah Syawal kali ini benar-benar menandakan kemenangan yang anda raih sepanjang bulan Ramadhan? Bagi saya, setiap Syawal sangat bermakna. Syawal kali ini menyedarkan saya tentang perjuangan yang saya tempuhi sejak saya buat keputusan untuk bekerja sendiri lima tahun lalu sudah hampir menampakkan hasilnya. Syawal kali ini mengajar saya bahawa kesabaran dan keyakinan diri akan sentiasa membantu seseorang dalam mencapai kejayaan. Bagaimana dengan anda?

Apa kata hari ini anda bandingkan hidup anda sejak lima tahun yang lalu. Adakah cara hidup anda semakin baik? Adakah anda rasa hidup anda semakin tidak menentu? Walau apa pun yang anda rasa terjadi dalam hidup anda sejak lima tahun yang lalu, anda perlu yakin bahawa setiap manusia mempunyai peluang untuk berjaya. Anda juga perlu yakin bahawa setiap kesukaran, kesusahan dan keresahan fikiran akan berlalu dan digantikan dengan kegembiraan, kesejahteraan dan kebanggaan. Saya doakan kesejahteraan dan ketenangan akal dan fikiran buat anda semua, pengunjung setia blog ini. Semoga satu hari nanti kita semua berpeluang untuk bersua muka dan bertukar-tukar buah fikiran untuk kejayaan bersama di masa yang akan datang. :)

Alhamdulillah, dalam kesibukan menjalankan training dan menulis untuk buku seterusnya, saya masih diberikan kemampuan untuk menulis dan mengemaskinikan blog saya ini. Untuk pembaca setia blog saya ini saya ucapkan terima kasih. Sokongan anda menambahkan semangat dan keinginan saya untuk berkongsi sesuatu yang berguna di blog ini.

Kepada yang menghantar email kepada saya, saya ucapkan terima kasih. Saya percaya saya telah cuba sebaik mungkin menjawab sebarang persoalan mengikut apa yang saya tahu atau berdasarkan nasihat beberapa sahabat saya yang lain. Kepada yang belum mendapat balasan daripada saya, harap bersabar kerana saya akan usahakan untuk menjawabnya. Agak luar biasa sedikit email yang saya perolehi di dalam bulan Ramadhan ini. Jadi agak mengambil masa untuk menjawab kesemuanya.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Salam Aidilfitri kepada anda semua. Semoga Syawal tahun ini menambahkan lagi rasa syukur dan ketakwaan kita kepada Allah S.W.T. Semoga kita semua dirahmati dengan sebaik-baik nikmat sepanjang Syawal ini hingga Syawal yang akan datang. Selamat hari raya Aidilfitri daripada kami sekeluarga.

Jadi bagaimanakah Ramadhan mengajar anda menghargai sesuatu yang anda sedia ada? Seperti yang pernah saya tulsi sebelum ini, apabila anda sedang berpuasa, makanan yang selama ini anda tidak suka dan tidak menyelerakan bagi anda pun kelihatan sungguh hebat dan menyelerakan. Bayangkan anda mahu makan ayam goreng pada waktu sahur dan terlewat bangun. Lalu anda tidak dapat makan ayam tersebut. Apakah yang akan anda rasa sepanjang hari? Tentu asyik teringatkan ayam tersebut bukan?

Apa yang kita pelajari di sini ialah, salah satu pengajaran di bulan Ramadhan ialah ia mengajar kita bagaimana rasanya jika tidak ada apa yang kita ada selama ini. Selama ini negara kita kaya dengan air, jadi rakyatnya suka membazir air. Di bulan Ramadhan, umat Islam mula memahami betapa pentingnya air dan bagaimana rakyat di negara yang kekurangan air rasa.

Apabila kita sudah tahu apa rasanya tidak memiliki sesuatu yang kita sudah biasa ada, kita akan mula menghargainya. Contohnya, jika anda seorang pelajar, cuba bayangkan 10 ke 20 tahun akan datang di mana anda sudah hilang peluang untuk belajar. Bayangkan jika anda gagal dalam pelajaran anda sekarang. Agak-agaknya, apakah yang akan anda rasa 10 ke 20 tahun akan datang? Apakah yang akan anda rasa apabila anda tahu peluang yang anda ada sekarang tidak akan datang lagi? itulah yang dirasakan oleh pelajar yang gagal dalam bidang pendidikan disebabkan mereka tidak hargai peluang yang mereka ada.

Mulai hari ini, hargai semua peluang yang anda ada. Sama ada peluang itu akan datang semula atau tidak, jika peluang itu boleh membawa anda mencapai matlamat hidup anda, ambil peluang itu sekarang! Jika belajar bersungguh-sungguh akan mematangkan fikiran anda dan meningkatkan kebolehan anda untuk berfikir dengan lebih baik, ambil peluang itu sekarang! Jangan biarkan peluang itu berlalu di depan anda.

Selamat berpuasa. Semoga anda akan mula menghargai atau lebih menghargai semua peluang yang ada di depan anda. :)

Satu sifat yang biasa dilihat pada orang-orang yang berjaya ialah mereka pandai dan cekap mengambil peluang yang ada. Jika mereka lihat ada peluang yang melintas di depan mereka, dan jika mereka percaya bahawa peluang itu boleh membantu mencapai matlamat mereka, mereka pasti tidak lepaskan.

Mengambil peluang merupakan satu sifat yang jarang dilihat pada orang-orang yang kurang berjaya. Orang-orang yang kurang berjaya selalunya hanya melihat peluang yang melintas di depan mereka tanpa berbuat apa-apa. Ini mungkin disebabkan mereka tidak dapat buat keputusan, takut gagal atau rasa peluang itu akan datang lagi.

Sebagai pelajar contohnya, banyak peluang yang akan melintas di depan anda. Ada peluang untuk jadi pelajar cemerlang, ada peluang untuk tingkatkan kemahiran soft skills, ada peluang untuk belajar berfikir dan sebagainya. Namun, apa yang pelajar lakukan dengan peluang ini semua?

Satu sebab mengapa ramai yang tidak mahu mengambil peluang yang ada ialah kerana mereka tidak mahu berusaha dan mereka tidak mahu rasa susah. Peluang yang lalu di depan mata tidak seperti makanan, sedap dimakan apabila diambil. Peluang yang lalu di depan mata umpama sebakul tanah yang mengandungi butir-butir emas. Tanah itu perlu diayak /proses sebelum butir-butir emas itu menjelma. Sama seperti peluang yang lalu di depan mata anda, ia perlu diusahakan dengan sepenuh hati sebelum ia mendatangkan hasil yang diharapkan. 

Satu cara untuk anda melatih diri anda supaya sanggup mengambil peluang yang ada ialah dengan mula menghargai peluang yang ada. Anda perlu ingat, peluang tidak selalu datang. Sebab itulah Rasulullah S.A.W. berpesan agar kita merebut lima perkara sebelum lima perkara; masa kaya sebelum miskin, masa sihat sebelum sakit, masa muda sebelum tua, masa lapang sebelum sibuk dan masa hidup sebelum mati.

Jika anda dapat melatih diri anda supaya boleh gagahkan diri untuk mengambil peluang yang ada, anda pasti akan lebih berjaya suatu hari nanti. Soalan saya kepada anda, bagaimana Ramadhan boleh mendidik anda supaya menghargai sesuatu yang anda ada? Bagaimana Ramadhan melatih anda melihat kepentingan dan nilai yang tinggi pada sesuatu yang ada disekeliling anda? Kita sambung perbincangan ini esok. :)

Next Page »